PART 1: THE SOLOIST Bab 5: Dua Dunia |
M(caps)elihat Hans yang tekun membuat persediaan di dapur sebelum kedai dibuka, ingatan Maria meluncur laju ke peristiwa hampir 15 tahun lepas. Pertengkaran menjadi nada bersulamkan kata-kata pedas dan janji-janji yang dimungkiri. Semua itu menjadi lagu hari, semenjak pemergian Emelda. Juan berubah— sedikit demi sedikit. Daripada seorang lelaki yang bertanggungjawab dan penyayang kepada seorang lelaki yang dibebani dengan kesedihan tetapi terlalu angkuh untuk membenarkan sesiapa pun memikul sama bebannya.
Pada suatu malam, tidak lama selepas kematian Emelda, Maria dan Jose bertekak lagi dengan Juan. Dalam nada terdesak yang mencakar-cakar suara, Maria cuba mengenal semula seorang Juan— rakan yang dikenalinya suatu ketika dahulu manakala Jose, cuba membawa abangnya kembali ke dunia nyata. Kenangan itu bermain dengan begitu jelas di fikiran.
“Kau tak boleh terus macam ni,” Jose, adik yang tak pernah lelah menyokong cuba memujuk lara satu-satunya abang yang dia ada. Kesedihan dan kekecewaan bergabung dalam suaranya apabila melihat Juan terjelepuk di sudut rumah, memegang botol yang hampir kosong. Dia mendongak memandang adiknya itu dengan mata berkaca-kaca dan suara menentang. “Ah kau tak faham. Tak siapa yang faham. Nobody will. Dia laut aku, bumi, langit aku. Kau apa tau?! How can I move on as if she never existed?”
“Start with the baby in the cradle, Juan.” Maria merayu, sambil menggoncang kecil buaian di mana Hana sedang tidur, tak mendengar dan tak mengerti apa-apa— apalagi untuk memahami pergelutan bapanya. “Emelda doesn't want you to lose yourself like this. Hana needs you. You have to be there for your child.”
Wajah Juan berubah, campuran kesakitan dan kemarahan terpancar di mata. “Jangan bercakap macam aku ni bodoh!” Dia meludah, kata-katanya sedikit meleret. “Every time I see Hana, I see her mother. The memories are overwhelming. They hurt too much.”
Maria mengeluh, hatinya berat. Jose menghulurkan tangan, meletakkannya keras di bahu Juan. “You’re not the only one who has lost someone. We all loved Emelda. But we need to move forward for Hana. She’s the only one you have left from her— a part of Emelda that remains.”
Juan menunduk. Botol di tangan digenggam lebih erat. Mukanya berkerut menahan sakit akibat luka yang tak berdarah. Untuk seketika, Maria melihat penyesalan di mata abang iparnya itu— jejak seorang lelaki yang dia tinggalkan bila arak menguasai kewarasan. Tetapi kemudian, secepat itu, dia hilang, bersembunyi di sebalik keangkuhan dan keputusasaan yang degil. “I don’t need your sympathy.” Gumamnya sambil menepis tangan Jose. “Aku akan besarkan Hana dengan cara sendiri.”
Maria berusaha menahan air mata, mengetahui bahawa kata-kata mereka tidak akan menembusi dinding yang dibina Juan. “Alright, Juan. But if you can't do this— if you continue down this path... Hana has a family here, with Jose and me. We will take care of her. She deserves love, even if you can't find it within yourself right now.”
Dan dengan itu, Juan berlalu meninggalkan keluarganya bersama hati yang sakit dan kemarahan bercampur baur dengan belas kasihan. Dalam diam mereka semua berdoa agar suatu hari nanti Juan akan menemui jalan kembali. Sehingga itu terjadi, Maria tak berbelah bagi melangkah masuk, memberikan Hana kasih sayang seorang ibu dan segala yang diperlukan seorang bayi dalam menempuh dunia yang terbalik.
Kenangan malam itu sering berlegar di hati Maria— satu memori yang menyakitkan. Satu kehilangan. Tetapi itu jugalah yang menyemarakkan keazamannya untuk menjadi ibu yang diperlukan Hana, selama Juan masih belum mendapat kekuatan untuk menjadi seorang bapa.
Juan Marcello, dulunya adalah seorang lelaki yang penuh dengan kehidupan, dengan ketawa yang bergema di seluruh kampung dan hati yang luas seperti laut yang diredahnya setiap hari. Tetapi segalanya berubah pada hari Emelda, isteri tercinta, meninggal dunia. Itulah hari di mana cahaya hidupnya memalap dan dunianya menjadi gelap. Serta merta, dia mendapati dirinya hanyut, karam dalam kesedihan yang dalam dan untuk kembali kepada kehidupan yang pernah mereka bina bersama hanya bisa terjadi di dalam mimpi -mimpi. Dia mencari ketenangan dalam satu-satunya perkara yang dapat meredakan kesakitan— botol demi botol, malam demi malam.
Tangisan Hana menjerit memanggil ibu, tapi tidak berjawab sementara Juan semakin tenggelam dalam jerebu kesedihan. Maria, kawan rapat Emelda, dialah yang melangkah ke hadapan. Melihat kesakitan terukir di wajah Juan dan ketidakberdayaan bayi kecil yang ditinggalkannya, Maria tidak teragak-agak. Tanpa bertanya atau menunggu persetujuan abang iparnya, Maria membawa Hana ke dalam pelukan, berjanji secara senyap untuk menjaga bayi itu seperti anak sendiri. Dia menyusukan kedua-dua Marsha dan Hana, memastikan mereka rapat, membenarkan kedua-dua gadis itu membesar seperti adik-beradik. Sejak saat itu, Maria dan Jose memberikan Hana kestabilan yang tidak dapat ditemui di rumah sendiri. Lullaby pengantar tidur Maria yang lembut menjadi lagu pertama Hana dan haruman masakannya mengisi kenangan terawal nyawa sekecil itu.
Hana membesar di bawah jagaan Maria dan Jose dan Juan semakin menjauh. Kunjungannya menjadi jarang, sentiasa dicemari bau alkohol dan dibayangi oleh jarak pandangan. Dia akan duduk diam, memerhati Hana dari seberang bilik, seolah-olah budak itu adalah orang asing, bukan anaknya sendiri. Maria dan Jose hanya mampu memerhati Juan meneruskan jalan kehancurannya sendiri, seorang bapa yang tersesat.
Apabila Hana semakin besar, dia mula perasan perkara-perkara kecil— tangan bapanya bergetar apabila dia cuba memegangnya, atau bagaimana dia mengelak pandangan. Kadang-kadang dia menggumam— memohon maaf dengan kata-kata yang tak masuk akal— janji yang tak dapat dia tunaikan. Pulang ke rumah, dia hanya bersandar pada bingkai pintu dengan mata berkaca-kaca dan letih, hanya untuk hilang beberapa hari selepas itu. Dan setiap kali kembali, dia membawa secebis kesedihan baru— beban tak terucap, yang tak pernah dapat dia ungkapkan.
Namun begitu, Hana bertuah kerana mempunyai Maria dan Jose, yang memastikan keperluannya cukup walaupun tak mewah. Apa yang penting dia selamat, ada tempat berlindung dan bergantung, dilimpahi dengan kasih sayang. Dibesarkan dengan Marsha, mereka berdua rapat seperti adik beradik. Antara suara tangis Marsha dan rengekan Hana, Marialah nyawa.
Dalam kesunyian, Hana sering tertanya-tanya tentang bapanya, hatinya dirobek antara marah dan sedih. Maria dapat merasakan terlalu banyak soalan yang tidak terluah dalam hati Hana. Selalu dia mencari peluang untuk duduk bersama, bercakap dengan jujur, bercerita tentang Juan— suami dan bapa yang penyayang dan setia yang telah dipatahkan oleh kehilangan. “Papa menyayangi mama kamu sepenuh hati,” kata Maria. Suaranya dipenuhi dengan belas kasihan. “Your mom's departure took a part of him with her.”
Hana membesar sebagai Hans, mendengar dan menyerap kata-kata Maria— cuba memahami dan memaafkan.
“He'll come back. Let's give him a little more time.”
#
Duduk mengelilingi meja makan, gelak tawa memenuhi ruang luas itu. Dinding dipenuhi dengan sijil dan pujian berbingkai, kebanyakannya milik Encik Suffiyan, membuktikan kedudukannya sebagai seorang yang dihormati dan berpengaruh.
Keluarga Encik Suffiyan terkenal di seluruh daerah kerana reputasi dan kedudukan, sering mendapat kekaguman dan tak lepas daripada iri hati. Di kepala meja, dia tersenyum sambil memotong daging panggang yang dimasak dengan sempurna. Isterinya, Puan Kamalia, duduk di sebelah kanannya, memerhatikan anak-anak mereka dengan rasa kasih seorang ibu. Penampilan wanita itu secantik wajah— rambut berdandan sempurna, barang kemas halus dan tebal menghiasi leher dan pergelangan tangan.
“Kamu tau, Kamal?” Tanya Encik Suffiyan sambil menoleh ke arah anak keduanya dengan kilat mata bangga, “masa papa sebaya dengan kamu dulu, papa selalu capai kedudukan terbaik di sekolah. Of course there were few other, too, but I'm always aiming to be the best. It's all about setting standards, you know what I mean?”
Kamal bersandar ke belakang, tersengih dengan wajah megah. “Certainly, papa. Standards and reputation need to be upheld. I don’t think everyone gets how serious that is.” Nadanya mengikut rentak keangkuhan, cermin kebanggaan bapanya. Dia menjeling ke arah Sophia.
Duduk di sebelah abang-abangnya, Sophia memandang pinggan, senyuman kecil bermain di bibir. Dia amat menyayangi keluarganya dan menikmati detik-detik bersama, namun sebahagian daripada dirinya merasa tidak selesa dengan cara mereka— sering bercakap tentang status, terutama Kamal dan bapanya. Dia sentiasa diajar bahawa mereka lebih baik daripada yang lain.
Kamarul, abang sulung, lebih pendiam dan memahami jika hendak dibandingkan dengan Kamal, memerhati percakapan itu penuh penaakulan. “Ya, papa.” Dengan berhati-hati Kamarul memilih kata-kata, “it's really important to set an example for those around us. But sometimes, I think we might forget that the people here have their own struggles.”
Puan Kamalia tergelak kecil sambil menggeleng kepala. “Kamarul, you’re always so thoughtful! It’s good to care about others, but don’t forget we’ve got our own stuff to handle too.”
Kamal melepaskan tawa pendek. “Betul tu mama. Kita ada maruah yang kena dijaga— We need to maintain a certain image. Dad has put in so much effort to get us here.”
Sophia mendongak, bersemangat dengan kenyataan Kamarul, cuba menentang kesombongan Kamal, walaupun dia teragak-agak sebelum mengongsikan pendapatnya sendiri. “But it's worth taking the time to understand what others are going through,” katanya lembut, suaranya hampir meminta maaf. “I mean, sometimes, people can teach us something valuable, even if they're different from us.”
Encik Suffiyan memandang anak perempuannya itu, sedikit termenung, senyuman tipis terukir di wajah. “Ah, my dear Sophia. You have such a kind heart, and there's beauty within you. Just remember, people look up to us. We set an example, so it's important to keep ourselves above certain influences.”
Menepuk lembut tangan Sophia, Puan Kamalia menyokong sudut pandang suaminya. Dalam nada memujuk, dia cuba meyakinkan Sophia untuk turut mempersetujui cara fikir mereka. “Sweetheart, kindness is beautiful, but we must also be cautious. Not everyone has pure intentions, and you should know that.”
Sophia mengangguk kecil. Walaupun kurang selesa tetapi dia tetap mengekalkan senyuman— mengerti apa sebenarnya yang cuba mereka sampaikan.
Apabila perbualan beralih kepada projek komuniti Encik Suffiyan yang seterusnya, Kamarul sekali lagi cuba mengemudi keluarga ke arah yang lebih bersifat rendah diri. “Papa, it might be a good idea for us to spend some time with the villagers— getting to know their issues firsthand— this could really help us improve our approach,” dia mencadangkan.
“Ah, Kamarul,” Encik Suffiyan membalas dengan lambaian tangannya, “we're all about taking the lead, not just going along for the ride. People look for direction and someone to look up to. Just being around us can give them that sense of comfort.”
Dengung kemegahan tidak dapat dihindar dalam suara Pegawai Daerah itu— kemegahan yang cuba ditanamkan dalam diri dan di fikiran anak-anaknya, yang dikira dapat membentuk nilai keluarga. Bagi Encik Suffiyan, kedudukan mereka besar lebih daripada sekadar kuasa— ia adalah kejayaan yang dia cipta untuk diwarisi.
Kamarul dapat menembusi makna di sebalik gelak tawa dan kepuasan orang tuanya, juga di wajah riak Kamal, adiknya. Di antara ritma kesombongan itu, dia turut melihat kegelisahan menyelubungi hati Sophia, sama sepertimana keangkuhan mereka menyentap hatinya sendiri— Sophia dan Kamarul mula melihat sisi lain di luar meja makan yang serba mewah itu.
Apabila petang semakin larut, Sophia meminta diri dan berlalu ke biliknya. Duduk di tepi tingkap, dia teringat hari-hari bersama Hans di tepi laut dan kehidupan rakan-rakan yang sederhana dan tulus. Cinta keluarganya— ibarat sangkar indah dan melindungi, tetapi dia tertanya-tanya samada mungkin, di luar itu, terdapat sebuah kebahagiaan bebas yang tidak bergantung kepada status tetapi kepada pemahaman, kepada keterbukaan dan di hati orang lain.
#
Sudah tiga empat hari Hans mundar-mandir keliling rumah, memandang ke arah pintu setiap beberapa minit, berharap bapanya akan kembali. Bukan tak pernah Juan pergi dan menghilang tetapi tidak pernah selama ini dan berita itu mula beredar di seluruh kampung. Orang ramai membuat bermacam-macam spekulasi, termasuk khabar angin yang menakutkan bahawa Juan mungkin hilang di laut.
Pada pagi keenam, selepas subuh, ketika Hans bersiap-siap untuk ke sekolah, pintu rumahnya diketuk. Kedengaran sedikit riuh suara-suara. Di ambang pintu, berdiri beberapa orang nelayan yang dia kenali, mengheret bapanya ke rumah. Mereka memberitahu, Juan ditemui mabuk, terbaring berhampiran jeti lama di pinggir bandar. Hans berasa lega bercampur malu apabila dia mendengar beberapa lelaki dari kampung itu merungut tentang keadaan bapanya— nada mereka sinis. Kata-kata mereka, menghina.
Insiden itu sampai ke telinga Encik Suffiyan melalui desas desus masyarakat setempat. Melalui Kamal, dia selalu mendengar cerita tentang Sophia yang rapat dengan Hans dan bila berita itu tersebar, Kamal mengambil kesempatan dengan menegaskan bahawa Juan Marcello adalah bapa kepada kawan baik adiknya itu. Tentu saja perincian yang disampaikan tidak terlepas daripada perhatian seorang bapa. Tugasnya sebagai Pegawai Daerah, beliau memandang serius ketenteraman masyarakat, apalagi bila ia melibatkan sesuatu yang boleh menjejaskan nama baik keluarganya sendiri. Usulan kejadian tersebut, Encik Suffiyan Hafizi menjadi bimbang, maka, satu pertemuan peribadi dengan Juan diatur, dengan tujuan untuk menangani isu tersebut secara profesional.
#
Juan Marcello berdiri di hadapan pintu pejabat Encik Suffiyan Hafizi— sebuah ruang tersusun yang memancarkan kewibawaan dan kedudukan seorang Pegawai Daerah. Tangan nelayan itu sedikit bergetar, menggenggam erat topi lusuhnya— satu-satunya benda yang dapat memberi dia sedikit kekuatan ketika itu. Dia menarik nafas dalam-dalam, namun udara yang masuk tidak mampu menenangkan debaran jantungnya yang semakin kencang.
Mata tuanya melirik ke sekeliling ruang pejabat yang besar dan mewah. Dinding di ruang itu penuh dihiasi gambar-gambar rasmi dan rak buku yang tersusun kemas. Perabot kayu berkilat dan lantai marmar berwarna putih bersih— semuanya terasa asing dan jauh dari dunia kecilnya di kampung nelayan. Sepatu lusuh yang dipakainya terasa berat, seolah-olah tidak sesuai melangkah di atas lantai yang begitu berkilau.
Seorang setiausaha wanita muncul dari belakang meja dan memandangnya dengan senyuman sopan tetapi hambar. “Encik Juan Marcello, sila masuk. Encik Suffiyan sedang menunggu.”
Juan mengucapkan terima kasih. Dia menelan air liur yang terasa kesat di kerongkong. Langkahnya perlahan, hampir teragak-agak, ketika dia melangkah masuk ke dalam pejabat itu. Kepalanya ditundukkan sebagai tanda hormat, tapi matanya tidak lepas daripada memandang meja kayu besar di hadapan, di mana Encik Suffiyan sedang duduk dengan wajah tenang tetapi serius.
"Silakan duduk, Encik Marcello," suara Encik Suffiyan tenang, tetapi penuh wibawa.
Juan melangkah perlahan ke kerusi yang disediakan, duduk dengan perasaan kekok. Punggungnya hanya menyentuh sedikit permukaan kerusi dan tubuh kekal tegak seperti bersedia untuk pergi bila-bila masa saja. Dia meletakkan topi lusuhnya di atas riba. Kedua-dua tangan menggenggam erat bahagian tepi penutup kepala yang sering dia kenakan ke mana-mana. Kegelisahan yang semakin menghimpit cuba dikawal sebaik mungkin.
"Terima kasih kerana datang," kata Encik Suffiyan, nada suaranya formal dan teratur. Dia melipat tangan ke hadapan. “Saya panggil awak ke sini, bukan semata-mata sebab masalah awak. Tapi saya rasa awak tau, masyarakat bergantung kepada ahlinya untuk menegakkan standard tertentu. Masyarakat melihat awak, walaupun awak mungkin tak sedar.” Di situ Encik Suffiyan memulakan, sebelum sesuatu yang lebih penting dia suarakan.
“Saya faham, Tuan.”
“Saya rasa awak tau, anak perempuan saya, Sophia, nampaknya agak rapat dengan Hans, anak awak. Saya percaya awak faham implikasi ini untuk kita semua.”
Wajah Juan menegang dan dia berdehem. “Saya tahu mereka kawan baik.” Dia tunduk, kini mengerti tujuan asal dia dijemput ke situ. Namun dia mengawal suara. “Saya akan cuba…”
Ekspresi Encik Suffiyan menunjukkan sedikit simpati. Dah banyak cerita dia dengar tentang Juan dan dia tak mahu bertanya. Dia cuma mahu menjalankan tanggungjawab untuk melindungi kekuarganya dan memberi nasihat kepada Juan yang jelas memerlukan bantuan dan pemulihan.
“Saya faham kehilangan. Kita semua ada beban yang perlu dipikul.” Encik Suffiyan menyandarkan badannya ke kerusi. “I want you to realise that your actions don’t just affect you. They impact Hans, the community, and yes, my family too.”
Juan mengangkat wajahnya sedikit, tetapi tidak berani menatap langsung ke mata Encik Suffiyan. Dia hanya memandang ke arah meja, mencari kata-kata yang sesuai. “It’s just really tough to face life alone. I don’t want this for Hans, and I don’t mean for this to spill over into your family.”
“Dah tiba masanya awak dapatkan pemulihan. Bukan hanya untuk Hans, tapi untuk diri sendiri. Jangan biarkan diri awak kekal kehilangan arah, Juan.”
Juan mendongak. “Terima kasih, tuan. Saya tahu saya dah gagal dalam banyak hal. Saya akan cuba berubah.” Nada suaranya rendah, hampir berbisik. Wajahnya penuh dengan kerutan— bukan hanya kerana usia, tetapi kerana beban rasa rendah diri yang telah lama berakar. Dia tahu, di dunia ini, dia hanyalah seorang nelayan yang bergelut dengan laut, bukan seseorang yang layak duduk berbincang di hadapan pegawai daerah.
Encik Suffiyan memerhatikan Juan dengan teliti. Lelaki di hadapannya ini kelihatan sederhana, wajahnya keras akibat dipukul angin laut dan matahari manakala tangannya kasar dengan bekas luka kerja keras. Dia bukan lelaki yang lemah, tetapi jelas tergugat dengan perbezaan dunia antara mereka.
“Bagus. Cuma saya nak awak ingat, anak kita berkawan baik. Saya tak mahu perkara itu menjejaskan nama baik keluarga saya dan mempengaruhi Sophia.” Bersama senyuman, sedikit sindiran berbaur amaran diselitkan dan dengan itu juga, perbualan berakhir.
Di saat itu, Juan terasa seperti seorang lelaki kecil di hadapan seorang pegawai yang punya kuasa dan dunia yang lebih besar. Namun, walaupun tubuhnya kelihatan tunduk, di dalam hatinya, dia tetap seorang bapa yang tidak akan menyerah untuk mempertahankan anaknya. Juan melepaskan nafas berat, mengerti apa yang Encik Suffiyan maksudkan. Sewaktu meninggalkan pejabat, dadanya lumat dengan adunan perasaan— malu dan sebuah harapan aneh. Mungkin ini adalah dorongan yang dia perlukan untuk mengubah hidup demi mempertahankan sebuah maruah.
#
Keinsafan Juan datang seperti air pasang— kuat, membersihkan, tetapi sentiasa berundur, meninggalkan sisa-sisa kesakitan yang hanya boleh didiamkan oleh botol-botol arak. Selama beberapa hari selepas pertemuannya dengan Encik Suffiyan, dia menjadi orang baru— seorang yang bersemangat. Pulang tepat pada masa, membantu Hans membuat kerja, berkebun malah ketawa ketika mereka memasak bersama. Hans dapat melihat sinaran yang dia rindukan— sinar daripada seorang bapa yang penuh kasih sayang juga seorang ibu yang tulus mencintai.
Namun malam itu, ceritanya berbeza. Hans mendengar bapanya mundar-mandir di tengah malam, langkahnya perlahan tapi jelas keresahan. Dalam berbaring terjaga, dia merenung siling, mengetahui dengan tepat apa yang sedang dibuat bapanya— decip pintu almari, bunyi kaca yang berdenting dan racauan kesal bergaul sedih yang dirungutkan seorang diri. Juan hilang dalam kenangan dan mimpi yang panjang.
Hans memberanikan diri untuk keluar mendekati bapanya yang duduk bersendirian di bawah cahaya lampu malap ruang tamu kecil mereka. Di atas meja, berdiri sebiji botol separuh kosong. Pandangan matanya kelihatan begitu jauh tertumpu pada sebuah masa yang telah lama pergi. “Pa…” Sapa Hans perlahan sambil duduk di sebelah bapanya itu.
Juan berkelip, memandang sekilas. Wajahnya merah sedikit, dipengaruhi kesan alkohol. Bersama kerlipan malu di mata, dia berusaha untuk tersenyum kecil hanya untuk membenarkan anaknya menyaksikan lagi sebuah kesedihan. “I get what you're about to say. I know I've let you down again.”
“That's not what I mean. I feel what you're going through. I see how deeply you miss mom, but you still have me by your side. You're not alone in this.” Hans menghulurkan tangan, memegang bahu bapanya. Dia nampak dengan jelas air mata yang mengalir di pipi tua itu.
“You've always been my support. I wish I could describe it, but this sadness is too much to handle. Sometimes, it’s the only way to break from it all.”
Hati Hans terasa perit— bukan kerana marah, tetapi kerana lontaran suara tak bermaya dari hati seorang bapa. “I’m sure, pa, there must be another way.”
Juan mengesat muka. “You might be right. It's just... tough to fight against it.” Dalam binar pandangan mata, dia memandang wajah Hans yang menyandarkan kepala di bahunya— seorang bapa dan juga ibu yang sepatutnya menjadi kebanggaan seorang anak.
Mereka membiarkan kesunyian meregang. Masing-masing diserang satu perasaan yang dipenuhi dengan semua perkara— perasaan ingin dimiliki tapi sebaliknya diambil pergi. Hans mengerti, bapanya memerlukan sesuatu yang lebih dalam daripada kata-kata atau janji— satu kekuatan. Kekuatan yang boleh diharapkan dapat membantu bapanya dalam mencari.
Hari-hari berikutnya, Hans cuba memastikan mereka meluang masa bersama dengan lebih kerap, memberi galakan untuk menyertai dia dan Uncle Jose berkebun atau memancing ikan di sungai. Selalu dia mengingatkan bapanya tentang perkara-perkara mudah dan indah yang masih kekal dalam dunia kecil mereka. Hans bertekad untuk menunjukkan bahawa kehidupan, walaupun dalam kehancuran, masih mempunyai detik-detik yang selayaknya diperjuangkan.
Untuk beberapa waktu, Juan merasa kuat dan dipenuhi dengan harapan walaupun hanya samar-samar. Namun pada hari-hari lain, sakit itu datang kembali, membawa bersama keinginan untuk membebaskan diri daripada cengkaman sebuah penderitaan. Mengerti pertempuran bapanya adalah satu perjuangan yang panjang, Hans memujuk hati untuk terus bersabar. Tak henti dia berdoa untuk bapanya— berharap kewujudannya di sisi akan dapat menemukan lelaki itu dengan ketenangan suatu masa nanti.
#
Duduk di atas timbunan kayu di tepi pantai, Hans memandang ke arah laut yang berombak tenang. Dari kejauhan, bot-bot nelayan berayun perlahan di bawah sinar matahari petang. Wajahnya muram, mencerminkan pergolakan hati yang sukar diluahkan. Di sebelahnya, Sophia berdiri dengan penuh sabar, cuba mencari kata-kata yang dapat meyakinkan.
“Kenapa susah sangat bila aku ajak datang rumah? Mama aku OK lah. Aku nak dia kenal engkau — kenal siapa Hans yang sebenar,” kata Sophia lembut, duduk di sisi Hans sambil memandang wajahnya yang kelihatan kusut.
“Kau tak faham. Aku ni orang susah… bapak aku…,” dia terhenti seketika, menelan rasa pahit yang mendesak di kerongkongnya. “Kau pun tau dia alcoholic. Aku malu, Sophia… Aku tak layak… tak sesuai bergaul dengan orang kaya macam kau.”
Sophia menarik nafas dalam-dalam, kemudian memandang tepat ke dalam mata Hans. “Hans, status sosial, agama, bangsa… semua itu tak bermakna bila aku tengok siapa kau yang sebenar. Kau bijak, hati kau baik, kau rajin, kuat dan kau selalu ada untuk aku. Semua tu lagi penting daripada apa yang orang lain fikir.”
Hans tersenyum tawar, namun kepiluan masih jelas di matanya. “Orang macam aku ni, tak kira macam mana kuat mencuba, tetap akan dipandang rendah. Kawan-kawan sekolah, orang kampung… diaorang tu semua tengok aku— serba kekurangan, anak yatim dengan bapak pemabuk. Aku tak nak keluarga kau malu.”
Sophia menggenggam tangan Hans dengan erat, seolah-olah cuba memindahkan keyakinannya ke dalam diri sahabatnya itu. “Hans, dengar sini. Mama cuma perlu kenal engkau. Aku nak buktikan kat keluarga aku— nilai seseorang bukan terletak pada kedudukan atau harta. Aku faham, kau rasa rendah diri, tapi aku mintak sangat, janganlah rasa macam tu. Kau inspirasi aku, Hans. Kau buat aku sedar bahawa hidup bukan tentang siapa yang paling kaya, tapi siapa yang paling kuat berusaha. Dan hati lebih luas daripada langit.”
Hans terdiam. Kata-kata Sophia meresap perlahan-lahan ke dalam jiwanya yang penuh dengan keraguan. Buat seketika, dia terfikir— mungkinkah dia lebih daripada sekadar anak seorang nelayan? Mungkinkah ada orang nampak nilai dirinya lebih daripada apa yang hanya dapat dilihat mata?
“OK lah…” Dia menghela nafas. “Tapi kalau aku datang, lepas tu mama kau tak suka, then how?” tanya Hans, masih ada keraguan.
Sophia tersenyum meraih sebuah kemenangan— sebuah senyuman yang penuh keyakinan dan keikhlasan. “Kalau mama dan Keluarga aku tak suka, let them know what they are missing out on. Aku kat sini bukan untuk mengubah siapa engkau, tapi untuk tunjukkan bahawa kau berhak dihormati, sama seperti orang lain.”
Hans melepaskan keluhan berat. Hatinya masih berdebar, tetapi sedikit demi sedikit, keyakinan mula tumbuh. “Baiklah… aku ikut cakap kau. Tapi jangan salahkan aku kalau aku gugup.”
Sophia ketawa kecil dan menepuk bahu Hans. “Percayalah, kau tak akan gugup. Just be yourself. It's more than enough.”
#
Di ruang tamu, Puan Kamalia sedang duduk sambil menikmati minum petang. Suasana sunyi sewaktu Sophia melangkah masuk bersama Hans. “Mama, inilah Hans yang selalu Phia ceritakan,” kata Sophia dengan senyuman lebar. “My best friend. Kami selalu bersukan, belajar dan buat kerja sekolah sama-sama.”
Hans tersenyum kecil, sambil menunduk sedikit, tanda hormat namun kurang selesa berada di ruang yang begitu berbeza dari rumah kecilnya. “Selamat petang, Puan Kamalia,” sapa Hans, dengan suara yang perlahan dan sopan. Dia menghulurkan tangan. Puan Kamalia membalas senyuman itu dan menyambut tangan Hans tapi matanya memerhatikan Hans dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Seorang gadis kurus, tinggi dan berkulit cerah, berbaju kemeja lusuh sama lusuh dengan seluar jeans yang dikenakan. Di mata Puan Kamalia, itu jelas memperlihatkan tanda-tanda perbezaan— bukan hanya dari segi penampilan, tetapi juga latar belakang.
“Kamu anak nelayan dari kampung bawah ni, kan?” tanya Puan Kamalia dengan rasa ingin tahu.
Hans memandang tepat ke wajah wanita yang kelihatan begitu bergaya. “Ya, puan. Bapa saya seorang nelayan… dan, erm… kadang-kadang kerja sambilan di pasar.” Dia menjawab pertanyaan isteri Pegawai Daerah itu dengan nada bangga.
“Dan kamu bekerja di kedai pakcik kamu untuk menambah pendapatan?”
“Benar, puan. Untuk belanja dan keperluan sekolah saya.”
Sophia yang dapat menangkap nada halus dalam suara ibunya segera mencelah, “kita pernah makan kat situ, mama. Ingat tak?” Tanpa menunggu jawapan, terus dia menambah, “Hans ni pandai, mama. Dia selalu dapat nombor satu dalam kelas. Dia banyak tunjuk ajar Phia dalam subjek Sains dan Matematik.”
Puan Kamalia tersenyum kecil, tetapi ada sesuatu di matanya yang sukar ditafsirkan. “Baguslah kalau macam tu,” katanya bersama fikiran yang melayang, membayangkan suasana kotor perkampungan nelayan. Memandang Hans, dia terhidu bau masam minuman keras dan terbayang sosok seorang lelaki tak terurus— Juan Marcello.
“Sophia pernah cerita, kamu Katolik?” Soal Puan Kamalia dengan nada yang masih tenang, tetapi matanya meneliti reaksi Hans.
Hans mengangguk, bersedia memberi jawapan jujur dan ikhlas. “Ya, puan, herm… lebih kepada tradisi saja.”
Puan Kamalia diam sejenak, memandang Sophia yang kelihatan begitu selesa dengan persahabatan itu. Walaupun dia menghargai kebaikan hati anaknya, kebimbangan tetap hadir. Apakah Hans, dengan latar belakang yang penuh masalah, dengan pegangan yang berbeza, mampu memberi pengaruh baik kepada Sophia?
Selepas Hans pulang, Puan Kamalia mendekati Sophia. “Sophia,” katanya perlahan, meletakkan tangan di bahu anaknya itu. “Mama nampak betapa rapatnya kamu dengan Hans. She is a good girl, I believe.”
Sophia tersenyum, hatinya berasa hangat mendengar restu yang terbit dari kata-kata ibunya. “Phia selesa dengan Hans. Dia pandai, dia rajin and that’s inspired me. Keeps me motivated. Dia buat Phia jadi diri sendiri.”
“Mama faham kamu mahu berkawan. Itu tak salah,” ujar Puan Kamalia, suaranya lembut tetapi berhati-hati. “Tapi mama harap kamu tahu batas-batasnya.”
Sophia tetap dengan pendiriannya— tidak akan peduli apa saja alasan yang cuba manusia cipta demi kepentingan sendiri. “Mama, Hans kawan yang baik. Itu yang paling penting.”
Kata-kata Sophia menyimpan kebenaran yang nyata namun tetap membuat Puan Kamalia mengeluh. “Baiklah. Asalkan kamu pandai jaga diri dan tahu apa yang baik untuk kamu, ibu percaya.” Walaupun ungkapan itu kedengaran seperti satu restu, namun di dalam hati, Puan Kamalia sebenarnya kurang senang. Naluri keibuan tegas menyatakan bahawa persahabatan anaknya itu harus dipantau atau lebih baik jika dihentikan.
Malam itu, Sophia berbaring di atas tilamnya yang empuk, tetapi mata enggan terpejam. Pandangannya kosong, merenung siling, seolah-olah petak-petak putih itu menyimpan segala jawapan yang dia perlukan. Kata-kata ibu masih terngiang-ngiang di telinga— nada yang tegas, dingin dan penuh dengan penilaian. Sophia tak dapat terima semua itu malah dia tak suka pada cara ibunya memandang Hans. Prejudis jelas terpancar dari mata. Hans dipandang seperti seorang yang tidak pernah cukup baik, seperti seseorang yang tidak akan pernah layak.
Ada rasa kesal menusuk jauh ke dalam jiwa Sophia. Hatinya terasa pedih.
Mengapa mama tak melihat apa yang aku lihat?
Hans bukan sekadar kawan. Dia adalah cahaya kecil yang menyelinap ke dalam hidup Sophia, mengusir sunyi dan menggantikan kekosongan dengan tawa dan kehangatan. Tetapi ibunya jelas tidak melihat Hans dengan cara yang sama.
Di antara bayang-bayang malam yang pekat, Sophia membiarkan fikirannya hanyut ke dalam kenangan bersama Hans — senyumannya begitu tulus, caranya berbicara selalu tenang dan tatapan matanya penuh kejujuran. Meskipun Sophia masih kabur tentang apa sebenarnya perasaan yang bersemi di dalam hati, ada satu perkara yang pasti— Hans membawa kebahagiaan dan rasa aman yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Tiada puisi yang mampu melakar keindahan itu, tiada lukisan yang dapat mempotretkan kedalaman emosi yang mula berakar dalam hatinya. Ia adalah sesuatu yang halus, lembut, tetapi begitu kuat — seolah-olah dunia berhenti seketika setiap kali Hans ada di sisi. Sophia menarik nafas perlahan, mengisi dadanya dengan satu keyakinan— persahabatan mereka, walau apa pun rintangannya, akan tetap dia lindungi.
#
Di balik senyuman mesra dan kata-kata manis, Puan Kamalia, menyimpan kebimbangan dan rasa kurang senang. Meski dia tidak menampakkan ketidakselesaan itu di hadapan Hans atau Sophia, hatinya dipenuhi dengan persoalan yang berselang-selikan prasangka. Latar belakang Hans bukan lagi rahsia— seorang budak kampung, anak nelayan beragama Katolik yang dibesarkan oleh seorang bapa dengan tabiat minum arak dan hidup dalam kemiskinan. Dia mula memikirkan masa depan Sophia dengan lebih teliti.
Pada malam selepas Hans berkunjung, Puan Kamalia duduk berbual dengan suaminya di ruang tamu. Mereka berbincang mengenai perubahan yang dilihat pada Sophia sejak berkawan rapat dengan Hans. Segera Encik Suffiyan menceritakan tentang pertemuan dengan Juan Marcello di pejabatnya tempoh hari. Melihat keadaan Juan yang tak terurus, Encik Suffiyan, sama seperti apa yang dirasa dan difikirkan isterinya, kurang senang dengan keakraban kedua remaja tersebut— keakraban yang boleh merosakkan nama baik keluarga.
“Kalau dia bukan kaki botol, abang tak kisah, Lia.”
“Itulah yang saya bimbangkan jugak. Kamal selalu cerita pasal penduduk kampung nelayan tu. Rata-rata kuat minum.”
Encik Suffiyan mengangguk sambil melantunkan sebuah pendapat. “Itu mungkin budaya mereka, tapi tak semua orang kat situ alcoholic macam Juan.” Dia menarik nafas berat. “Cuma saya risau, Sophia tu kawan dengan anak dia… takut jadi pengaruh tak elok.”
“Sophia seems to really look up to Hans as her idol sebab pencapaian dia di sekolah, selalu dapat nombor satu. Budak tu nampak baik tapi…” kata Puan Kamalia, dengan nada penuh keraguan. “Abang, saya rasa kita perlu lebih berhati-hati dengan siapa Sophia berkawan.”
“Itulah maksud saya. Saya tak nak Sophia terpengaruh dengan apa-apa yang tak elok. Lagi-lagi, Hans tu tak seagama dengan kita.”
“Itupun satu hal yang buat saya risau. Pengaruh rakan sebaya boleh menjurus macam-macam masalah. Isu murtad… dah banyak kes macam ni. Risau saya.”
“Hmm, saya rasa elok kita hantar Sophia ke kelas agama daripada dia menghabiskan masa dengan Hans. Cukuplah berkawan kat sekolah je. Kita kena renggangkan mereka.”
Tanpa mereka tahu, Sophia yang berdiri di tangga, memasang telinga, mendengar setiap perkataan. Hatinya terasa perit, seakan-akan disiat. Dia tak faham mengapa keluarganya begitu mudah menilai Hans hanya berdasarkan latar belakang dan kehidupannya yang serba sederhana. Lebih berat lagi mengapa semua itu dijadikan alasan untuk menghalang mereka daripada meneruskan persahabatan?
Sophia tidak dapat menahan marah. Dia turun, memunculkan diri di ruang tamu, memakai wajah yang jelas menunjukkan kekecewaan dan rasa terkilan. “Mama, papa… apa semua ni?”
Puan Kamalia dan Encik Suffiyan yang agak terkejut, terkedu seketika, tidak menyangka Sophia mendengar apa yang mereka bincangkan.
“Kami cuma bimbang,” jawab Puan Kamalia, cuba meredakan ketegangan di wajah anak gadisnya itu.
“Tapi mama, apa salahnya Phia berkawan dengan dia? Jangan sebab keluarga dia tak bernasib baik macam kita, atau sebab agama dia, sebab dia bukan orang kaya, tak macam kita, mama dan papa jadikan semua tu untuk menyekat persahabatan kami.” Suara Sophia bergetar, air matanya mula berlinangan.
Encik Suffiyan menarik nafas panjang, berusaha memahami sudut pandang anak bongsunya itu. Namun, kebimbangan seorang bapa yang ingin menjaga reputasi dan masa depan keluarga lebih menebal. “Kita bukan pandang rendah pada Hans. Tapi, sebagai keluarga yang dihormati, kita ada tanggungjawab untuk memilih pergaulan yang sesuai. Papa takut nanti kamu terbawa dengan pengaruh yang bukan-bukan, yang tak sesuai dengan budaya dan agama kita.”
Sophia menggeleng dengan tegas, hatinya semakin terluka. “This isn't really about being responsible or making decisions. It's more about looking down on others just because they lack money and have different beliefs. I never thought you two would be so arrogant because of your status.”
“Phia, papa dan mama faham apa kamu rasa. Bukan nak menghalang, tapi kamu perlu jarakkan sikit keakraban kamu dengan Hans.”
“Kawan tak salah tapi jangan rapat sangat dengan orang kafir,” sambung Encik Suffiyan, menyokong kata-kata isterinya. “Mama dan papa dah setuju nak masukkan Phia ke kelas agama sebelah petang. Itu lebih baik.”
“Kelas agama?! Oh, God… please…” Sophia berpaling dan terus berlari masuk ke biliknya. Pintu dihempas kuat, tanda protes. Dia duduk di sudut bilik, memeluk lutut sambil menahan tangis. Rasa kecewa menggunung dalam hati, membayangkan wajah Hans yang mungkin juga sering dinilai rendah oleh orang lain sebagaimana yang dilakukan oleh keluarganya.
Semua itu dirasakan tak adil untuk Hans yang selalu menyokong, melayaninya dengan penuh perhatian tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Bagaimana mungkin keluarganya akan melihat kebaikan hati sahabat yang dia kasihi? Dalam diam, tumbuh kebencian terhadap cara keluarganya menilai orang lain. Darjat dan harta benda nampaknya lebih penting daripada hati yang ikhlas, lebih mulia daripada kebaikan seorang manusia. Sophia memandang pemikiran seperti itu sebagai sesuatu yang amat cetek.
Sophia tersedu sendirian, bersimpati kepada persahabatan mereka yang diuji oleh sikap keluarganya sendiri. Meski hatinya terluka, dia berjanji untuk terus mempertahankan apa yang telah dibina. Hans seorang yang tulus, sahabat sejati dan dia tidak akan membiarkan pandangan dangkal manusia lain memisahkan mereka.
#
Di dalam rumah kecil berdinding papan yang sudah mulai usang, Hans duduk berhadapan dengan bapanya. Lelaki itu kelihatan letih selepas seharian bekerja di laut, tetapi ada sesuatu yang lebih berat di wajahnya malam itu. Hans dapat menebak apa yang ingin disampaikan, sesuatu yang mungkin sukar didengar.
“Hans,” suara Juan perlahan, tetapi tegas. Dia mengangkat pandangannya yang penuh garis-garis usia dan keletihan, memandang anaknya yang sedang menghidangkan secawan kopi panas di meja kayu mereka. “Papa jumpa DO haritu.”
Hans terdiam. Dia sudah dapat mengagak ke mana arah perbualan ini akan pergi.
“Dia tak suka kau berkawan rapat dengan anaknya.” Tiba-tiba persoalan itu Juan bangkitkan. “Kita kena sedar diri, Hans.”
Sudah tentu berita itu sesuatu yang memeranjatkan bagi Hans. Dia tak buat apa-apa kesalahan, tapi kenapa mesti persahabatannya dengan Sophia dijadikan masalah? Fikirannya teringatkan pertemuan dengan ibu Sophia tempoh hari.
Juan menyambung dengan nada yang lebih perlahan, seperti sedang memilih kata-kata. “Kami berbual. Dia bercakap dengan sopan, tapi papa tahu… dari cara dia memandang, his body language, nampak sangat dia tak selesa and he also hinted that you’re not worthy of being friends with his daughter.”
Cawan kopi dirapatkan ke tangan. Hans memandang permukaan bekas kaca itu seolah-olah mencari jawapan di dalam gelombang hitam yang pekat. “Kenapa, pa? Apa lagi dia cakap?”
Juan menghela nafas berat. “He didn't come right out and say it, but he brought up our background and about me and my...” Juan terhenti, dia enggan menyebut perkataan yang selalu menjadi luka dalam hidupnya. “addiction... Mereka orang berada, Hans. Sedangkan kita… kita ni siapa?”
Hans terdiam, terasa pahit di hatinya. Fikiran berlegar di sekitar pertemuan dengan isteri Pegawai Daerah itu beberapa hari lalu. Meskipun Puan Kamalia bersikap sopan, Hans dapat melihat ada tembok memisahkan mereka— tembok tebal yang terbina daripada status, agama, dan latar belakang keluarga. “Saya dapat rasa benda yang sama masa jumpa ibu Sophia,” kata Hans, berbisik. “Dia senyum… melayan dengan baik, nampak sopan dan mesra, tapi saya tahu dia menilai saya. I can tell she thinks I’m not worthy of being around Sophia.”
Dengan mata yang penuh kekesalan, Juan memandang wajah anaknya. “Hans, you're still young. It's important to realise that life isn't always fair. Folks like us need to recognise our role. Just remember not to set your hopes too high than what you can realistically reach.”
Hans mengangkat pandangan. Matanya bersinar dengan campuran keazaman dan kesedihan. “Pa, saya tahu kita tak sama macam orang kaya kat luar sana. Saya cuma nak orang faham… saya dan Sophia berkawan kerana kami saling memahami. Kami… saya…”
Juan menggeleng perlahan, wajahnya penuh dengan kerisauan. “Kiddo, dalam dunia ni, kadang-kadang kebaikan hati dan kejujuran tak cukup nak ubah pandangan orang. Ada tembok yang tak mudah dirobohkan, ada jurang yang begitu dalam— agama, bangsa, darjat. Kita Kristian, mereka Islam. Kita hidup di sini— dunia kita, cara kita… mereka dengan cara mereka. Bezanya macam langit dengan bumi. Macam gagak dengan merak.”
“Saya sayang dia, pa… Saya sayang Sophia…” Hans menggenggam tangan bapanya. Terlahirlah satu perkataan tulus yang begitu besar sehingga menakutkan. Dalam menahan rasa rendah diri yang meresap ke dalam hati, jauh di dasar fikiran, Hans sedar bahawa dia sedang diajar dunia tentang sebuah nilai— harga diri tak dapat ditentukan oleh darjat mahupun agama.
“Saya akan buktikan,” suara Hans tenang tetapi penuh keyakinan. “Bukan dengan harta atau pangkat, tapi dengan diri saya sendiri. Kalau keluarga Sophia tak boleh terima, biarlah. I’m not backing down, just like they won’t quit standing up for their honour and reputation. And you know what? I’m not giving up on our love either. It’s something to be treasured, not thrown away.”
Juan termenung mendengar kata-kata anaknya. Ada rasa bangga yang beradun dengan rasa bimbang. Dia tahu dunia yang kejam boleh meremukkan hati sebaik Hans. Namun, dia juga tahu, anaknya memiliki keberanian yang mungkin dia sendiri tak pernah miliki.