PART 2: THE DUO Bab 9: Perpisahan |
B(caps)ersama sehelai surat di tangan, Kamal menghampiri Sophia yang sedang duduk bersendirian membaca buku di taman. Kegembiraan terpancar di matanya bersama senyuman terukir di wajah.
“Akhirnya, adik… abang dapat peluang ni.”
“Abang dapat panggilan masuk U?” Tanya Sophia, turut teruja mendengar berita tersebut. Dia meletakkan buku di atas meja.
“Sambung belajar di universiti tempat abang Kamarul, tinggal di bandar, mulakan hidup baru. Dah lama abang impikan saat macam ni,” jawab Kamal sambil duduk di sisi adiknya. “Abang tak akan sia-siakan peluang ni untuk buktikan abang boleh jadi lebih baik, macam abang Kamarul, bukan untuk diri sendiri… tapi untuk kita semua.”
Walaupun kerap berselisih pendapat, tapi bebelan Kamal yang selalu menyakitkan hati tetap mencetus inspirasi dan mendorong Sophia untuk berfikir. Di balik segaris senyum, ada bayangan kesedihan di matanya.
Seperti mendengar kesedihan itu berbicara, Kamal meletakkan tangan di bahu adiknya. “Abang tau… abang banyak sakitkan hati adik— terlalu keras, kasar bahasa, terlalu nak kawal.” Kamal menyentuh tangan Sophia dan menggenggamnya. “Tapi abang buat semua tu sebab abang sayangkan adik. Abang tak pandai tunjuk kasih sayang macam Kamarul, tapi percayalah… abang cuma nak yang terbaik untuk adik abang. Maafkan abang.”
“Phia selalu maafkan abang. Air dicincang tak akan putus, kan? Walaupun tak suka dengan perangai abang, tapi Phia tetap sayangkan abang.”
Kamarul ketawa besar, menepuk-nepuk bahu adiknya. “Terima kasih maafkan abang, dan abang pun selalu maafkan adik sebab abang sayang sangat kat adik.” Dia menghela nafas panjang sebelum menyambung. “Bila abang tak ada, adik janji, adik mesti jaga diri baik-baik. Jangan buat keputusan yang akan menyakiti diri sendiri atau keluarga kita. Tapi apa pun yang terjadi, abang tetap ada. Kalau adik perlukan abang, walau sejauh mana abang pergi, abang akan balik untuk adik.”
Sophia menggantikan airmata yang bertakung dengan senyuman. “Phia janji, jangan risau. Abang pun mesti janji… ubah sikap panas baran abang tu. Phia nak abang jadi seorang abang yang boleh Phia banggakan, sama macam abang Kamarul.”
Kamal tertawa kecil, menepuk bahu Sophia sekali lagi sebelum berdiri. “Doakan abang. Kita sama-sama jadi lebih baik, ya?”
Keduanya saling memaafkan tanpa perlu kata maaf yang panjang, hanya melalui kehangatan perbualan yang disulam dengan kasih sayang.
“Dah bagitau Marsha, atau abang nak Phia tolong sampaikan?” Usik Phia sambil mengenyit mata.
*
Ketiadaan Kamal di rumah membawa perubahan besar dalam kehidupan Sophia. Rumah yang dahulu terasa seperti penjara kini menjadi ruang yang lebih aman, tempat dia boleh bernafas dengan tenang. Dengan Kamal kini sibuk menyambung pelajaran di bandar dan tinggal bersama Kamarul, Sophia merasakan tekanan yang selama ini membelenggu dirinya mulai reda. Tiada lagi sindiran tajam atau pandangan sinis yang menghantui setiap langkahnya. Kini semua perbalahan dan perselisihan pendapat berganti rindu.
Kejauhan itu juga membuatkan hubungan mereka sekeluarga bertambah erat dan bila sesekali pulang bercuti, ada saja cerita dan pengalaman yang dikongsi Kamal.
Hidup Sophia menjadi lebih ceria. Senyuman kembali menghiasi hari dan dia mula berani menunjukkan sisi dirinya yang sebenar, tanpa rasa takut atau rasa bersalah. Persahabatannya dengan Lynn dan Dahlia semakin erat, tetapi yang paling ketara adalah hubungannya dengan Hans.
Sejak perasaan dizahirkan melalui kata-kata, coretan dan perbuatan, setiap pertemuan adalah satu pengertian baru. Kadang-kadang Hans membawakan hadiah kecil, seperti bunga liar yang dipetik di sepanjang jalan, atau sebuah buku lusuh yang pernah dibaca, penuh dengan nota kecil yang ditulis di tepinya. Sophia pula akan membalas dengan cerita-cerita panjang tentang mimpi dan impian, sambil mereka duduk bersama menikmati angin laut.
“Sayang…” Buat pertama kalinya Sophia memanggil Hans dengan panggilan itu, seolah memanahkan busur dewa Cinta ke hati Hans yang sedang bergoncang hanya dengan sekilas tatapan mata. “It's amazing how another person's presence can reveal aspects of ourselves that we may not have even known were there. Kau buat semua tu untuk aku.”
Ucapan disambut dengan mata berbicara lebih daripada kata-kata. Dalam tatapan, Hans menghantar kasih sayang yang paling tulus, dikukuhkan dengan kejujuran. “Dulu, perasaan ni macam satu kekeliruan,” katanya perlahan, suaranya seperti bisikan angin yang membawa ketenangan. “Kekeliruan yang indah, semulajadi, tulen— kecelaruan yang membawa aku menyelam ke dasar kewujudan diri sendiri. Sebuah analisa panjang sebelum semua rasa kita satukan.”
Sophia menatap wajah kekasihnya, menyerap setiap patah kata yang dinafaskan ke dalam jiwa. Tanpa ragu, dia membisikkan cinta ke telinga kiri Hans. “I love you, my precious.”
“I love you, more… sayang.” Sambut Hans, malu-malu. Dia menunduk tanda hormat dan tanpa sedar, dalam kehangatan yang memenuhi relung hati, Sophia mengangkat tubuhnya sedikit dan memberikan ciuman di pipi Hans. Gerakan spontan dorongan kasih sayang itu membisukan Hans, memerahkan pipinya yang bersih. “Dengan engkaulah kehidupan aku berakar.” Bersama debar hati dan kencang degup jantung, dia memusingkan badannya sedikit, meletakkan kedua belah tangan di bahu Sophia sebelum bibirnya menyentuh dahi.
#
Puan Kamalia memegang penyapu di tangan, menghela nafas panjang sambil memandang bilik Kamal yang kini bersih dan teratur setelah setengah jam dia sibuk mengemas. Dia melangkah keluar, niatnya untuk terus ke dapur, tetapi langkahnya terhenti di hadapan pintu bilik Sophia yang terbuka sedikit.
Dari celah pintu, dia dapat melihat buku-buku bertaburan di atas meja dan pakaian yang tidak sempat dilipat tersadai di atas katil. Wajahnya berkerut, rasa tidak selesa melihat keadaan bilik anak daranya yang berantakan.
“Sophia ni… tak pernah berubah,” gumamnya perlahan sambil melangkah masuk, berniat untuk mengemas serba sedikit.
Dengan gerakan pantas, Puan Kamalia melipat pakaian dan menyusun buku-buku di atas meja. Namun, ketika dia membuka laci meja belajar Sophia untuk menyimpan alat tulis, pandangannya tertancap pada sebuah kotak kayu. Tangan Puan Kamalia terhenti, rasa ingin tahu mula menjalar.
“Apa ni?” Dengan hati-hati, dia membuka kotak tersebut dan terlihatlah beberapa surat, kad-kad buatan tangan, serta puisi dan cenderamata kecil yang dihiasi daun kering dan kulit kerang. Setiap helaian surat dan kad yang dibaca meruntun hati seorang ibu. Satu persatu bait-bait kata dalam tulisan Hans mulai membentuk gambaran yang jelas— anak gadisnya sedang melalui satu hubungan yang lebih dari sekadar persahabatan.
Matanya bergerak pantas membaca isi surat dan semakin jauh dia membaca, semakin jelas apa yang selama ini hanya menjadi syak wasangka. Ungkapan kasih sayang dan janji-janji memenuhi setiap lembar. Hans meluahkan rasa cinta, tentang mimpi yang mereka bina bersama, dan tentang perjuangan untuk mempertahankan hubungan.
Tangan Puan Kamalia menggeletar, surat yang dipegang hampir terjatuh dari tangan. Wajahnya berubah, tidak tahu sama ada hendak marah, sedih, atau kecewa. Namun satu hal yang pasti, hatinya kini dilanda resah. Dia duduk di tepi katil Sophia, matanya tertumpu kepada surat-surat yang berserakan di atas meja. Ingatannya kembali kepada semua tanda-tanda yang pernah dia abaikan— kebersamaan Sophia dan Hans, senyuman Sophia setiap kali nama Hans disebut, dan keakraban yang dia fikir hanyalah persahabatan.
Air mata mula bergenang di mata, tetapi dia segera menghapusnya dengan hujung lengan baju. Dalam hatinya, Puan Kamalia merasakan bukan sahaja kekecewaan, tetapi juga rasa bersalah. Dia mula menyalahkan diri kerana tidak bertindak lebih tegas sebaliknya memberi ruang.
“Apa aku buat ni? Kenapa aku biarkan semua ni terjadi?” Puan Kamaliah menggumam sendirian, mencari jawapan dalam baris-baris tulisan tangan yang kemas menyusunkan bahasa yang begitu indah dan puitis.
*
Menunggu di ruang tamu, ligat akal Puan Kamalia mencari jalan untuk memisahkan Sophia dari Hans. Jantungnya berlari laju, fikiran berkecamuk antara rasa risau, sedih, dan kecewa. Selama ini dia menghindarkan bisikan kecil di hatinya tentang kemungkinan bahawa perasaan cinta wujud antara kedua remaja itu. Namun, dia menafikan semua itu dengan memberi kepercayaan— membuka hatinya untuk mengenali Hans, namun isi kandungan kotak kayu sekecil itu benar-benar menggugat dengan bukti yang mengukuhkan sebuah kesimpulan.
“Abang,” panggil Puan Kamalia ketika Encik Suffiyan baru melangkah masuk ke rumah selepas pulang dari pejabat.
“Apa dia?” jawab Encik Suffiyan. Intonasi isterinya itu membuat dia sedikit terkejut. Dia dapat melihat ekspresi yang jelas menandakan sesuatu yang besar telah terjadi.
Tanpa berkata apa-apa, Puan Kamalia menghulurkan sehelai surat yang diambil dari kotak kayu Sophia— membiarkan suaminya membaca sendiri isi kandungan yang telah menggegarkan dunianya. Baris demi baris yang dilewati dengan teliti. Wajah yang tenang berubah menjadi tegang. Encik Suffiyan melemparkan surat itu di atas meja dengan kasar, seakan jijik dengan apa yang dibacanya. “Aku dah agak dah!” Suaranya meninggi. “Kita terlalu lembut! Sekarang tengok apa jadi!”
“Hans tu juga patut tahu batas.”
“Batas? Budak macam tu, apa dia tau pasal batas!” Encik Suffiyan menghentak meja, marahnya kini memuncak. “Awak tak ingat dia tu anak siapa? Kaki botol tu! Apa yang kita boleh harapkan daripada budak yang dibesarkan dalam keadaan macam tu?”
#
Selepas tamat latihan sukan di sekolah, Sophia menghabiskan waktu bersama Hans di pantai sebelum pulang ke rumah. Dia bersiul gembira tapi kegembiraan itu terhenti bila dia masuk ke bilik dan mendapati ibu dan bapanya menunggu. Kotak kayu dalam laci kini berada di atas meja tulis. Ibunya duduk di kerusi, bersama sekeping surat di tangan, masih membacanya.
“Mama, papa… kenapa ni?” Tanpa perlu menunggu jawapan, firasatnya segera menangkap punca mengapa mereka di situ. Pandangannya tertancap pada kotak kayu, surat-surat dan cenderahati yang berserakan di atas meja. Wajahnya berubah menjadi pucat.
“Sophia,” Encik Suffiyan bersuara tegas, jelas mengekspresi amarah yang cuba ditahan. “Apa maksud semua ini?” Dia mengambil secara rawak salah satu surat. Matanya menyala-nyala dengan kemarahan.
“Papa—” Sophia cuba mencari kata-kata, tetapi suaranya tersekat. Dia duduk di atas katil, menghadap orang tuanya— tangan mencengkam tilam, buku-buku jarinya memutih. Encik Suffiyan memegang kertas itu di tangan, menghindari kontak mata, sementara ibunya, Puan Kamalia berdehem sebelum memulakan berbicara. “Kami tahu.” Dingin suaranya sedikit bergetar. “Tentang kamu dan dia— Hans.”
Hati Sophia berdebar-debar. Dia sedar konflik ini akan tercetus, tetapi tidak seperti ini— bukan tanpa kesempatan untuk menjelaskan tentang apa yang dia rasa. “Tau apa?” Dia bertanya, meskipun dah jelas apa yang dimaksudkan.
Mata Puan Kamalia berbinar tajam. “Tentang kamu dan Hans. Dari cara kamu berdua pun dah ketara, memang betul apa yang mama sangkakan selama ni. Semua tu tak normal. Menjijikkan!”
Dada Sophia sesak, bibir terkunci. Seluruh tubuhnya kaku. Dia tahu, hal ini akan terbangkit tapi tidak pernah menyangka ia akan datang secepat ini. Selalu dia bayangkan— membincangkan soal hati dan perasaanya dengan pelbagai cara tapi tak pernah dia terfikir orang tuanya akan menganggap dia sekotor itu.
“Ni apa ni?” Encik Suffiyan melempar surat di tangan. Surat itu jatuh di atas riba Sophia. Hatinya retak. Membaling surat itu bererti ayahnya mencampakkan Hans. “Dah pandai bercinta.”
Apa yang dia rahsiakan selama ini bukan rahsia lagi. Sophia terdiam memandang kertas putih digenggaman. Hati menggigil.
“Kalau dengan lelaki tak apa jugak, boleh aku kahwinkan. Ini dengan perempuan! Kau nak jadi apa?!” Herdik Encik Suffiyan. “Masuk kelas agama kau malas. Banyak alasan kau. Aktiviti sekolah lah, sukanlah. Rupa-rupanya kau asyik bercinta.”
“Mama betul-betul tak sangka Phia sanggup buat macam ni. Mama dan papa bagi kepercayaan, tapi Phia buat perkara tak senonoh.”
“Aku nak jumpa anak si kaki botol tu, bapak dia sekali, biar dia ajar anak dia sikit!”
“Papa, please don't. Dia tak salah.”
“This is all wrong! It's a sin. Those letters are just cringeworthy! Kau terpengaruh ajaran sesat budak tu sampai senang-senang dia ajar kau jadi lesbian? Hari tu dah masuk gereja, agaknya dia dah bagi kau minum holy water sekali sampai kau buta hati macam ni. Sekarang apa pulak?”
“No, papa. No...”
“Dah aku cakap nak kawan boleh tapi jangan rapat sangat dengan orang kafir.”
“I love her.”
“Love, you said?! Ini bukan cinta. Ini hubungan songsang. Dia perempuan! Kau sedar tak?”
“Phia sayang Hans.”
“Kau bercinta dengan kaum sejenis, kau tahu apa yang kau buat ni? Sedar tak betapa malunya keluarga kita kalau orang tau?” Encik Suffiyan menekan setiap perkataan, memercikkan kemarahan yang mendalam.
Hati terasa bagai dihiris-hiris. Keberanian dikumpul dalam setiap hirisan, walaupun matanya mula berkaca. “Phia tau hubungan ni susah diterima tapi Phia memang sayangkan Hans. Dia buat Phia rasa hidup. Phia tak peduli apa kata orang.”
Pengakuan itu membuatkan Encik Suffiyan hilang sabar. Dia bangkit dari kerusi, menuding jari telunjuk ke muka Sophia. “Kau tak peduli apa kata orang? Kau tak peduli apa akan jadi pada keluarga ini? Kau dah lupa apa agama kau?”
“Phia tak lupa.” Sophia meninggikan suara, air matanya jatuh tanpa sedar. “Tapi kenapa agama adili kasih sayang dan cinta sampai mengharamkan hanya sebab dia perempuan? Apa yang salah tentang rasa ini? Kenapa Phia perlu malu mencintai seseorang yang buat Phia bahagia?”
Ketegangan mencapai puncak. Kata-kata Sophia yang berani menjadi percikan terakhir yang memarakkan kemarahan Encik Suffiyan. Wajahnya merah, tangan yang tergenggam erat menunjukkan betapa sukar dia mengawal emosi.
“Cukup, Sophia!” Lantang dia membentak. “Kau dah dimabukkan cinta songsang. Apa yang kau buat ni satu dosa! Memalukan keluarga kita! Menyimpang dari ajaran agama!”
Menyapu air mata yang membasahi pipi, Sophia berdiri tegak, menancap mata ayahnya tanpa gentar. “Phia tak malu sebab Phia tak buat salah. Cinta tak pernah salah dan Phia cintakan Hans bukan sebab dia lelaki atau perempuan tapi sebab hati dia…”
Dengan terlahirnya suara dari hati Sophia, tangan Encik Suffiyan melayang tanpa amaran, menampar pipinya dengan keras. Bunyi tamparan memecah kesunyian, menghentikan setiap nafas di ruangan itu. Sophia terhuyung sedikit ke belakang, memegang pipinya yang terasa panas.
“Abang!” Jerit Puan Kamalia. Langkahnya terhenti separuh jalan di antara keinginan untuk menghentikan suaminya dan ketakutan akan kemarahan yang belum reda. Dia lantas mendekati Sophia, membawa anaknya itu kembali duduk di katil.
Sophia mengangkat wajah, air mata kini mengalir lebih deras tapi bukan tangisan kesakitan, melainkan kekecewaan. Mata terpaku ke wajah ayahnya, bukan dengan rasa takut, tapi dengan kekesalan yang dalam. “Kalau mencintai Hans satu kesalahan, Phia tak nak yang betul. Phia rela menanggungnya. Phia tetap sayangkan Hans, walaupun semua orang menentang.”
Kata-kata Sophia menusuk jauh ke dalam hati Encik Suffiyan. Tangannya yang masih terangkat perlahan-lahan jatuh ke sisi tubuh. Wajah mula dibungkus rasa bersalah, tetapi ego menahan untuk mengakuinya. Dia berpaling, berjalan ke tingkap, melepaskan pandangan ke luar dengan mata berselaput keliru. Puan Kamalia datang menghampiri. “Give her some time…” bisiknya ke telinga suaminya. Mereka meninggalkan Sophia sendirian bersama cinta dan keberanian yang tak tergoyahkan.
#
Matahari lewat petang memayungi halaman belakang rumah, tempat Juan Marcello berdiri di hadapan Encik Suffiyan Hafizi dan Puan Kamalia Mokhtar. Burung-burung yang tenang di atas pokok turut merasa ketegangan yang menyuramkan suasana. Hans berdiri di sebelah bapanya, tangan bersilang rapat di dada, matanya meliar gelisah, mencari-cari kekasih hati.
Sophia tiada bersama. Dia tak dibenarkan berada di situ.
Juan, lelaki separuh abad dengan rambut dipenuhi uban menyeluk poket jaketnya. Sebuah kelalang tembaga dikeluarkan dan dia meneguk cecair dalam kelalang tersebut. Kemudian dia mengelap mulut dengan belakang tangan. Bau alkohol berbaur pekat di udara membuat Puan Kamalia mengerutkan hidung, menunjukkan rasa jijik.
“Ini,” Puan Kamalia memulakan dengan suara tajam, “ini cara kau didik anak? Besarkan anak dalam persekitaran macam ni? You are sick, Juan!” Matanya melirik ke sekeliling. Reban ayam dan itik, kolam kecil dan batas-batas sayur, beberapa ekor kucing dan seekor anjing berdiri di sisi Hans, menjelirkan lidah, seakan-akan bersedia menjadi pengadil dalam sebuah pertarungan.
Juan melepaskan tawa pahit sambil bersandar di tepi rumah, mencari sokongan untuk mengimbang badan yang terhoyong hayang. “Kau rasa kau semua lebih baik dari aku?” Dia sedikit meleret, kata-katanya berbaur bangkangan dalam keletihan. “Sebab kau ada rumah mewah, kedudukan, keluarga yang sempurna, kau fikir kau boleh datang sini, ajar aku macam mana nak ajar anak?”
Encik Suffiyan melangkah ke hadapan, cuba bersikap tenang walaupun suaranya tegang. “Nasihatkan anak kau ni, jangan menyusahkan orang. Jangan rosakkan anak orang. Jangan jadi kaki botol macam kau!”
Hans merasakan mukanya di simbah malu dan terhina apa lagi bila melihat bapanya terketar-ketar, cuba menegakkan tubuh. Mata tua itu mengecil. Dia meneguk lagi kelalang whiskey ditangan sebelum mengalihkan pandangannya ke arah Hans.“You see? This is what they think of us.”
Perut Hans memulas. Dia benci melihat bapanya dalam keadaan begitu. Dia benci bila bapanya dicaci dan dia benci bila hubungannya dengan Sophia telah menjadi medan pertempuran, sesuatu yang perlu dibedah, dihakimi dan dihina.
“Siapa lebih baik bukan soalnya,” kata Puan Kamalia dengan tajam, kesabarannya jelas menipis.
“Tanggungjawab kami melindungi anak kami supaya tak tersesat, tak menyimpang, tak terpesong, ternoda dengan dosa. Hubungan mereka ni, satu dosa besar.”
Hans terasa dadanya sesak. “Bukan—” dia mula bersuara, tetapi bapanya mengangkat tangan, menghalang. Mata yang kemerahan kesan pengaruh alkohol dan kemarahan yang bercampur kesedihan menjadi lembut ketika dia berpaling menghadap wajah anaknya. “Jangan,” gumamnya sambil menggelengkan kepala. “It's not worth it.”
Kata-kata Juan seakan menumbuk tepat ke jantung. Dah selalu benar Hans menyaksikan sisi itu— bahagian yang menyerah sebelum pertempuran bermula. Dia tak suka bila bapanya berputus asa begitu saja. Sikap yang telah sebati dengan diri semenjak dia kehilangan Emelda— tenggelam jauh ke dasar kelalang dan botol-botol apabila keadaan menjadi sukar, apabila dia terlalu malas menghadapi dunia dengan waras.
Puan Kamalia melipat tangan di dada. Nadanya berubah menjadi sombong. “At least you understand that much.”
Juan tidak mahu mendengar lagi. Dia memandang anaknya dengan mata yang lesu, berbingkai merah. “Mereka dah buat keputusan. There's no point in arguing.”
“Pa, please...” Rayu Hans. Suaranya serak, tetapi bapanya hanya mengeluh. Hans terasa seluruh badannya hancur seolah-olah semua beban dunia dihempap ke dada lantas menghimpit dan membenamkan dia ke perut bumi.
Juan mengalihkan pandangannya kembali kepada Suffiyan dan Kamalia. “You don't want this for your daughter, and I get that. You're scared. But Hans... He's just like me. He doesn't give up, even when it hurts. But this?"“Dia mengangkat tangannya, seolah melambai. Kelalang tembaga berisi whiskey terlepas dari jari-jarinya dan berdenting ke tanah. “This is just gonna hurt them both.”
Untuk seketika, halaman belakang rumah menjadi sunyi. Gema logam yang jatuh, mendap seperti debu di atas tanah yang kering. Juan membongkok, mengutip kembali kelalang tersebut perlahan-lahan. Dia menggelengkan kepalanya sambil bangkit semula.
“Aku bukan lelaki yang baik,” dia membuat pengakuan ikhlas. Suaranya lebih perlahan. “Mungkin juga bukan seorang bapa yang baik. Tapi aku kenal anak aku. And he's got more heart than all of us combined.” Dia mengerling ke arah Hans, memberikannya senyuman sedih dan senget.
“See... You can't even tell if you have a daughter or a son.” Kata bapa Sophia bila Juan menggunakan ganti nama lelaki untuk anaknya.
“Who gives a damn? Whether it's her or him, this kid is mine. Divine blessing.”
Kerongkong Hans rasa tercekik. Emosinya berputar antara kemarahan, kesedihan dan rasa kehilangan yang menjalarkan kesakitan.
“You've got fire, kiddo. I don't want to see it burn out because of this.” Kata Juan sambil melangkah perlahan ke pintu dapur rumah. Anjing peliharaan mereka yang sejak tadi memerhati, agak ketakutan dengan nada suara yang tinggi dan tegang, mengekorinya. Tapi langkahnya yang perlahan terhenti apabila dia melihat bapa Sophia menghampiri Hans. Anjing itu turut berhenti, berdiri di hadapan tuannya, seolah-olah bersedia melindungi jika diserang.
Dengan matanya dijengilkan tepat ke muka Hans, Encik Suffiyan memberi amaran, separuh berbisik tetapi keras. “Kau tu perempuan. Kau tak layak untuk anak aku. Kau dah racun fikiran dia dengan cinta songsang yang kau janjikan! Aku tak nak kau ganggu Sophia lagi!”
“You jangan hina kami, Piyan. They love each other and we don't tell Phia to convert.” Juan berpaling, teguh membela keluarga kecilnya. Ketika itu, dia seolah-olah telah berjaya menewaskan pengaruh alkohol. “You've crossed the line! Get your daughter as far away as possible. Let's see how far you can go. If she returns to my kid, don't call me Juan Marcello the kaki botol!”
Hans mengetap bibir, cuba menahan perit di mata. Dia mahu menjerit, memberitahu dunia bahawa ini tidak adil. Bahawa mereka tidak berhak memisahkan dia dan Sophia. Tetapi apabila melihat bapanya, dia tahu, orang tua itu betul— tidak ada gunanya mempertahankan sesuatu yang tak mahu dimengerti dan Hans akur, keluarga Sophia lebih berhak membuat keputusan untuk anak mereka.
Juan mengangguk, cuba meyakinkan Hans untuk menerima kenyataan. “You heard him.” Kasar suaranya, tetapi ada kelembutan di mata. “It's over.”
Penyelesaian itu menghancurkan Hans. Sebelum dia hancur lebih lumat lagi, Juan mendekati lalu mencengkam bahunya, cuba menyalurkan kekuatan. “I know it's hard,” kata Juan dengan percakapan yang sedikit meleret tetapi masih menyimpan secercah pertimbangan. “But you'll survive this. You're stronger than you think.”
Hans mengelap air mata, memandang ke bawah— ke kaki sendiri. Hatinya menyumpah seranah neraka ciptaan manusia. Dia tak sanggup melihat wajah kedua ibu bapa Sophia. Dia hanya mahu lari, menghilang ke suatu tempat di mana semua itu tak pernah dan tak akan berlaku— di mana Sophia setia menanti— di satu tempat yang hanya ada kasih sayang dan cinta.
“Kita dah selesai,” kata Puan Kamalia ringkas. Dia membetulkan selendangnya dan berpaling.
Juan Marcello memerhati mereka berlalu sambil menggeleng perlahan. “Ini bukan kiamat,” dia berkata sambil memicit bahu anaknya perlahan. “sakit, aku tau, tapi masa akan merawat. Kau akan jadi lebih kuat dan jalan akan terbuka juga nanti.”
Dia menarik Hans ke dalam pelukan. Bau alkohol masih berbekas di nafas. Atas segala kesalahan, atas segala kekusutan, inilah saat di mana Hans amat memerlukan dia. Dan untuk kesekian kali, dia mencuba lagi. “I'm really sorry,” bisiknya. “For everything.”
Hans berpaut di bahu bapanya. Air mata jatuh senyap, menenggelamkan semua beban. Dia mengerti, tidak kira betapa kuat mencuba, tidak kira betapa hebatnya kuasa cinta, kadang-kadang dunia boleh menjadi terlalu cemburu hingga sanggup menyalahkan apa yang benar.
#
Suasana sepi menguasai desa. Angin malam berhembus lembut, membawa bayangan perpisahan yang menghantui hidup. Setelah memastikan semua orang tidur, Sophia mencuri keluar dari pintu belakang. Membawa detak jantung yang keras, kakinya menapak menuju tempat rahsia mereka. Setiap langkah terasa berat, seolah-olah bumi sendiri mengerti bahwa ia sebentar lagi akan dipisahkan dari satu-satunya jiwa yang memahami dan mencintai dia apa adanya.
Taman itu sunyi, hampir menakutkan. Sophia menyelinap di celahan pokok, jantungnya berdegup kencang. Malam semakin pekat. Bunyi cengkerik menjadi saksi sebuah rahsia. Bulan, hampir tidak kelihatan sabitnya, memancarkan cahaya malap di sebalik awan hitam yang seakan mengerti sebuah perpisahan akan terjadi. Di atas laluan yang dengan mudah dia jejaki tanpa perlu bersuluh, langkahnya lancar. Sophia dah hafal jalan itu. Dia tahu ke mana dia pergi.
Dan di situ, Hans sabar menunggu, seperti yang dah mereka rancangkan melalui Dahlia dan Lynn. Ketika Sophia melihat kekasihnya menanti di bawah pokok, tempat mereka selalu bertemu, deru emosi terasa begitu kuat sehingga hampir memutuskan nafas.
Mata Hans mengimbas kegelapan. Wajahnya hanya diterangi samar-samar lampu jalan yang terletak agak jauh jaraknya dari tempat dia berdiri dengan tangan memeluk tubuh. Derap tapak kaki yang memijak daun-daun kering memberi isyarat untuk menoleh dan wajahnya memancarkan campuran perasaan yang sukar digambarkan bila melihat Sophia berdiri di depan mata. Ada kerinduan, ada kesedihan dan di sebaliknya ada kebahagiaan yang menyelinap dalam setiap sorot mata.
Mereka saling menatap, tak ada kata-kata yang keluar, hanya keheningan yang mengisi ruang di antara mereka. Sophia melangkah perlahan, dan tanpa sepatah kata, mereka berdua saling meraih dan mendakap erat, seolah-olah dengan hanya satu pelukan, mampu mengisi semua kekosongan dan menghalang perpisahan.
“Sayang…” bisik Hans, mengeratkan dakapan. Melepaskan pelukan itu bererti kehilangan segala-galanyanya.
Untuk seketika, mereka terkelu, membisu, membiarkan emosi hanyut dalam kerinduan dan ketakutan. Sophia dapat merasakan jantung Hans berdegup di dadanya— mengiramakan desakan yang sama. Keheningan berbicara lebih dari kata-kata.
Tetapi kebisuan tidak mampu bertahan.
“They're sending me away,” Sophia akhirnya melafazkan keresahan, suaranya serak. “Papa dan mama paksa aku tinggal dengan makcik, aku tak tau kat mana. Aku tak boleh—” Kata-katanya tersekat di kerongkong. “Aku tak boleh kehilangan kau. Aku tak tau apa nak buat, sayang. Aku takut.”
Pelukan Hans semakin erat, wajahnya disembamkan di bahu Sophia. “Aku tau,” bisiknya, dengan suara yang sedikit menggigil. “Dahlia and Lynn told me.”
Sophia berundur hanya cukup untuk melihat wajah Hans, matanya digenangi air yang tidak tertumpah. “Apa patut kita buat? Aku tak boleh... aku tak boleh tanpa kau. Kita lari?”
Hans menggelengkan kepalanya sedikit. Tatapannya memancarkan tekad yang tak berbelah bahagi. Dia mencekalkan sebuah kepercayaan bahawa ini hanyalah sementara, seperti yang diyakini oleh bapanya sebelum dia ke situ.
“No matter what they do, no one can take away our love, not even death.” Dia meletakkan tangannya di atas hati Sophia. “We're stronger than we know.”
“Kita lari, sayang... Jauh-jauh dari sini.”
“I wish we could but you know we couldn't. Exam tak lama je lagi… Itu penting untuk masa depan kita. Impian dan cita-cita tak layak dimusnahkan hanya kerana ini. Aku akan tunggu, aku akan usahakan sesuatu. Percayalah.”
Sophia memejamkan mata, bersandar pada sentuhan Hans, merasakan kehangatan kulitnya. Dia mahu mempercayai semua kata-kata dan janji-janji Hans. Dia mahu percaya bahawa cinta sudah cukup untuk mengekalkan hubungan mereka walaupun dipisahkan tujuh lautan. Tetapi ketakutan dan ketidakpastian menyelubungi dirinya seperti gumpalan awan gelap yang enggan menurunkan hujan.
“What if...” Sophia teragak-agak, hampir berbisik. “What if they're right? What if this is too much? What if it breaks us?”
Hans meyentuh pipi Sophia perlahan-lahan, membawa mata gadis itu menatap ke dalam matanya. “Listen to me,” katanya dengan suara yang tegas dengan kekuatan. Seperti dia, Hans tahu Sophia juga amat memerlukan kekuatan itu. “This— what we have— it's real. And no one, not my father, your parents, distance, or school— nothing can change that. They can try to keep us apart, but they don't control our hearts. You are mine and I am yours. Always.”
Saat mereka saling menatap lagi, Hans menarik nafas dalam dan dengan lembut, dia mendekatkan wajahnya ke wajah Sophia. Dengan perlahan, dia menyentuhkan bibirnya ke bibir Sophia, memberikan ciuman yang pertama dan mungkin yang terakhir, penuh dengan perasaan cinta yang tak dapat diucapkan dengan kata-kata. Ciuman itu menjadi saksi bisu cinta mereka yang tulus bersandar pada harapan yang mereka tanam dalam-dalam.
“Aku tak akan pernah lupakan ini,” bisik Hans setelah ciuman mereka berakhir, tangannya tetap menggenggam erat tangan Sophia. “Apa pun yang terjadi, di mana pun aku berada, kau akan selalu ada dalam hati aku. Jangan biarkan siapa pun mengambil cinta aku dari hati engkau.”
Kepastian dalam suara Hans, api di matanya, membangkitkan kembali kekuatan dalam diri Sophia. Ketakutan masih ada, tetapi ia tidak lagi membingungkan. Dia menghulurkan tangannya ke wajah Hans. Jarinya menjejaki lekuk rahang, merasai kelembutan bibir yang pasti dia rindui.
“They may keep us apart— physically, not spiritually. I believe there'll be ways,” bisik Sophia. Suaranya menjadi ringan. Matanya adalah sinar yang menerangi gelap malam itu. “Tak kira apa pun, kita akan cari jalan.”
Hans menyandarkan dahinya ke dahi Sophia. “Aku janji, ini bukan penghujung tapi satu ruang untuk kita dan cinta kita menjadi lebih utuh.” Nafasnya tersekat-sekat, tetapi dia memaksa dirinya untuk tersenyum. “Suatu hari nanti, kita akan bersama lagi dan waktu tu tak siapa akan dapat memisahkan kita lagi.”
Dalam tangisan Sophia tersenyum. Kerlipan kecil harapan menyalakan semangat dalam dirinya. “Kau pasti?”
“Aku tau,” bisik Hans sambil mengeringkan air mata di pipi gadis yang dia cintai. “No matter how hard it takes, we will find a way. If there's no path, we will create our own. We foster love to strengthen it, not to tear it apart. Nothing can stand in our way.”
Keyakinan yang menguatkan erti kata-kata tersebut membuat seluruh tubuh Sophia menggigil kehangatan dan sebelum dia dapat menahan diri, bibirnya telah pun merapati bibir Hans. Satu ciuman lembut— pengikat janji yang dimeterai di bawah bintang-bintang, diiring sejenis desakan yang amat menyakitkan— mengetahui malam itu mungkin akan menjadi pertemuan terakhir mereka untuk jangka masa yang panjang.
Apabila malam memaksa mereka untuk berpisah, kedua-duanya mencari nafas dalam ciuman, dahi masih bersentuhan, pelukan terlalu ketat untuk dileraikan.
“I love you,” bisik Sophia. Suaranya melantunkan kepastian yang melaungkan harapan. “Aku akan tunggu, tak kira berapa lama pun, betapa susah pun.”
“I love you too,” bisik Hans, membawa sinar ke mata Sophia dalam cahaya yang malap. “And I'll never stop fighting for us, even when it feels impossible.”
Berdiri dalam pelukan, malam semakin dekat untuk memisahkan mereka. Dunia di luar— keluarga, sekolah, peraturan-peraturan ciptaan manusia, semuanya tidak wujud. Di situ, di bawah bintang-bintang, di hadapan laut yang luas, hanya ada mereka— dua insan yang berpegang kukuh pada kekuatan cinta.
“Aku akan selalu ada,” Sophia berjanji untuk yang kesejuta kali— mengalunkan nada suara yang tak beruban walaupun hatinya pedih menahan sedih. “No matter what.”
“No matter what, sayang and I'll be there, come what may,” Hans menyahut janji Sophia bersama mata yang membara dengan api cinta. Dia menyeluk saku jaket. Sebentuk cincin bersinar di bawah cahaya malap bulan sabit.
“Ini peninggalan mama,” kata Hans perlahan, suaranya serak dengan emosi. Matanya tidak lepas daripada wajah Sophia yang memandang dengan rasa terharu. “Aku mau kau milikinya, tanda cinta kasih aku yang tak akan mati.” Dengan lembut, Hans mengambil tangan kiri Sophia lalu menyarungkan cincin pusaka itu ke jari manisnya.
Cincin itu bersinar lembut di bawah cahaya malam, seolah-olah membawa bersama cerita-cerita dari masa lalu yang kini menjadi saksi janji dan mimpi-mimpi mereka. Tanpa sedar, Sophia mendekat, bibirnya menyentuh bibir Hans dalam satu ciuman singkat. Air mata mula bertakung di mata masing-masing.
“Ini besar… terlalu besar, sayang,” akhirnya Sophia bersuara, bergetar dalam nada. “Bukan aku tak gembira, malah aku akan jaga cincin ini sepertimana aku jaga diri sendiri. Tapi… ini milik mama...” Kata-katanya terhenti, disekat oleh bibir Hans yang kembali menyentuh bibirnya, kali ini lebih lama, lebih dalam, seolah-olah ingin menyampaikan segala rasa yang tidak mampu dilafazkan.
“Begitulah besarnya cinta aku terhadap engkau. Seperti cinta seorang ibu. Seperti kasih sayang seorang ayah.”
“Aku janji, Hans…”
Tak sempat Sophia mengucapkan janji, Hans memotong dengan meletakkan jari telunjuknya di bibir Sophia. “Mama pasti mau cincin ini menghias jari seseorang yang aku cinta. And it’s you, my Sophia.” Jari digantikan dengan bibir. “Berjanjilah dengan bukti, sayang.”
Satu pelukan terakhir, satu ciuman terakhir dan mereka terpaksa berjalan ke arah bertentangan, merelakan diri untuk kembali menghadap kehidupan— hidup yang tak akan sunyi dengan cabaran bertemankan kerinduan yang pasti saja akan menyesakkan jiwa.
#
Juan berdiri di pintu rumah kecil mereka, memerhatikan Hans yang duduk bersendirian di sudut halaman, memegang gitar kesayangannya. Matahari petang melukis bayang panjang di tanah, tetapi dunia Hans kelihatan suram, seolah-olah cahayanya telah direnggut pergi. Jemari Hans menyentuh tali gitar perlahan, tetapi nadanya tidak teratur, melodi yang keluar kedengaran hambar, tenggelam hanyut ke dasar laut yang gelap dan sunyi.
Juan, dengan botol air di tangannya, menarik nafas panjang. Dia tahu apa yang sedang berlaku dalam hati anaknya. Walaupun Hans tidak banyak bercakap, perubahan dalam dirinya begitu ketara— cara dia termenung lama, bagaimana senyumannya semakin jarang terlihat, dan kini gitar yang biasanya menghidupkan suasana rumah mereka, hanya memainkan nada-nada tanpa jiwa.
“Hans,” panggil Juan perlahan, melangkah ke arahnya. Hans mendongak, memandang ayahnya dengan mata yang kosong, membiaskan kesedihan yang dalam.
“I feel you, son,” kata Juan, duduk di sisi anaknya. “I know what it's like to lose someone we love. But don’t let that feeling pull you under.”
Hans tersenyum kecil, tetapi tawar. “I don't know how to go on without her.”
“Life isn't always about what we desire; it's about how we make the most of what we have.” Juan menujukan kalimah itu untuk menguatkan hatinya sendiri. “Kau masih ada masa, kau masih ada cinta. Jangan biarkan satu perpisahan musnahkan segalanya. Kalau dia betul-betul untuk kau, satu hari nanti, Tuhan akan tunjukkan jalannya.”
Bersama air mata yang jatuh satu persatu, Hans memegang tangan Juan yang berehat di bahunya — cuba meresap kekuatan seorang ayah. Gitar di pangkuan terus terdiam membiarkan hati dan airmata mengganti bicara.
Tak sanggup Juan melihat anaknya menderita. Untuk kesekian kalinya, dia mengutuk diri sendiri atas semua kesalahan yang dia lakukan— membiarkan diri hanyut dalam khayalan. Kesedihan Hans menginsafkan dia. Penderitaan yang pernah dia lalui tak seharusnya diwarisi Hans. Dia berazam untuk menebus semua dosa-dosanya lalu dalam diam, dia merancang untuk bertemu mata dengan kedua orang tua Sophia— bersemuka dalam keadaan yang waras.
*
Puan Kamalia dan Encik Suffiyan duduk di ruang tamu. Wajah mereka tidak menunjukkan sedikit pun kemesraan malah seakan memandang jijik sosok Juan yang berdiri di depan pintu. Dia berpakaian rapi, ingin menunjukkan rasa hormat kepada keluarga Sophia. Suasana terasa tegang, senyap dan penuh percanggahan.
Juan dijemput duduk. Peti suaranya memecahkan nada yang lembut, “sebagai seorang ayah, saya hanya mahu mereka bahagia.”
Sophia yang baru saja keluar dari biliknya untuk turun ke dapur segera mematikan langkah bila mendengar suara yang amat dia kenali— suara Juan. Secara senyap dia menyelinap ke sisi tangga dan menjenguk ke bawah. Hatinya luluh bila melihat Juan dengan rendah hati cuba mempertahankan cinta antara dia dan Hans sedangkan ibu bapanya sendiri tergamak memusnahkan tanpa sedikit pun mahu mengerti tentang penderitaan yang terpaksa dia tanggung.
Dia melihat ibunya meletakkan tangan di dada, seolah-olah menahan kekesalan yang semakin lama semakin mencengkam. “Hubungan mereka dah melampaui batas. Ini bukan saja melibatkan maruah keluarga dan agama tapi juga masa depan Sophia.”
Juan menarik nafas panjang, cuba meredakan ketegangan. “Saya faham, Puan Kamalia. Tapi kita perlu faham betapa peritnya hati dua jiwa yang kamu pisahkan. Mereka saling menyayangi. Cinta mereka suci.”
Encik Suffiyan menyelit, suaranya tegas dan sedikit keras. “Kena ada batas, Juan. Ini soal perbezaan agama. Hubungan songsang tak akan pernah diterima agama kami.”
Juan mengangguk perlahan, tetapi dia tidak menyerah begitu sahaja. “Encik Suffiyan, cinta anak-anak kita bukan dosa. Memang, saya tahu, Islam melarang homoseksualiti tapi saya tak nampak di mana salahnya sebuah cinta yang jujur, ikhlas, tanpa tipu daya. Dalam agama saya, Tuhan adalah Cinta.”
Puan Kamalia menarik nafas panjang, jelas suaranya tertekan. “Saya tak nak tau bagaimana agama kamu menilai hal ni. Apa yang penting, kami perlu melindungi Sophia dari terjebak dengan sesuatu yang tak mungkin. Hubungan songsang ditentang oleh Islam, berat dosanya dan sebagai ibu, saya tak akan biarkan Sophia terpesong lebih jauh.”
Juan termenung sejenak. Dia tahu Puan Kamalia dan Encik Suffiyan hanya mahu melindungi Sophia, tetapi sebagai ayah, dia juga memahami bagaimana rasanya mengharapkan masa depan yang baik buat anaknya.
“We can keep them apart, create distance between them, but their emotions are beyond our control. We don't want our children to resent us for this, do we?”
Encik Suffiyan mengepal tangannya, mengubah nada suara menjadi semakin tegas. “Ini tanggungjawab kepada agama. Anggap saja semuanya dah selesai, Juan. Apa pun yang awak katakan, tak akan dapat mengubah hukum alam dan Janji Tuhan.”
Juan tahu bahawa apa yang dikata ada benarnya— siapa yang boleh menyanggah bila nama Tuhan digunakan? Namun, dengan tegas, dia bersuara, “lebih besar dosanya bila kita mematikan jiwa yang menyentuh jiwa.”
Kata-kata Juan mendiamkan Encik Suffiyan buat seketika. Walaupun hatinya keras, ada sedikit rasa hormat terhadap keikhlasan Juan dalam memperjuangkan sebuah pegangan. “Juan, kalau Hans tu lelaki… aku tak ada halangan, aku sendiri akan kahwinkan mereka…” Diucapkan antara sedar dengan tidak, dengar dengan tak dengar, Juan tahu pengakuan itu lahir dari hati Encik Suffiyan. Dadanya terbuka untuk mengerti bahawa semua ini bukan kemahuan lelaki itu tapi agamanya.
Puan Kamalia memandang Juan. Dia mengangguk kecil, seolah cuba memberitahu Juan, apa yang didengarkan oleh suaminya itu adalah benar. “Maafkan kami, Juan. Dalam soal agama, kami tak boleh bertolak ansur.”
Juan menggigit bibirnya, menahan rasa kecewa. Dia ingin sekali melindungi Hans dari rasa sakit yang bakal memusnahkan harapan dan semua impian yang disemai bersama Sophia. Namun, dia tahu, melawan kehendak keluarga Sophia akan hanya menyebabkan konflik lebih besar— akan melibatkan agama dan kepercayaan yang dia hormati.
Akhirnya, dengan berat hati, Juan bangkit dari tempat duduk. “Baiklah, Encik Suffiyan, Puan Kamalia. Jika itu keputusan awak, saya tak punya hak untuk menghalang cuma saya harap… budak-budak tu akan tetap kuat, walaupun agama harus memisahkan mereka.”
Berderai airmata Sophia menyaksikan semua itu dengan cukup jelas. Dia menutup mulut, menahan sebak di dada. Bingkas dia bangun, terus berlari ke bilik.
Berdiri di balkoni, dia menangis semahu mungkin— menyatukan tangisan dengan suara ombak, mencari-cari wajah Hans di putihnya pasir pantai. Malangnya, Hans tiada di situ namun kelibat Juan jelas kelihatan menuruni tebing menyusuri tangga-tangga berlumut di celahan dinding-dinding bangunan usang.
Ingin sekali dia memanggil nama Juan, meminta ‘bapanya’ itu membawa dia pulang ke rumah untuk terus hidup bahagia, menjadi sebahagian daripada keluarga Marcello. Namun suaranya disekat suara Hans.
Mengalah bukan bererti kita kalah, tapi tanda kemenangan dalam mempertahankan kesabaran walau hanya sisa-sisa.
El Faro de Mariá yang tersergam kukuh di tepi pantai semakin jelas di pandangan mata. Juan menarik nafas panjang, berdoa agar pengadilam kejam manusia tidak akan menghancurkan dua jiwa hijau yang begitu jujur dalam mempertahankan sebuah cinta sejati.