PART 2 ~ THE DUO Bab 10: Berjauhan |
L(caps)angit kelabu seakan turut berkabung, enggan merelakan sebuah perpisahan. Angin pagi yang biasanya menghembus semangat kini bertukar menjadi dingin, membawa awan berat. Di halaman rumah Sophia, Lynn dan Dahlia berdiri dengan wajah muram. Masing-masing berharap dapat mengubah keadaan dan keputusan namun mereka sedar, mereka bukan sesiapa untuk menentang.
Dengan beg di tangan, Sophia menghampiri Lynn dan Dahlia. Tubuhnya tampak lesu. Matanya sembab membengkak selepas berhari-hari mencurah air mata. Di sebalik tatapannya yang kosong, tersembunyi keazaman untuk berdiri teguh— mengumpul dan mencantumkan semula kepingan-kepingan hatinya yang telah dideraikan hukuman ciptaan manusia.
“Jaga diri kau, Sophia,” kata Lynn, suaranya hampir tenggelam dalam emosi sendiri. Tiga sahabat saling memeluk erat seolah-olah tidak mahu melepaskan.
“Kami akan selalu ada untuk kau,” tambah Dahlia bersama linangan air mata di pipi. “Apa pun yang jadi, jangan lupakan kami… jangan lupakan dia.” Bisik Dahlia ke telinga Sophia yang mengangguk lemah, tidak mampu berkata-kata. Matanya sayu memandang Lynn dan Dahlia yang telah menjadi sebahagian daripada dunianya. Perpisahan ini akan meninggalkan kekosongan yang tidak akan mudah diisi dalam hati empat orang sahabat.
Di seberang jalan, Hans berdiri di balik pokok, menyaksikan dari kejauhan pemandangan yang meremukkan jiwanya. Dia tak dapat pergi lebih dekat; hanya dari balik dedaunan, dia mengintai dengan hati yang remuk-redam. Sophia kelihatan tak bermaya, jauh dari keceriaan yang biasanya menghiasi wajah. Tiada lagi senyuman yang menerangi hari-hari yang gelap. Hans mengerti, seperti dia, Sophia juga merasa kehilangan sebahagian daripada jiwa.
Kereta yang membawa Sophia bergerak perlahan-lahan meninggalkan perkarangan rumah. Hans akur, betapa dalam pun cinta mereka, kata putus orang tua Sophia lebih berkuasa. Ikutkan hati, ingin saja dia berlari, menghentikan kereta, menarik Sophia keluar, memeluknya dan membawa dia lari jauh-jauh— jauh dari seksaan manusia. Sayangnya, dia hanya mampu menghantar pemergian Sophia dengan pandangan yang diselaputi air mata sehingga kereta itu menjadi titik kecil di jalan raya dan menghilang, membawa cinta dan harapannya jauh dari Tanjung Bayu.
Dahlia dan Lynn menghampiri Hans yang terduduk, bersandar di batang pokok dengan dada berombak. Pipinya basah. Tangannya terkulai longlai menyentuh tanah.
“Kami ada dengan kau, Hans. Kami dah janji dengan Sophia, akan sentiasa meneman engkau,” Lynn duduk di sisi, cuba memujuk. “Kau kuat. Kita semua tau tu.” Tangan Hans yang lemah dia sentuh dalam sebuah genggaman.
Dahlia kemudian menambah, “Sophia tak pergi tanpa engkau. Dia bawak cinta engkau sekali. Anggap je dia pergi study. Lepas exam nanti, korang akan bersama lagi.” Dia melingkarkan tangannya di bahu Hans, cuba menceriakan sekeping hati yang sedih walaupun matanya sendiri pedih. “Jom kita be bandar. Aku belanja minum kopi. Kita boleh berbual, kau boleh luahkan apa je yang kau rasa. A talk with good friends is the best way to heal our soul.”
Meskipun terasa lemah, Hans menurut. Teksi ditahan membawa mereka menuju ke sebuah kafe di bandar. Perjalanan diiring sunyi, namun kehadiran Dahlia dan Lynn memberikan Hans sedikit tenaga untuk bangkit memperjuangkan cinta Sophia.
Hawa dingin kedai dengan aroma kopi mengucapkan selamat datang. Mereka bertiga duduk di meja kayu yang menghadap jendela. Dari sudut yang selalu menjadi pilihan Sophia setiap kali mereka ke situ, pemandangan bandar dapat dinikmati. Di saat Hans memandang ke luar tingkap, Sophia juga sedang memandang ke luar jendela kereta melayan kerinduan yang sarat.
Dahlia mengulas senyum ketika sebuah bungkusan kecil sebesar kotak mancis dia keluarkan dari beg sandangnya. “Dari hati untuk hati.” Bungkusan dihulurkan kepada Hans. “Hadiah kau aku selitkan sekali dalam kotak hadiah dari kami berdua. Aku sempat bisik kat dia yang kau akan selalu setia.”
“Kau akan selalu setia, kan?” Lynn mengulang apa yang disebut Dahlia— usaha untuk buat Hans tersenyum.
Memeluk bungkusan tersebut rapat di dada, mata Hans melebar dengan kesyukuran. “Aku akan tetap setia. I swear on my mother’s grave.”
Bungkusan berbalut kertas coklat itu diikat kemas dengan tali rami— harta paling berharga bagi Hans. Dengan tangan sedikit gementar, dia membukanya.
Di dalam kotak tersebut, terdapat tiga barang yang sangat akrab dengan mereka— sebuah kalung yang selalu Sophia pakai. Kalung perak itu dilengkapi loket kecil berbentuk daun— simbol ikatan dengan alam yang menjadi saksi bisu cinta mereka. Tergantung bersama loket adalah sebentuk cincin. Kemudian, Hans membuka sekeping kertas yang dilipat dengan rapi. Tulisan tangan Sophia kemas dan cantik, sekemas dan secantik dia mengabadikan kesetiaannya.
25 Januari, 1994
Sayang,
maaf, aku tak berkesempatan sarungkan cincin ini ke jari engkau. Ingat lagi tak, harijadi aku yang ke 16, tahun lepas, aku minta kau sarungkan cincin dijari aku? Cincin yang aku titipkan ini adalah pasangannya, aku tempah khas untuk kita. Cuma, aku tersilap kerana menunggu terlalu lama untuk menyarungkannya ke jarimu. Cincin ini bukti ikatan jiwa antara kita berdua.
Sarungkanlah ia ke jari manismu, sepertimana kau menyarungkan cincin ibumu ke jariku sebagai lambang utuhnya cinta kita. Dan kalungkanlah rantaiku ke lehermu, tanda aku selalu dekat di hatimu. Satu hari nanti kita akan duduk bersama lagi sambil mengenang semua ni. Ada yang akan buat kita ketawa, ada yang akan buat kita menangis... Tapi untuk kali itu nanti, hanya akan ada airmata gembira.
Hans, aku tak pernah mengatakan ini tapi sekarang aku nak kau tau… pertama kali aku nampak kau, hati aku terbuka dengan rela untuk berusaha mendekati. Semakin mengenalimu, semakin aku kagum. Semakin aku kagum, semakin sukar menafikan rasa kasih dan sayang. Tak pernah aku terfikir cinta akan menyusul. Kau dah penuhi hari-hari aku dengan hal-hal yang cukup bermakna dan bila kehadiran kau menghadiahkan aku perasaan ini, aku tau, aku tak perlukan ia dari sesiapa yang lain.
Aku tak akan berhenti mencintai engkau kerana engkaulah perkara terindah pernah terjadi dalam hidup aku. Perasaan ini telah aku simpan sekian lama... Aku menangis, aku ketawa, aku jatuh, aku bangun... Aku tidur, aku jaga... Hati aku hanya mahu mendakap engkau.
Aku akan pulang, sayang. Percayalah.
Sophia Marcello
Air mata yang bergenang membasahkan kertas putih di tangan. Coretan Sophia menyembuhkan rasa kehilangan. Hans sedar bahawa dunia akan tetap berputar menggantikan bulan dengan matahari. Perpisahan ini hanya sementara— begitulah Sophia menguatkan hatinya untuk kekal bertabah. Tangan kejam manusia tak akan mampu menghancurkan ketulusan sebuah cinta.
Di tengah-tengah sakit kehilangan, di ramas cengkaman sepi kerinduan, cinta yang diutus dalam bungkusan sekecil itu cukup besar untuk memperteguhkan janji-janji yang telah sama-sama diikat dalam hati.
Dahlia dan Lynn membiarkan Hans meluapkan semua yang terpendam. Mereka tahu, tak ada kata-kata dapat meredakan kesedihannya tapi sekurang-kurangnya kehadiran mereka dapat menyelamatkan seorang teman daripada didera sunyi.
Setelah beberapa saat, Hans menarik nafas panjang, mengumpul semula semua keberanian dan keyakinan dalam diri. Dia memandang Dahlia dan Lynn dengan mata berkaca, cuba mengukir senyuman di bibir. “She'll come back and I'll keep my word.”
Dahlia meramas tangan Hans, memberinya dorongan dengan penuh kasih. “Kau tak sendirian, kami ada dengan kau, selalu.” Lynn mengangguk dan mengukuhkan semangat yang dilontarkan Dahlia.“You and Sophia share something rare and special. Don’t let this separation ruin what you’ve built together.”
Cincin dia sarungkan ke jari. Kalung dirantaikan ke leher dan surat dilipat semula mengikut garis lipatan asal sebelum disimpan kemas-kemas ke dalam kotak bersama tali dan kertas balutan lalu diselitkan ke dalam saku jaket.
#
Deru enjin kereta tak dapat menenggelamkan suara-suara perbualan. Sophia menundukkan muka, cuba menyorokkan airmata, memekakkan telinga. Dia membelai kedua-dua cincin di jari— mencari kekuatan dari simbol ikatan, janji, harapan, dan cinta yang dipertahankan dengan susah payah.
“Selagi kau pakai cincin ini, aku ada dalam setiap langkahmu. Takdir mungkin tak selalu berpihak, tapi cinta kita tak boleh dirampas oleh sesiapa pun.” Kata-kata Hans berjaya menenggelamkan suara-suara dalam kereta.
Dia mencapai beg kecilnya, mengambil Walkman hadiah daripada Dahlia lalu menyumbat telinga dengan headphone. Kaset rakaman suara nyanyian Hans, deklamasi puisi-puisi ciptaannya serta koleksi lagu-lagu kegemaran mereka berjaya memujuk hatinya. Sophia terasa lapang. Ingatannya melayang ke langit kenangan mereka.
Mata dipejam, menghayati kandungan yang dirakam Hans dalam kaset tersebut. Kamarul melirik. Dia nampak sisa-sisa airmata yang mengering di pipi adiknya itu. Dia tahu Sophia hanya pura-pura tidur.
Kamal pula, setelah mendapat tahu apa yang terjadi, kembali ke perangai lama— mengkritik, menghakimi dan menyokong keputusan ibu dan ayah. “Tak sangka, adik dah makin jauh tersesat.” Kata-kata Kamal menusuk hati Sophia. “Memang betul cakap-cakap orang selama ni, adik ada hubungan lesbian dengan Hans. Sekarang, mama dan papa tahu kan kenapa Mal selalu menentang hubungan mereka? Kalau tak dipisahkan, entah apa lagi dibuatnya nanti.”
“Betul kata abang Kamal tu, Phia. Semua ni untuk kebaikan. Hubungan Phia dengan Hans, mainan perasaan je. Perempuan pasangannya lelaki, Phia kena akur tu.”
Mata dipejam rapat-rapat, telinga dia pekakkan dengan meninggikan suara Walkman— benci mendengar penilaian Kamal yang disokong ibu. Mereka tak akan pernah cuba untuk faham apalagi untuk memahami. Mereka tak akan pernah tahu, orang yang dia anggap ancaman, noda dan dosa, adalah belahan jiwanya—seorang insan tulus yang menerima tanpa syarat, yang mengajar dia erti persahabatan, yang membuat dia rasa dicintai dengan sebenar-benar cinta.
Tapi tidak Kamarul. Dia mengerti dan dia langsung tak bersetuju dengan cara orang tuanya menyelesaikan masalah. Pandangan Kamal dan ibunya tadi cuba dia seimbangkan. “Saya faham kita tak nak adik hilang arah. But love is a deep connections of heart's true feelings— it transcends gender. Kita patut cuba faham perasaan adik daripada menghukum camni,” katanya dengan ikhlas suara rasa simpati.
Namun Kamal segera menyanggah, “ini bukan soal perasaan. Ini soal maruah, soal agama. Hubungan sejenis tak boleh diterima. Kita tak nak keluarga kita dikaitkan dengan perkara yang hina.”
Encik Suffiyan yang tadinya diam, akhirnya bersuara. “Kamal betul, Rul. Cinta sesama jenis haram hukummya. Nabi tak mengaku umat golongan macam ni. Kami hormati pendapat kamu tapi keputusan ni untuk melindungi masa depan Sophia. Sebagai orang tua, kita tahu apa yang terbaik.”
Sophia menggenggam cincin di jari semakin kuat, menahan perasaan yang disiat-siat. Penghakiman yang dibuat adalah pisau yang memotong tangkai jantung. Ia bukan sekadar keputusan untuk memindahkannya ke tempat lain; ia adalah usaha memadam cinta di hatinya— memadamkan sebahagian daripada dirinya sendiri.
Dari tempat duduknya, Kamarul merenung raut wajah Sophia, menyaksikan beban yang ditanggung— beban yang tak dapat diringankan dengan nasihat atau kata-kata semangat. Dalam diam, Kamarul memikir jalan yang dapat membantu Sophia kembali bersatu dengan belahan jiwanya. Kamarul percaya, bila hati telah menemui tempat yang betul, di situlah cinta akan tinggal selamanya.
#
Di kampung Rambai, Sophia ditinggalkan— sebuah kawasan pedalaman yang begitu jauh dari kota, menjanjikan kehidupan yang menekan, Sophia pasti.
Hari dimulai sewaktu malam masih membungkus pagi dan lena masih dipeluk mimpi. Subuh dipecahkan kokokan ayam sementara deru angin membawa seruan azan yang bergema dari masjid di pekan, menandakan permulaan rutin ketat— rutin yang diwarnai doa, zikir, dan usrah. Pasangan guru agama itu memastikan setiap aktiviti Sophia dipantau dengan rapi. Tiada lagi ruang untuk kebebasan atau privasi.
Setiap pagi, dia akan dibawa ke masjid untuk solat berjemaah. Bagi Sophia, ini adalah rutin yang sulit untuk dibiasakan. Bukan kerana menolak, tapi kerana setiap kali ke masjid, dia selalu rasa diperhatikan, diperkatakan dan dihakimi oleh orang-orang kampung.
“Dekatkan diri dengan Tuhan. Dia akan buka mata hati kau untuk melihat mana benar, mana salah,” kata Makcik Salina sewaktu dia membantu menyiapkan sarapan. selepas solah subuh. Hidangan pagi biasanya lempeng dengan sambal ikan bilis atau sekadar roti dengan teh panas.
“Kau jangan risau, kat sini kami akan bimbing engkau. Mungkin kehidupan di bandar banyak mempengaruhi cara pergaulan dan pemikiran engkau.” Sambung Pakcik Salim sementara anak tunggalnya, Suhana yang tiga tahun lebih tua daripada Sophia hanya mendiamkan diri. “Sebab tu kau jauh tersasar tapi syukurlah kau belum tersesat.” Lelaki berserban dan berjambang penuh itu menambah. Sophia memilih untuk diam, mengerti tiada gunanya untuk cuba menjelaskan situasi.
Selesai sarapan, Sophia bersiap untuk ke sekolah yang terletak agak jauh. Satu lagi kelainan yang sukar diterima, dia terpaksa mengenakan baju kurung dan tudung tapi dia tak ada pilihan kerana di sekolah itu, pelajar perempuan Melayu wajib menutup aurat. Akur. Dia terpaksa akur lagi walaupun dia rasa mahu menjerit, mahu memberontak. Untuk memastikan setiap pergerakannya terkawal, dia dihantar dan dijemput oleh makciknya, kadang-kadang Suhana atau Pakcik Salim sendiri.
Sekolah barunya kecil dan sederhana, membuatkan hati Sophia digamit rindu dengan ketenangan dan pemandangan indah Tanjung Bayu. Di kelas, Sophia lebih banyak mendengar daripada bicara, cuba menyesuaikan diri dengan teman-teman baru yang memiliki cara pandang dan nilai-nilai yang berbeza. Salah seorang daripada mereka ialah Ema. Sikap ramahnya memudahkan mereka menjadi akrab.
Ema sering kali mengajak Sophia berbicara tentang hidup dan masa depan, menceritakan bagaimana kehidupan di kampung membentuk nilai-nilai agama yang kuat pada setiap orang di sana.
“Rata-rata orang kat sini, melayu dan beragama Islam, jadi aku rasa kau faham, cara berfikir, cara hidup, mungkin tak sama macam kat bandar,” kata Ema pada suatu hari. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang berat ditanggung oleh hati kawan barunya itu.
“Apa aktiviti sekolah yang menarik, mungkin ada kelab atau persatuan?” Tanya Sophia. Dia bosan menghabiskan waktu petangnya di masjid dengan kuliah-kuliah agama yang asyik bercerita soal dosa dan pahala, membayangkan azab neraka dan kenikmatan syurga. Apa yang diperdengarkan seringkali membuat dia terfikir, mengapa agamanya perlu menakut-nakutkan? Mengapa Allah menyogok umat Islam dengan kemewahan di akhirat? Bukankah di sana nanti semua keinginan tiada lagi?
Sophia semakin terpanggil untuk mencari jawapan. Tercetus di benaknya satu idea— kampung ini akan menjadi terminal di mana dia dapat melihat sesuatu yang benar dan abadi.
“Ada.” Jawab Ema. “Kau boleh main bola jaring, badminton. Kelab Seni pun ada.”
“Tenis? Pengakap atau Kelab Kembara, Pencinta Alam?”
“Tenis, tak ada. Kat sini pengakap untuk lelaki saja. Untuk perempuan pandu puteri.”
“Asing?”
Ema mengangguk. “Ha ah… Kelab Kembara tak ada, Kelab Pencinta Alam pun tak ada. Semua tu combined dalam Pasukan Pandu Puteri atau Pengakap.”
“Aku nak join… tak kisahlah apa pun, yang penting aku nak ada aktiviti harian di sekolah, bukan asyik kat masjid aje.”
Sophia amat merindukan kehidupan yang seimbang. Kuliah agama tak salah tapi aktiviti lain seperti bersukan dan berseni juga penting. Lalu hasratnya diperdengarkan kepada Makcik Salina dan Pakcik Salim selepas Isyak sewaktu mereka makan malam.
“Tak payahlah. Kau kena fokus pada pengajian agama di masjid,” kata Makcik Salina. “Dan tumpukan perhatian pada pelajaran.”
“Betul kata makcik kau tu. Orang tua kau hantar kau ke sini untuk mendalami agama.” Suaminya menyokong.
“Kau kan dah puas buat semua tu kat tempat lama dulu? Jangan pulak kau nak ulang buat benda yang sama kat sini. Kau kena biasakan diri dengan cara kami. Aktiviti kat sekolah pun boleh menggalakkan pergaulan bebas. Takutlah kalau nanti jadi apa pulak,” sampuk Suhana, bunyinya lebih kepada memerli.
“Kita ni kena jaga akidah dan iman. Seorang wanita harus berpegang pada maruah dan kehormatan.”
Sophia hanya mendengar ‘nasihat’ yang diberikan dengan senyum tipis. Fikirannya berlari kepada Hans. Kata-kata yang mereka hamburkan terasa seperti duri tajam, cuba membuktikan dosa sebuah cinta. Dia menyedari satu kenyataan— pandangan dunia di tempat baru ini bertentangan dengan apa yang diyakini hatinya.
Tersekatlah niat untuk menjalani kehidupan normal seperti remaja biasa. Keluarga Makcik Salina mengatur jadualnya begitu ketat dengan alasan ‘menjalankan amanah’. Dia diwajibkan menghadiri kelas agama di surau pada waktu petang dan pada malam hari, ada sesi pengajian Al-Quran di rumah Makcik Salina sendiri. Tak banyak kesempatan diberikan untuk bergaul atau melakukan aktiviti di luar rumah bersama rakan-rakan sekolah, selain ke masjid.
Kehidupan yang dipaksakan ke atas dirinya ini benar-benar palsu dan kaku namun Sophia tak membantah secara terbuka walau hatinya bergolak. Dia kuatkan hati menahan perasaan, menopengkan siapa dirinya yang sebenar dengan senyuman yang dibuat-buat.
Mendengar suara Hans melalui pita rakaman adalah satu-satunya perkara yang menghiburkan dia dan menatap cincin yang menghiasi jari, mampu buat dia tersenyum. Kedua- dua cincin itu adalah azimat yang meyakinkan dia bahawa di suatu tempat, ada seseorang yang mencintai dia seadanya, tanpa syarat, tanpa tuntutan. Setiap kali dia menatap cincin itu, dia merasakan kehangatan Hans, betapa dekatnya hati mereka walau dipisahkan jarak.
Malam-malam yang sunyi diisi oleh suara cengkerik dan sesekali salakan anjing terdengar dari kejauhan. Sophia berdiri di jendela kamar, memandang keluar, membayangkan Hans juga sedang melihat bintang yang sama di langit.
“Aku cintakan kau, Hans.” Sophia berbisik kepada angin, meminta ia hembuskan kalimah itu ke telinga Hans. Sebelum menutup jendela, saat seluruh desa terlelap, dia berdoa dengan caranya sendiri, memohon kekuatan dan petunjuk, untuk cekal bertabah hati dalam menanggung sakitnya pengorbanan yang sedikit ini.
Dia bertanya kepada Tuhan, “jika cinta ini salah, mengapa rasanya begitu benar?”
#
Sudah beberapa bulan Faiz memerhatikan Sophia. Setiap kunjungan ke masjid, gadis itu pasti ditemani makcik dan sepupunya. Faiz kenal benar dengan Ustazah Salina, isteri Ustaz Salim, terutama anak mereka, Suhana.
Sejak pertama kali Sophia melangkah masuk ke masjid, Faiz sudah tertarik. Bukan hanya kerana wajah Sophia yang cantik dengan keanggunan yang tidak dibuat-buat, tetapi juga kerana ada sesuatu dalam dirinya yang Faiz tidak dapat jelaskan— satu daya tarikan yang membuatnya ingin mengenali dengan lebih dekat. Setiap kali Sophia datang bersama Makcik Salina, Faiz akan mencuri pandang di celah jemaah, dan memerhatikan gerak-gerinya dengan penuh minat.
Namun, Sophia tidak pernah memberi perhatian kepadanya. Dia sering memakai wajah sombong dan dingin untuk menjauhkan diri daripada sesiapa pun di masjid, termasuk Faiz. Tapi ini tidak mematahkan semangat Faiz untuk mendekat. Dia melihat kesombongan Sophia itu sebagai cabaran.
Faiz memulakan usahanya dengan cara yang halus. Dia sering menyapa Sophia selepas solat berjemaah, sekadar bertanya khabar atau memberikan senyuman yang ramah.
“Assalamualaikum…” Tegur Faiz seperti biasa. “Awak nampak letih,” katanya suatu petang, nada suaranya lembut tetapi penuh maksud tersirat. Kemudian, dia mula mencari alasan untuk berbicara lebih panjang. “Allah tak menduga kita lebih daripada yang kita mampu. Saya yakin, awak dihantar ke sini atas satu hikmah yang telah diatur Allah,” katanya lagi dengan senyuman, matanya tidak pernah lepas memandang wajah Sophia.
“Sure! I appreciate your advice but I'm doing fine,” balas Sophia, tak menunjukkan kemesraan. Dia hanya memikirkan Hans. Jam di tangan dia kerling. Pukul 6 petang. Hans pasti sedang sibuk dengan kerjanya di dapur kedai Uncle Jose. Betapa rindunya dia rasakan. Terhirup udara nyaman Tanjung Bayu dan bau asap panggangan makanan laut. Terlihat senyum manis Hans dan kelembutannnya yang selalu membelai jiwa.
Faiz agak tersentak tapi dia berjaya memalsukan senyuman.“Saya cuma nak membantu sesama Muslim.” Dia cuba berlagak tenang namun hatinya membara dengan jawapan Sophia yang baginya bukan saja satu penolakan tapi disifatkan kurang sopan.
“Suhana ada bagitau pasal awak… Saya dah dengar semuanya,” katanya perlahan, masih mahu mencuba. “Jangan salahkan sepupu awak tu… saya yang bertanya.”
Sophia memandang tepat ke muka Faiz. Dia menelitinya dalam-dalam. “Are you trying to be a good Samaritan, or are you a community watcher, or perhaps just an active listener?” Sophia memerli.
“Maaf, saya kurang mahir berbahasa Inggeris.” Faiz ketawa kecil. “Bukan nak menghakimi tapi awak tahu kan, hubungan macam tu salah di sisi agama? Bukan setakat dosa besar, tapi merosakkan fitrah manusia.”
Pandangan dingin dilemparkan, muka dipaling— tidak berminat melibatkan diri dalam perbualan. Namun, lelaki itu terus berbicara. “Saya percaya setiap orang boleh berubah. Mungkin awak cuma keliru. Saya tak salahkan awak. Tapi awak patut buka hati awak untuk sesuatu yang lebih baik… sesuatu yang Allah redhai.”
Kata-kata Faiz jelas menyiratkan sesuatu dan dalam caranya bercakap, Sophia terasa diserang secara halus. Tetapi Faiz tidak berhenti di situ. Dia mula mencari jalan untuk mendekati Sophia, dengan alasan untuk memberi bimbingan.
*
“Aku bangga dengan hasrat kau nak ubah sepupu aku tu,” kata Suhana. “Aku harap dia berubah. Didiklah dia, aku percayakan kau…”
“Itulah bahayanya berkawan dengan orang kafir. Mereka banyak helah untuk sesatkan umat Islam.”
“Sayang betul… Sophia tu cantik tapi bernafsu songsang.”
“Syaitan senang menghasut orang yang lemah iman.”
“Kita ni?”
Faiz menggeleng.“Sekurang-kurangnya kita boleh dihalalkan.”
“Aku tak faham kenapa dia ada selera dengan kaum sejenis.” Suhana yang duduk di sebelah pemandu memerhatikan wajah Faiz. “Apalah agaknya dia dah buat sampai mak bapak buang dia ke mari?”
“Kau pun boleh agak, kan?” Faiz mengerling, tersenyum kecil.
Suhana menyentuh tangan Faiz yang memegang gear. Kereta dipandu lebih laju meninggalkan pekan, menuju ke sebuah kawasan kebun terpencil berdekatan sungai— sebuah tempat ‘selamat’ yang sering mereka tuju untuk ‘melepaskan rindu’.
#
Merasa bahawa Sophia tidak memberi ruang, Faiz mula mencuba cara lain. Dia berbicara dengan Makcik Salina, memuji Sophia. “Saya percaya, dengan sedikit bimbingan, dia boleh jadi contoh terbaik seorang wanita Muslim.” Keyakinan diselitkan. Keakrabannya dengan Ustaz Salim dan Ustazah Salina membuka peluang kepada Faiz untuk lebih sering berada di sekitar Sophia. Dia menawarkan diri untuk membantu, sama ada dengan membawa barang keperluan ke rumah atau menemani mereka ke masjid. Perlahan-lahan, dia cuba menunjukkan bahawa dia adalah lelaki yang boleh dipercayai, seorang yang layak untuk berdiri di sisi Sophia.
Makcik Salina yang sudah lama menyukai keperibadian Faiz, mula menggalakkan Sophia untuk lebih dekat dengannya. “Faiz tu lelaki baik. Dia nak tolong kau. Tak salah kalau kau buka hati kau untuk kawan macam dia,” kata Makcik Salina yang selalu memuji Faiz— tutur katanya lembut dan Faiz dihormati sebagai seorang Hafiz Al-Quran.
“Dia pun baik dengan Kak Ana. Betul, tak Ana?” Tanya Makcik Salina.
Suhana mendengar kata-kata ibunya itu dengan hati yang meluap dengan cemburu dan kemarahan. “Ye,” jawab Suhana acuh tak acuh. Bersama hati membara, Suhana teringatkan pertemuan dia dengan Faiz malam tadi.
“Ni semua sementara je. Tamat pengajian aku nanti, kita akan kahwin.” Faiz memujuk pada satu malam, selepas ‘rindu dilepaskan’.
Sambil mengumpul pakaian yang berserakan di atas lantai kayu pondok kecil di kebun milik keluarga Faiz, Suhana mula menyuarakan kebimbangan. “Aku takut hati kau berubah. Mak aku macam nak kenenkan kau dengan Sophia.”
Faiz ketawa. “Sophia? Budak liar macam tu tak sesuai untuk aku. Kau pun tau niat aku nak bimbing je… Tak ada niat lain.”
Dalam gelap yang hanya berterangkan lilin kecil, Faiz merapati Suhana, memeluk dan mencium lehernya. Baju yang dipegang Suhana dia lemparkan kembali ke lantai kayu. “Kau dah bagi aku syurga, Ana. Bodohlah aku kalau aku lepaskan nikmat ni.”
“Kau janji?”
“Aku janji… kau tau kaulah satu-satunya wanita di hati aku. Tapi buat masa ni, kita kena sembunyikan hubungan kita. Biar aku yakinkan ayah dan umi dulu.” Faiz menaburkan lagi janji-janji yang dah berulang kali dia lafazkan. Tangannya mula menjalar ke dada Suhana, membelai dan merayu dengan ciuman-ciuman.
“Faiz, aku cintakan kau.” Suhana mengucup bibir Faiz. Dada yang tak berbaju itu dia rebahkan ke lantai.
*
Hubungan Suhana dan Faiz bermula dengan nada sopan, berlandaskan agama, dibatasi suasana keislaman. Kepandaian Faiz berbicara memudahkan dia memenangi hati Suhana. Pujian melambung sering dilontar, menyebut tentang kelembutan dan keindahan peribadi Suhana yang katanya melambangkan ciri-ciri seorang wanita Muslimah sejati.
“Kau ada sesuatu yang buat aku rasa tenang… seperti anugerah daripada Allah,” puji Faiz suatu petang, selepas membantu membawa barang untuk keluarga Makcik Salina. Suhana, yang tidak pernah menerima perhatian seperti itu, mula tersentuh dengan kata-kata Faiz. Dia merasa istimewa, seolah-olah dipilih oleh seorang lelaki soleh berwajah tampan, berpenampilan bersih dan dihormati oleh masyarakat kampung.
Di sebalik tembok masjid dan perbualan yang kelihatan seperti nasihat agama, Faiz mula mencari alasan untuk berjumpa Suhana secara peribadi, menawarkan diri untuk menghantarnya pulang selepas kuliah agama atau membantu tugas-tugas keluarga. Dalam setiap pertemuan, dia akan mencuri peluang untuk mendekatkan diri.
“Ana, aku rasa… kau adalah jawapan kepada doa aku,” katanya suatu malam ketika menghantar Suhana pulang. “Aku yakin Tuhan tak satukan kita secara kebetulan. Semua ni dah Dia aturkan dengan cantik.”
Suhana, yang mulai terbuai dengan kata-kata manis Faiz, tidak menyedari bahawa anak imam masjid itu sedang bermain dengan emosinya. Seluruh kepercayaan dia berikan dan tanpa sedar, terlepaslah batas-batas yang seharusnya mereka jaga. Hubungan yang pada mulanya hanya berbalas senyuman dan sapaan, menjadi lebih intim.
Pertemuan mereka tidak lagi hanya di masjid atau di tempat terbuka. Faiz mula membawa Suhana ke tempat-tempat terpencil, dengan alasan untuk berbual lebih tenang. Dalam pondok kebun itulah Suhana menyerahkah kehormatannya hingga menjadi kekerapan apabila Faiz menggunakan alasan cinta untuk meyakinkan Suhana.
“Hubungan kita tak salah kalau niat kita betul. Aku cintakan kau, dan aku tahu kau pun rasa yang sama,” katanya sambil menggenggam tangan Suhana.
Suhana yang dibutai cinta, semakin mempercayai segala kata-kata Faiz. Dia meyakini bahawa hubungan mereka adalah sesuatu yang suci, meskipun mereka melakukan persetubuhan tanpa ikatan yang sah.
“Faiz, kau janji dengan aku. Janji yang kau akan selalu ada untuk aku,” katanya suatu malam, air matanya bercampur dengan senyuman.
“Aku janji. Kau satu-satunya untuk aku. Nanti, bila tiba masa, kita akan hidup bersama. Aku akan jadikan kau isteri aku.” Faiz menabur umpan untuk memanipulasi perasaan Suhana. Faiz tidak pernah benar-benar berniat untuk mengikat hubungan mereka secara sah. Baginya, Suhana hanyalah seorang gadis mudah percaya yang dapat memenuhi keinginannya tanpa banyak soal.
Menggunakan cara yang sama, Faiz cuba menggoda Sophia dengan umpan dakwahnya. Dia mula menulis nota-nota kecil yang berisi nasihat agama dan meninggalkannya di tempat Sophia biasa duduk di masjid. Pertemuan-pertemuan secara tak langsung, sengaja dia aturkan, berharap dapat berbicara lebih dekat. Tetapi semakin dia mencuba, semakin Sophia rasa meluat walaupun Faiz sering bersikap lemah lembut, berbicara dengan sopan dan menunjukkan hormat.
“Tak salah awak nak melawat gereja, tapi saya rasa kekasih awak ada niat tak elok. Awak kena faham, orang kafir akan sentiasa cuba menyesatkan kita, umat Islam.”
Tidak senang dengan tuduhan tak berasas Faiz, Sophia membidas.“Senang betul kau judge orang.”
Faiz menggeleng, seolah-olah kesal dengan keengganan Sophia untuk melihat kebenaran. “Orang kafir akan sentiasa cari jalan untuk memesongkan akidah kita. Mungkin nampak baik di depan, tapi sebenarnya mereka cuba tarik kita jauh dari Allah.”
Cukup terang di mata hati Sophia, ada sesuatu yang tidak betul dalam tutur kata Faiz. Dia tak membalas, sebaliknya membiarkan lelaki itu meneruskan dakwahnya.
“Kau pernah fikir kenapa Hans rapat dengan kau? Kenapa dia selalu cuba buat kau rasa dia memahami kau? Dia bagi kau cinta… Itu semua taktik, Sophia. Dia nak kau percaya pada cinta yang salah, cinta yang terpesong dari jalan yang Allah redhai. Akhirnya, kau akan ikut dia, dan kau akan tinggalkan Islam.”
Persepsi yang diberi Faiz menimbulkan rasa tidak selesa dalam diri Sophia lalu dengan suara yang tegas, dia menentang, “Hans tak pernah buat aku rasa jauh dari Tuhan. Malah, dia selalu hormati apa yang aku percaya. Kau tak ada hak untuk tuduh dia macam tu.”
Faiz tersentak. Baginya Sophia sukar dijinakkan, tak seperti Suhana.
“Aku cuma nak kau selamat. Aku tak nak kau jadi seperti mereka yang hanyut sebab ikut perasaan. Hans mungkin nampak baik, tapi kau tak tahu niat dia yang sebenar.”
Namun, Sophia tetap mendengar dengan telinga yang sama. Usaha Faiz tak lain hanyalah cubaan untuk mengawal hidupnya dan menanam kebencian terhadap Hans— sesuatu yang tak sepatutnya dilakukan oleh seorang lelaki baik atau seorang Muslim sejati.
“If that's how you express kindness, Faiz, no thanks, I can do without it.” Kata Sophia dengan tegas, sebelum berlalu meninggalkan Faiz dengan dendam penolakan.
Apa yang berlaku, membuktikan satu perkara yang semakin jelas— cinta Hans jauh lebih jujur daripada apa yang Faiz pernah cuba tawarkan.
#
Sophia agak terkejut bila melihat Faiz yang menjemputnya di sekolah hari itu. Mahu tak mahu, dia terpaksa menaiki kereta Faiz walaupun berat hati. “Ada orang meninggal kat kampung seberang, sebab tu makcik Salina minta saya tolong jemput awak.” Dalam perjalanan, suasana berubah menjadi janggal. Jarak antara sekolah di pekan dan kampung kira-kira 20 kilometer jauhnya. Sengaja Faiz lambat-lambatkan masa dengan memandu perlahan.
“Cinta tu indah, awak tau? Allah ciptakan cinta untuk menyatukan lelaki dan perempuan, melengkapi satu sama lain. Fitrah kita, sebagai Adam dan Hawa.”
Sophia mendengar acuh tak acuh. Nasihat-nasihat keagamaan yang awalnya ringan kini semakin berat, penuh dengan hujah tentang dosa cinta sejenis.
“Awak mungkin rasa hubungan dengan Hans adalah cinta,” kata Faiz dengan suara yang hampir berbisik. “Tapi sebenarnya melanggar fitrah. Awak tak rasa bersalah ke mengkhianati diri sendiri dengan dosa?”
Sophia memandang Faiz dengan kening berkerut. “Aku tak rasa kita perlu bincang soal ini,” katanya, cuba mengakhiri perbualan. Tetapi Faiz tak mahu berhenti. “Sophia, dengar dulu,” dia menyambung, suaranya lebih lembut dan tenang. “Saya cuma nak awak faham, hubungan itu… hubungan antara seorang lelaki dan seorang perempuan bukan saja halal, tapi juga satu kenikmatan yang Tuhan bagi untuk kita kecapi.”
Keadaan ini akhirnya memuncak apabila Faiz secara terang-terangan mengungkapkan perasaannya kepada Sophia. “Ini semua rancangan yang dah di atur Allah. Awak dan saya… kita boleh bina sesuatu bersama,” katanya sambil mengerling Sophia di sebelah. Matanya seakan cuba menembus seragam sekolah yang menutup tubuh Sophia. Faiz menelan air liur. “Saya yakin awak ke sini atas kehendak Dia, untuk menemukan kita.”
“I don't think so. Cakaplah apa kau anggap betul, hati aku lebih tau kebenaran.” Kata-kata Sophia menjadi titik pertembungan antara mereka. Faiz akhirnya menyedari bahawa tiada usaha yang mampu mengubah hati Sophia, dan Sophia semakin yakin bahawa dunia di sekelilingnya penuh dengan kepura-puraan dan dia tak mahu terjebak di dalamnya.
“Tak apa, ambil masa awak. Saya faham, sekarang awak masih celaru, masih ada ragu. Percayalah, semakin awak mendekatkan diri dengan Allah, semakin luas pintu hati awak akan terbuka. Saya sentiasa ada untuk awak.”
Faiz memberhentikan kereta di sebuah lorong sunyi, jauh dari rumah. Dia memandang Sophia dengan pandangan yang tidak lagi penuh dengan nasihat, tetapi dengan niat lain yang lebih gelap.
“Kadang-kadang cinta boleh dimulakan dengan bimbingan. Aku boleh tolong kau rasa nikmat cinta sebenar.” Dengan ucapan itu, Faiz meletakkan tangannya di peha Sophia.
Segera menepis, Sophia meninggikan suara tanpa menunjukkan sikit pun rasa takut. “Kau gila ke?!” Beg galas dia peluk kuat di dada.
“Apa je nikmat yang dah kau dapat dari budak kafir tu, aku boleh bagi lebih lagi.” Faiz menarik tangan kanan Sophia sambil membuka zip seluar.
Sophia meronta, cuba melepaskan genggaman. Tangan kirinya menyeluk poket beg sandang dan mencapai pepper spray yang dibekalkan Kamal sewaktu menghantar dia ke kampung itu dua bulan dulu. Faiz menguatkan cengkaman tangan tapi Sophia bertindak tangkas dengan menyembur cecair itu tepat ke mukanya. Tak cukup dengan itu, beg sekolah dia hayunkan ke kepala Faiz beberapa kali sebelum dia membuka pintu kereta.
Sewaktu tergesa-gesa keluar dari kereta, Sophia tergelincir di tanah yang sedikit becak. Baju sekolah dan kasutnya habis berlumpur. Dengan segala kekuatan yang ada dia bangkit dan berlari ke arah jalan raya yang lebih terang— berlari sekuat hati hingga akhirnya terjatuh di bahu jalan utama. Sebuah van berwarna putih berhenti melihat dia yang teresak-esak menangis.
“Kenapa, dik?” Seorang wanita keluar. Wajahnya cemas melihat Sophia dalam keadaan begitu. Dia lantas memeluk dan membantu Sophia berdiri. Sophia pandang ke belakang, ke arah jalan kecil yang dikelilingi pokok besar dan belukar.
Faiz menahan pedih di mata. Dengan pandangan berbinar, dia cuba mengejar Sophia tapi kereta terpaksa dia hentikan bila melihat Sophia tidak bersendirian.
“Dia?” Tanya wanita bertudung labuh itu. Sophia mengangguk. “Mari, akak hantar balik.”
Dalam perjalanan pulang, Sophia menceritakan segala apa yang telah terjadi, dari awal hingga akhir.
“Anak imam masjid, orang berpengaruh dan dihormati di kampung tapi perangai… Tak sangka perangai macam setan.” Kata Kak Rokiah, geram. Van dihentikan di halaman rumah.
“Biar akak temankan kau sementara tunggu ustaz dan ustazah balik. Takut nanti setan tu ikut pulak, bahaya kalau kau sorang-sorang.”
“Terima kasih kak Kiah.”“Pergilah bersihkan diri dulu. Akak tunggu kat sini.”
Sophia duduk di tepi katil, memandang bayangan dirinya di cermin. Dia membuka tudung. Rambutnya kelihatan tak terurus, matanya merah dengan airmata. Insiden itu menghancurkan sisa keyakinan Sophia terhadap agama dan masyarakat yang kononnya membawa kebenaran. Apa yang awalnya dikatakan bimbingan ikhlas tak lain hanyalah sesuatu yang menjijikkan.
“Kau boleh buat laporan polis.” Cadang Rokiah. “Atau kau bagitau kat pakcik dan makcik kau dulu.”
“Memang saya akan bagitau.”
“Kalau kau perlukan akak, cari akak kat kedai runcit simpang empat. Akak sedia jadi saksi. Hal macam ni tak boleh dibiarkan. Faiz— siapa pun dia— patut diajar.”
Malam itu, Sophia memberanikan diri untuk duduk bersama keluarga Makcik Salina di ruang tamu. Tanpa debar atau ragu, dia mahu mereka tahu, siapa sebenarnya Faiz yang selalu orang agung-agungkan.
Makcik Salina sedang melipat kain di sofa, Pakcik Salim membaca akhbar manakala Suhana menonton TV. Suasana yang kelihatan biasa terasa berat. Sophia dapat mengagak, apa yang akan dia katakan pasti saja susah untuk mereka terima.
“Ada hal saya nak cakap,” katanya tegas, tanpa perasaan berbelah bagi. Semua kepala berpaling ke arahnya dengan pandangan penuh tanda tanya. Sophia menarik nafas dalam-dalam, bersedia untuk melepaskan rasa sakit di hati.
“Faiz,” katanya, memandang mereka satu persatu. “Dia cuba cabul saya balik sekolah tadi.”
Ruang tamu menjadi senyap, hanya bunyi kipas angin yang kedengaran. Makcik Salina berhenti melipat kain, memandang Sophia dengan wajah keliru bercampur tidak percaya.
“Sophia, kau tau tak kau tengah cakap pasal siapa?” Tanya Makcik Salina, jelas meragui dakwaan yang dibuat Sophia. “Faiz tu budak baik. Anak imam masjid. Kau mungkin salah faham.”
“Salah faham?” Sophia ketawa sinis dan membalas dengan suara yang lebih mendesak. “Dia berhentikan kereta kat tempat sunyi, cuba buat benda tak senonoh, itu salah faham bagi makcik?”
“Kenapa kau ikut?” Pertanyaan Suhana itu Sophia sambut dengan ketawa lebih besar.
“Hidup saya kat sini dikawal. Siapa yang hantar dia jemput saya kat sekolah siang tadi? Saya ke yang mintak?”
“Mak yang suruh Faiz tolong, Ana… Petang tadi mak dan ayah ke kampung seberang. Bini Haji Din meninggal.” Makcik Salina menundukkan muka. Dia tak mahu mempercayai berita itu tapi dia juga percaya, tak mungkin Sophia reka cerita.
Suhana yang mendengar dengan wajah yang semakin tegang, terus cuba meletakkan kesalahan ke atas Sophia. “Jangan buat drama lah, Sophia. Kau memang sengaja nak tuduh dia, sebab dia lelaki baik bukan macam kekasih lesbian kau kat sana tu! Apa yang kau nak buktikan?”
“Faiz, anak imam Daud, contoh lelaki soleh, kebanggaan orang kampung— saya boleh buktikan siapa dia sebenarnya.”
Suhana memandang Sophia dengan kemarahan si mata. “Ahhh… Kau sengaja cari alasan, nak buat diri kau nampak baik, nak buktikan kenapa kau benci lelaki dan pilih untuk bercinta dengan perempuan, dengan kafir! Itu sebenarnya niat kau! Sebab nak bersihkan nama sendiri, kau sanggup kotorkan nama orang lain!”
Pakcik Salim, yang sejak tadi diam, akhirnya meletakkan surat khabar ke meja. “Fitnah tu dosanya lebih besar daripada membunuh, Sophia. Tuduhan kau ni berat. ”Pakcik Salim menggeleng, wajahnya kelihatan kecewa. “Kau dihantar ke sini sebab keluarga kau tak boleh kawal kau. Sekarang kau nak buat cerita buruk pasal orang yang cuba nak bantu kau? Kau ada saksi?”
Bangun daripada kerusi tanpa rasa takut untuk menentang, Sophia berdiri tegak demi menegakkan kebenaran. “Kak Rokiah… Tauke kedai runcit kat simpang empat— dia yang tolong bawak saya balik.”