PART 2: THE DUO Bab 7: San Pedro |
F(caps)estival San Pedro semakin hampir. Suasana di sekolah meriah dengan persiapan yang tidak henti-henti. Setiap kelab berlumba-lumba untuk membuat persembahan terbaik, tetapi perhatian utama tertumpu kepada Kelab Seni dan Kebudayaan yang bakal mempersembahkan tarian tradisional sempena festival itu.
Di sudut bilik latihan, Dahlia sibuk memujuk Sophia untuk menyertai mereka. “Kau kena ikut sekali! Tak best la kalau aku bertiga je dengan Lynn dan Hans,” kata Dahlia sambil menarik tangan Sophia yang masih ragu-ragu.
“Aku? Menari?” Sophia tergelak kecil, matanya membulat sedikit. “Kau tau aku tak pandai menari, Lia. Aku tak nak rosakkan pesta. Lagipun, kan ada lagi budak lain yang ikut serta, bukan korang bertiga aje?”
“Memanglah, tapi kita kan team…” Dahlia terus memujuk. “Aku pun tak reti menari, tapi kalau tak tau, kan boleh belajar?”
Lynn yang sedang meregangkan kaki di sudut lain, menyampuk sambil tersenyum. “Jangan risau. Kami akan bantu. You don't have to be perfect. Just go with the flow and enjoy the music.”
Hans, yang sejak tadi diam memerhati, tersenyum riang. “Kalau aku boleh menari, kau pun boleh. Kita sama-sama belajar. Lagi seronok kalau kau menari sama, jadi partner aku.” Baris terakhir pujukan Hans secara serta merta membuat Sophia mengangguk setuju. “OK, OK… aku cuba.” Persetujuan itu disambut dengan sorakan rakan-rakannya.
Beberapa minggu sebelum festival, latihan bermula dengan penuh semangat. Lynn dan Hans, yang sememangnya mahir dalam tarian tradisional mereka, menjadi tenaga utama, mengajar langkah-langkah tarian kepada rakan-rakan lain. Walaupun pada mulanya kedua gadis itu sering tersalah tapi mereka tetap bersabar.
“Kaki kiri dulu, Sophia! Bukan kanan,” Hans membetulkan dengan senyuman. Sophia hanya tergelak kecil, wajahnya memerah setiap kali tersilap.
“Aku ni macam robot rosak,” Sophia mengeluh, namun senyuman di bibir tak pernah hilang.
“Tak apa, robot pun boleh menari kalau dia terus berlatih,” balas Hans dengan nada bergurau, membuatkan semua tertawa. Latihan mereka nikmati. Masing-masing semakin bersemangat, tak sabar menanti hari pesta.
Tak lengkap sambutan San Pedro tanpa memakai kostum traditional. Dahlia dan Sophia bersama beberapa orang teman dari Kelab Seni dan Kebudayaan sibuk di kedai jahit di pekan, menempah gaun masing-masing. Kain berwarna-warni dipilih, dengan corak bunga dan sulaman halus yang melambangkan warisan budaya masyarakat Kristang.
“Kita mesti nampak cantik di atas pentas,” ujar Dahlia sambil memegang kain berwarna merah tua. “Aku tak sabar nak pakai ini.”
Sophia mengangguk sambil memeriksa corak pada kain yang dipilihnya. “Aku segan, tapi excited. Ni first time aku sambut San Pedro. Memang bukan budaya kita. Lain rasanya.”
“Bukan ke kita hidup atas bumi yang sama, Phia? Budaya dan bangsa malah agama sekali pun tak sepatutnya menjadi batasan untuk kita semua sama-sama meraikan hari yang bermakna seperti ini.”
“I agree. It would be boring if we all had the same experiences. We should encourage diversity like this to make our ideas more different. That's how understanding starts and how we show respect.”
Sementara itu, di biliknya, Hans hanya mampu menatap baju lama — satu-satunya yang dia ada, yang selalu dia pakai dalam setiap perayaan. Malah baju yang dibeli 2 tahun lepas itu semakin mengecil setara meningkatnya usia.
“Ah, takpelah. Baju ni OK lagi, masih boleh pakai.” Hans memujuk diri. Nada suaranya penuh dengan penerimaan. Dia tahu, keluarganya tidak mampu untuk membeli kostum baru dan dia tidak mahu membebankan mereka.
Suatu petang, beberapa hari sebelum festival, ketika Hans sedang membuat persiapan di dapur kedai, Uncle Jose dan Mama Maria muncul dengan sebuah kotak besar.
“Hans! Kami ada surprise untuk kau.” Mesra suara Uncle Jose menyampaikan sebuah kejutan. Senyuman Mama Maria pula melebar.
Hans menghampiri meja di mana Uncle Jose meletakkan kotak. “For me? Apa ni?” Dia berdiri di sebelah Mama Maria. “Open it,” arah ibu saudaranya.
Dengan berhati-hati, Hans membuka kotak. Betapa gembiranya dia bila mendapati di dalam kotak, terlipat sepasang waist coat hitam yang dijahit rapi dengan sulaman emas, bersama kemeja berwarna putih berjalur biru. Sehelai seluar hitam dan sepasang kasut kulit turut tersusun kemas di dalam kotak tersebut.
“Ini untuk festival. Takkan nak pakai baju lama.”
“Saya OK je, Uncle. Baju lama tu elok lagi.”
“Hmm Hans… you wouldn't request, we know— so we decided to give this to you.” Mama Maria melontarkan kasih sayang. “Lagipun, ini bukan daripada kami je. Papa pun nak kau nampak kacak di malam tu nanti.”
Ketulusan hati mereka mendiamkan Hans, menerbitkan kaca di mata. Hans terharu. “Tapi… ni mesti mahal. Saya tak boleh terima.” Dia teringatkan bapanya yang bertungkus lumus bukan saja menghadap gelombang di laut tapi juga gelombang dalam hidup.
Uncle Jose menepuk bahunya. “Hans, kau selalu kerja keras. Bukan tu je, kau dah bagi papamu satu kekuatan baru. Anggap ini sebagai penghargaan kecil. Dan lebih daripada itu… macam yang papa kau cakap, kau layak kelihatan hebat di atas pentas.”
“You are our child, Hans. Apa yang Marsha dapat, kau patut dapat.”
Hans menerima dengan hati yang penuh syukur. “Terima kasih… saya tak tahu nak kata apa. Saya takkan lupakan jasa baik papa, uncle dan mama.”
#
Sambutan Festival San Pedro adalah acara yang dinantikan setiap tahun oleh penduduk kampung nelayan. Festival ini disambut bagi menghormati Santo Pedro, pelindung para nelayan, yang dipercayai menjaga keselamatan di laut.
Persisir pantai dihiasi dengan bendera dan lampu berwarna warni, begitu juga dengan pentas utama yang tersergam indah. Gerai beraneka jenis bukan saja memberi pilihan makanan tradisional malah pelbagai juadah ditawarkan penduduk setempat untuk dinikmati bersama. Aromanya bercampur memenuhi udara.
Perarakan bot yang dihias indah, meluncur perlahan di sepanjang pantai. Lampu-lampu kecil berkelip-kelip di atas bot, memantulkan cahayanya di atas air, seperti bintang-bintang yang tumpah dari langit. Setiap bot membawa patung sebagai simbol keagamaan, diiringi bacaan doa. Semangat kekitaan dapat dirasakan bila seluruh kampung bersatu untuk merayakan cinta mereka kepada laut, kehidupan, dan tradisi yang tak pernah pudar.
Suara gendang dan gitar mula memeriahkan suasana, menandakan bermulanya festival. Penduduk dari pelbagai kampung berkumpul untuk turut serta dalam tarian dan nyanyian. Di belakang pentas, suasana sedikit riuh dengan suara para peserta yang bersiap sedia untuk memulakan persembahan. Hans berdiri bersama Lynn, Dahlia, Sophia dan beberapa peserta lain, menunggu dengan debar dan sabar. Namun, dunianya seolah-olah berhenti sejenak apabila Sophia menoleh, melemparkan senyuman menawan yang cukup menggetarkan hati.
Gaun biru dan putih yang dipakai Sophia menyerlahkan kecantikannya, membuatkan si gadis terlihat seperti sebutir bintang yang bersinar terang di tengah-tengah keriuhan pesta. Tak henti mata Hans memandang, terpesona pada sebuah keajaiban— gadis yang dia kenali dua tahun lalu kini mekar menjadi seorang wanita muda yang memukau.
Di sisi lain, Sophia juga tidak mampu menafikan apa yang dilihat. Hans, dalam suit tradisional serba lengkap, kelihatan luar biasa— setiap inci penampilannya begitu sempurna. Cahaya lampu yang redup memantulkan aura di wajahnya— menggoncang hati Sophia dengan lebih kuat.
“Kau nampak hebat.” Kekaguman diekspresi. Sophia tak dapat menahan daya tarikan yang ada dalam diri seorang Hans.
“Dan kau… nampak seperti bintang malam ni.” Hans membalas dengan pujian.
Mereka berjalan ke pentas dalam satu barisan. Degup jantung laju mengepam darah ke hati yang dipenuhi rasa bangga. Muzik dimainkan dan mereka semua mula menari dengan langkah seirama, gerakan yang tersusun yang terlatih dan semangat yang terpancar di wajah. Mereka tidak hanya menari untuk festival, tetapi untuk sebuah makna yang lebih besar— persahabatan, impian, dan penghargaan terhadap budaya yang telah menyatukan mereka semua.
Pesta semakin hidup. Cahaya lampu turut menari di udara, mencipta suasana yang cukup meriah. Penduduk kampung, termasuk Hans dan keluarga, berkumpul di sekitar pentas sambil menunggu acara seterusnya sementara Sophia menyertai keluarganya di tempat duduk khas.
Sewaktu Encik Suffiyan dijemput ke pentas untuk memberi ucapan, Sophia meminta izin ibunya untuk menyertai rakan-rakan lain. Dalam diam Kamarul mengekori. Dia sebenarnya tercari-cari, di mana Marsha. Bila melihat Sophia berbual mesra dengan Hans, Dahlia, Lynn dan beberapa rakan lain, dia mengalihkan hala kaki. Di tengah-tengah keriuhan, kesunyian meneman hati Kamal. Dia berjalan seorang diri, mencari wajah yang selalu dia rindukan.
Apabila Jinkli Nona, sebuah lagu rakyat yang cukup popular di kalangan orang Kristang mula dimainkan, pengunjung bersorak dan bertepuk tangan. Antara pemuzik di atas pentas, adalah bapa Hans sendiri yang handal bermain gitar dan menyanyi. Suasana di pentas tari bertukar ceria dengan tepuk tangan dan sorakan. Di atas dan di bawah pentas, orang ramai menari seperti dunia ini bebas daripada permasalahan.
Tanpa ragu-ragu, Hans menarik tangan Sophia, mengajak dia menari sama, sedikit jauh dari pentas. Tangan mereka bertaut dan mereka menari mengikuti irama ceria yang mengisi alam. Ada getaran halus dan tarikan yang kuat bila tangan mereka saling menggenggam dan kehalusan sentuhan yang mereka alami itu meresap dengan kemas ke dalam hati.
Gelodakan perasaan sukar disembunyi, sesukar bibir melafazkan. Di setiap alunan dan gerak tubuh, Hans dan Sophia bukan saja bertukar tatapan tapi juga fikiran yang penuh menyimpan maksud. Dunia seolah-olah memahami dan memberi restu. Wajah mereka berseri memancarkan kebahagiaan sejati.
Namun, dari kejauhan, Kamal yang sedang mencari-cari Marsha melihat kebahagiaan adiknya dengan hati membara. Dan bila matanya menangkap susuk tubuh Marsha yang sedang menari dengan seorang pemuda, hatinya retak kecewa. Lalu dia segera kembali mengambil tempat di sebelah ibu dan bapanya.
“Kenapa kau tak menari sama?” Tanya Encik Suffiyan. Kamal membatukan diri. “Ramai gadis cantik kat sini. Enjoy the party.”
“Betul tu Kamal, pergi cari girlfriend daripada kau melekat sebelah mama dan papa dengan muka panjang macam ni.”
Kamal tak menjawab. Dia bingkas bangun dan berlalu, berdiri mengambil minuman di sebuah gerai. Dia memerhatikan Marsha yang masih rancak menari dengan pemuda yang sama. Dari raut wajah, Kamal pasti, pemuda itu tentu saja datang dari kampung dan bangsa yang sama.
Ibu bapa Sophia tak memperdulikan Kamal. Mereka terpegun bangga melihat anak gadis mereka ceria menari bersama teman-teman. Puan Kamalia terharu, sementara Encik Suffiyan pula merasa lapang. Sophia pandai bergaul dengan penduduk kampung, menghormati budaya dan tradisi masyarakat setempat. Kalau dulu mereka ragu, tapi sekarang, fikiran lama telah mereka kemas kini. Sudut pandang mereka perluaskan— bersetuju bahawa pergaulan Sophia dengan rakan-rakan yang berlainan latar belakang adalah pengalaman yang tak sepatutnya disia-siakan dan pengalaman seperti ini dapat memperkayakan kehidupan anak mereka, sudah tentu.
Malam semakin larut, irama bertukar lebih tenang, memberi ruang kepada muzik dan tarian yang lebih emosi. Hans dan Sophia masih bersama, mata saling bertaut sambil tubuh berayun perlahan mengikut irama lagu yang akan mengisi nostalgia. Tangan mereka saling menggenggam erat dan di bawah cahaya bulan, mereka berbicara, masing-masing tenggelam dalam falsafah yang datang dari lubuk hati paling dalam.
Dengan senyuman yang sedikit kekok tetapi mata tetap memantul sinar, Hans bersuara— “isn’t it strange? Kita berdua ni, lahir dalam dunia yang sama tapi dibentuk dalam dua alam… Kau kat atas sana, aku di bawah sini, tepi laut. Kau dengan keluarga terpandang… dan aku, macam ni...”
Walaupun tak berapa setuju, Sophia tetap memancarkan senyum dari matanya yang berkilau di bawah cahaya lentera. “Kau ni Hans, cubalah buang rasa rendah diri tu. Bukan ke setiap kita ni, umpama titik kecil di tengah lautan luas? Harta atau darjat, semua tu macam ombak, kan? Datang, hilang. Kita semua dipinjamkan dunia yang sementara.”
Terdiam sejenak, Hans melontar pandangan jauh ke laut. Sophia membuat dia berfikir, “perhaps, it’s about finding balance amid the chaos. Just as the ocean can be stormy on the surface, there’s a calmness beneath the waves atau… gelora di dasar tapi on the surface, nampak tenang.” Hans menarik nafas dan perlahan-lahan menyatukan nafasnya dengan alam. “Kau tau, aku selalu fikir tentang alam semesta… the unseen energies, the hidden truth, the unheard voices. Semua ni— laut, langit, bumi, engkau… seolah-olah memanggil aku untuk kembali pada diri sendiri.”
Sophia merenung wajah Hans, mengagumi pilihan kata-katanya yang selalu bermakna. “Dan kau percaya, itulah sebabnya engkau selesa kat sini, dengan alam? Aku?”
Hans menyentuh pipi Sophia sambil tersenyum. Dia sendiri tak mengerti mengapa dia melakukan gerakan itu. Tapi sentuhan tapak tangan Hans telah menghangatkan hati Sophia. “Correct me if I’m wrong… Dunia kita mungkin tak sama, tapi fikiran kita datang dari akar yang serupa.” Sophia menyembunyikan getaran di hati dengan mengutarakan pendapat.
“Kita adalah dua jiwa yang mengembara mencari kebenaran. Kau buat aku yakin untuk jadi lebih baik, berani untuk tinggalkan dunia aku yang dulu.”
Sambil berbisik, wajah Hans Sophia tatap dalam-dalam. “What we seek isn't a complicated truth, rather, the truth is beautifully straightforward— we are united in this moment, experiencing it together, without dwelling on our differences or what lies ahead. Isn't that what makes life meaningful?”
Tidak segera menjawab, Hans sebaliknya menuntun Sophia ke sebuah gerai untuk mengambil dua cawan minuman. Satu daripadanya dihulurkan kepada Sophia. Mereka meneguk minuman, membasahkan tekak. Angin malam berhembus lembut, mengusap wajah, membawa kedamaian syahdu. Sambil menatap wajah Sophia dengan penuh kasih, Hans mencerna setiap patah perkataan yang diucapkannya tadi.
“I guess, it’s how it supposed to be. Here and now,” jawab Hans dengan tenang. “Kita selalu cari makna yang rumit, cuba faham apa yang belum berlaku, atau terlalu risau tentang apa yang akan datang. Mungkin kebenaran selalu diabaikan— tapi kita tak perlukan semua jawapan. Kita hanya perlu ada… di sini, sekarang.” Dia tersenyum kecil, pandangannya tidak lepas dari wajah Sophia. “If life's true essence dwells in moments like these; nothing else is necessary for fulfillment.”
Bersinar mata Sophia mendengar ucapan Hans yang memberi aspirasi.“Selagi kita dapat berkongsi detik-detik macam ni, selagi kita boleh saling bagi makna, selagi nafas ada, kita akan selalu menjadi sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar dari dunia walaupun selepas dunia hilang.”
Saki baki minuman diteguk sampai ke titis akhir— diteguk bersama kata-kata Sophia yang cukup menyentuh perasaan. “Dah habis minum? Mari aku buangkan.” Hans bertanya kepada Sophia yang kemudian menghulurkan cawan kertas yang telah dia kosongkan. Dia melangkah beberapa tapak ke sebuah tong sampah. Selepas cawan kertas ditenggelamkan dalam perut tong berwarna hijau itu, dia kembali mendapatkan Sophia, meneruskan perbualan.
“Betul, Sophia. Hidup bukan soal siapa kita atau dari mana kita datang… tapi macam mana kita pilih untuk hidup, untuk bagi makna pada kehidupan dan hargai tiap detik, selagi kita masih ada waktu. Dengan engkau, dunia ni tak sempit lagi, tak begitu… gelap.”
Ungkapan yang Hans lagukan adalah irama terindah yang didengari Sophia pada malam yang harmoni. Bibirnya tak dapat menahan senyum, lalu tangan Hans dia genggam lebih erat.“Hans, apa pun yang terjadi antara kita atau dunia ni, aku nak kita saling mengingatkan… bahawa hidup bukan sekadar untuk berada di dunia, tapi untuk mencipta dunia kita sendiri— dunia yang penuh dengan makna, di mana kita bebas menjadi kita.”
Hans menundukkan kepalanya, tanda setuju, menerima dan hormat pada permintaan Sophia.
*
Di bawah sinaran lampu yang mulai malap, festival San Pedro perlahan-lahan melabuhkan tirai. Keriuhan yang tadi mengisi malam kini beransur reda, digantikan dengan suasana hening. Penduduk kampung saling berpelukan, mengucapkan selamat malam dengan senyuman yang penuh keakraban. Bau manis bunga segar dan asap makanan yang hampir padam masih melayang di udara, membawa bersama kenangan malam yang penuh dengan tawa, tarian, dan harapan.
Langit dipenuhi bintang-bintang yang bersinar terang, seolah-olah turut merestui persahabatan dan cinta yang semakin erat terjalin di hati semua orang.
Di hujung jalan, Hans dan Sophia berdiri sejenak, menghadap ke arah laut yang berkilauan di bawah cahaya bulan. Hati mereka tenang, setenang langkah meninggalkan pesta, membawa pulang kenangan indah— kenangan yang bukan sekadar perayaan, tapi juga sebuah kisah tentang kebersamaan dan kasih sayang sederhana dari dua hati yang besar.
Sophia mengajak Hans bertemu keluarganya sebelum mengucapkan selamat malam. Mereka berjalan beriringan menghampiri Encik Suffiyan, Puan Kamalia dan Kamal, yang sedang berbual. Dia disambut mesra tapi sudah tentu bukan oleh Kamal.
“Hans, aunty suka tengok kamu menari tadi. Energetic and full of soul. Tak ramai orang yang pandai menari tarian tradisional. It's great to see the youngsters valuing the traditions of their ancestors.”
Encik Suffiyan tersenyum bersetuju dengan pendapat isterinya sambil menoleh pada Sophia. “Mungkin Sophia boleh belajar lebih banyak dari kamu, Hans. Tradisi patut dihargai dan diturunkan. Tak salah buka minda dan hargai budaya orang lain. Yang penting, kita tau nilai dan menjaga moral. Jadi contoh yang baik kepada masyarakat.”
Namun, Kamal tak dapat menyembunyikan rasa kurang senang dengan sikap orang tuanya yang mula menerima. Dia memandang Hans dengan mata dikecilkan dan kemudian bersuara. “Festival macam ni tak selari dengan ajaran agama kita. Adik, you need to be careful of what you learn and the sources of the learning.”
Suasana seakan tegang seketika. Bercantum kening Sophia mendengar ceramah abangnya— jelas tak bersetuju, lalu dia melontarkan pendapatnya dengan diplomasi. “Setiap budaya ada keindahannya. Tak salah nak belajar, nak faham dan menghargai. Besides, beauty is in the eye of the beholder.”
Kamal tak mahu kalah lalu membalas dalam nada menyindir,“memanglah nampak indah, tapi kita tak boleh lupa pegangan kita. Kita ada panduan. Jangan sampai keterbukaan kita jadi titik mula kita hilang arah.”
Sebelum percanggahan semakin meruncing, Encik Suffiyan mengangkat tangan— isyarat yang cukup untuk menghentikan suara-suara yang mulai meninggi. Pada saat yang sama Juan menghampiri mereka untuk mengucapkan selamat malam kepada Tuan Pegawai Daerah. Dia nampak bersih dan segak. Jambangnya dicukur kemas, jauh berbeza daripada biasa.
Juan menghulur senyum hormat, menundukkan kepala. “Selamat malam, tuan. I want to thank you for your presence at this festival. It means a lot to us, the villagers.”
Encik Suffiyan menyambut mesra sapaan Juan. “Of course. We are glad to see this vibrant culture. So, how are you doing? Is your health good? And… have you been able to avoid… old habits?
Ada keazaman di wajah Juan walau dibayangi kekeliruan. Dia menarik nafas dalam, kemudian mengangguk. “I’m putting in the effort, like spending the evening with my family. Hopefully, I can hold this to progress. It’s tough but with my family by my side... I can create a positive change.”
Sophia dan Hans bertukar pandang, wajah mereka dipenuhi harapan. Mereka tahu betapa pentingnya perubahan ini bagi Juan, bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga untuk Hans yang tak putus mendoakan kesejahteraan bapanya.
Kamal yang melayan sakit dalam hati, masih enggan keluar dari tempurung. Semua ni kejap je. Orang macam ni tak akan berubah sepenuhnya. Rungutnya dalam hati. Dia memilih untuk hanya memerhati dari jauh, menyuburkan prasangka yang sudah tertanam dalam fikiran. Bagi Kamal. sambutan keagamaan seumpama ini adalah bukti kepada satu pertembungan— nilai dan kepercayaan. Tetapi bagi Sophia, pengalaman ini telah membuka mata dan fikirannya kepada keindahan yang ada di luar lingkungan dunia abangnya.
Encik Suffiyan menepuk bahu Juan dengan mesra.“Bagus, Juan. Jangan berputus asa. Kita semua ada perjalanan masing-masing. Yang penting, kita cuba untuk menjadi lebih baik setiap hari. Dan ingat, Sophia dan Hans berteman baik. Apa pun keadaannya, saya harap mereka akan terus menjadi contoh yang mulia bagi satu sama lain.”
Sophia tersenyum mendengar kata-kata bapanya, sementara Hans menunduk sedikit, terharu dengan kepercayaan yang diberikan. Bagi Sophia, semua orang layak diberi peluang dan dihargai. Semakin kuat Kamal mempertahankan prinsip, semakin kuat hatinya memberontak untuk memberi makna kepada perbezaan yang sering dibangkitkan abangnya itu.
*
Setiap kali teringat malam festival, satu perasaan aneh yang berakar di dalam hati semakin sulit untuk dicantas. Setiap tatapan Sophia telah menyalakan api yang tak akan malap, walaupun Hans cuba untuk tidak terlalu berharap. Dia sedar, jurang di antara mereka seperti langit dan bumi— seperti pipit dengan enggang, gagak dengan merak tapi dalam masa yang sama, dia juga tahu, pepatah itu tak sesuai untuk diguna pakai, kerana dia adalah manusia.
Bagi Sophia pula, sambutan San Pedro telah mengizinkan dia melihat sisi lain Hans— bakatnya menari, tutur katanya yang berisi— Hans telah menghidupkan sebuah perasaan yang selama ini hanya dia dengar dalam cerita-cerita cinta. Tawa Hans, renungannya yang penuh ketulusan, membuat hati gadis seperti dia diwarnai dan diharumi bunga-bunga mekar. Bagi Sophia, siapa pun Hans, di mana pun kedudukannya, apa juga latar belakangnya atau kata-kata orang tak akan mematikan kasih sayang dan ketulusan perasaan yang disimpan terhadap Hans. Ianya terlalu asli untuk dipalsukan, terlalu dalam untuk dinilai dari luar.
#
Sophia dan rakan-rakannya, Lynn dan Dahlia, sama-sama teruja menantikan Kem Sains dan Matematik yang akan diadakan selama empat hari tiga malam. Bukan kem biasa, kem ini khusus untuk pelajar-pelajar terpilih dari tingkatan empat di seluruh lapan daerah di negeri mereka— peluang yang tak patut dibazirkan dan mereka bertiga tidak henti-henti membayangkan keseronokan serta ilmu yang bakal mereka pelajari di sana.
Tapi Hans tak menyebut langsung tentang hal itu, membuat Sophia tertanya-tanya— adakah Hans juga terpilih? Rasa ingin tahu mendorong dia mencari Hans di perpustakaan. Sophia dah cukup faham, Hans sering menghabiskan masa di sana, tenggelam dalam buku-buku yang menarik perhatiannya bila tiada aktiviti kelas di sekolah. Tekaannya tepat. Hans sedang duduk di satu sudut, menelaah sebuah buku falsafah sambil menulis di atas kertas. Seolah-olah merasa kehadirannya, Hans mengangkat wajah dan tersenyum melihat Sophia.
“Kau dapat ni?” Tanya Sophia sambil mengambil tempat duduk bertentangan. Kertas di tangannya Hans capai dan dibaca sepintas lalu.
“Ada.”
“So?” Suara direndahkan, bimbang akan mengganggu pengunjung perpustakaan.
“Lama sangat tu, nanti tak siapa nak tolong uncle dan mama kat kedai.” Jawab Hans. Sophia mengeluh kecil lalu mengambil semula kertas itu dari tangan Hans.
“Bukan selalu…” Dia menyandarkan badan ke kerusi lalu memeluk tubuh. Hans tersengih melihat telatah Sophia yang kelihatan manja. Dia tau Sophia berharap sangat dia akan menyertai Kem Sains dan Matematik yang akan diadakan seminggu lagi.
“Ramai sangat, kau bukan tak tau aku tak suka sesak-sesak.”
“Yelah nama pun kem, mestilah ramai. Semua sekolah dari tiap daerah tau, bukan senang dapat peluang macam ni, yang terpilih je dapat pegi.”
“Hmm…” Hans cuba tak menunjukkan minat, cuba mencari alasan lain walaupun sebenarnya dia ingin sangat turut serta menyertai program tersebut. Tanpa memandang muka Sophia, dia terus menyelesaikan kerja rumah. Dalam kepala, ligat dia berfikir dan merancang untuk mendapatkan keizinan dari mama Maria dan uncle Jose.
“Hans…”
“Ye...”
"Jomla...."
“Kalau aku tak pergi, kan Lynn dengan Dahlia ada?”
“Diaorang bukan kau.”
Hans meletakkan pen ke atas meja lalu dia mengeluarkan surat jemputan yang diterima pagi tadi. Surat itu diselit di celahan buku teks, disertakan bersama borang kebenaran untuk diisi penjaga. Wajah Sophia suram. Matanya memandang Hans bagai meminta simpati agar permintaannya ditunaikan.
“Empat hari, tau. Sanggup ke empat hari tak jumpa aku?” Akhirnya Sophia menggunakan kelebihannya merayu hati Hans yang mudah cair dengan tatapan redup matanya.
“Biar aku tanya uncle, papa dan mama Maria dulu, ye. Esok aku bagitau.” Jawapan yang Hans berikan membuat hati Sophia bersorak gembira.
#
Bas sekolah yang membawa peserta Kem Sains dan Matematik bergerak meninggalkan bandar kecil mereka. Suasana di dalam bas penuh dengan gelak tawa, perbualan yang bersemangat dan wajah-wajah ceria para pelajar yang terpilih untuk menyertai kem selama empat hari tiga malam di sebuah pusat latihan di luar daerah.
Sophia duduk di sebelah Dahlia, sementara Hans dan Lynn duduk di belakang mereka. Rancak empat sahabat itu berbual, walaupun Sophia lebih banyak termenung, memandang ke luar tingkap, cuba membayangkan apa yang menanti mereka di kem nanti. Ini adalah kali pertama dia akan tinggal jauh dari rumah dalam tempoh yang agak lama.
“Seronok tak dapat pergi kem macam ni?” Tanya Dahlia sambil tersenyum, cuba menceriakan Sophia.
“Ya… seronok. Tapi aku rasa pelik pula nak berjauhan dari rumah,” jawab Sophia. Dia sebenarnya teruja, tetapi entah kenapa, hatinya resah tanpa sebab yang jelas.
Lebih kurang satu jam setengah mereka sampai ke destinasi. Ramai peserta-peserta dari sekolah lain telah pun tiba terlebih dahulu. Hans yang mula tak selesa tetap cuba untuk menyesuaikan diri. Sebenarnya, dia setuju untuk menyertai tak lain hanyalah semata-mata kerana Sophia, sebab dia tak mau Sophia bosan dan kerana dia bimbang kalau terjadi apa-apa terhadap Sophia sewaktu dia tidak bersama.
Selepas sesi pendaftaran, mereka semua diberikan dorm masing-masing. Nasib menyebelahi, Hans dan Sophia— mereka ditempatkan dalam satu dorm bersama enam orang yang lain, yang mana setiap dua orang datang dari sekolah yang sama. Setelah membersih dan merehatkan diri, tiba waktu untuk minum petang sebelum sesi orientasi dijalankan. Selanjutnya, kem diteruskan dengan aktiviti berkumpulan. Hans, Sophia, Lynn dan Dahlia di tempatkan dalam satu kumpulan, bekerjasama dengan pelajar dari daerah lain. Salah seorang peserta yang menarik perhatian semua orang adalah Suri— seorang gadis pintar dan peramah yang memiliki kelebihan dalam Matematik.
Suri, dengan rambut paras bahu dan senyuman yang mudah membuat orang tertarik, mula mendekati Hans. Mereka berbual mesra sepanjang aktiviti berkumpulan, terutamanya ketika Hans dan Suri sama-sama terpilih untuk mengetuai tugasan menyelesaikan teka-teki sains yang kompleks.
“Hans, kau memang hebat dalam Sains. Aku kagum!” Puji Suri dengan nada ceria, sambil menepuk bahu Hans selepas tugasan selesai.
“Kau pun sama. Kita menang sebab kerja kumpulan, bukan sebab aku seorang. Teamwork,” ujar Hans dengan rendah hati, turut memberi pujian.
Selang beberapa meja, bersama kumpulannya menyiapkan tugasan, Sophia memerhatikan setiap gerak geri Hans. Senyum ketawa dan kemesraan Hans dan Suri telah mengusik hatinya dengan satu perasaaan yang asing. Tak pernah dia rasa begitu bila melihat Hans mesra dengan orang lain— seorang perempuan lain. Bahkan, kemesraan Hans dengan Dahlia dan Lynn sekalipun tak pernah memberi dia perasaan yang cukup meresahkan itu.
“Sophia, kau okey?” Tanya Lynn, yang menyedari perubahan pada wajah Sophia.
Tersentak dari lamunan, Sophia cuba mengukir senyum tapi tak semanis selalu— senyumannya tidak sampai ke matanya. “Aku okey… cuma penat sikit.”
Hari ketiga, suasana kem semakin meriah dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan. Sophia dan Hans jarang berbual kerana Hans sibuk dengan kumpulan baru yang turut disertai Suri. Di waktu petang, ketika mereka berehat selepas aktiviti sukan, Sophia tidak dapat lagi menahan rasa yang bergolak di hatinya.
Di sudut taman pusat latihan, Sophia akhirnya bersuara ketika Hans mendekati. “Kau nampak seronok dengan Suri,” ujarnya dalam nada lembut berbaur sindiran.
Kening Hans berkerut— kehairanan. “Kenapa kau cakap macam tu? Kau tau kan, kami buat kerja kumpulan? Sama macam kau…”
“Sampai tak bercakap dengan aku sepanjang hari? This isn't the version of you that I'm familiar with.” Sophia memalingkan wajah, tidak mahu Hans melihat matanya yang mula berkaca.
Hans terdiam, agak terkejut. “Sophia… kau salah faham. Aku tak pernah berniat nak abaikan kau. Suri… kan dia satu team dengan aku, rakan dalam tugasan.” Dia tak pernah menyangka Sophia akan rasa begitu, padahal dia tak ke mana-mana pun.
“Bila kau tak ada… aku sunyi… rasa kehilangan….” bisik Sophia. Suaranya hampir bergetar dan apa yang diluahkan benar-benar mengejutkan Hans, melajukan degup jantungnya, kerana luahan hati Sophia telah menyedarkan dia apa yang selama ini dia cuba nafikan— kesunyian bila Sophia tiada di sisi. Malah sebenarnya, dia mula faham apa erti rindu.
Di ruang makan kem yang mulai lengang, Dahlia dan Lynn mengajak Sophia duduk bersama mereka selepas selesai tugasan berkumpulan. Suasana sekeliling diterangi lampu malap dan suara-suara pelajar lain yang masih berbual terdengar sayup di kejauhan. Hans, seperti biasa, sibuk menyiapkan projek bersama kumpulannya, meninggalkan Sophia dalam kesendirian yang membuat dia terasa begitu sunyi. Kesunyian itu meresap ke dalam dirinya, memuramkan wajah yang biasanya ceria.
“Sophia, kau kena cakap dengan kami… apa yang sebenarnya dah jadi?” Lynn memulakan perbualan, cuba mengusir sepi di hati Sophia. Menghela nafas panjang, Sophia tak mengambil masa yang lama untuk membuat satu pengakuan. “Aku cemburu… cemburu tengok Hans dengan Suri. Aku tau aku tak patut rasa macam ni, tapi aku tak boleh elak.”
Dahlia memdengar dengan penuh empati. “Kau kena ingat… Hans tak pernah tinggalkan kau. Dia cuma mesra dengan Suri sebab tugasan. Kalau kau cemburu, elok kau terus terang.”
“Tapi kalau aku cakap, aku takut Hans akan berubah. Aku takut nanti dia akan menjauh.” Sophia mengusap matanya, cuba mengawal emosi.
Lynn tersenyum kecil. “Sophia, kita semua dan kawan dah lama. Kau orang pertama yang berjaya buat Hans keluar dari dunia dia. Aku yakin, dia akan faham. Tapi kau tak boleh biarkan cemburu rosakkan hubungan kau dengan dia.”
“Aku takut…. Perasaan macam ni, betul ke salah…”
Dahlia merapatkan tubuhnya, merangkul bahu Sophia. “Tak ada yang salah dalam soal cinta kalau datangnya dari hati yang suci murni.”
“That’s true, Phia. Kenapa perlu takut? Sebab mulut orang?” Tambah Lynn yang sangat memahami tekanan yang diberi Kamal kepada Sophia.
“Korang tak fikir ke, apa yang aku rasa ni, tak normal?” Sophia mengangkat muka, mencari kejujuran di wajah teman-temannya. “Agama kita, Lia… kau pun tau, Islam tegas dalam hal ni dan melaknat hubungan seperti ini… Aku keliru.”
Dalam perbualan yang jujur dan terbuka malam itu, Sophia akhirnya meluahkan kebimbangan yang sering menghantui hati dan fikiran. Wajahnya kelihatan tegang, mata yang biasanya ceria kini dipenuhi kegusaran.
“Aku perlu pendapat korang, sebagai kawan baik aku. Tapi aku takut korang akan pandang aku lain.” Sophia meminta, hampir berbisik.
Lynn, yang sedang duduk di sebelahnya, memandang dengan penuh perhatian. “Sophia, kau boleh cakap apa je dengan kami. Kita dah kawan lama. Aku dengan Lia, tak akan pernah menghakimi engkau.”
Sophia menghela nafas panjang, tangannya menggenggam erat sweater di riba. “Aku… Betul macam kau cakap Lia… aku memang sukakan Hans, bukan sebagai kawan biasa… lebih daripada tu.” Dia berhenti sejenak, mengatur kata-kata yang sukar diluahkan. “Dan aku tau, orang mungkin akan anggap semua ni salah. Hubungan macam ni… hubungan antara dua gadis… dianggap pelik, tak normal. Sesetengah orang kata… berdosa.”
Lynn terdiam sejenak, merenung kata-kata Sophia. Dia faham sensitiviti isu ini dalam masyarakat yang sering meletakkan batas tegas terhadap hubungan sejenis. Namun Lynn menentang keras cara pemikiran yang sempit . Gerejanya selalu mengajar tentang cinta dan kasih sayang— dalam apa jua bentuk, jika ia datang dari tempat yang tulus dan ikhlas, cinta tak pernah akan menjadi sesuatu yang salah, sebagaimana yang dikatakan Dahlia tadi.
“Dengar sini.” Lynn memegang tangan Sophia. “I can see why you're feeling anxious. The world tends to judge what it doesn't understand. But love is never wrong when it's real and helps you grow.”
Sophia mengangkat pandangannya, air mata yang tadi bertakung kini mula mengalir. “Tapi, Lynn, Lia… macam mana dengan agama? Apa yang orang akan fikir?”
“Kalau ikut agama aku, kami diajar tentang kasih sayang, bukan kebencian. Jesus sendiri ajar supaya kita harus saling mencintai sesama makhluk, tanpa syarat— manusia, haiwan, alam… Aku percaya Tuhan tengok hati kita, bukan label yang manusia bagi. Perasaan yang lahir dari kejujuran, dari keinginan untuk saling menjaga dan membahagiakan, bukan sesuatu yang salah atau berdosa.”
Kata-kata Lynn meresap ke dalam diri Sophia. Dahlia yang bersetuju menyokong pendapat Lynn dengan tegas. “Love isn't a sin if it's genuine if it makes you a better person. Orang… biasala mana tau diam, lagi-lagi kalau pasal hentam orang lain, kau pun tau tu. Lantaklah diorang nak kata apa. They will judge and criticise but in the end, what counts most is your own feelings and how you decide to welcome that love into your life.”
Sophia mengelap air mata, terasa beban di hati sedikit terangkat. “Kau tak rasa aku… pelik?”
Lynn ketawa kecil, menggeleng. “Pelik? Apa yang peliknya? Dunia ni yang terbalik kalau kasih sayang dan cinta suci dianggap pelik.” Lynn mengusap bahu Sophia. “Aku rasa kau berani.”
“Aku setuju sangat. Bukan sehari dua kita kenal kau dan sebagai orang Melayu yang tak diizinkan menukar label, aku cukup faham dengan masalah ni. Tapi bagi aku senang je— kau seorang yang baik, sama macam Hans. Kalau kau rasa bahagia dan tenang dengan dia, itulah yang perlu diutamakan, bukan kata-kata orang yang cetek.” Dahlia memeluk bahu Sophia. “Dalam dunia yang selalu takutkan kelainan, kau berani and courage is not something to be ashamed of. It's something you should be proud of.”
Kata nasihat dari sudut pandang Lynn dan Dahlia telah menemukan Sophia dengan satu kekuatan— keyakinan untuk bersikap jujur pada hati, tanpa rasa takut atau malu. Cinta mungkin tidak selalu difahami oleh semua orang, tetapi di dalam hati mereka yang benar-benar merasakan, cinta adalah sesuatu yang suci dan bukan untuk dikotorkan.
Selepas perbualan panjang bersama Lynn dan Dahlia di malam terakhir kem, Sophia merasakan beban di hatinya mula berkurangan. Kata-kata mereka yang penuh empati dan sokongan membuka ruang untuk dia melihat perasaan sendiri dari sudut yang berbeza. Rasa cemburu yang mengganggu mula menyisih, digantikan dengan tekad untuk bersikap jujur— kepada dirinya sendiri juga kepada Hans.
Ketika semua orang lena dibuai mimpi, Sophia menyandarkan tubuh ke katil asrama, memandang Hans yang terlebih dahulu mengucapkan selamat malam. Wajah damai Hans dia tatap sambil menyelami diri sendiri. Tiba-tiba dia rindu walaupun Hans berada hanya beberapa tapak jauhnya dari dia. Pelan-pelan, dia membaringkan badannya, mengiring ke kanan, menghadap katil Hans. Bantal kecil yang dibawa sama dia peluk— mencari selesa. Saat mata dia pejamkan, Sophia membayangkan dia sedang memeluk Hans yang tidur di seberang katilnya.
Cemburu ini tak patut mengaburi apa yang aku rasa. Hans bukan milik sesiapa dan aku tak perlu bersaing dengan sesiapa pun. Yang penting… aku tau apa yang aku nak dan aku perlu bagitahu dia.
*
Sinar matahari pertama menyusup masuk melalui tingkap asrama. Sophia bangun dengan hati yang lebih ringan. Dia menatap wajahnya di cermin kecil di sudut bilik, menarik nafas dalam-dalam. Hari ini aku akan menjadi diri aku sendiri— tiada lagi rasa takut atau cemburu yang membayangi.
“Morning…” Ucap Hans yang masih berbaring di katil, meregangkan tangannya. “How was your sleep?”
“Beautiful…” Jawab Sophia ringkas, dan berlalu ke bilik mandi selepas bertukar senyuman selamat pagi.
Selesai makan tengah hari, Hans mendekati Sophia yang sedang duduk di tepi tasik kecil di pusat latihan. “Boleh kita cakap kejap?” Tanpa memerlukan jawapan, segera Hans duduk di sebelahnya. “Pasal apa yang kau cakap semalam...” Hans memulakan. “Aku tak pernah ada niat nak buat kau sakit hati atau sedih. Aku hargai kau lebih daripada kawan lain. Suri? Aku tau nama je...”
Sophia terdiam, matanya memandang ke arah Hans. Wajahnya kelihatan serius tapi keikhlasan jelas terpancar dari hati. “Kalau kau rasa sunyi tanpa aku, macam tu jugaklah aku rasa kosong tanpa engkau.”
Terasa perit di tekak, Sophia tetap menguntum senyuman walau air mata yang ditahan akhirnya mengalir juga. “You really mean it?”
“From the bottom of my deepest heart and soul.”
Lynn dan Dahlia yang memerhati dari jauh tersenyum sesama sendiri. Dah lama mereka sedar, antara Hans dan Sophia telah terjalin sesuatu yang lebih kukuh daripada persahabatan dan kini semakin berkembang lebih dalam.
Dalam perjalanan pulang ke daerah mereka, suasana di dalam bas dipenuhi dengan gelak tawa dan perbualan hangat tentang pengalaman di kem. Hans duduk di barisan belakang bersama Lynn, Dahlia, dan Sophia, berkongsi cerita tentang aktiviti dan pertandingan yang mereka lalui. Sophia kelihatan lebih tenang, sesekali tertawa kecil mendengar jenaka Hans dan Lynn.
Namun di sebalik ketenangan, hatinya berdebar. Dia tahu, dia perlu mengambil langkah yang selama ini dia ragui— berterus terang dengan Hans.
#
Hari-hari selepas kem berlalu dengan cepat. Sophia dan Hans kembali ke rutin biasa mereka di sekolah. Menjalani hari-hari yang berlalu, Sophia semakin sedar, ada kelainan dalam dunia jiwa remajanya. Ada keinginan, ada impian. Cara Hans melayan kerenahnya, mendengar dan sentiasa ada membuat dia rasa dimanjakan, diperlukan, dihargai dan disayangi dengan sepenuh perhatian.
Adakah Hans betul-betul merasakan perkara yang sama? Atau apa yang Hans katakan tempoh hari telah aku salah ertikan? Fikiran dan tanda tanya berlegar-legar di kepalanya, tetapi kali ini, Sophia tidak mahu lagi melarikan diri daripada mencari jawapan.
Satu petang selepas sekolah, Sophia memutuskan untuk berbincang lagi dengan Lynn dan Dahlia. Mereka bertemu di kafe kecil berhampiran sekolah, tempat biasa mereka menghabiskan masa selepas kelas.
“Kau nampak lebih relaks sejak balik dari kem,” kata Dahlia sambil menghirup kopi. “Macam dah tak ada cemburu.”Gurauan Dahlia membuat Sophia tersipu malu. “Dah tiba masanya aku berterus terang dengan Hans. Aku dah penat memendam rasa.” Tanpa berkias-kias, dia membuat pengakuan.
Lynn meletakkan cawan kopi, “kau takut dia kena kebas, lepas kes kat kem haritu?” Dia mengusik tapi matanya bersinar bangga. “Kau dah buat kelutusan tepat, berani. Hans berhak tau. Dan kau pun berhak untuk tau.”
Dahlia mengangguk setuju. “Kita ni, kadang-kadang takut sangat apa yang orang cakap sampai lupa sebenarnya kebahagiaan kita, bukan orang lain yang tentukan tapi diri sendiri.”
Sophia menarik nafas dalam-dalam, menyerap semangat yang diberikan oleh kedua-dua sahabatnya. Dia tahu, dia kini hanya perlu mencari masa yang sesuai untuk melafazkan sebuah kata.