Konserto Untuk Sophia ~ Part 2.6

Ray FL
0

PART 2 ~ THE DUO
Bab 11: Jambatan

M(caps)alam minggu yang sibuk berakhir agak lewat. Keluarga Marcello duduk di meja depan kedai, berehat sambil berbual tentang malam yang ceria. Juan pun ada sama, melengkapkan mereka satu keluarga. Kalau tak turun ke laut, dia akan membantu di kedai.


Perubahan positif Juan cukup menggembirakan hati bukan saja anaknya, malah semua orang turut bersyukur. Kata-kata selamat dan doa-doa sering bertukar di mana saja— gereja, pasar atau di atas bot.


Bangga sungguh Hans rasakan. Walaupun sejak berjauhan dengan Sophia dia terpaksa menjalani hari-hari dengan kesunyian, ikatan kekeluargaan yang erat banyak membantu dia untuk terus cekal dan tabah.


Benar, tanpa Sophia di sisi, hidupnya terasa seperti kehilangan makna tapi itulah sebenarnya makna sebuah pengorbanan. Hans yakin, mereka diuji semata-mata untuk mengutuhkan lagi cinta, bukan untuk meruntuhkan.


Berusaha memperbaiki hidup, bersama-sama ayahnya yang telah banyak berubah, mereka berkerja keras. Dengan bantuan orang kampung Melayu, Juan berjaya mendapatkan sebidang kecil tanah kebun untuk diusahakan. Di situlah keluarga Marcello— Juan, Hans, Jose, Maria dan Marsha— mengusahakan tanaman cili dan sayur-sayuran untuk dipasarkan ke pekan. Perubahan yang Juan tunjukkan begitu ketara sekali. Hasil lautnya bertambah setara dengan suburnya tanam-tanaman di kebun.


Berkat usaha itu, dia bersama ahli keluarga yang lain bekerjasama memperbaiki kondisi rumah— atap diganti, cat yang kering merekah ditukar dengan warna biru kelabu begitu juga tempat tinggal Cookie, kucing-kucing peliharaan mereka, juga reban ayam dan itik, semuanya diwarnakan dengan warna yang ceria. Dalam hati, Hans tak sabar nak menunjukkan semua itu kepada Sophia.


“Esok kita semua sama-sama ke gereja.” Kata Juan sambil mengambil tempat duduk di sebelah anaknya.


“Aku pun dah berniat nak bawa sedikit juadah untuk dapur gereja esok.” Maria memberitahu sambil menuangkan kopi. “Marsha, kau dah bagitahu Lynn suruh datang awal sikit esok?”

“Dah, ma.” Jawab Marsha. “Kami nak ke pasar pukul 7 lepas tu terus ke gereja.”


Juan bangun dari kerusi dan berdiri di depan patung kecil Santa Maria yang terletak di sudut kedai. Lilin yang menyala di sebelah patung itu memberikan sinar lembut, memantulkan wajah syukur. Dengan tangan memegang rosario, bibir Juan bergerak perlahan mengucapkan doa yang tulus.


Bertahun-tahun dia hanyut dalam dunia yang gelap— alkohol menjadi tempat pelarian, dosa menjadi kebiasaan. Namun, setiap kali berdiri di hadapan Santa Maria, dia merasa hidupnya selalu diberi peluang kedua. Perubahan itu perlahan tetapi pasti, dan kini dia yakin bahawa kekuatan itu datang dari satu tenaga luhur.


“I may not be flawless, but I truly feel that you have consistently stood by my side, even in the bleakest moments of my life,” bisiknya, suara serak penuh emosi. Mata berkaca, tetapi bibir mengukir senyuman kecil. Dia menghela nafas panjang, membiarkan kehangatan rasa syukur memenuhi hati. Dia berjanji untuk terus memegang perubahan itu, untuk menjadi seorang bapa yang lebih baik kepada Hans, dan untuk tidak lagi berpaling ke jalan gelap yang pernah merosakkan hidupnya.


Juan memandang keluarga yang duduk di meja.“Inilah berkat doa dan restu Santa Maria,” katanya sambil kembali duduk di sebelah Hans dan melingkar tangan di bahu permata hati itu.


“We are all so proud of you. Indeed, where there’s a will, there’s a way!”

“What happened between Hans and Sophia has opened my eyes, Jose. I’ve been foolish, allowing emotions to take the lead, and turning to God only when I need something. I lose track of everything when I drown my sorrows in the bottles. But no, I won’t give up anymore. Emelda is always by my side; she hasn’t left. She’s here with us, always.” Juan mendakap bahu Hans lebih erat.


“Kita ada kita.” Sambung Hans. Loket daun yang tergantung megah di leher, dia cium.

Aku cintakan kau, Hans…

Terdengar suara Sophia sewaktu angin menyentuh mukanya.


*


Pulang dari sekolah Hans terus ke dapur selepas mengganti pakaian. Dia membuka peti ais dan melihat-lihat apa yang ada untuk dimasak. Perutnya berkeroncong sampai terasa pedih. Seketul daging lembu yang dibawa keluar dari peti ais membuat keroncong perut bertambah merdu. Pintu dapur dibuka. Dia menyarung selipar jepun dan melangkah ke kebun kecilnya. Sedang leka membelek-belek tanaman, telefon di ruang tamu berbunyi lalu dia berlari segera ke dalam rumah.


“Hello.”

“Hans…” Sophia melonjak gembira bila mendengar suara yang amat dirindui bergema di hujung talian, membawa sinar matahari di harinya yang kelabu.


“Sophia?” Antara terkejut dan gembira, Hans cuba memastikan itu bukan mimpi. “Sophia… sayang…”

“Ye, Hans, ni aku. Sayang… aku tak boleh lama. Aku curi-curi guna telefon awam. Makcik aku dalam klinik tu, kejap lagi mesti dia keluar.”

“Aku rindu kau, Sophia… Kau OK tak? Kau kat mana?”

“Aku pun rindu… Aku OK. Tempat ni jauh, sayang. Kau jangan risau. Ni semua sementara. Aku cintakan kau. Kau tunggu aku, ye.”

“Aku tunggu, sayang… Aku tunggu. Aku cintakan kau…”

“Aku cintakan kau, Hans… Aku…”


Panggilan terputus tapi perbualan singkat itu menyalurkan tenaga begitu kuat dalam diri kedua mereka. Beberapa minggu selepas panggilan itu, Sophia berjaya mencuri waktu untuk menelefon lagi.


“Aku tak dapat selalu call. Hidup aku macam dalam penjara. Aku rindu kau sangat, Hans… Kau jaga diri untuk aku.”

“Aku pun sama, rindu… Rindu sangat. Jangan tinggal aku, sayang… Pegang janji kita.”

“Aku janji. Hati aku untuk kau sorang. Tolong jaga diri, jaga kesihatan kau.”

“Pasal aku jangan kau risau. Kau tau apa aku buat kat sini. Kau pun jaga diri baik-baik untuk aku.”

I love you with all my heart. Sayang… nanti …”


“Sophia!”

Hans terdengar suara seorang perempuan dari kejauhan dan panggilan serta merta terputus. Itulah panggilan kedua dari Sophia dan selepas itu tiada lagi . Hans menunggu tapi hampa dan begitu jugalah Sophia di sana yang semakin dikawal ketat setelah makciknya menangkap dia menggunakan telefon awam sewaktu panggilan kedua itu.


Perpisahan sememangnya amat menyiksakan. Setiap kata yang ingin diucap hanya mampu diluah di atas kertas, menjadi saksi kerinduan dan kesetiaan yang sehabis daya mereka pertahankan. Setiap apa yang berlaku mereka catatkan dalam jurnal. Masing-masing dengan keyakinan, bahawa satu masa nanti, coretan itu akan mereka baca bersama, diiring tangisan gembira.


Setiap kali ke kamarnya yang sunyi terutamanya di malam hari, bayangan Sophia datang menghantui, mengingatkan dia pada setiap detik yang mereka kongsi. Kenangan malam terakhir menjadi peneman tidur. Kucupan pertama masih terasa hangat di bibir seolah-olah Sophia hadir di hadapannya setiap kali dia menutup mata. Begitu juga saat melihat kerlip bintang di langit, dia nampak wajah Sophia yang lembut tersenyum kepadanya. Janji mereka untuk tetap kukuh digenggaman hati, menjadi kekuatan dalam menempuh hari-hari yang berlalu begitu pelan dan sunyi.


Hidup ini ibarat laut, ada pasang surut. Hans tak dapat lari daripada turun dan naik perasaan. Ada saat-saat di mana dia hampir menyerah. Ada malam-malam panjang di mana kesepian begitu mencekik dan harapan terasa seperti sesuatu yang fana dan jauh dari genggaman.


Bila itu terjadi, dia akan ke pantai, membiarkan ombak membasahi kaki, berbisik kepada lautan tentang kerinduannya terhadap Sophia, berharap angin yang sama akan membawa pesan cintanya kepada gadis yang menjadi satu-satunya alasan— selain keluarga, untuk dia terus berjalan memandang ke depan.


Namun tak pernah Hans lupa mengucapkan syukur— Dahlia dan Lynn benar-benar sahabat sejati. Mereka selalu mengingatkan, Sophia dan dia bukan berpisah tapi sekadar berjauhan untuk seketika. Walaupun tanpa Sophia, mereka tak meninggalkan aktiviti-aktiviti yang sering mereka lakukan bersama— aktiviti kegemaran Sophia.


Menyibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti— sekolah, riadah, membantu di kedai dan kebun, sedikit sebanyak membantu Hans merawat sunyi.


Di satu sudut lain di atas peta, Kamarul merasakan sebuah dorongan yang kuat untuk membantu. Meskipun dia menghormati prinsip tradisi keluarga tapi dia lebih menghormati perasaan Sophia dan tak sanggup melihat adiknya itu menderita. Begitu juga rasa kasihan dan simpati terhadap Hans tumbuh. Kamarul mengerti dan dapat membayangkan betapa beratnya beban perpisahan yang terpaksa ditanggung seorang anak muda yang hanya ingin mencintai dan dicintai.


Cuti semester bermula. Kamarul pulang ke Tanjung Bayu, menyampai hasrat kepada orang tuanya untuk melawat Sophia di kampung Rambai.


“Kamu tak ajak Kamal sekali?” Tanya Encik Suffiyan.

“Dia nk pergi hiking dan camping. Macam mana adik, ma?”

“Masa kami datang minggu lepas, dia banyak diam. Sepatah ditanya, sepatah dijawabnya.”

“Tapi Makcik Salina cakap, adik kau tu rajin ke masjid, tak ada banyak kerenah.” Encik Suffiyan menambah jawapan isterinya.


Selepas makan malam, Kamarul naik ke bilik. Dia terpanggil untuk menjenguk bilik Sophia yang tersusun kemas, tapi kelihatan suram dan sepi. Hati seorang abang dapat merasakan kesedihan seorang adik yang kini terpaksa mengharung sunyi di sebuah daerah asing.


Perlahan-lahan Kamarul merapati meja tulis. Kerusi ditarik dan dia duduk menatap sebuah gambar yang terbingkai— gambar sambutan harijadi Sophia yang ke 16. Dia kenal wajah-wajah yang terakam dalam memori itu. Dahlia, Lynn, Marsha dan Hans. Senyum di bibir mereka mengharukan hati lelaki Kamarul.


Tangannya tergerak untuk membuka laci meja. Terlihat sebuah kotak muzik— pemberian Marsha. Di dalam kotak itu ada sebuah laci kecil. Dia membukanya dan terlihat sehelai kertas terlipat kemas. Kertas itu dia keluarkan. Setelah memusing kunci dan membiarkan irama Right Here Waiting mengisi ruang, Kamarul membawa kertas itu ke balkoni dan mula membaca baris ringkas yang tercatat di dalamnya.


Baby, love and affection resemble a seed waiting to sprout. Those tender buds will never bloom without the nurturing touch of rain and the warmth of the sun. When the roots are deep and resilient, the tree can weather any storm, standing tall through rain, disruptions, and shifting seasons. It remains steadfast.

I envision us as trees, enduring and unyielding. Nature rarely brings down a tree unless time takes its toll or an unavoidable catastrophe strikes. If it weren't for nature, the only thing that would take down a tree is people who can't stand to see it thrive.

Your Bayou,
Hans Marcello

 

Kertas dilipat semula dan Kamarul menyimpannya ke dalam poket seluar. Dia melepaskan pandangan ke laut, membuat keputusan untuk bertemu empat mata dengan kekasih adiknya itu.


*


Panggilan dari Kamarul terasa seperti satu permintaan mendesak yang tak dapat dielakkan. Selama ini, Kamarul dikenali sebagai seorang abang yang rasional, tetapi Hans tahu dia juga seorang yang tegas dan setia pada keluarga.


Hans memandang telefon bersama fikiran berkecamuk. Apa jadi kalau dia nak bagi amaran? Macam mana kalau dia minta aku tinggalkan Sophia selama-lamanya? Atau… mungkin ke dia nak sampaikan sesuatu tentang Sophia? Tuhan, lindungilah Sophiaku…


Hans menghela nafas, tubuhnya terasa berat dengan ketakutan yang perlahan-lahan menjalar. Namun, di sebalik rasa gentar itu, ada satu keinginan yang tidak dapat dia nafikan— untuk buat Kamarul faham tentang perasaan tulus yang dia simpan terhadap Sophia. Ini kesempatan untuk aku pertahankan cinta kami.


*


Hans tiba di kafe tepat pada waktu yang diminta dengan langkah penuh yakin. Matanya mencari Kamarul di antara pelanggan yang sedang berbual dan menghirup kopi. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum menghampiri Kamarul yang duduk di sudut kafe dengan wajah tenang. Kedua-dua tangannya memegang cawan.


“Abang Kamarul,” sapanya perlahan, cuba menyembunyikan getar dalam suara. Kamarul mengangkat wajah kemudian berdiri dan menghulurkan tangan. “Duduk, Hans.”


Hans mengambil tempat di hadapan Kamarul, tubuhnya terasa kaku. Mata Kamarul tajam tetapi tidak menghakimi, dan itu membuatkan Hans semakin tidak dapat menebak arah perbualan mereka, cuma dalam hati, dia berharap dapat mendengar khabar Sophia melalui perbualan tersebut.


“Abang tau kau takut,” kata Kamarul tiba-tiba, membuatkan Hans terkejut. Kamarul dapat melihat di wajahnya ketenangan palsu, seperti ada dinding yang Hans cuba bina untuk menutup segala rasa sedih. Namun, tatapan matanya jelas, seolah-olah berbicara sendiri tentang semua kesakitan yang ditanggung.


Kamarul tersenyum kecil, meletakkan cawan kopi di atas meja. “Relax, Hans. Abang tak datang sini untuk pisahkan kau dengan Sophia. Kalau itu niat abang, tak payah susah-susah abang ajak kau jumpa,” sambungnya dengan suara lebih lembut dan mesra, mencipta ruang untuk Hans merasa selesa.


Hans mengerutkan dahi, kebingungan. “Jadi… kenapa abang nak jumpa saya? Ada apa-apa ke jadi pada Sophia?” Kebimbangan disuarakan.

“Sophia sihat, jangan kau risau.”


Perlahan-lahan, Hans menghela nafas lega. Ada sinar muncul di matanya. “Apa yang kami rasa… bukannya main-main. Saya ikhlas.”


Kamarul memandang Hans dengan mata yang lebih lembut kali ini, seolah-olah dia telah membuat keputusan besar. Abang faham hubungan kau dan Sophia bukan main-main.”


Hans terpaku. Dia tidak menyangka kata-kata itu keluar dari mulut Kamarul, seorang abang yang dia fikirkan akan menentang hubungan mereka.


“Abang takkan berpura-pura faham sepenuhnya apa yang kau dan Sophia lalui,” Kamarul menyambung. “Kesedihan Sophia sejak dia dipisahkan daripada kau— abang tak boleh duduk diam tengok dia menderita kehilangan orang yang buat dia bahagia.”


Hans tersentuh. Matanya mula berkaca, tetapi cepat-cepat dia menundukkan kepala, cuba menyembunyikan sebak. “Saya fikir tak ada sesiapa yang benar-benar faham… atau mahu faham… Terima kasih, abang. Saya harap tempat tu tak mengubah hati Sophia.”


“Kau tak perlu risau pasal tu,” balas Kamarul tenang. “Sophia seorang yang berpendirian tegas. Abang nampak bagaimana dia perjuangkan cinta korang, biarpun banyak halangan dari keluarga. Itu bukti dia benar-benar serius dengan perasaannya.”


“Saya… saya tak tahu nak cakap apa,” kata Hans perlahan, cuba mengawal sebak di dada. Wajah diangkat, matanya bertemu pandangan Kamarul— pandangan seorang abang yang ikhlas mahu membantu.


Kamarul memberi Hans ruang untuk mengungkapkan perasaan sebelum melanjutkan, “abang harap kau akan teruskan hidup dengan semangat yang sama. Kalau memang cinta ini adalah sesuatu yang kau percaya, biar masa yang menentukan. Abang ada di pihak Sophia untuk memberikan sokongan untuk korang berdua.”


Kedua-dua mereka terdiam sejenak, membiarkan kata-kata itu meresap. Perbualan itu tidak hanya memberikan Hans dorongan, tetapi juga rasa lega. Kesediaan Kamarul untuk mendengar dan memahami telah meletakkan satu kepercayaan baru di hatinya. Walaupun keadaan masih penuh dengan ketidakpastian, dia bersyukur kerana mereka memiliki seorang lagi yang percaya pada ketulusan cinta mereka.


“Esok abang akan bertolak ke kampung. Kau nak kirim apa-apa tak untuk Sophia?”


Melonjak hati Hans mendengar apa yang Kamarul sampaikan. Sudah tentu dia tak akan lepaskan peluang. Dan keesokkan paginya, seperti yang telah mereka janjikan, Hans menunggu Kamarul di kafe yang sama bersama sebuah bungkusan kecil.


“Barang ni akan sampai ke tangan Sophia, jangan kau risau. Balik dari kampung nanti, abang akan jumpa kau lagi. ” Kamarul menepuk bahu Hans. Bungkusan kotak itu akan menemukan jiwa mereka sebentar lagi.


#


Kedatangan Kamarul untuk melawat amat menggembirakan hati Sophia. Betapa leganya dia dapat bertemu dan berbicara dengan Kamarul. Dia tahu abangnya terbuka soal perasaan, menghormati dan memahami sebuah hubungan yang begitu dalam seperti cintanya dengan Hans.


Tiba dengan wajah yang penuh kerinduan, Kamarul memeluk Sophia dengan penuh rasa kasih. Sudah lama dia tak melihat adiknya itu dan dia tahu benar, kehidupan di rumah Makcik Salina jauh dari kebebasan yang pernah Sophia nikmati.


Selepas makan tengahari, Makcik Salina, Pakcik Salim dan Suhana pergi ke masjid, menghadiri kelas agama. Hari itu, Sophia diberi pelepasan untuk tak turut serta. Kesempatan itu memberi privasi untuk mereka berbicara.


Di atas sebuah pangkin di bawah redupnya pohon besar, mereka duduk. “Adik OK? Adik nampak tak sihat…” Tanya Kamarul, memandang wajah Sophia yang kelihatan lebih kurus, matanya tidak lagi memancarkan semangat yang sama.


Sophia diam sejenak, kemudian menarik nafas panjang. Matanya mula berkaca dan tanpa mampu menahan, dia meluahkan segalanya.


Setiap hari di rumah Makcik Salina terasa seperti hidup di neraka. Peraturan-peraturan yang diterapkan ke atasnya, dari pakaian hingga cara bercakap, seolah-olah cuba membentuk dia menjadi seseorang yang dia sendiri tidak kenal. Sophia tidak lagi merasa seperti seorang manusia. Dia merasa seperti patung, ditarik ke sana ke mari oleh tali-tali yang dipegang oleh tangan orang lain.


“Abang dah agak dah… tapi adik jangan sedih…” Pujuk Kamarul. Dia menyeluk poket jaket. “This will bring sunshine into your life.”Bungkusan biru kiriman Hans diserahkan. Wajah Sophia yang lemah kembali merah, bercahaya. Dengan rasa tak sabar, terus dia membuka bungkusan itu, penuh hati-hati agar tak merosakkan balutan. Dia membaca surat-surat Hans— sebuah buku kecil yang ditulis sejak hari Sophia dibawa keluar dari Tanjung Bayu hingga ke tarikh sebelum hari dia menemui Kamarul untuk menghantar bungkusan itu.


Air mata gembira menitis. Sophia memegang cenderahati berbentuk lukisan di atas mini kanvas berukuran 3”×3”. Tak lupa Hans merakamkan suaranya, lagunya, dan cintanya dalam sebuah kaset. Di atas kotak kaset itu tertera sebaris ayat— Untuk menemani siang dan malammu.


Senyuman di wajah Sophia membuat Kamarul rasa terharu. Betapa tulusnya cinta suci mereka dan setelah berbual dengan Hans, Kamarul mengerti mengapa Sophia amat mencintai ‘lelaki’ itu.


Sambil menyimpan elok-elok surat, kaset dan lukisan ke dalam kotak, Sophia tak berfikir panjang untuk mengadu tentang pengalaman buruk yang telah dia lalui.


“Ada satu hal Phia nak bagitau abang.” Secara terperinci, dia menceritakan segala-galanya— bagaimana Faiz cuba mendekatinya dengan alasan agama, bagaimana dia mempergunakan kepercayaan keluarga makcik Salina, dan akhirnya bagaimana Faiz cuba mencabulnya sewaktu dalam perjalanan pulang dari sekolah.


Mendengar cerita itu, darah Kamarul mendidih. Wajahnya yang tenang berubah menjadi tegang, rahangnya mengeras dan tangannya menggenggam kuat tangan Sophia. “Apa lagi dia buat?! Adik, cakap dengan abang, apa lagi dia buat kat adik?!” Suara Kamarul meninggi, matanya menyala dengan amarah yang tidak mampu ditahan.


“Phia dapat lari sebelum dia sempat buat lebih dari itu. Pepper spray yang abang Kamal bagi dah tolong Phia.” Sophia menangis, tangannya menggenggam tangan Kamarul, seolah-olah cuba melindungi dirinya dari trauma yang kembali membayangi. “Phia rasa tak selamat kat sini. Phia nak balik…”

“Kita tak boleh biarkan setan tu lepas camtu je. Adik kena buat police report. Jom ikut abang, kita pergi balai, kita ajak Kak Rokiah sekali.” Ujar Kamarul membuat keputusan yang tegas. “Lepas tu bawak abang jumpa dia.”

“Dia selalu ada kat masjid.”

“Masjid…heh…” Kamarul ketawa sinis. “Duduk masjid tapi nafsu macam setan.”

“Phia sakit duduk sini. Phia rasa terpenjara, semuanya…” Phia kehilangan kata-kata untuk menjelaskan apa yang dia hadapi.


“Kalau boleh memang abang nak bawak adik keluar dari tempat ni. Tapi tak apa, kita tengok apa jadi kejap lagi. Adik sabar, OK. Abang akan tunggu adik kat sini sampai hal dengan Faiz selesai.”


*


“Ini Kamarul, abang saya, kak.” Sophia memperkenalkan Kamarul kepada Rokiah pada petang yang sama. Kamarul mengajak Kak Rokiah minum di kedai berdekatan untuk membincangkan perkara yang dialami Sophia.


“Sebenarnya makcik dan pakcik kau ada datang jumpa akak pasal hal tu. Akak dah cerita apa yang akak nampak tapi dorang semua tak percaya.”

“Itulah, saya datang ni nak ajak akak ikut sama ke balai.”


Tanpa memberi alasan, Rokiah bersetuju dan akhirnya apa yang terjadi selamat difailkan di balai polis.

Tapi itu tak berakhir di situ saja. Selepas menghantar Kak Rokiah pulang ke kedai, tanpa membuang masa, Kamarul membawa Sophia mencari Faiz di masjid.


Lelaki itu sedang duduk di anjung, membaca Al-Quran seolah-olah tiada apa yang berlaku. Kamarul melangkah masuk. Kakinya terasa begitu ringan, wajahnya membayangkan kemarahan yang tak terbendung.


“Kau Faiz?” Tanya Kamarul, suaranya bergema di ruang masjid.


Faiz mendongak, sedikit terkejut melihat Kamarul berdiri di depannya bersama Sophia dengan ekspresi yang penuh ancaman. Dia meletakkan kitab di tangan, cuba memperlihat wajah tenang. “Ye, saya Faiz. Saudara siapa?” Suaranya lembut seperti biasa, tetapi ada kerisauan di mata.


“Siapa aku? Ni kau kenal siapa dengan aku ni?”Kamarul meninggikan suara. Tangan Sophia dia genggam erat. “Kau gunakan agama, kau gunakan kepercayaan orang, kau ambil kesempatan. Kau ingat kau siapa?”


Faiz tersentak, tetapi dia cuba mempertahankan dirinya. “Saya rasa saudara dah salah faham. Saya cuma ajar Sophia tentang agama. Saya tau apa masalah dia, dan saya rasa saudara pun tau kenapa dia dihantar ke sini. Saya tak buat apa-apa yang salah.”


Kamarul tidak termakan dengan tipu daya Faiz. Dia melangkah lebih dekat, telunjuknya di acukan tepat ke muka Faiz. “Sophia dah ceritakan semuanya. Kau cuba buat benda tak elok, kan? Kau ingat kau boleh buat sesuka hati sebab kau berserban, baca Quran?”


Faiz mula gelisah, tetapi dia tetap cuba mempertahankan diri. “Saudara, saya cuma nak Sophia sedar, mencintai kaum sejenis, berdosa, haram hukumnya. Saudara nak biarkan adik saudara dilaknat Allah, jadi kayu, bahan bakar api neraka?”


Beberapa orang di masjid mula mengerumuni mereka. “Saudara, sabar dulu. Apa masalahnya ni?” Tanya seorang lelaki yang agak berusia. Namun, kata-kata tidak lagi berkesan. Kamarul tidak mampu menahan amarah. Orang sekeliling tak dia hiraukan. Dia menumbuk tiang tempat Faiz bersandar, membuat lelaki itu tersentak. Bahu Faiz ditolak sambil dia bergerak ke depan lebih dekat dengan muka anak imam itu.


“Kau gunakan agama untuk puaskan nafsu serakah kau!”


Ketegangan itu akhirnya memuncak menjadi pergaduhan. Faiz cuba berdiri mempertahankan diri, tetapi Kamarul tidak memberi peluang. Dia menolak Faiz ke dinding, mencekak kolar bajunya dengan satu tangan. “Kau dengar sini, Faiz,” suara direndahkan.“Kalau kau berani dekatkan diri dengan Sophia lagi, aku sendiri yang akan pastikan kau takkan ada tempat lagi kat sini. Jangan kau berlagak suci.”


Faiz tergagap, cuba mencari alasan, tetapi Kamarul melepaskannya dengan kasar sebelum dia sempat berkata apa-apa. Terduduk di lantai, Faiz memandang orang sekeliling yang telah mendengar segalanya. Ada ketakutan dan rasa malu.


“Syaitan bertopengkan manusia. Penunggang agama!” Salinan laporan polis Kamarul campakkan ke muka Faiz.


Dalam perjalanan pulang, Kamarul memandang Sophia dengan penuh kasih sayang. “Abang minta maaf sebab tak ada kat sini lebih awal. Lepas ni dia tak akan berani ganggu adik lagi. Abang akan stay kat sini sampai habis cuti.”


Sophia hanya mampu mengangguk. Terasa sebak berat di dada tapi air mata dah tak pandai mengalir lagi. Dia bangga mempunyai abang seperti Kamarul. Kehadirannya membuat Sophia rasa terlindung.


Kehidupan di rumah Makcik Salina berubah menjadi medan ketegangan selepas insiden antara Sophia dan Faiz tersebar. Suhana, anak perempuan Makcik Salina, yang selama ini menyimpan hubungan sulit dengan Faiz, menjadi tidak keruan. Dalam diam, dia merasa dikhianati apabila mengetahui Faiz cuba mendekati Sophia.


“Ni semua fitnah! Sophia sengaja buat cerita!” Bentak Suhana kepada Kamarul beberapa hari selepas kejadian di masjid menjadi topik panas si seluruh kampung dan pekan.


“Fitnah? Bukti dah ada, fitnah apa lagi, Ana?” Balas Kamarul.

“Faiz bukan macam tu. Kau yang buat cerita sebab kau tak suka dia, kan?!” Matanya dijengilkan kepada Sophia yang membalas dengan pandangan dingin.


“Aku tak ada masa nak buat cerita. Ni, kau simpan surat ni.” Sophia meletakkan salinan laporan polis di atas meja sebelum berlalu, menghindar diri dari drama itu. Kamarul mengekori adiknya dan mengajak dia keluar ke pekan untuk meringankan kepala di sebuah kedai kopi.


Apa yang tertera dalam kertas itu terasa seperti racun bagi Suhana. Dia terlalu percayakan Faiz, lelaki yang selama ini membisikkan kata cinta kepadanya. Tetapi kini, kesangsian perlahan-lahan merayap menghantui dalam dirinya bersama satu bukti nyata.


*


Suhana berjalan perlahan ke rumah Induk Senai di hujung kampung. Tubuhnya terasa berat, perasaan risau menguasai setiap langkah. Tiada siapa yang tahu tentang perubahan yang dirasakannya sejak sebulan lalu. Pening di pagi hari, tubuh yang lemah, dan keterlewatan kitaran bulanan yang tidak pernah terjadi sebelum ini membuatkan hatinya berdegup kencang.


Pintu diketuk dengan tangan bergetar. Mata memandang sekeliling, memastikan tak ada siapa yang nampak dia ke situ. Bila pintu kayu itu berdecit, terpancul lah wajah seorang perempuan tua.


“Kau buat apa datang malam-malam ni?” Tanya bidan itu, sedikit berbisik. “Masuk, masuk… nanti orang nampak.” Melihat wajah pucat Suhana, Induk Senai dapat meneka apa masalah anak kepada pasangan guru agama itu.


Duduk di ruang kecil yang diterangi lampu minyak tanah, Induk Senai terus bertanya tanpa menunggu Suhana mengadu cerita. “Dah berapa bulan kau tak datang kotor?”


Suhana terkejut. Tapi itulah tujuan dia ke situ— untuk memastikan kehamilannya. Dia menggenggam tangannya di pangkuan. “Dua bulan.” Suaranya perlahan.


Perempuan tua itu menggelengkan kepala lalu menyuruh Suhana baring di atas tikar mengkuang. Sambil mengurut-urut perut yang sedikit membengkak, Induk Senai meminta Suhana menceritakan apa yang dah terjadi tapi dia cuba menyembunyikan perkara sebenar.


“Kau tahu apa maksud semua ni, kan?” Induk Senai memberi ruang kepada Suhana untuk memahami sendiri sebuah jawapan yang semakin jelas.


“Saya tak bersedia untuk semua ni!” Matanya memandang kerut di wajah bidan kampung itu.

Induk Senai memegang tangan Suhana, cuba menenangkannya. “Benda dah jadi. Nak tak nak, kau kena hadap. Tapi sekarang aku nak kau jujur. Kau dirogol atau kau sendiri yang nak? Anak ni… siapa bapanya?”


Suhana terdiam, matanya menunduk ke lantai. Mulutnya terasa berat untuk menyebut nama Faiz.


“Aku tak akan cakap pada sesiapa. Tapi kau perlu jujur pada diri kau sendiri. Anak ini anak siapa?”

Akhirnya, Suhana mengakui dengan suara yang hampir tenggelam. “Faiz. Dia janji akan nikah saya.”

Induk Senai beristigfar. “Faiz… anak imam Daud?” Orang tua itu meminta kepastian.

Suhana mengangguk perlahan, air matanya kini mengalir tanpa henti. “Saya takut…”


Induk Senai memegang bahu Suhana. “Berat ni... Kau kena bagitau dia, dia mesti bertanggungjawab. Kalau dia berdalih, bagitau keluarga kau biar mereka selesaikan dengan imam Daud.”


Namun, Suhana menggeleng keras. “Saya tak boleh bagitahu mak dan ayah. Mati saya kena bunuh nanti! Mak ayah percaya Faiz lelaki baik. Saya yang akan disalahkan.”


Induk Senai menghela nafas. Dia tahu Suhana betul. Dalam masyarakat seperti itu, wanita sering dipersalahkan walau apa pun situasinya. “Kalau kau tak nak bagitau sekarang, kau tetap kena fikir jalan keluar. Tapi Suhana, kau tak boleh buang bayi ini. Kau mesti hadap apa pun akibatnya. Dan aku tak nak terlibat menambah dosa atas dosa yang dah kau lakukan.”


Suhana teresak-esak mendengar kata-kata itu, terhimpit di antara rasa takut dan rasa bersalah. Dia tahu, tidak kira apa yang berlaku, hidupnya tidak akan sama lagi.


Dalam perjalanan pulang, Suhana merasa beban yang amat berat menghimpit jiwanya. Dia mati akal. Bagaimana hendak menghadapi keluarganya, apatah lagi Faiz. Dia mula membenci dirinya sendiri kerana percaya pada lelaki itu, lelaki yang kini jelas menunjukkan sifat sebenar.


Dia singgah ke masjid, menemui Faiz yang baru selesai mengajar Quran kepada budak-budak kampung.


“Apa ni, Suhana? Kau tuduh aku?” kata Faiz dengan nada tinggi, wajahnya kelihatan terkejut dan marah.


“Ini anak kau, Faiz! Kau tahu kita dah buat apa selama ni. Jangan cuba nafikan!” Balas Suhana dengan suara bergetar, matanya merah kerana menangis.


“Jangan menangis kat sini, kau tak malu, orang nampak?” Faiz menggeleng bersama senyuman sinis diwajahnya. Suaranya berbisik, hampir tak kedengaran. “Kau ingat aku bodoh? Mana aku tau anak tu anak aku? Kau ada ramai kawan lelaki. Jangan cuba perangkap aku.”


Kata-kata itu menikam hati Suhana. Dia tidak pernah menyangka Faiz akan menolak tanggungjawab begitu mudah, apatah lagi dengan tuduhan yang cukup menghina. Segala kata-kata manis dan janji-janji hanyalah mainan bibir semata.


#


Perut Suhana yang sedikit membengkak mulai menarik perhatian wanita-wanita kampung. Suatu pagi, ketika Suhana sedang membeli sayur di pasar, seorang jiran, Kak Noraini memerhatikannya dengan mata curiga.


“Kau nampak lain sikit sekarang. Kau sihat ke?” Walau bertanya lembut tapi soalan itu berbaur syak wasangka.


Suhana sedikit tersentak, wajahnya pucat, tetapi dia cuba menyembunyikan kegugupan. “Tak ada apa-apa, kak. Saya baru baik demam.”


Sudah tentu jawapan itu tidak memadamkan rasa ingin tahu. Kak Noraini, seperti kebanyakan penduduk kampung, mula berkata-kata, bertukar-tukar ‘idea’ dengan jiran-jiran lain. Bisikan tentang kehamilan Suhana akhirnya merebak.


Hampir setiap malam Suhana menangis sendirian dalam bilik, sedangkan keluarga di luar tidak tahu badai yang sedang melandanya. Dia melihat jalan hidupnya menjadi gelap dan sempit dihimpit dosa-dosa yang telah dia lakukan bersama Faiz yang kini dilihat sebagai seorang lelaki pengecut.


*


Semenjak dua ini, Salina sedar ada perubahan pada diri anak tunggalnya. Suhana biasanya aktif membantu dia di masjid atau di dapur, kini sering kelihatan lesu. Dia juga semakin malas dan kerap memberi alasan untuk tidak hadir kuliah agama— memberi alasan, kurang sihat.


Dari tingkap dapur, Salina memerhatikan Suhana yang sedang mengangkat kain di ampaian. Dia perasan perubahan pada tubuh Suhana— punggungnya melebar dan jalannya agak tak teratur. Kerap juga dia menangkap Suhana mengusap-usap perut. Semua itu terlalu ketara untuk diabaikan. Naluri seorang ibu mula meresahkan Salina.


“Jarang benar dah kau keluar sekarang, kenapa?”

Suhana menggeleng pantas “Malas.”


Namun, pada hari yang sama juga, Suhana tak dapat menahan mual dan muntah di dapur selepas makan tengah hari. Wajahnya semakin pucat sepucat wajah ibu dan bapa yang melihat— masing-masing dapat mengagak satu bala telah menimpa keluarga mereka.


Pada malam itu, Makcik Salina memaksa Suhana untuk bercakap. “Mak nak kau jujur, Ana. Apa dah jadi?”

“Jadi apa, mak?” Hatinya menggigil, tapi mulut cuba mengelak.

“Dah berapa lama, Ana? Jangan tipu mak! Badan kau… keadaan kau… kau ingat semua tu boleh sorok?”


Suhana tidak mampu menahan tangisannya lagi. Dia menangis teresak-esak, akhirnya mengaku. Kemarahan Makcik Salina meluap-luap. “Anak siapa?!”

“Tergamak kau tampal kulit babi kat muka kami!” Bentak Makcik Salina, tidak memberi ruang untuk Suhana menjelaskan.


“Ana tak minta semua ni!” jerit Suhana sambil menangis, tetapi jeritannya tidak mengubah apa-apa.

“Aku malu! Macam mana aku nak hadap orang kampung?” Bapanya mengurut dada sendiri.


Sophia hanya memerhati semua itu dari balik pintu bilik. Walaupun ada rasa simpati terhadap Suhana, perbuatan Faiz dan kata-kata hinaan Suhana tak mungkin akan dia lupakan.


“Dia pilih untuk percaya Faiz, sekarang tanggunglah sendiri akibatnya,” bisik Sophia dalam hati— ada rasa puas bila melihat Faiz, lelaki yang mempergunakan agama, akhirnya ditelanjangi kebenaran. Sophia percaya inilah karma dan bukti nyata tentang kepura-puraan sebuah sistem yang sering membela lelaki dan menyalahkan wanita.


Di tengah kegelapan itu, Suhana akhirnya menyedari sesuatu— bahawa dia perlu berdiri di atas kakinya sendiri— menghadapi cemuhan masyarakat seorang diri, tanpa sokongan daripada lelaki yang sepatutnya bertanggungjawab.


Demi sebuah kebenaran, Suhana dan orang tuanya membuat laporan polis dan Faiz, lelaki yang selama ini dianggap sebagai contoh kesolehan akhirnya menjadi nama yang disebut-sebut sebagai lambang kepura-puraan dan kini menjadi buruan polis.


#


“Kadang-kadang kita terpaksa korbankan sesuatu untuk dapat kan sesuatu. Abang nak adik kuatkan hati, fokus pada pelajaran. Hal adik dengan Hans, jangan risau, abang ada jadi jambatan. Kalau abang balik rumah, abang boleh jumpa Hans, call adik supaya adik dapat cakap dengan dia. Tapi adik kenalah pandai cover supaya Makcik Salina percaya adik borak dengan abang.”

“Terima kasih, abang. Phia janji apa pun jadi, Phia tak akan abaikan perlajaran. Hans pun minta Phia tumpu pada cita-cita supaya dapat capai semua impian yang sama-sama kami bina.”


Hati Kamarul merasa lega. Dia bangga dengan keberanian adiknya itu. Walaupun dicubakan dengan pelbagai dugaan diusia begitu muda, tapi Sophia mampu mengatasinya dengan matang.


Kini Kamarul dapat pulang ke bandar dengan berlapang dada, mengetahui segalanya telah selamat di situ. Kalau ikutkan hati, memang Kamarul mahu bawa Sophia pulang ke bandar, tapi itu hanya akan mengganggu persekolahan Sophia.


“Abang, tolong yakinkan Hans, cinta Phia hanya untuk dia.” Sophia menyerahkan sebungkus kotak kecil kepada Kamarul.


“Jangan risau pasal tu. Abang tau Hans tak akan kecewakan adik.” Kamarul mengucup dahi adiknya. Kesediaan Kamarul mendengar dan memahami memberi Sophia satu kelegaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Ia bagaikan sebuah jendela kecil yang membolehkan dia melihat Hans dari jambatan yang semakin mendekatkan jiwa mereka.


“Thank you.”

“I’m just doing what’s right. You have a right to your feelings, no matter what others think.”


*


Berita tentang skandal Faiz dan Suhana, serta berbuatan terkutuk yang cuba Faiz lakukan terhadap Sophia, merebak pantas seperti api marak memakan kayu. Dari masjid ke kedai kopi, cerita itu menjadi bahan perbualan hangat, hingga sampai ke telinga pelajar di sekolah. Sophia tidak dapat mengelak daripada pandangan dan bisikan-bisikan di belakangnya.


“Kecoh hal Faiz dengan Suhana sekarang ni. Mujurlah kau kuat, Sophia…”Kata Ema perlahan, takut melukakan hati rakannya.


“Kekuatan tu datang dari dalam, bukan luar.” Melihat simpati di wajah Ema, Sophia merasa beban di hatinya sedikit ringan. Dia tahu, untuk pertama kali sejak tiba di sekolah baru ini, dia mempunyai seseorang yang benar-benar mahu mendengar tanpa menghakimi.


“Ada lagi satu hal yang kau patut tahu,” kata Sophia perlahan, sambil memandang Ema dengan hati terbuka. “Ada sebab kenapa aku dipindahkan ke sini.”


Ema mengerutkan dahi, menunggu Sophia menyambung. Dah lama dia nak bertanya tapi dia bimbang akan menyinggung perasaan kawannya itu.


“Aku ada seseorang di Tanjung Bayu… Hans. Dia sahabat aku, dia… lebih dari itu.” Sophia berhenti sejenak, berfikir mungkin Ema akan memandang jijik kepadanya selepas dia membuka rahsia hati. “Hans seorang perempuan. Dan kami saling mencintai.”


Mata Ema terbuka sedikit lebar, dia terdiam. Percintaan begitu sukar diterima masyarakat Melayu, apalagi agama Islam. Namun kini Ema semakin mengerti mengapa Sophia sering bermuram. Dia mengangguk, memberi ruang kepada Sophia untuk meluahkan apa yang terpendam.


“Sebab tu aku dihantar ke sini. Keluarga aku nak pisahkan kami. Kononnya belajar agama dapat membantu.”


Ema, tanpa ragu-ragu, meletakkan tangannya di atas tangan Sophia. “Ni pertama kali aku dengar cerita macam ni…” Bola matanya tepat ditancap ke wajah Sophia yang merenung jauh ke padang. “Kalau tanya aku… cinta kau tak salah. Hukuman ni... bagi aku, tak berperikemanusiaan, seolah-olah manusia tak percaya pada kewujudan cinta.”


Sophia memandang Ema, terharu dengan kata-kata yang tidak pernah dia sangka akan dengar daripada sesiapa di tempat itu. “Thanks, Ema. Aku dah penat lawan dunia sorang-sorang.”


“Aku tak pandai hal agama, tapi aku yakin, cinta tu boleh datang pada sesiapa je. Yang penting, kita jaga kesucian cinta, bukan macam si Faiz dengan Suhana tu.” Ema tersenyum kecil. “Kau tak sorang-sorang, Sophia. Aku ada. Dan kalau Hans buat kau bahagia, aku akan tolong pastikan hubungan kau dengan dia tak terputus.”

“Tapi… macam mana?” Tanya Sophia, berbisik penuh harapan.


Saat itu, Sophia terasa dirinya dihujani rahmat Tuhan— diberi jalan untuk menghidupkan kembali harapan dan rasa cinta yang cuba dikuburkan manusia.


*


“Langkah pertama dah selesai,” kata Ema ketika dia memberitahu surat untuk Hans telah selamat dikirimkan. “Sekarang kita tunggu jawapan dari Hans.”


Sophia memeluk Ema dengan penuh syukur. Di dalam hatinya, dia berdoa agar surat itu sampai kepada Hans dengan selamat. Kini, menunggu balasan surat dari Hans menjadi satu-satunya harapan yang menyuntik semangat dalam meniti liku di perjalanan waktu.


Setiap hari ke sekolah, Sophia bertanya dengan penuh debaran, berharap ada balasan dari Hans. Akhirnya, dua minggu kemudian, Ema menerima sebuah surat yang tertera nama SHM di belakang sampulnya— kod yang mereka cipta bagi menandakan surat itu dari Hans. Dengan hati-hati, Ema menyembunyikan surat itu di dalam begnya dan membawa ke sekolah untuk diberikan kepada Sophia.


“Dia sayangkan kau. Dia benar-benar setia, Phia.”


Aku amat merindui engkau. Janji kita, masih aku genggam utuh. Aku tak akan berputus asa demi cinta ini. Nafas yang kau beri, akan aku bawa sampai kubur.

 

Sophia menyelit surat pertama jauh ke dalam jaketnya, mengetahui dia perlu menyembunyikan hal itu daripada pengetahuan keluarga Makcik Salina. Air mata mengaburkan penglihatan. Bersama surat berehat di hati, Sophia mendakap Ema, mengekspresikan kesyukuran dan terima kasih yang tak terhingga.


Semenjak hari itu, tak putus mereka berutus surat. Musnahlah semua malam sepi, tiada lagi hari yang gelap. Setiap kiriman dan balasan surat adalah wahyu Tuhan yang mereka bukukan menjadi kitab— kitab yang bercerita tentang kehebatan kuasa cinta. Kitab yang meniupkan rasa percaya, mengukuhkan keyakinan, mendalamkan kasih sayang untuk terus bersemangat mengharung hidup sampai nanti masa menemukan mereka kembali. Kitab itu akan menjadi bukti bahawa syurga ada di hati.


Setiap patah butir bicara Hans adalah azimat bagi Sophia. Azimat yang membebaskan dia menjadi dirinya. Bukan kebebasan yang meruntuhkan moral apalagi kebebasan untuk melakukan perbuatan tak bermoral tapi kebebasan untuk berfikir— bebas menjadi diri yang suling, bebas menjadi sebahagian kecil daripada kitab Tuhan yang besar.


Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!