PART 1: THE SOLOIST Bab 4: Persahabatan |
“Adik kau cantik, Mal.” Kata Ijoy, tersengih-sengih. “Tak nak kenalkan ke? Aku ingat nak jadi adik ipar kau.”
“Huh!” Kamal merengus. “Jangan harap! Perangai macam korang ni tak layak untuk adik aku.”
“Kau pun sama, Mal. Haprak macam kami jugak. Depan mak bapak je pijak semut tak mati. Sembahyang tak tinggal. Belakang menyetan.” Balas Ijoy. Ada rasa tak puas hati dengan lemparan kata-kata berbunyi hinaan dari Kamal tadi tapi dia tetap ketawa— mengejek sebenarnya, dan ketawanya itu makin besar disokong gelak Bob dan Tam.
“Budak Serani tu rapat dengan dia kau tak kisah pulak?” Tam menambah, sengaja mengapi-apikan lagi.
“Budak kampung nelayan tu?” Tanya Kamal. Suaranya keras sekelat mukanya.
“Hana Marcello. Si tomboy anak kaki botol tu lah, siapa lagi.” Ijoy menjawab sambil mengajuk gaya orang mabuk yang sedang terhoyong-hayang memegang botol.
“Hans…” Mereka berdua— Ijoy dan Tam mentertawakan nama tersebut. “Dia ingat dia jantan. Kau tak risau ke?” Sambung Tam.
“Kau kenal rapat budak tu?” Kamal meminta keterangan lajut. Dia sebenarnya tak berapa kenal dengan Hans walaupun keakraban antara Sophia dan Hans dah menjadi buah mulut rakan-rakan sekolah. Ada yang gembira, terkejut, ada juga yang cemburu.
“Bapak dia, kaki botol. Mabuk hari-hari.” Bob yang dari tadi senyap leka menyedut asap kini mula bercakap. Puntung di jari dia jentik masuk ke longkang.
“Biasalah, nelayan situ semua kaki tonggang.” Tam menokok tambah cerita.
“Keluarga nelayan kat pantai tu, miskin. Kau tengoklah persekitaran pun. Kotor.” Bob mencurah minyak pada api yang sedang marak. “Nelayan kat situ semua Kristian, kau tau, kan? Kau pesan sikit kat adik kau tu.”
“Betul tu Mal. Kau tak boleh biarkan adik kau bercampur gaul sangat dengan orang-orang Kristang tu. Jangan makan kat kedai diaorang. Entah apa dijualnya. Geli aku.”
“Aku setuju cakap Ijoy.” Tam dan Bob mengiyakan kata-kata Ijoy, serentak. Kamal diam. Sebatang rokok dinyalakan lagi. Jantungnya berdegup kencang, geram dan marah. Dia tak suka adiknya, Sophia berkawan dengan orang yang tak setaraf, apa lagi berlainan agama.
“Budak Serani tu kerja kat kedai makan bapak sedara dia. Aku dengar, Dahlia anak Bakhtiar jurutera tu dengan siapa lagi sorang kawan baik diorang…” cerita Ijoy terhenti seketika cuba mengingat nama. Dia menyiku dada Tam.
“Oh, budak tu… Haa… budak Serani anak nelayan situ-situ jugak. Tak silap nama Lynn. Cun jugak…”
“Ah kau ni, orang cerita lain, kau ke lain pulak.” Ijoy menolak kepala kawannya. “Ha, Lynn. Diaorang berdua rajin bawak adik kau makan situ, sebab budak Serani tu kerja kat situ.”
“Apa yang kau orang nak bagitau aku ni, sebenarnya?”
“Mal, kau tak risau ke budak tu pengaruh adik kau nanti? Bawak gi gereja ke, bagi makan apa ke?” Ijoy memandang muka Kamal. “Lagipun diorang tu aku tengok rapat lain macam… Macam…”
“Macam apa?!” Kamal membentak. Dia berdiri tegak. Ketinggian dia menenggelamkan Ijoy yang pendek.
“Macam pakwe makwe.” Kata Bob yang berbadan gempal, selamba.
“Huh!!” Kamal berlalu meninggalkan kawan-kawannya. Laju dia mengambil beca balik ke rumah.
Sesampai di rumah terus dia meluru masuk, mencari Sophia di bilik tapi Sophia tak ada di situ. Lalu dia turun ke bawah mencari ibunya pula. “Mama, mana adik?” Tanya Kamal kepada ibunya yang sedang leka membelek bunga-bunga di taman.
“Adik ada kelas tambahan kat sekolah. Kenapa?” Puan Kamalia duduk di bangku dekat taman, menghadap laut. Wajah Kamal diperhatikan. “Yang kamu macam kucing hilang anak ni kenapa?”
Kamal berdiri betul-betul depan ibunya. Sebaik sahaja dia ingin membuka mulut, Kamarul datang ke kebun bunga di belakang rumah besar mereka bersama Sophia di sisi. Kedua anak sulung dan anak bongsu keluarga Encik Suffiyan Hafizi nampak ceria. Si abang sulung tergelak kecil melihat perlakuan manja si bongsu yang berlari anak mendapatkan ibu.
“Mama…” Kamarul menghulurkan salam, menjabat tangan ibu lalu menciumnya.
“Rul tak cakap nak balik.”
“Saja nak surprise.”
“Mama, tadi lepas kelas tambahan, Phia pergi bandar.” Sophia mengambil tempat di sebelah Puan Kamalia kemudian dia menyambung cerita. “Phia pergi dengan Hans, Dahlia dan Lynn, cari buku. Terserempak dengan abang kat kedai buku, lepas tu, abang belanja kami makan rojak dan cendol,” terang Sophia dengan wajah gembira sedangkan Kamal menjelingnya dengan perasaan marah dan meluat bila Sophia menyebut nama Hans. “Lepas tu abang ajak kami sama-sama balik naik teksi.” Sophia mengakhiri cerita. Kamarul dan Puan Kamalia hanya memandangnya dengan tersenyum lebar. Sophia— anak dan adik yang manja, ceria dan sentiasa positif.
“Ha ah, mama. Dapat jugak saya kenal dengan kawan-kawan baru adik. They are all friendly and nice.” Kamarul turut bercerita. “Mesti banyak aktiviti baru adik kat sini, kan?”
Puan Kamalia mendengar cerita anak-anaknya dengan perasaan gembira. Apa yang ingin disampaikan Kamal langsung tak diendahkan. Malah, tiada antara mereka bertiga yang pedulikan Kamal pada waktu itu.
“Lynn dengan Hans tinggal dekat kampung nelayan bawah ni je.” Terang Sophia tanpa ditanya.
“I see… bukan kampung seberang sana tu?”
“Tak, ma. Hans dan Lynn tinggal tak jauh dari sini.” Jawab Sophia seraya memalingkan badannya. Tangan ibu dipegang. “Ma, uncle Jose, pakcik Hans ada kedai makan. Jual seafood. Hans yang masak. Sedap tau, ma.” Cerita Sophia dengan penuh rasa gembira. “Apa kata esok kita semua— mama dan abang Kamal, abang Kamarul pergi makan kat sana?” Cadang Sophia. Leher ibunya dirangkul mesra.
“Why not.” Puan Kamalia menjawab ringkas.
“Kalau papa tak busy, kita ajak papa sekali.” Kamarul bagi usulan.
“That would be great to have a nice family dinner by the sea.” Sophia tak dapat menahan rasa gembira. Wajahnya bersinar-sinar tetapi Kamal yang hanya mendiamkan diri— tanpa protes terus meninggalkan mereka. Perbualan petang itu semakin rancak antara ketiga beranak itu tanpa mengendahkan ketiadaan Kamal.
#
Malam itu sewaktu Sophia sedang membuat kerja rumah, Kamal melangkah masuk ke dalam biliknya dengan ekspresi wajah yang tidak dapat dibaca. Kamal sangat melindungi adiknya itu, selalunya dengan cara yang bersempadan dengan kawalan dan Sophia telah belajar untuk menguatkan diri setiap kali Kamal memakai wajah itu.
“We need to talk,” kata Kamal, tegas suaranya. “Abang dengar adik rapat dengan budak Serani anak nelayan tu.”
Sophia terkejut bercampur sakit hati— tak setuju dengan kata panggilan yang Kamal gunakan. Dia tahu Kamal tidak akan teruja dengan persahabatannya dengan Hans, tapi dia tidak menjangka perkara itu akan Kamal jadikan isu.
“Dia ada nama.” Sophia membantah panggilan yang diberi Kamal. “Ya,” jawabnya tenang, bertemu pandangan. “Hans kawan Phia. Kami satu team, apa masalahnya?”
Rahang Kamal ketatkan. “Ni bukan masalah team up. Abang cuma nak ingatkan adik, dia tu tak macam kita. Lain. Dia datang dari dunia yang sama sekali berbeza.”
“Apa maksud abang sebenarnya?”
“Kita kena jaga kedudukan papa. I don't like you hanging out with someone like that.”
Sophia tersentak, “like that… like what?” Dia cuba menahan keinginan untuk membentak. “And why shouldn’t I? Just because she’s from a different background doesn’t mean she’s a bad person. She’s kind and she works hard.”
“Look, you are my sister.” Kamal mencelah, suaranya mengeras. “I won't allow you to associate with those below our standards. Do you realise what others will think if they see you with her? She comes from a troubled background. Her father... he's—”
“I don’t care about the rumors, Kamal!” Suara Sophia meninggi apabila kekecewaan berkobar dalam dirinya. “Hans is my friend, and it’s my choice who I spend time with.”
Wajah Kamal menjadi gelap. “Kau ni memang keras kepala!” Kamal menendang kerusi. “Ini bukan pasal adik sorang, ni melibatkan keluarga dan maruah kita. Orang akan bercakap. Adik jangan nak bagi malu keluarga!”
Kamarul abang sulung mereka terdengar pertengkaran itu. Dia masuk ke bilik Sophia. Sikap tenangnya bertentangan dengan sikap panas baran Kamal. Dia telah mendengar perbualan kedua adiknya dan dia bertanggungjawab untuk meredakan ketegangan— sebelum orang tua mereka masuk campur.
“Kamal, kau duduk.” Kamarul memberi arahan. “Adik nak berkawan, biarlah dia berkawan. Kalau dia rasa Hans tu baik, aku tak nampak apa salahnya kat sini.”
Kamal menjeling ke arah abangnya itu sambil menggeleng kepala. “Kau ni lembut sangat. Aku tengok diorang ni lain— bukan sekadar kawan biasa.” Kamal bangun, mendekati abangnya. “Macam jantan, kau tau?” Dia merendahkan suara. “Anak melayan tu bukan dari dunia kita. Kau suka adik bercampur gaul dengan orang kafir? Dahla bapak dia…”
“Watch your mouth, Kamal!” Bentak Sophia. Dia berasa pedih apabila Kamal menjadikan agama dan latar belakang keluarga sebagai satu masalah besar. Dalam membentuk persahabatan dengan Hans, perkara tersebut bukanlah sesuatu yang dia fokuskan malah, langsung tak penting baginya. Sophia benci dengan cara fikiran Kamal yang konservatif.
“Aku tau, aku dah kenal dia petang tadi. Aku tengok OK je. Pandai hormat orang dan baik tingkah lakunya.” Kamarul mengeluh, riak wajahnya berbaur antara kebimbangan dan pengertian. “Aku faham kenapa kau risau. Ya, mungkin Hans dengan kita tak sama dari banyak hal, but Kamal, people can be surprising. Give depth a chance before judging the width. Begin with an open mind, not a closed heart.” Dia cuba bersikap tenang. Faham benar dia dengan perangai Kamal yang bongkak dan suka mengawal. Kemudian dia menoleh ke arah Sophia pula. “And adik, just be careful in choosing friends. Think about how these differences might affect you both.”
“I appreciate your concern, really,” kata Sophia, sedikit tenang. “But I’ve thought about this, and I know Hans is a good person. She doesn’t deserve to be judged based on rumours or because she’s different.”
Kamal kelihatan seperti ingin membantah, tetapi Kamarul meletakkan tangan di bahunya. “Dahlah tu, Kamal. Bagi adik ruang. Kalau kita kawal dia, dia tak akan dewasa. Biarkan dia belajar sendiri, nilai mana yang baik, mana yang buruk.”
Kedua abangnya meninggalkan bilik. Pintu ditutup rapat-rapat. Emosi Sophia bercampur baur—terluka, geram dan marah, namun bersyukur atas kesediaan Kamarul untuk mendengar. Perbincangan itu menyedarkan dia bahawa persahabatan dengan Hans akan menghadapi penelitian dan cabaran. Bagaimanapun, dia bertekad untuk mengekalkan persahabatan itu. Keserasian yang terjalin bukan perkara yang selalu terjadi. Tak mungkin Sophia akan mengorbankan semua itu hanya kerana Kamal yang angkuh.
#
Dah menjadi rutin dua sahabat itu, setiap petang mereka akan beriadah di taman rekreasi kalau tidak ada aktiviti lain. Kadang-kadang bersama rakan-rakan sekelas. Biasanya dengan Dahlia dan Lynn. Adakalanya hanya mereka berdua.
Pada suatu petang selepas berlari mengeluarkan peluh Hans dan Sophia duduk di bawah sebuah pokok, berbual seperti yang sering mereka lakukan. Matahari memancarkan cahaya redup dan angin sepoi-sepoi berhembus melalui celahan dahan-dahan. Sophia menjulurkan kakinya dan tersenyum kepada Hans.
“Kau suka main tenis?” Sophia bertanya sambil melemparkan batu kecil ke udara— sekadar bermain-main.
Wajah Hans berseri-seri tapi cepat-cepat dia mengaburkan sinar keterujaan itu. “Suka jugak,”jawabnya sambil mengangguk. “Pernah sekali dua main kat gelanggang sekolah waktu pendidikan jasmani tapi tak dapat selalu sebab aku tak ada raket.”
“Oh…” Sophia kelihatan terkejut. “Kau tak ada raket?”
Hans ketawa sambil menggeleng kepala. “Raket tenis? Mimpilah… Mahal, maksud aku… ada benda lebih penting untuk didulukan,” jawabnya sambil menggosok belakang leher— malu.
Sophia merenung wajah Hans. Dahinya berkerut sedikit, membuat mata bundar itu kelihatan sepet. Kemudian, seolah-olah mendapat idea, dia tersengih. “Hei! Nanti kita lawan tenis, nak?”
“Nak, tapi…” Hans ragu-ragu memikirkan di mana dia boleh pinjam raket. Seolah mengerti apa bermain di fikiran kawannya itu, segera Sophia memotong, tak mengizinkan Hans membuat alasan. “Aku ada satu raket lebih, jangan risau. Kau boleh pakai.”
Mata Hans membesar, terperangkap antara gembira dan teragak-agak. “Betul ni?”
“Kenapa pulak tak betul?” balas Sophia ceria. “Kawan mesti selalu tolong kawan, kan? Lagipun, apa gunanya raket tu duduk je, tak buat apa? Kita boleh berlatih nanti.”
Terharu Hans mendengar ucapan dan tawaran Sophia itu. Lebih daripada sekadar raket, ketulusan hatinya, membuat Hans rasa dihargai. Dia tersenyum, sedikit malu sambil mengangguk. “Thank you, Sophia. Really… that means a lot.”
#
Semenjak hari pertama bermain tenis dengan Sophia, Hans sudah menyimpan angan-angan untuk membeli raket tenis sendiri. Dia segan bila setiap kali bermain tenis, dia terpaksa menggunakan raket Sophia. Ada rasa bimbang juga, kalaulah dengan tidak sengaja raket itu rosak ditangan dia. Jadi, pada satu hujung minggu, Hans keluar ke bandar, menjenguk-jenguk kedai sukan. Tempat itu tak berapa sibuk. Dia terpegun melihat dinding yang dibarisi peralatan sukan berkilat— daripada bola keranjang, raket tenis, raket badminton, kasut dan bermacam-macam lagi. Matanya melayang ke paparan raket tenis di sebalik kaca, masing-masing berkilauan di bawah lampu.
Jarinya menjejak kaca itu, mengagumi reka bentuk yang anggun, cengkaman yang digilap— sesuatu yang dia tahu dia tidak akan pernah miliki— sekurang-kurangnya bukan sekarang. Dia berkira-kira tabungan yang dia simpan dalam tong biskut dan disorakkan dalam almari bajunya. Hans mengeluh. Tanda harga sudah cukup untuk mengingatkannya tentang realiti itu. Tetapi tidakkah lebih baik bermimpi daripada hidup tanpa impian?
Ketika tenggelam dalam pemikiran, satu suara menyentap, membawa dia kembali ke realiti. “Hei, Hans!” Panggil Lynn sambil tersenyum mesra. Dahlia, kawannya, berdiri di sebelah.
“Oh, hai,” balas Hans, cepat-cepat mengalihkan pandangannya dari raket. “Aku, tengah tengok-tengok…”
“Pilih raket tenis ke?” Tanya Dahlia sambil tersenyum. Gadis itu sedia maklum, setiap kali mereka bermain tenis, Sophia sering meminjamkan raket kepada Hans. Dahlia menghampiri dinding kaca, berdiri di sebelah Hans, di mana tempat raket-raket tenis dipamerkan. Dia perasan cara Hans memerhatikan sebatang raket berwarna biru jenama Wilson. Dahlia tersenyum tapi Hans menggeleng, cuba menafikan apa yang Dahlia fikir. Dia malu kalau rakan-rakannya itu tau, pasti Sophia juga akan tau. “Aku cari bulu tangkis, nak main badminton dengan Marsha petang ni,” dia memberi alasan sambil menjeling ke arah raket biru yang memang menjadi idamannya.
Lynn dan Dahlia bertukar pandangan, tetapi mereka tidak menekan lagi. “Main badminton pun seronok.” Kata Lynn.“Nanti boleh main sama-sama. Ajak Sophia, kita boleh lawan bergu.” Tambahnya lagi sambil tersengih.
Hans membeli bulu tangkis dan cepat-cepat keluar. Jantungnya berdegup kencang, cuba menghilangkan rasa tertangkap. Hatinya berharap, Dahlia dan Lynn tidak akan menyebut tentang raket tenis kepada Sophia, walaupun sebahagian daripadanya ingin sekali berkongsi minat dengan mereka.
Selepas pertemuan dan perbualan singkat di kedai sukan itu, Lynn dan Dahlia ke bandar untuk membeli barang-barang keperluan projek sains mereka. Di sebuah butik berhampiran sebuah kedai buku, mereka terserempak dengan Sophia yang sedang menemani ibunya.
“Mama, boleh Phia pergi minum ABC dengan Dahlia dan Lynn?”
“Of course. Phia tunggu mama kat sana. Mama ada urusan lagi ni.”
Sepanjang perbualan mereka, sambil menikmati ABC, Dahlia dengan santai menyebut, “Kami terserempak dengan Hans kat kedai sukan tadi.”
“Beli bulu tangkis.” Lynn mencelah.
“Tapi aku tengok matanya lebih fokus kepada raket tenis.” Sambung Dahlia.
Mata Sophia bersinar, terkejut. “Raket…” Dia berfikir sejenak, pasti Hans mahu melihat-lihat harga terlebih dahulu sebelum menabung untuk mendapatkan raket idamannya. Fikiran Sophia berputar memikirkan idea.
“Korang tau kan, biasa kalau main tenis dengan dia, aku pinjamkan raket. Sebab tu agaknya dia nak beli raket sendiri.”
“Dia seganlah tu.” Kata Lynn.
“Ah Hans tu pemalu sangat. Entah apa yang dia nak malukan pun tak taulah, aku.” Dahlia memberi pandangan. “Padahal, kalau nak banding dengan kita orang berdua ni, dia tu lagi hebat, Sophia. Selalu score best student. Aku ni kalau ikutkan lagi malu, lagi segan dengan dia.”
“Mungkin rasa rendah diri dan latar belakang keluarga dia yang buat dia rasa macam tu.” Lynn yang sememangnya mengerti cuba membuka fikiran Dahlia.
“Kita ni, semuanya sama je bagi aku. Yang bezanya, mak bapak kita. Kalau bapak aku bukan jurutera, korang ingat aku macam mana? Lain?” Dahlia berhenti. ABC dihirup. “Aku tetap sama. Kaya atau miskin.”
Sophia hanya diam, mendengar dan memikirkan pendapat kedua kawannya. Mereka lebih lama mengenali Hans. Tapi kata-kata Dahlia tadi dah mencetuskan satu idea dalam fikiran Sophia.
“Ujian baru ni, dia nombor satu, kan?”
“Ha ah, macam selalu. Tak heran dah aku…” Jawab Dahlia, ketawa.
Apa yang dikatakan Dahlia, benar. Sophia nampak ketekunan Hans. Walaupun sibuk siang dan malam, dengan sekolah, menguruskan rumah dan bekerja di kedai makan Uncle Jose, dia tetap tak abaikan pelajaran. Baru-baru ini, bukan sekadar mendapat nombor satu dalam kelas, Hans juga mendahului seluruh tingkatan dua— menjadi pelajar terbaik dalam pendidikan seni, subjek yang dia gemari. Sophia mahu meraikan pencapaian Hans dengan membuat satu kejutan.
Raket tenis.
Dengan bantuan informasi daripada Dahlia, diam-diam dia mendapatkan raket yang dikagumi dan diidamkan Hans untuk dijadikan hadiah atas pencapaiannya yang cemerlang. Bukan itu saja, raket itu juga ingin dia jadikan simbol sokongan dan persahabatan mereka.
Pada hujung minggu seterusnya, Sophia mengajak Hans bertemu di taman, tempat mereka selalu beriadah. Mereka dah berjanji untuk bermain tenis. Hans dah tiba terlebih dahulu, menunggu dengan sabar.
Sophia berjalan ke arahnya, dengan kedua tangan disembunyikan di belakang badan. “Hai!” Dia menyapa.
“Hei…” Bercahaya mata Hans melihat wajah Sophia yang ceria.
“Jom..” Sophia menarik tangan Hans ke gelanggang tenis. Tiba di situ, dia mengeluarkan raket seperti biasa. “Wah, nampaknya kau beli beg raket baru.”
Membiarkan itu menjadi satu kejutan, Sophia hanya tersenyum. Hans membuka zip beg tersebut dan mendapati isinya bukan raket yang biasa dia gunakan tapi sebatang raket tenis yang serba baru berwarna biru— warna kegemaran Hans, raket yang diidam-idamkan. “Untuk kau,” kata Sophia. Matanya berkilauan.
Hans memandang Sophia, hampir tak percaya, tapi kegembiraan berbaur di wajah. Dia mengeluarkan raket itu dari beg perlahan-lahan. Tangannya sedikit terketar apabila melihat dan membelai raket yang hanya mampu dia impikan kini menjadi miliknya.
“Sophia… this is too much. Aku… aku tak tahu nak cakap apa,” bisik Hans, suaranya pekat dengan emosi.
Meletakkan tangan di bahu kawannya itu, Sophia berkata, “you deserve it for being such an amazing friend also for your achievement. I hope this brings you as much happiness as you’ve brought me.”
Bagi Hans, raket itu lebih daripada sekadar hadiah. Ia adalah satu tanda bahawa dia dilihat, dihargai dan persahabatan sejati tidak memandang dinding kehidupan yang dibina di sekeliling mereka sebagai satu penghalang.
#
Sisa-sisa makanan dikumpulkan ke dalam sebuah bekas— nasi dan daging yang tersisa daripada pinggan-pinggan pelanggan. Hans sering melakukan itu untuk diberikan kepada anjing-anjing jalanan yang dah cukup mengenali dirinya. Anjing-anjing itu malah seakan tahu bila Hans akan melintasi kawasan mereka. Dan bila mereka menghidu bau Hans, atau mendengar derap tapak kaki, semua anjing-anjing berkejar gembira ke arahnya.
Hal yang sama Hans lakukan kepada kucing-kucing jalanan. Dengan berhati-hati dia akan memilih sisa makanan kerana bimbang jika tulang-tulang ikan yang halus akan mencederakan haiwan-haiwan tersebut. Bila ada duit lebih, Hans akan membeli makanan kering dan makanan kering itu selalu dia simpan dalam beg dan dibawa ke mana-mana. Bila bertemu kucing atau anjing yang lapar, dia akan menghulurkan makanan kering itu kepada mereka. Melakukan semua itu membuat hati Hans lapang dan penuh, memberi kepuasan yang tak terkatakan. Kalaulah dia ada lebih, dah pasti dia akan melakukan lebih lagi.
Di belakang rumahnya— sebuah rumah separuh kayu, separuh papan, ada sekangkang kera tanah. Di situ Hans bina reban ayam dan itik yang dijaga oleh seekor anjing peliharaannya, Cookie. Anjing itu ditemui sejak kecil lagi. Ibunya mati dilanggar kereta dan dua ekor adiknya diambil oleh jiran berdekatan. Cookie kini menjaga kebun kecil itu dan bukan itu saja, dia turut menjaga ayam itik peliharaan Hans juga berkawan baik dengan beberapa ekor kucing kesayangan Hans. Dikelilingi kemewahan itu— kucing, anjing, itik, ayam dan kebun sayur kecil, Hans berasa syukur dan bahagia— hidupnya lengkap.
Jika keadaan mendesak, dia boleh mengutip telur ayam di reban dan memetik sayur di kebun— cili, bendi, terung dan macam-macam lagi sayur dan ulam kampung yang mudah tumbuh seperti kacang botol, kangkung dan bayam. Walaupun sedikit berpasir, tapi Hans bijak dalam mengendalikan kebun kecilnya. Dia membuat batas-batas daripada kayu terbuang kemudian diisikan dengan tanah gambut. Dengan mengayuh basikal, dia akan ke Kampung Melayu untuk mengangkut tanah gambut yang diperlukan kebunnya kerana tanah di situ lebih subur untuk bercucuk tanam. Penduduk di Kampung Melayu dah kenal benar dengan Hans, seorang anak remaja yang rajin. Bila ke sana, Hans selalu diberi buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai tanda persahabatan. Adakalanya, Hans turut membawa ikan, kerang, udang, atau apa saja rezeki dari laut buat mereka berkongsi rezeki dan bertukar-tukar selera.
Sophia teruja mendengar semua itu dan sering memujuk Hans— dia teringin sangat melihat kebun kecil yang selalu Hans ceritakan. Seumur hidupnya, tak pernah dia mengalami suasana seperti itu. Malah, jarang sekali dia melihat ayam dan itik secara dekat apalagi memegangnya.
“Rumah aku ada anjing. Bukan aku tak nak bawak kau, tapi itulah…” Kata Hans bila Sophia memujuk lagi.
“Itu je masalahnya?”
Hans mengangguk. “Kan Muslim sensitif dengan anjing?” Dia mengharapkan penjelasan. Wajahnya ditatap Sophia dengan sinar mata yang meyakinkan. “Aku tak. Aku lain. Aku suka haiwan. Dogs are adorable, aren't they?”
“Kawasan rumah aku tu, jiran-jiran kebanyakannya bela anjing tau,” terang Hans lagi sambil menepis sehelai daun kecil yang jatuh di rambut Sophia. Daun itu jatuh ke pasir dan terbang dibawa angin laut ke pantai. “Yes, they are and Cookie, like I told you, he’s truly one of a kind.”
Hans mula merasakan ikatan yang bukan sekadar persahabatan biasa, seolah-olah kehadiran Sophia memberi cahaya baru dalam kehidupannya yang sebelum ini sunyi. Keakraban mereka juga membawa Sophia lebih dekat kepada keluarga Hans, sesuatu yang membuat Hans rasa bangga dan gembira dalam diam.
“Bawa aku, Hans… please…” Sophia merayu sambil merangkul manja lengan Hans.
“Betul kau tak kisah, tak takut?” Hans memandang wajah gadis manis di sebelahnya yang menggeleng sambil tersenyum. “Kau ada, kan?” Pertanyaan itu mengusik hati Hans.
“Janji satu dengan aku,” kata Hans sambil memeluk bahu Sophia.
“Anything… tell me.”
“Kalau anjing kejar, jangan lari.”
Sophia mengangkat tangan, membuat ikrar seperti pengakap, “janji.” Katanya. “Kalau ada yang kejar, aku lari kat kau aje…”
#
Masa dah menyaksikan mereka membesar bersama, merentasi alam kehidupan remaja. Di bandar kecil itu, Sophia tak menyangka dia akan belajar dan menemui perkara besar. Terlalu banyak dapat diteroka. Semakin dekat dengan alam semakin tenang hatinya. Dia juga gembira, Hans tak lagi kekok seperti mula-mula dulu. Malah dia rajin mengajak Sophia melakukan aktiviti bersama-sama. Kadang-kadang disertai Lynn dan Dahlia.
Suatu hari, Hans mengajak Sophia ke sungai yang terletak berhampiran gua. Lynn pernah menunjukkan dia gua itu sewaktu mula-mula mereka berkenalan dulu tapi masih belum berkesempatan untuk ke sungai. Hans kata dia selalu memancing di situ. Sophia semakin teruja. Dah lama dia memendam hasrat untuk melihat kawasan sungai. Pelawaan Hans yang membuka peluang, tak mungkin akan dia sia-siakan.
Sebelum keluar rumah, Sophia dah menyiapkan bekal untuk perkelahan mereka— sandwich tuna dan teh. Hans juga begitu, dia membawa sebekas nasi goreng dan air tebu kegemaran Sophia.
Tikar dibentang. Bekalan disusun rapi di atas tikar. Hans mula mengeluarkan peralatan memancing. Dengan penuh sabar, Hans mengajar Sophia cara-cara untuk memasang umpan dan melontar joran ke dalam air. Sophia terpesona dengan kesabaran Hans dan apabila dia berjaya menangkap ikan kecil, gelak tawa mereka bergema di udara petang yang tenang. Mereka duduk di tepi sungai, menikmati detik-detik sederhana yang penuh makna, seperti dua jiwa yang bersatu di akhir pengembaraan.
Sementara di kedai, Marsha menghampiri pakciknya yang sedang duduk bersendirian sambil menyedut rokok daun. Kopi O dihidangkan dan dia mengambil tempat duduk di hadapan pakciknya itu. “Hans selalu cakap, dia teringin sangat bawak Sophia naik bot, memancing di laut. Sophia tak pernah rasa semua tu.” Marsha menyampaikan hasrat yang tak berani Hans luahkan kepada bapanya. Juan mendengar dengan senyuman. Dia faham, anaknya itu sekarang sedang menjalani satu fasa mengenali hati. Jadi, dia terpanggil untuk membuat kejutan.
“Esok kau ada nak ke mana-mana?” Keesokann harinya, Juan yang baru pulang dari laut terus mencari Hans di kebun kecilnya. Dia sedang tekun menggembur tanah untuk menyemai benih limau kasturi yang baru diberi Mama. Agak terkejut disapa dari arah belakang, Hans dengan gembira menyambut bapanya dengan senyuman.
“Tak ada apa, pa. Malam, biasalah, kerja. Kenapa?”
“Dah dating hari ni?” Juan mengusik sambil mengambil tempat duduk di pangkin.
“Ah, dating apa pulak papa ni.” Tersipu malu, Hans faham benar maksud bapanya. Dia sememangnya sedang menunggu waktu untuk bertemu Sophia di pantai seperti yang telah mereka janjikan di sekolah tadi.
“I brought your mom on the boat for our first date.”
“At night or…?”
Juan tersenyum mengenang kembali indahnya saat-saat bersama Emelda. “Petang. Papa ajar mama memancing.”
“Seronoknya…”
“Karang kau dating, ajak anak DO tu esok. Kita pergi memancing tengah laut.”
“Betul ni pa?” Wajah Hans bercahaya. Mindanya memainkan senyuman Sophia yang pastinya teruja dengan pelawaan itu.
“Papa nak kau rasa apa yang pernah papa rasa dulu.”
Mata Sophia bersinar kegembiraan sewaktu Hans menyampaikan jemputan bapanya dan bagi Hans sendiri, walaupun pernah dibawa ke laut tapi ini yang paling istimewa. Perasaan hangat meresap dalam dadanya— pengalaman kali ini pasti saja lebih berharga kerana dia berkongsi detik itu dengan Sophia.
Diiringi deruan ombak yang mendesir di bawah redup sinar matahari petang, mereka berlayar ke tengah lautan. Juan mengajar Sophia cara menggunakan joran dengan betul sambil ketawa melihat usaha Sophia yang bersemangat tetapi masih canggung. Hans memandang mereka berdua dengan senyuman kecil, merasakan suasana kehangatan yang jarang dia rasai. Melihat Sophia bersahaja dan mesra dengan bapanya membuat Hans sedar, keluarga Marcello bukan lagi sekadar milik peribadi tetapi sesuatu yang dapat dia kongsikan dengan seseorang— seorang yang membawa erti dalam hidup.
Langit biru berona kuning menjadikan air laut seakan-akan menimbulkan butir-butir bintang atau permata dari dasarnya. Sophia seakan tidak percaya bahawa dia berada di tengah-tengah laut itu sekarang. Kekaguman dia zahirkan dengan bersama redup mata dan senyuman manis yang tak lekang daripada bibir. Berulang kali ucapan terima kasih dia lafazkan kepada Hans dan bapanya atas peluang yang diberi.
“Kau suka?” Tanya Hans. Matanya memandang laut lepas.
Sophia mengangguk, tersenyum. “Tentulah suka... cantik sangat. Tak pernah aku naik bot tengah laut macam ni. First time. Terima kasih, ajar aku semua ni.”
Hans tersenyum, merasakan satu getaran luar biasa dalam hatinya. “My pleasure,” jawabnya dengan suara mengalunkan nada yang tulus dan jujur.
Ketika bot bergerak perlahan kembali ke darat, matahari mewarnai langit dengan rona jingga dan ungu. Hans duduk diam di sisi Sophia, memandang matahari terbenam. Jiwanya merasakan sesuatu yang tidak pernah dia rasai sebelum ini. Selama ini, laut, bot, dan aktiviti memancing adalah dunia eksklusif keluarga Marcello. Namun, saat ini terasa istimewa dengan kehadiran Sophia yang membawa makna baru dalam kehidupannya.
#
Malam itu, Hans kembali meneruskan tanggungjawab di kedai Uncle Jose. Melihat sekeliling—dapur, meja makan, pinggan, periuk dan kuali— dia terkenangkan kali pertama Sophia dibawa rakan-rakannya ke situ. Hati Hans disapa rindu tapi ada sebak bila memikirkan apakah yang sedang Sophia buat di rumahnya yang serba mewah itu? Bagaimanakah dia menjalani hari-harinya jika tidak keluar menemui dia?
Selepas kedai ditutup, Hans pulang dengan hati yang penuh. Bapanya tiada di rumah. Itu sering terjadi dan Hans tau ke mana orang tua itu biasanya menghabiskan malam-malamnya kalau tidak ke laut. Selepas membersihkan diri, Hans berbaring di katil, merenung siling bilik yang beratapkan zink. Dia tertanya-tanya, apalah yang sedang Sophia buat ketika ini? Adakah gadis itu turut merenung siling? Tentu biliknya cantik dengan katil mewah dan tilam empuk, selimut yang lembut. Tentu sekali bilik itu wangi, berbau harum seperti yang sering Hans hidu bila dia dekat dengan Sophia.
Mengingatkan keharuman Sophia, Hans tersenyum memandang meja cermin yang terletak di sebelah sebuah almari baju lama. Meja itu diperbuat daripada kayu dan kayu itu semakin memudar warnanya. Di atas meja itu berdiri sebotol minyak wangi yang dia beli di bandar beberapa minggu lepas. Minyak wangi jenama Dashing berbotol biru itu sering dia pakai bila bertemu Sophia. Dia juga mahu Sophia menghidu harum baunya, bukan bau ikan, sotong atau udang.
Hans masih tidak memahami perasaan yang melingkari hati remajanya, tetapi dia tahu bahawa kehadiran Sophia telah mengubah dan menjadikan setiap detik dalam hidupnya seperti mimpi nyata. Terdetik di fikiran, barangkali inilah permulaan kepada sesuatu yang lebih indah, sesuatu yang lebih dari sekadar persahabatan.
#
Pada setiap kunjungan Sophia ke kedai Uncle Jose, dia disambut dengan penuh mesra. Keakraban itu jelas kelihatan di mata sesiapa saja dan keluarga Hans sering mengalu-alukan kedatangan Sophia, melayannya dengan baik dan penuh rasa hormat.
Suatu hari, Sophia datang berkunjung selepas tamat latihan sukan di sekolah. Dia sering mengambil kesempatan di antara waktu-waktu seperti itu untuk mengelakkan dirinya daripada disoal jawab oleh mama, terutamanya Kamal. Waktu perlu diurus dan diatur dengan teliti demi, mencipta ruang dan meluangkan masa bersama Hans.
Mama Maria menghidangkan teh panas di serambi kedai, sementara Uncle Jose berkongsi kisah-kisah lautnya yang penuh warna, diiringi petikan gitar sementara menunggu pelanggan. Marsha pula selalu tersenyum, senang melihat kehadiran Sophia, seolah-olah mendapat seorang ahli baru dalam keluarga.
Teh dihirup, kisah diceritakan. Uncle Jose berhenti seketika, memberi gitar tua di tangannya kepada Hans.
“Apa kata kau mainkan Sophia satu lagu?” Cadang Uncle Jose. Dia nampak wajah Sophia— teruja dan terkejut. “Hans pandai main gitar, tak pernah ke dia cerita?” Terang dan tanya Uncle Jose sekaligus.
“Tak… Hans kau tak cakap pun kat aku…” Sophia menepuk peha Hans.
“Ah, hal tak penting. Aku bukan reti sangat, sikit-sikit bolehlah. Uncle dan papa yang ajar.”
“Phia main muzik?” Soalan Marsha disambut ketawa kecil Sophia.
“Ada. Papa dan mama hantar kelas piano masa sekolah rendah dulu.”
“Kau pun tak bagitau aku hal tu,” kini giliran Hans pula menepuk peha Sophia.
“Bukan penting pun, aku tak pandai mana…” Dia meminjam jawapan Hans tadi.
Mereka semua ketawa. Sama-sama mereka menyanyikan lagu kegemaran Hans sejak dia mengenali Sophia; Cuando Calienta El Sol dan ketika Hans memainkan gitar— sesuatu dari lantunan suara Hans yang merdu telah menggetarkan hati Sophia— sebuah perasaan yang begitu halus.
Hari-hari Sophia bersama keluarga Marcello di kampung nelayan menjadi kenangan yang indah. Hampir semua hasratnya Hans tunaikan. Ke gua, ke sungai, ke kampung nelayan di seberang, malah ke Kampung Melayu Tanjung Bayu juga telah Hans bawa. Dan hari itu, dia bersedia menunaikan hajat Sophia untuk melawat keliling kawasan rumahnya, memperkenalkan ayam dan itik peliharaan. Sophia yang sebelum ini tidak pernah berpeluang menjalani kehidupan kampung, terasa sungguh teruja. Dia memandang ayam dan itik itu dengan kekaguman, sesekali tertawa kecil mendengar kisah Hans tentang bagaimana dia perlu mengejar itik yang degil dan suka melarikan diri.
Juga sudah tentu Cookie yang peramah dan manja. Anjing itu mengalu-alukan kedatangan Sophia dengan menghulurkan tangan dan meletakkannya di atas tapak tangan Sophia. Dalam takut-takut, Sophia merasa selesa. Sekeping biskut yang dah dia belikan siap-siap di kedai haiwan sebelum ke sana dia suakan. Kemudian dia mengusap kepala Cookie dengan penuh hati-hati.
“Phia, kan orang melayu tak boleh pegang anjing?” Hans mula bimbang.
“Kau percaya?”
“Itu semua orang pun tau, kan?”
Sophia ketawa. “Tapi apa sebabnya?”
Hans angkat bahu. Sophia menghampirinya, berdiri muka ke muka. Dia mendongak sedikit untuk menatap wajah Hans yang lebih tinggi daripada dia. “Agama kau melarang, kan? Anjing kotor, itu apa yang aku dengar… Maaf, aku tak tau banyak pasal tu.”
“Itu apa yang orang ajar tapi apa yang aku percaya lain.” Sophia merasakan kesediaannya untuk berkongsi sesuatu yang sukar untuk dikongsikan dengan sesiapa pun.
“I’d like to hear your opinion on that.”
Sophia melangkah ke sebatang pokok kelo di tepi kebun. Di bawahnya ada pangkin. Mereka duduk bersila di atas pangkin itu. Hans dah siap-siap menghidangkan mereka secawan teh O. “Aku pun tak tau banyak, Hans… Tapi aku tak setuju bila agama mengatakan bahawa malaikat tak akan masuk ke rumah yang ada anjing.”
“Aku pernah dengar yang tu dalam kelas agama di sekolah.”
“Kelas agama?”
Hans mengangguk. “Aku pernah masuk kelas agama, saja nak dengar. Tapi tak selalu.”
“I see. Interesting.” Sophia memandang Hans yang menatap wajahnya dengan mata penuh pengertian, menanti untuk terus berkongsi pendapat. Banyak perkara yang ingin dia tanyakan, tapi belum bersedia. “Kalau malaikat tak masuk rumah sebab ada anjing, maknanya bumi ni, dunia ni pun malaikat tak boleh masuk, kan?” Sophia meminta pandangan.
“Ada logiknya. Bukan ke bumi ni penuh dengan makhluk Tuhan? Anjing, kucing, babi, harimau, ayam, kita… banyak lagi.” Hans mencurahkan idea. Dia sebenarnya ada menyimpan pendapat tentang itu. Minat membacanya banyak membantu tapi dia tau, isu seperti itu sensitif bagi orang Melayu. Hans tak mahu Sophia tersinggung, malah mungkin membenci bila ada percanggahan. Tapi ternyata, Sophia lain. Dan itu membuatkan Hans lebih terbuka, baik untuk bertanya, ditanya atau memberi idea.
“Atau malaikat itu tak wujud pun.” Kata Sophia perlahan.
Perbualan mereka terhenti bila bapa Hans menjengukkan muka dari pintu dapur.
“Hello young lady,” dia menegur, sedikit terhayun. Tangannya memegang sebuah kelalang tembaga. “Kiddo, I need some money.” Juan terhuyung-hayang, cuba menghampiri mereka tetapi hanya mampu berpaut di bingkai pintu.
“Pa…” Cepat-cepat Hans bangun, memaut bapanya yang hampir jatuh.
“I’m OK, kiddo. I’m Ok. You guys Ok? You do like my kiddo, aren’t you, young lady?”
Hans terasa sungguh malu. Sekilas dia memalingkan wajah ke arah Sophia yang masih duduk di atas pangkin, memerhatikan bapa Hans yang dikawal alkohol. “Tunggu sekejap.” Dia memapah bapanya masuk ke dalam rumah.
Sewaktu Hans memapah bapanya ke dalam rumah, dapat Sophia mendengar percakapan mereka. “Are you dating that girl?” Dia bertanya, acuh tak acuh. “She’s beautiful, like my Emelda.”
“Pa, please, dont humiliate me this way.” Hans membaringkan bapanya di atas sofa di ruang tamu.
“You feel ashamed of me, huh?” Juan memandang anaknya dengan mata merah.
“No, pa… but…”
“Ah… got some money? I need it tonight.” Jose menghayunkan tangannya ke udara. “Leave me alone. Take your sweet darling to the sea. Go sailing…. Go sailing, kiddo, while you can…” Dia mengulang-ulang ayat itu hingga tertidur.
Hans meletakkan bantal di bawah kepala bapanya yang berbaring di atas sofa yang koyak sana sini. Kelalang tembaga dia alih daripada tangan ke atas meja.
“Sweet dream, Pa. Say hi to mum. Tell her, I miss her too.”
Sophia yang mencuri dengar perbualan mereka hampir menitiskan airmata. Hatinya terasa sebak. Namun dia berpura-pura leka bermain dengan Cookie bila mendengar tapak kaki Hans menghampiri pintu dapur.
“Maafkan papa aku… Aku minta maaf…” Kata Hans. Dia tertunduk, tak tahu apa yang patut dia katakan. Malu, hanya itu yang dia tau.
“It’s OK… Jangan risau.” Sophia memegang tangannya.
Hans menutup rapat-rapat pintu dapur lalu mereka berjalan ke pantai. Keduanya membisu.
“Phia,” Hans mula bersuara, memecahkan kesunyian antara mereka. “Keluarga kau tak tanya ke mana kau selalu pergi, apa kau buat setiap petang?” Dia cuba mengalihkan peristiwa tadi daripada menjadi tajuk perbualan.
Sophia menggeleng. “Kadang-kadang aku cakap aku ke rumah Dahlia. Biasanya lepas kelas tambahan, aku terus ke sini, nak jumpa engkau.”
“Aku tak nak kau kena marah, selalu sangat keluar rumah sampai petang.”
“Tak adalah… Mama dan papa tau aku ramai kawan kat kampung ni. Dahlia selalu backup aku, Lynn tinggal dekat sini. Jangan risau.”
“Baiklah, kalau kau dah cakap macam tu.”
Pantai terus mereka susuri hingga akhirnya sampai di kaki bukit.
“Aku hantar sampai atas.” Kata Hans yang telah pun memanjat anak tangga pertama di celah-celahan rumah dan tebing. Dia menghulurkan tangannya kepada Sophia dan diremang senja itu, tangan mereka bertaut hinggalah pagar rumah Sophia meminta mereka untuk meleraikan tautan.