Konserto Untuk Sophia ~ 3.1

Ray FL
0

PART 3~ THE TRIO
Bab 12: Kontemplasi Hati

D(caps)uduk termenung di atas bot, Hans memandang jauh ke laut yang terbentang, cuba mencari petanda daripada gelombang air yang menderu perlahan. Surat dari Sophia masih dalam genggaman. Lipatan yang agak lusuh itu menunjukkan betapa seringnya dia melihat dan memegang kertas putih tersebut— memegangnya dengan penuh harapan. Mengerling jam di tangan, Hans berkira-kira, Sophia pasti sudah bertolak meninggalkan ‘penjara’ di Kampung Rambai.


Dah dua bulan peperiksaan tamat— peperiksaan yang bakal menentukan hala tuju mereka selepas ini dan Kampung Rambai akhirnya menjadi masa lalu bagi Sophia. Melangkah keluar dari rumah Makcik Salina adalah sebuah kebebasan. Udara pagi terasa lebih segar, kicauan burung-burung kedengaran lebih merdu. Hati Sophia terasa begitu ringan saat meninggalkan tempat yang telah menjadi penjara emosinya selama lebih setahun. Di atas jalan berdebu menuju kereta yang menunggu, Sophia sempat menoleh ke arah rumah itu untuk kali terakhir. Banyak kepahitan yang ditinggalkan, tetapi juga pengajaran yang mengutuhkan seluruh kewujudannya.


Sebulan sebelum meninggalkan Kampung Rambai, Sophia menulis surat kepada Hans— surat terakhir yang dikirimkan oleh Ema, memberitahunya tentang kepulangan itu.


Hans, papa dinaikkan pangkat dan aku rasa kau tau tentang itu— papa bukan lagi pegawai daerah di Tanjung Bayu. Mereka dah berpindah tapi aku tak diberitahu kat mana tempat baru tu. Cuma aku harap tempat tu akan mendekatkan kita. Aku dah penat hidup dengan jarak, dalam kawalan... Aku terlalu rindukan kau dan rindu ini semakin menguatkan kasih sayangku. Lebih banyak sakit yang mereka ciptakan, lebih dalam cintaku padamu.

Aku milikmu, sayang…
Sophia Marcello

 

Surat Sophia sempat Hans balas dan itulah surat terakhir yang dialamatkan ke rumah Ema.


Setelah bertahun-tahun berpindah dari satu daerah ke daerah lain, akhirnya keluarga Encik Suffiyan pulang ke kampung asalnya, Kota Suria Putra, sebuah pekan kecil yang berkembang pesat menjadi bandar moden. Perlantikan Encik Suffiyan sebagai Datuk Bandar di kota itu menjadi satu kebanggaan besar bagi keluarga mereka. Kini, mereka tidak lagi tinggal di kediaman rasmi pegawai kerajaan, tetapi di sebuah rumah milik sendiri yang lebih besar, gah, dan sempurna dipandangan mata.


Teratak Kamalia terletak di sebuah kawasan elit di pinggir bandar, dikelilingi taman-taman, tasik buatan dan deretan rumah mewah. Banglo tiga tingkat itu berdiri megah dengan tiang-tiang marmar di bahagian depan, pintu kayu ukiran halus. Halamannya luas, dipenuhi bunga-bunga eksotik. Kolam renang terletak di belakang rumah menghadap kehijauan hutan simpan yang memagari tasik. Ruang tamunya pula dihias perabot yang menggambarkan status keluarga Encik Suffiyan yang semakin tinggi.


Walaupun kagum melihat rumah barunya buat pertama kali, kekosongan di hati Sophia tak dapat digantikan dengan segala kemewahan di depan mata. Rumah yang tersergam indah dan megah itu bukanlah sesuatu yang dia impikan. Baginya, rumah itu terlalu besar, terlalu sunyi, dan tak berjiwa.


Biliknya terletak di tingkat tiga, lebih luas dan dilengkapi perabot import serba baru. Pemandangan dari balkoni menghadap bandar Kota Suria Putra. Dari sudut itu, jalan-jalan sibuk dengan lalu lintas, bangunan tinggi yang berkilauan, dan lampu-lampu neon yang berkelipan di waktu malam kelihatan begitu kecil. Sophia merasa dirinya semakin jauh daripada kebahagiaan yang pernah dia kenal. Tiada laut seperti di Tanjung Bayu, tiada pantai untuk dia bersandar dan berbicara dengan angin. Tak ada lagi senyum ramah penduduk kampung dan pekan, diganti dengan jiran-jiran yang saling tak mengenali.


“Apa yang ada kat sini?” Bisik Sophia kepada dirinya sendiri, memandang ke luar jendela. “Rumah ni besar, tapi kosong. Bandar ni serba lengkap, tapi hambar.”


Tanggungjawab Encik Suffiyan semakin bertambah seiring dengan jawatan tinggi yang disandang. Sibuk dengan tugasnya sebagai Datuk Bandar, manakala Puan Kamalia pula selalu penuh dengan acara-acara sosial bersama golongan elit di kota itu. Rumah besar mereka sering kali sunyi, hanya diselubungi bunyi jarum jam yang berdetik atau langkah pembantu yang menguruskan rumah.


Setiap kali keluar bersama ibu bapanya ke acara rasmi, dia terpaksa berpura-pura menjadi gadis sempurna di mata semua orang— sopan, patuh, dan sentiasa tersenyum. Dia merasa asing bila gadis-gadis sebaya yang turut menghadiri majlis gemar bercakap tentang kemewahan, fesyen, dan perkara-perkara yang tidak pernah menarik minatnya. Jauh di dalam diri, Sophia melihat sebuah boneka yang dikawal oleh tangan-tangan palsu.


Hidup di Kota Suria Putra semakin hari semakin menyesakkan. Rumah besar yang kelihatan sempurna dari luar terasa seperti penjara yang semakin mengecil. Setiap pergerakannya diawasi, setiap pertanyaannya dijawab dengan syak wasangka, dan setiap senyumannya dipaksa-paksa. Kehidupannya dikawal keluarga—sebuah skema yang dirancang rapi, di mana segala langkah dan keputusan diatur, meninggalkan dia tanpa ruang untuk memilih arah hidup sendiri.


Sophia masih belum berani menyentuh impiannya untuk menghubungi Hans, kerana risikonya terlalu besar jika ibu bapanya tahu. Namun, di setiap hela nafasnya, hanya ada satu impian— untuk bersatu dengan Hans. Dia ingin menyampaikan kepada Hans bahawa dia masih ada dan tak mungkin akan melupakan cinta mereka.


Diulit mimpi indah bersama Hans, pagi itu Sophia bangun ketika matahari mulai menebarkan sinarnya. Suasana di rumah terasa lebih tenang daripada biasa. Encik Suffiyan sudah keluar bekerja, manakala Puan Kamalia sibuk di ruang tamu melayan kawan-kawan yang datang bertandang. Suara bual dan tawa mereka bergema di seluruh rumah dan inilah peluang yang ditunggu-tunggu Sophia.


Di dalam laci meja tulis, dia mengambil sebuah sampul yang dah lama ingin dia kirimkan. Tangannya menggigil ketika sampul itu dibawa keluar dari tempat persembunyian. Dengan pena di tangan, dia menuliskan alamat Hans di dada kertas berwarna putih itu. Sebuah album kecil dia keluarkan sama. Di dalamya terdapat deretan setem yang dibekalkan Ema sewaktu di Kampung Rambai. Dia mengoyakkan sekeping setem berharga 50 sen lalu di tampalkan di bucu kiri sampul.


Sayang,
aku tak tau macam mana keadaan kau sekarang, tapi aku harap kau sihat. Aku kat sini… Kota Suria Putra, tak jauh dari Tanjung Bayu, lebih kurang dua jam perjalanan. Kita semakin dekat. Pertemuan boleh kita atur, aku percaya.

Jurnal ini pengganti diri, buat pengubat rindu, bukti bahawa cinta aku tak akan tergugat. Aku tak pernah lupakan kita. Ini alamat rumah aku dan nombor telefon tapi Hans, tolong… tolong jangan balas surat ini atau menelefon aku. Kalau keluarga aku tau, semuanya akan jadi lebih buruk daripada apa yang kita bayangkan dan mungkin kita tak akan dapat bersama lagi.

Aku di sini masih terpenjara dan setiap hari aku hanya rindukan kau. Macam manapun, aku akan cuba cari jalan untuk kita bertemu. Jangan berhenti berdoa supaya Tuhan bukakan jalan buat kita. Kau sabar ya, Hans. Kita akan bertemu semula. Aku janji. Cinta aku untuk kau seorang.

Dengan penuh rindu,
Sophia Marcello

 

Selepas menyorokkan surat di dalam jaket, Sophia menyelinap keluar dari bilik. Dia sedar, betapa besar risiko ini, tapi nekadnya lebih besar daripada ketakutan. Setiap detik terasa seperti bom waktu. Derap langkah kaki diatur senyap, berhati-hati dan setiap kali dia mendengar suara dari ruang tamu, dia berhenti sejenak, menahan nafas.


Sampai di pintu belakang, Sophia memastikan tiada sesiapa melihat sebelum dia menyarung kasut dan melangkah keluar. Jalan kecil di belakang rumah membawanya ke jalan lebih besar. Di situ berdiri sebuah peti berwarna merah yang diperbuat dari batu. Dah selalu dia memerhatikan peti itu setiap kali dia dibawa keluar oleh orang tuanya. Sophia melintas jalan bersama debar di dada. Diiring sebaris doa, surat itu akhirnya berada di dalam perut peti pos berwarna merah itu.


“Kita akan bersama selamanya.” Sophia menatap langit biru yang luas seluas harapan yang dia titipkan. Cepat-cepat dia melangkah pulang bersama hati sedikit lebih ringan. Walaupun dia tahu surat itu tidak akan mendapat balasan, hanya dengan menyatakan perasaan dan menyampaikan berita kepada Hans sudah cukup untuk menenangkan jiwanya.


Selepas makan malam, Sophia terus ke bilik. Lampu tidur dipadam, digantikan dengan lilin. Pintu balkoni dibuka luas dan dia keluar, menatap langit. Kedua tapak tangan disatukan dalam genggaman erat, menadah doa— “Tuhan, tunjukkanlah pada aku kalau yang benar itu salah. Kalau cinta ini bukan dosa, bukakanlah jalan untuk aku dan dia. Jangan biarkan dunia menyeksa kami selamanya. Satukanlah kami dalam apa juga cara yang Kau restui.”


Air mata menitis satu per satu, membawa bersama beban rindu. Walaupun jalan di hadapan masih kabur, Sophia tetap yakin bahawa Tuhan mendengar setiap bisikan hatinya.


Hari-hari berlalu begitu sunyi. Sophia mengisi waktu dengan membaca buku tetapi fikirannya tak lari dari Hans dan kenangan yang mereka bina bersama. Di waktu malam, ketika semua orang diulit mimpi, Sophia masih berjaga, duduk di balkoni melihat lampu-lampu dari kejauhan. Kerlipan lampu-lampu seakan kelip-kelip dalam botol kaca— bercahaya tapi tak dapat menebarkan sayap. Jalur-jalur neon di jalan tak akan dapat menggantikan kerlipan bot-bot nelayan atau bintang-bintang di langit yang tak dicemari cahaya.


Bertemankan jurnal Hans di tangan, alunan suaranya di telinga melalui pita rakaman, Sophia titipkan lagi doa yang sama. Setiap baris kata yang ditulis, setiap nada yang dicipta, membawanya kembali ke Tanjung Bayu— di mana dia bebas mencari makna sebuah kehidupan. Malam demi malam, dia duduk di balkoni, memandang langit yang tak berpenghujung. Jauh di sana, dia percaya, Hans juga sedang memandang langit yang sama— mengirimkan doa yang serupa, berharap cinta mereka akan menemukan jalan di antara bintang-bintang.


Dan kini, diusia mencecah 18 tahun, Sophia yakin, dia hanya ingin menghabiskan seluruh hidupnya bersama Hans.


*


Seorang posmen tua menyapa mesra sambil menghulurkan sekeping surat kepada Hans yang sedang bermain gitar di atas pangkin depan rumah. Tulisan tangan yang cukup dia kenal menghias sampul putih membuat dadanya terasa sesak. Surat dibuka dengan tangan yang tak sabar. Setiap baris dibaca dengan penuh debaran.


“Sayang…” bisik Hans. Surat digenggam erat, dicium dan diletakkan ke dada. Walaupun Sophia berpesan jangan membalas, hatinya tetap memberontak. Dia tak sanggup hanya diam, tak sanggup biarkan Sophia terus sendirian menghadapi semuanya. Tapi dia tahu, dia tak boleh ikutkan perasaan. Dia harus bersabar.


Bersama jurnal titipan Sophia, Hans duduk di tepi pantai Tanjung Bayu, selepas kedai makan ditutup. Dia memandang jauh ke laut luas, memegang jurnal di tangan kiri sementara tangan kanannya bermain dengan loket rantai di leher. Loket itu dicium seperti mana dia mencium bibir Sophia buat kali pertama.


“Aku akan bersabar, Sophia. Jalan akan terbuka. Aku janji, kita akan bersama lagi, walau apa pun halangan.”


Hans memandang ke langit yang dihiasi bintang, seolah-olah bercakap dengan Sophia yang jauh di sana. Tiada jarak dapat memisahkan mereka. Tiada rintangan yang mampu menghalang. Doa dan harapan masih berpaut pada tali yang sama. Dalam kerinduan yang mendesak, dia dipujuk belai kata Sophia yang tercatat dalam surat. Sekurang-kurangnya kini dia tahu di mana kekasihnya berada. Alamat dan nombor telefon yang disertakan dapat membantu jika keadaan memaksa.


#


Kesepian yang membaluti hari-hari Sophia di Kota Suria Putra terpecah dengan berita yang disampaikan ketika dia menyertai ibu dan ayahnya di ruang tamu selepas makan malam. “Hujung minggu ni kita semua dijemput ke rumah Encik Bakhtiar, ada majlis sikit sempena masuk rumah baru,” kata Encik Suffiyan sambil menyandarkan tubuh ke sofa.


“Bakhtiar?” Tanya Puan Kamalia.

“Ye, Bakhtiar suami Munirah. Oh, saya lupa nak bagitau awak, Bakhtiar dipindahkan bertugas kat sini. Sebab tu dia buat majlis.”

Sophia yang sedang termenung memandang TV, mengangkat wajah. “Dahlia…” Bisik hatinya.


“Munirah tak bagitau saya pun,” balas Puan Kamalia. “Phia…” Dia memanggil anak daranya yang pura-pura menumpukan perhatian kepada TV. “Ingat tak Encik Bakhtiar, bapa kawan kamu si Dahlia tu?” Tanya Puan Kamalia.

“Ha, Phia… Dahlia sekeluarga akan berpindah ke sini,” jelas Encik Suffiyan, suaranya tenang tetapi cukup untuk membuatkan Sophia hampir tersedak.

Matanya membulat, tubuhnya terasa dipenuhi semangat yang dah lama hilang. “Dahlia? Dia datang ke sini?” Sophia bangun, lalu duduk di sebelah ibunya.


Encik Suffiyan mengangguk sambil tersenyum kecil. “Ya. Rumahnya tak jauh dari rumah kita. Ada majlis kecil hujung minggu ni, sempena masuk rumah baru. Nanti kita pergi.”


Berita itu bagaikan sejalur cahaya di hujung lorong gelap hidup Sophia. Wajahnya ceria buat pertama kali sejak mereka berpindah ke Kota Suria Putra. Peluang ini tak akan dia sia-siakan. Dia yakin, ia bukan sekadar kebetulan tapi petanda— pintu jawapan kepada doa-doanya kian terbuka.


*


Hari majlis tiba dengan cuaca yang cerah dan angin bertiup lembut. Sophia memilih pakaian ringkas— gaun hijau lembut yang membuatkan dia kelihatan segar. Walaupun nampak tenang tapi di dalam, jantungnya berdetak laju.


Banglo Encik Bakhtiar terletak tidak jauh dari kediaman mereka, di kawasan perumahan yang serupa. Rumah itu dihias indah— meja panjang di laman dipenuhi hidangan dan kanopi putih menaungi tetamu yang hadir. Bunyi tawa dan perbualan mesra memenuhi udara.


Mata Sophia segera mencari satu wajah di antara tetamu yang ramai. Wajah seseorang yang selama ini menjadi sebahagian daripada hidupnya, seseorang yang boleh menjadi jambatan untuk dia kembali kepangkuan Hans. Dan akhirnya, di hujung laman, di bawah pokok besar yang memberi teduh, Sophia melihat dia— Dahlia, dengan senyum lebar dan mata yang bersinar tetap seperti dulu.


“Dahlia!” Panggil Sophia sambil berlari anak, mendapatkan sahabatnya itu.

Dahlia berpaling dengan pantas, wajahnya terkejut seketika sebelum bertukar ceria. “Sophia?!” Mereka saling berpelukan. “Sophia! Aku memang harap dapat jumpa kau kat sini.”

“Lia… Oh… Thank God… At last…”

“Rindunya aku… Sophia… dekat dua tahun kita tak jumpa… Kau… wowyou look just wow…”

Kedua-duanya hampir menitiskan airmata— airmata gembira.


“Hans ada bagitau aku kau pindah sini. Tup tup, bapak aku cakap dia naik pangkat, kena tukar sini. Leganya aku dapat jumpa kau, Phia… Banyak yang nak aku cerita.”

Mata Sophia tersenyum, walaupun sedikit berkaca. “Aku tak dapat guna telefon, kalau tak lama dah aku call kau, Lynn… Hans… ”

“Dorang masih kawal engkau? Engkau masih tak boleh gunakan telefon atau keluar?”

Sophia menggeleng. “Telefon kat rumah di kunci. Kalau nak keluar, aku akan diteman mama. Aku rasa macam banduan, macam penjenayah. Aku rasa terpenjara. Tapi sekarang…Tuhan dah hantar malaikat untuk aku.”


Dahlia tertawa kecil sambil mengusap lengan Sophia. “Kau ni drama betul. Tapi aku faham… aku malaikat utusan Tuhan untuk bidadarinya.” Dahlia mengeyitkan mata. “Well, bandar ni macam mana bagi kau? Nampak cantik, tapi tak seindah Tanjung Bayu, kan?”


Sophia mengangguk setuju. “Tak sama, Lia… Aku rindukan Tanjung Bayu. Aku rindukan semuanya… terutama Hans. Dia macam mana , Lia? Ada kau jumpa dia sebelum pindah sini?”

“Mestilah. Bapak aku buat majlis perpisahan. Semua kawan-kawan datang. Hans tetap sama macam yang kita kenal empat tahun dulu. Dan dia tetap setia pada engkau.” Dahlia memimpin Sophia ke sebuah bangku. “Aku dah janji dengan Hans, kalau jumpa kau, aku akan bagitau dia. Hmm… kalau boleh sekarang aku nak call dia, bagi kau cakap dengan dia terus… tapi tulah… ramai orang kat dalam tu. Kita atur plan dan tunggu masa sesuai, ye?”

“Kalau kau call dia nanti, tolong sampaikan salam rindu aku, cinta aku kat Hans.”


Dahlia berjanji dan dia tak henti bercerita tentang sekolah, peperiksaan, kawan-kawan. Tentang aktiviti mereka, tentang sambutan San Pedro, tentang perayaan-perayaan yang disambut bersama tak kira bangsa atau agama. Mereka— Lynn, Dahlia, Marsha dan Hans melakukan itu semua bersama-sama, seperti selalu. Bercahaya wajah Sophia mendengar semua cerita Dahlia.


“Setiap apa yang kami buat, nama kau tak pernah kami lupa dan Hans… rantai, cincin kau tu tak pernah lekang dari dia. Untung kau, Phia. Hans tu… baik dan dia makin kacak sekarang tau…” Dahlia ketawa. “Nasib aje dia tu kau punya, kalau tak aku kebas dah,” sengaja Dahlia mengusik— nak lihat ketawa di wajah Sophia dan dia berjaya. Sophia mencubit perlahan lengannya.


“Berani buatlah…” Sophia ketawa. Ketawa dari hati buat pertama kali setelah sekian lama. “Aku tak nak sesiapa yang lain. Cinta datang hanya sekali dalam hidup dan untuk aku, hanya Hans.”


Dahlia memandang Sophia dengan mata penuh semangat, senyuman nakal terukir di bibirnya. “Jangan risau. Sekarang aku kat sini, aku akan tolong kau. Kalau kau nak pos surat ke kuih ke untuk Hans, malaikat ni ada, jangan risau.” Gurauan Dahlia bukan sekadar untuk melegakan hati seorang kawan tapi sebuah keikhlasan yang tulus.


Sepanjang majlis itu, tak berhenti mereka berbual— menggantikan waktu yang dah terlepas. Dahlia berkongsi cerita tentang Tanjung Bayu, tentang sekolah, tentang bagaimana Hans masih sama seperti dulu, tentang bapanya yang dah berubah dan tentang cintanya kepada Sophia yang semakin bertambah. “Aku kagum. Apa pun dugaan dalam hidup, Hans tak pernah berhenti berharap,” kata Dahlia.


Mendengar itu, hati Sophia kembali berbunga. Sejak dia berpindah ke Kota Suria Putra, itulah satu saat di mana dia tak lagi rasa bersendirian. Dahlia kini menjadi harapan baru untuknya, jambatan yang akan membawanya kembali kepada Hans.


Sebelum majlis berakhir, Sophia dan Dahlia duduk bersama di buaian kayu di laman rumah itu. Sophia menggenggam tangan Dahlia erat. “Terima kasih Lia… sebab masih jadi sahabat aku,” bisiknya, terharu.


Dahlia tersenyum lebar. “Tak payah terima kasih. Kita sahabat. That’s what friends are for.


#


“Mama, papa… Esok Dahlia nak datang sini, nak tengok-tengok rumah. OK ke?” Tanya Sophia meminta restu sewaktu makan tengah hari.


“Eh, kenapa pulak tak OK… Esok ajak dia minum petang.” Jawab Puan Kamalia dan suaminya turut memberi persetujuan tanpa banyak soal.


Seperti yang telah dirancang, Dahlia tiba di rumah Sophia sewaktu matahari memancarkan sinar redup di atas air kolam. “Apa khabar, Dahlia?” Puan Kamalia menyambut dengan senyuman kecil. “Macam mana kehidupan keluarga kamu? Kamu dah sesuaikan diri di sini?” Puan Kamalia menjemput Dahlia duduk menikmati teh dan sedikit kuih, sementara menunggu Sophia turun.


Dahlia tersenyum sopan, menundukkan sedikit kepalanya. “Alhamdulillah, Aunty. Semuanya baik je. Kota Suria Putra memang lain sangat dengan Tanjung Bayu, tapi lama-lama boleh sesuaikan diri.”


Puan Kamalia mengangguk, matanya beralih ke arah dalam, memastikan Sophia tak muncul tiba-tiba. Nada suaranya kemudian bertukar lebih perlahan, ingin menanyakan sesuatu yang lebih serius. “Dahlia, kamu tau apa khabar Hans sekarang?”


Dahlia terkedu mendengar pertanyaan itu— tak sangka Puan Kamalia masih ingat pada Hans. Cepat-cepat dia menyembunyikan kejutan itu di balik wajah yang tenang. Dahlia dapat merasakan, soalan Puan Kamalia adalah satu perangkap halus, tapi ia juga satu peluang.


Menarik dan menghela nafas, Dahlia berpura-pura termenung sebelum menadakan suara sedih. Wajah pula sengaja dia muramkan. “Hans?” Dahlia memandang ke lantai sejenak, seakan mengatur kata-kata. “Hans… dia dah tak sama, Aunty. Selepas Sophia pergi, Hans… berubah. Kecewa sangat agaknya… Dia macam kehilangan sesuatu yang paling berharga, paling penting dalam hidup dia.”


Puan Kamalia mengangkat kening sedikit, tetapi wajahnya tidak menunjukkan tanda belas. “Kenapa? Dia jadi pemabuk macam bapak dia?”

Hati Dahlia tersenyum sinis. Pertanyaan itu mencetus idea, menanam nekad dalam dirinya untuk menyatukan kembali dua hati yang telah dipisahkan. “Tak, aunty. Lepas tamat sekolah, Hans ambil keputusan bekerja di kapal persiaran. Dia cakap dia nak lupakan semuanya. Hans tinggalkan kampung, tinggalkan keluarga… Yelah… terlalu kecewa agaknya.”


Puan Kamalia terdiam sejenak. Kata-kata Dahlia bagaikan angin sejuk yang meniup resahnya selama ini. Selama berbulan-bulan, dia dibayangi ketakutan jika Sophia masih menyimpan perasaan terhadap Hans, jika perpisahan yang mereka rancangkan tidak benar-benar memisahkan mereka. Namun, cerita ini membuatkan hatinya lapang.


“Jadi… Hans dah pergi jauh?” Tanyanya, sekadar memastikan.

Sambil mengangguk, Dahlia mengekspresi sedih di wajah untuk meyakinkan. “Ya, aunty. Dia di laut sekarang, jauh dari sini. Saya rasa… dia dah sedar yang dia tak sepatutnya berharap lagi. Lagipun, hidup atas kapal lebih baik untuk dia. Tak ada siapa yang kenal dia kat sana.”


Puan Kamalia menghembus nafas lega, senyuman kecil terukir di bibir. “Baguslah kalau camtu, lebih baik untuk semua orang. Sophia pun nampaknya dah makin tenang kat sini. Aunty nak dia mulakan hidup baru.”


Dahlia hanya tersenyum tipis. Dalam hati, dia dah pun merangka langkah seterusnya. Dia tahu betul Hans tak ke mana-mana, apatah lagi bekerja di kapal persiaran. Itu hanyalah cerita yang dicipta untuk menyenangkan hati Puan Kamalia dan mengalihkan perhatian keluarganya.


Perbualan terhenti bila Sophia datang menyertai mereka.


Sorry lambat sikit. Aku sakit perut.”

Period ke?”

“Ha ah…”


Mereka bertiga berbual-bual kecil sehinggalah Puan Kamalia meminta diri bila beberapa temannya datang. Sophia mengajak Dahlia ke bilik untuk berbual lebih selesa.


“Apa yang kau cakap dengan mama aku tadi?”

Dahlia menutup pintu bilik, kemudian duduk di atas katil sambil tersenyum lebar. “Aku buat cerita sedih.”

“Cerita sedih?”

“Aku cakap Hans dah pergi kerja atas kapal persiaran sebab kecewa. You know what? Your mom seems really relieved!

Sophia terkejut, matanya membesar tapi dia ketawa. “Kenapa kau cakap macam tu? Kau ni…”


Dahlia menyambung ketawa Sophia. “Relax la. Itu namanya strategi. Sekarang mama kau dah percaya yang Hans dah ‘hilang’. Kita ada lebih banyak ruang untuk buat apa je. Trust me, this is our chance to plan something without them having a clue.


Sophia memandang Dahlia— tergamam dan kagum dengan kepintaran sahabatnya itu. “Kau kena ambik hati mama aku. Buat dia percaya. Lepas tu kita bebas sikit nak keluar ke apa, kan?”

Dahlia mengangguk setuju. “Memang itu yang nak aku buat. Sekarang ni, kau tulis surat untuk Hans, aku poskan balik nanti. Aku boleh jadi pengantara kau dengan Hans, macam Ema.”


Sophia segera ke meja tulis. Sambil mengarang surat, mereka berbual-bual, mengatur rancangan.

“Sekarang aku kena yakinkan mak kau yang aku ni pun setuju dia pisahkan kau dengan Hans. Bila dia dah makin percaya nanti, senang aku bawak kau keluar…”


Antara takut dan teruja, Sophia tahu itulah peluang yang dia tunggu-tunggu. “Kau pasti, Dahlia?”

Dahlia tersenyum penuh keyakinan. “You can count on me. I won’t let anything come between you and Hans again. That’s a promise I’ll keep.”


Dengan penuh harapan, Sophia melipat surat kemas-kemas, melekatkan setem di bucu kiri, bersedia untuk dititipkan oleh Dahlia.


“Aku nak call Hans malam ni, nak cerita semua.”

“Dengarkan suara aku untuk dia, Lia.”


#


Sudah beberapa minggu berlalu sejak berita tentang Hans bekerja di kapal persiaran tersebar menjadi buah mulut dalam keluarga Sophia dan memberi satu kepuasan tersendiri buat Puan Kamalia serta Encik Suffiyan dan Kamal, sudah tentu. Mereka percaya bahawa rancangan mereka untuk memisahkan Sophia dan Hans akhirnya berjaya. Namun, tiada siapa antara mereka bertiga menyangka, di sebalik cerita yang sengaja direka oleh Dahlia, satu kebenaran lain terselindung.


Tapi Kamarul tahu. Hatinya lapang, kini adiknya dah ada jambatan baru. Walaupun sekali sekala dia ada menghubungi Hans melalui telefon dan menyampaikan berita kepada mereka berdua, namun masa dan jarak membatasi dia.


“Abang percaya Dahlia dapat tolong adik. Abang mintak maaf sangat, lately abang busy, tak dapat bagi banyak masa untuk adik.” Kata Kamarul sewaktu dia pulang bercuti bersama Kamal.

“Tak apa, abang jangan risau. Phia faham abang kena fokus pada study. Abangkan dah nak sambung belajar ke England… Hmm… mana tau nanti Phia dan Hans boleh ikut?”

Kamarul tersenyum kecil. Memang apa yang dikatakan Sophia ada dalam perancangannya.


“Hai, adik abang! Hai abang adik!” Terdengar suara Kamal berteriak dari jauh. Dia menghampiri keduanya yang sedang duduk di tepi kolam renang. “Tak sangka Hans merajuk sampai bawak diri atas kapal. Elok benarlah tu. Lagi banyak perempuan cantik-cantik dari adik dia boleh jumpa atas kapal tu.”

“Biarlah dia.” Sophia menjawab acuh tak acuh. Tak akan ada perempuan yang boleh menggantikan tempat dia di hati Hans. Kamal tak akan tau semua itu.


“Adik dah boleh lupakan dia, eloklah.”

“Kamal…” Tegur Kamarul, pendek. “Jangan sakat adik.”

“Alah kau ni, Rul… aku cakap sikit pun tak boleh.”

“Benda dah lepas, tak payah nak ungkit-ungkit.”

“Phia sekarang nak fokus dapatkan tempat kat U. Itu je dalam kepala Phia.” Sophia menoleh ke wajah Kamal. “Tak ada masa nak fikir hal remeh temeh.”


#


Dahlia datang ke rumah Sophia dengan senyuman ceria dan wajah membawa harapan. Seperti biasa, dia disambut mesra oleh Puan Kamalia di ruang tamu.


Aunty, saya nak bawa Sophia keluar petang ni. Dah lama saya tak jalan-jalan dengan dia. Ada filem bagus kat panggung wayang. Boleh kan, Aunty?” Tanya Dahlia dengan nada manja, sengaja menggunakan pendekatan mesra yang dia tahu akan melembutkan hati Puan Kamalia.


Puan Kamalia menutup buku yang sedang dia baca, menumpukan perhatian kepada percutian yang Dahlia rancangkan. Berita tentang Hans yang kononnya sudah pergi jauh telah meyakinkan dia bahawa Sophia kini berada di landasan yang betul.


“Pergilah tapi jangan balik lambat sangat. Sophia pun dah lama tak keluar rumah. Eloklah tu kau ajak dia ambik angin.” Keizinan diberi tanpa ragu-ragu membuat Dahlia hampir mahu melompat kegembiraan tapi dia hanya tersenyum manis, menyembunyikan keterujaannya. “Terima kasih, Aunty! Lepas wayang, kami pergi makan, lepas tu balik, OK?”


Tiba di bandar, Dahlia memarkir kereta di hadapan sebuah kafe kecil. “Jom, minum kopi dulu.” Ajak Dahlia. Sophia menurut. Kopi dipesan kemudian Dahlia berkata, “kau nampak telefon tu?” Matanya memandang ke arah sebuah telefon awam yang terdapat dalam kedai. Sophia memandang telefon itu, kemudian memandang Dahlia. Sekeping kad telefon dia keluarkan dari poket. “Surprise her.” Kata Dahlia. Kad bertukar tangan.


Tanpa berlengah-lengah, Sophia mengangkat gagang dan menyumbat kad telefon lalu mendail nombor telefon Hans yang tertulis di kepalanya. Bunyi deringan di hujung talian terasa seperti bunyi degupan jantung sendiri.


“Hello?” Suara Hans di hujung talian akhirnya kedengaran. Air mata Sophia hampir menitis sebaik mendengar suara itu. “Hans… sayang… ini aku, Sophia.”

Di seberang sana, Hans terdiam seketika, mencubit tangan sendiri, memastikan dia tak bermimpi. “Sophia? Ya Tuhan… ini… betul kau, sayang?”

“Ya, Hans. Ini aku.” Sophia cuba menahan sebak. “Aku rindu kau. Aku dah cuba cari jalan nak hubungi kau… Dahlia yang bantu aku hari ini.”

Hans ketawa kecil, nafas lega terhela. “Sayang, kau tak tau betapa aku rindukan kau. Setiap hari aku tertanya-tanya apa yang jadi pada kau. Ye, Dahlia dah ceritakan semuanya— dia tinggal dekat dengan kau sekarang.”

“Dia jambatan kita.” Sophia menyeka air mata yang mula jatuh. “Sayang, kau terima tak surat aku?”

“Ada sayang… ada… Semuanya aku simpan jadi kitab…” Dalam gurauan, Hans selitkan satu kenyataan— surat-surat Sophia dia gabungkan menjadi buku, tersusun mengikut tarikh.


“Aku tak pernah lupa kita. Tapi keadaan masih sama… aku dikawal, aku rasa terperangkap.”

“Jangan risau. Aku janji, kau tak sorang-sorang, walaupun kita jauh. Apa pun jadi, kita akan tetap bersama. Aku cintakan kau sayang, dan aku tak akan berubah. Sampai mati pun, aku nak kau sorang je.”

“Aku pun cintakan kau. Aku nak hidup dengan kau, mati dengan kau.”


Panggilan itu adalah nafas baru dalam hidup mereka. Suara menjadi pengubat rindu yang sekian lama terpendam. Setelah meletakkan gagang telefon, masing-masing terduduk, termenung melayan rasa gembira dan terharu.

“Kau okey?” Tanya Dahlia lembut. Bahu Sophia dipeluk. Sophia tersenyum sambil mengangguk. “Aku okey… terima kasih, Dahlia. Kalau bukan sebab kau, aku takkan dapat peluang ni.”

“Itulah gunanya kawan baik. Kita akan terus cari jalan. Dunia tak akan dapat pisahkan kau dengan Hans lagi. Sekarang, jom kita enjoy, tengok wayang, ringankan kepala.”

“Yelah, jom… Karang mama aku tanya pasal filem tu, susah jugak kalau tak tau nak cerita apa.”

“Ha, silap-silap dia mintak tunjuk tiket.”


Keduanya tertawa. Keduanya merasa lapang. Dan Hans, jauh di Tanjung Bayu, memulakan malamnya di kedai makan seperti biasa, bersama satu kekuatan luar dari kebiasaan.


#


Dahlia memang bijak merancang dan kali ini dia menyusun strategi dengan lebih berani tapi penuh berhati-hati. Helah yang dia rangka dipertimbangkan dari segala sudut— satu rancangan sempurna untuk membawa Sophia kembali ke Tanjung Bayu bertemu Hans. Percutian ke sebuah pulau dijadikan alasan, lengkap dengan butiran yang teliti agar tiada siapa yang meragui niat sebenar mereka.


Suara dilembutkan dan dengan yakin dia menyampaikan cadangan percutian yang dirancang bersama Sophia.“Sepupu sayalah plan semua ni… dorang dah lama nak sangat bercuti kat pulau tapi tak ada kesempatan. Sekarang baru dapat cuti.” Petang itu, di ruang tamu rumah Sophia, Dahlia duduk berhadapan dengan Puan Kamalia, mengambil hatinya dengan senyum manis dan perbualan mesra.


“Sepupu kamu dua-dua perempuan, kan?” Tanya Puan Kamalia, sekadar untuk memastikan.

“Ya, Aunty. Shasha dan Zaty pun kenal Sophia,” balas Dahlia, menambahkan lagi keyakinan. “Sophia pun mesti dah lama tak pergi bercuti, bolehlah dia ambil angin segar.”

Puan Kamalia meletakkan cawan tehnya. “Baru-baru ni, sebelum kau pindah sini, kami dah bawak dia pergi Madrid.”

“Tu luar negara, dalam negara, belum lagi kan?”

Puan Kamalia ketawa kecil. “Dalam negara, anytime boleh pergi.”

“So, this is the time.” Pandai Dahlia menjawab dan jawapan itu disambut dengan menyambung ketawa. “Mesti Sophia rindu nak tengok laut. Kat sini tasik pun buatan.”


Puan Kamalia tak ada alasan untuk menolak. Dahlia adalah gambaran sahabat sempurna—baik, sopan, dan sentiasa menunjukkan sikap matang.


“Berapa lama nak bercuti?”

“Ada pakej 4 hari 3 malam.” Jawab Sophia yang dari tadi hanya mendengar perbualan mereka. Sengaja dia tak menyampuk, membiarkan Dahlia menjalankan ‘tugas’.


“Baiklah, kalau macam tu. Tapi janji dengan mama, call bila sampai dan jaga diri baik-baik.”

“Terima kasih, Aunty! Jangan risau, kami akan jaga diri.” Dahlia kelihatan begitu gembira. Dia menepuk-nepuk perlahan peha Sophia. Fasa pertama rancangan itu berjaya.


#


Pagi yang dinantikan akhirnya tiba. Sophia mengemaskan barang-barang dengan hati berdebar-debar. Walaupun Dahlia sudah menjelaskan perancangannya, Sophia masih tidak percaya mereka benar-benar akan ke Tanjung Bayu—tempat yang menyimpan terlalu banyak kenangan.


Kereta yang dipandu Dahlia meluncur keluar dari Kota Suria Putra dengan lancar. Bersama mereka ialah Zaty dan Shasha, sepupu Dahlia. Sepanjang perjalanan, Sophia memandang keluar tingkap, menyaksikan pemandangan yang semakin berubah daripada bandar moden kepada kawasan yang lebih hijau dan tenang.


“Dahlia, betul kau tak bagitau Hans kita nak datang?”

Dahlia tersenyum nakal, matanya tetap fokus pada jalan. “Kau ingat aku nak rosakkan kejutan ni? Biar dia tahu betapa kau sanggup redah lautan api untuk jumpa dia.”


Sophia menggeleng sambil ketawa kecil. Hatinya dipenuhi pelbagai rasa— gembira, cemas, dan takut. Dia tak pasti bagaimana reaksi Hans apabila melihatnya nanti. Satu perkara dia cukup pasti— dia ingin berada di sisi Hans walau hanya untuk seketika.


*


Ketika kereta yang dipandu Dahlia kini mula memasuki pekan kecil Tanjung Bayu, dada Sophia menyongsong gelombang emosi sekuat ombak. Tempat ini pernah menjadi saksi permulaan sebuah cinta yang teruji. Udaranya, langitnya, aroma laut yang menusuk hidung— semua itu menimbulkan nostalgia, seolah-olah waktu kembali berputar ke masa-masa dulu, ketika cinta terjatuh ke dalam mereka.


Kedai-kedai kecil, pantai dengan pasir yang memutih, jalan berbatu yang sunyi, semuanya mengingatkan Sophia pada detik-detik indah yang dia kongsi dengan Hans. Dengan kawan-kawan.


Kereta akhirnya memasuki jalan kecil menuju ke jeti Kampung Nelayan. Bau laut segar menyapa hidung. Pandangan Sophia terpaku pada deruan ombak yang berlari-lari ke pantai, cahaya matahari menyinari permukaan laut, dan rumah-rumah kecil di kejauhan yang pernah dia kenali.


“Here we are,” kata Dahlia, memberhentikan kereta. Sophia keluar dengan langkah perlahan, kakinya memijak pasir yang terasa lembut dan hangat. Matanya berair, dadanya terasa sebak. “Tanjung Bayu… aku rindu tempat ni,” bisiknya perlahan. Dahlia berdiri di sebelah Sophia, senyumannya penuh kepuasan. “It’s home. Kejap lagi kau akan jumpa buah hati engkau.”

Sophia mengangguk, suaranya tersekat. “Hans…”

“Kau enjoylah… Kirim salam aku pada Hans. Lagi tiga hari, aku ambil kau kat sini.” Pesan Dahlia sebelum dia dan sepupu-sepupunya menuju ke rumah Lynn. Mereka dah berjanji untuk meluangkan masa bersama, bercuti di sebuah pulau berhampiran— untuk berehat dan merakamkan ‘bukti’ percutian di pulau jika ditanyakan nanti.


*


Sophia melangkah ke kedai Uncle Jose membawa debar dan harapan. Saat-saat pertama dia datang ke situ menerjah ingatan— melihat Hans sibuk di dapur dan bagaimana senyuman Hans menyinari hari-harinya. Kini, dia berdiri lagi di depan kedai itu, dengan hati yang semakin kukuh, melampaui segala yang pernah dia rasakan.


Degup jantung bertambah kencang. Pandangan mengitari setiap sudut, berharap untuk bertemu sosok ‘lelaki’ yang mencintai dirinya tanpa syarat, yang tetap setia walaupun dicuba jarak dan waktu. Aunty Maria dan Marsha, yang lebih dulu menyedari kedatangan Sophia, bertukar pandangan seakan mengerti sesuatu yang istimewa akan berlaku. Tanpa sepatah kata, mereka memberi ruang, membiarkan momen itu untuk mereka berdua.


Kini dia berdiri di pintu dapur. Untuk beberapa detik, dia hanya berdiri, memerhatikan Hans yang sedang sibuk memotong sayur. Wajahnya tekun, penuh konsentrasi. Betul kata Dahlia, Hans kelihatan semakin kacak walaupun agak kurus. Rambutnya pendek dan kemas, sedikit panjang di bahagian depan dan tepi, menyerlah ketampanan semulajadi.


Sophia melangkah semakin hampir. Bunyi derap tapak kaki mengalih perhatian Hans. Muka diangkat. Pisau ditangan yang hampir memotong jari terlepas dari genggaman. Saat mata mereka bertemu, dunia seolah berhenti. Tak ada kata yang keluar, hanya mata berbicara, menceritakan seluruh perjalanan emosi mereka— kerinduan yang lama terpendam, kesakitan, dan keindahan cinta yang tetap berakar walau dihentam badai.


Airmata yang mengalir tanpa dapat ditahan menjadi pengungkap rasa. Mereka mendekati satu sama lain, tubuh saling mendakap erat, teresak antara tawa bahagia dan tangis lega. Di dalam pelukan itu, kehangatan cinta disatukan kembali.


“Kau datang, sayang…” Kata Hans dengan suara yang tersepit dicelah keharuan. Jari-jarinya mengusap pipi Sophia yang basah.

“Aku dah janji, aku akan datang.” Bisik Sophia. Jari-jarinya turut mengeringkan tangisan di mata Hans yang begitu damai memantulkan rasa cinta.

“Dan aku tak akan hilang. I love you, Sophia. My Sophia…” Hans mengucup dahi gadis tercinta yang semakin matang menyerlahkan kewanitaannya.


“Hans, ambil lah cuti. Rehatkan hati engkau.” Uncle Jose yang memerhati dari pangkin di belakang kedai turut tersentuh dengan pertemuan semula dua jiwa. Asap rokok menjadi alasan untuk dia mengesat pedih di mata.


“Kau dah makan? Biar aku masakkan…”

“Aku dah kenyang.”


Petang itu mereka meluangkan waktu bersama seperti masa-masa indah dahulu— bercerita, tertawa, dan melupakan sejenak dunia luar yang penuh tekanan dan tentangan. Setiap detik begitu berharga dan mereka mengisi setiap celah gunung kerinduan selama perpisahan yang menyiksa.


“Kau ambil risiko ni…” Belum sempat Hans menghabiskan ayat, Sophia mendiamkan dia dengan ciuman di bibir. “Bukan cinta namanya kalau hanya sanggup meredah senang.” Sophia memeluk Hans lebih erat. “Semua ni takkan mudah,” kata Sophia, memandang Hans dengan mata penuh harapan. “Tapi aku takkan menyerah. Apa pun cabaran, aku dah sedia.”

“Kalau sanggup, aku sejuta kali lagi sanggup. Phia, aku tak nak yang lain. Hati aku milik engkau seorang.”


Berpimpin tangan, mereka berjalan menuju ke tanah perkuburan berhampiran El Faro de Santa María, di mana angin lembut membawa bisikan laut. Taman itu sunyi, dihiasi bayang-bayang pohon rendang yang meliuk perlahan.

Hans berhenti di hadapan pusara ibunya, tempat sebuah epitaf indah terukir:


Emelda Marcello, 29 Oktober 1953 - 30 Jun 1977
The sky holds your memory, 
the sea whispers your name, 
and the earth keeps you close.

 

“Mama,” Hans menyapa lembut. “I shine the warmth of my soul to greet you today. Here’s my Sophia, I’ve told you so much about.” Sekuntum mawar putih diletakkan di atas pusara— bunga yang dipetik sepanjang perjalanan mereka tadi. Dia berlutut, menyentuh batu nisan, mengusapnya seolah-olah sedang mengusap wajah ibu. “Dia cahaya hatiku, mama. Restuilah cinta kami.”


Sophia turut berlutut di sisi Hans, menyatukan jari-jemari mereka erat. “Let me be part of the Marcello’s.” Hasrat dibisikkan ke batu nisan. Mereka menadah tangan, menitipkan doa ke langit, diiringi angin lembut yang membawa harapan dan cinta mereka ke alam yang tak terlihat.


Ketika matahari mula terbenam, Hans membawa Sophia ke rumah.“Aku selalu malu nak ajak kau masuk… tapi aku tak pernah rasa malu bawak kau masuk dan tinggal dalam hati aku. Silakan sayang…” Hans membukakan pintu sementara sebelah tangan menjinjing beg Sophia. Itulah kali pertama Sophia menjejak kaki ke dalam rumah Hans yang tersusun rapi, kemas dan bersih.


“Mana papa?” Tanya Sophia.

“Dia ke laut. Pagi sikit baru dia balik.” Jawab Hans sambil meletakkan beg Sophia ke dalam bilik.

“Kau mandi dulu, lepas tu kita boleh ke kedai Uncle Jose, makan malam. Dia orang semua pun rindukan kau.”


*


“Rumah ni akan jadi rumah aku empat hari ni.”

“Empat hari je? Aku nak kau tinggal kat sini dengan aku sampai bila-bila.”


Bilik serba sederhana itu menawarkan sebuah ketenangan mewah. Di situ, cinta melampaui batas-batas duniawi— semua keraguan, ketakutan dan kesedihan pudar dan menghilang.


Samar cahaya lilin menerangkan sinar mata yang saling menatap, berbicara dari hati ke hati. Suara ombak beralun menjadi irama latar, menyatu dengan gelombang dalam dada dua jiwa. “Hati aku hanya mau mendakap engkau,” bisik Sophia ke telinga Hans yang mengusap lembut lengannya. Jiwa Sophia bergetar. Jantung Hans bergegar.


“Selama kita berjauhan, aku tak anggap itu satu perpisahan tapi kontemplasi hati dan aku pasti, kaulah yang pertama dan terakhir untuk aku.” Ucap Hans. Rambut Sophia dibelai, merapikannya ke belakang, sementara tangan kirinya mengusap lembut bahu gadis itu. “I never knew love could run this deep.”


Sophia membalas dengan sentuhan lembut di dada Hans, merasakan degup jantungnya yang kuat— seirama dengan detak hatinya sendiri. Tapak tangan Hans menyentuh pipi Sophia dan dia mendekatkan bibir mereka dalam satu ciuman panjang yang perlahan, menyampaikan pesan cinta.


Di atas katil kecil yang selalu menyaksikan malam-malam sepinya, Hans mendakap Sophia erat-erat. Setiap sentuhan menjadi sebuah dialog tanpa kata-kata. Tangan saling membelai lekak lekuk tubuh dan dalam kehangatan malam yang sunyi, Sophia menyerahkan sepenuh hati dan dirinya kepada Hans, sementara Hans membalas dengan penuh kasih dan ketulusan.


Di luar, ombak terus berlagu dihembus angin yang menyejukkan malam sepertimana cinta yang mereka alunkan, menyatu, tidak hanya tubuh tapi juga hati dan jiwa. Mata menatap mata, sama-sama bercahaya menyelami lubuk cinta. Ada manik-manik mengalir perlahan, tapi bukan lagi kerana pilu, sebaliknya kerana gembira— kebahagiaan dalam sebuah kelegaan yang tak pernah mereka rasakan.


Berbantalkan lengan, Sophia menyandarkan kepalanya di dada Hans, bermain-main dengan jarinya. Cincin yang dia kirimkan melalui Dahlia dan Lynn sebelum dibawa pergi dari Tanjung Bayu, Sophia lucutkan. “Ini tanda hatiku hanya untukmu,” bisiknya perlahan. Cincin dicium, kemudian dia menyarungkan semula cincin itu ke jari Hans. “I’ve always wanted to do that.”


Hans merehatkan tangan Sophia dalam hangat genggamannya. Kedua-dua cincin yang menghiasi jari-jari itu dia cium, merasakan seluruh jiwanya hidup di situ. 


Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!