“Dia tu, sekelas dengan kita tapi sombong. Tak suka bergaul,” ujar Sara dalam nada berbisik, sambil memandang tajam ke arah pelajar tersebut. “Sepatah ditanya, sepatahlah dijawabnya,” tambah Sara lagi.
Hans suka sendirian, terutamanya di sekolah. Jarang sekali rakan-rakan dapat berbual-bual lama dengannya. Dia lebih selesa begitu— menjaga jarak. Duduk di barisan belakang, dia seakan cuba melenyapkan diri dari pandangan semua orang. Sophia menyedari kewujudan Hans sejak hari pertamanya di sekolah itu. Walaupun Hans seperti tidak menghiraukan dia atau siapa pun, Sophia tetap merasa tertarik.
“Saya tak pernah nampak dia bercakap dengan sesiapa,” kata Sophia dengan lonjakan rasa ingin tahu.
Rakan mereka, Amir, menyambut soalan Sophia. “Dia memang jenis pendiam. Orang kata banyak masalah, sebab tu tak suka bergaul tambah lagi dengan orang Melayu macam kita.”
Sophia termenung sejenak sambil memandang ke arah Hans. “Kadang-kadang, orang pendiam macam dia tu bukan tak nak berkawan, tapi mungkin dia tak tahu cara nak mula,” Sophia sering mahu berfikiran positif lalu dia cuba membuka minda rakan-rakannya.
Sara dan Amir terdiam, kelihatan berfikir sejenak tentang kata-kata Sophia.
“Betul juga kata kau, Sophia. Mungkin kita patut cuba ajak dia berbual satu hari nanti," balas Sara, tersenyum kecil. Amir mengangguk, nampak setuju dengan cadangan itu. Sophia tersenyum puas. Dalam hati, dia merasa seronok dapat memberi perspektif yang mungkin belum melintasi fikiran rakan-rakannya.
Hans yang seakan sedar dirinya diperhatikan, rasa tak selesa. Selepas menghabiskan bekalan, terus dia bangun lantas meninggalkan kantin. Dia singgah ke tandas sebelum ke bilik darjah. Sewaktu buang air di salah satu kubikal dalam tandas, dia terdengar suara gelak ketawa dan perbualan beberapa orang gadis.
“Aku period hari ni,” kata salah seorang daripada gadis-gadis tersebut. Hans kenal benar, itu suara Dahlia. Kawan-kawannya mentertawakan kata-katanya tadi. Hans dapat mengagak, itu suara Lynn dan…
“Sophia, when did you get your first period?” Tanya Dahlia.
“Last year.”
“Lambat jugak. Aku darjah lima dah kena,” kata Lynn. Mereka semua ketawa. “Aku dengar, kalau lambat kena, lambat tua.” Kata-kata tambahan itu membuat ketawa gadis-gadis tersebut semakin kuat.
Hans teragak-agak untuk keluar, jadi dia memutuskan untuk menunggu sehingga gadis-gadis itu beredar. Namun nampaknya perbualan semakin rancak. Dia memasang telinga lagi, mendengar perbualan gadis-gadis tersebut tentang puberti— tentang pertumbuhan ciri-ciri seks sekunder seorang perempuan. Tanpa sedar, Hans tersenyum sendirian bila mendengar mereka membahaskan tentang pembesaran buah dada dan pertumbuhan bulu-bulu di sekitar organ seks mereka.
Jam di pergelangan tangan kirinya menunjukkan lagi sepuluh minit sebelum waktu rehat berakhir. “Lambat lagi kalau nak terus tunggu,” desus Hans dalam hati. Lalu, tanpa berlengah, dia terus membuka pintu. Gadis-gadis tersebut terdiam bila melihat Hans berjalan ke sinki dan memasang paip. Dia menadah air dengan kedua belah tangannya untuk membasuh muka. Rambutnya dia basahkan sedikit. Sehelai sapu tangan warna biru dia keluarkan dari saku lalu muka dikesat. Ketiga-tiga orang gadis itu berbisik sesama sendiri— hampir tak didengari butir bicaranya. Sewaktu mereka mahu melangkah keluar dari tandas, Hans yang masih berdiri di hadapan cermin mengeluarkan sebiji gula-gula Hudson berbungkus hijau, perisa limau. Sophia yang terakhir di barisan kedua rakannya berhenti seketika. Dari cermin, matanya memandang Hans. Dia lemparkan senyuman, Hans membalas tanpa berkata apa.
“Hmm, gula-gula. Mintak satu.” Itulah patah kata pertama yang terlantun dari bibir Sophia untuk Hans. Dia mahu menduga, samada Hans benar-benar sombong atau sekadar seorang yang pemalu. Tanpa kata, Hans menyeluk poket lalu sebiji gula-gula yang sama dia letakkan di atas tapak tangan Sophia.
“Thanks.” Sophia berlalu.
Ingatan Hans laju melayang ke hari pertama Sophia menyertai kelas 2 Biru. Gadis itu melangkah dengan penuh keyakinan. Senyumannya nampak ceria dan hangat sewaktu memperkenalkan diri. Seorang gadis cantik, benar, namun Hans nampak sesuatu yang lain— lebih dari sekadar daya tarikan luaran— sesuatu yang lebih indah dari itu. Suaranya lembut tetapi jelas dan sewaktu dia tersenyum kepada cikgu Siti, ruangan itu seakan-akan menjadi lebih cerah.
Dalam diam, tak siapa tahu sebenarnya Hans terasa seolah-olah disapa bayu selatan. Tanpa dia sedari, matanya mencuri pandang. Jiwanya diganggu pelbagai perasaan yang berbaur. Dia tahu Sophia adalah anak Pegawai Daerah yang baru dan kini, dia di sini, duduk di barisan hadapan dengan senyuman itu, berbual mesra dengan yang lain. Dia tak dapat membayangkan bagaimana rasanya menyesuaikan diri dengan begitu mudah dan sikap Sophia yang begitu mesra mengingatkannya betapa berbezanya kehidupan mereka.
Hari-hari berlalu begitu pantas dan mata semakin kerap mencuri pandang. Hans nampak cara Sophia berbual dengan rakan-rakan sekelas— menawarkan bantuan dengan penuh keterbukaan, sentiasa membawa senyuman mesranya ke mana-mana saja. Tutur bicaranya lembut dan sopan. Tanpa perlu mencuba, dia berjaya menarik semua orang untuk mendekati dan menyukainya. Hans selalu mengingatkan diri sendiri untuk menjaga jarak— sedar bahawa ada benteng yang harus dipertahankan. Di mata Hans, Sophia mewakili dunia yang jauh daripada jangkauannya— dunia yang penuh dengan kepastian dan peluang— hidup yang terlalu jauh berbeza dari realiti yang Hans kenali di perkampungan nelayan— hidupnya.
#
Di tepi tingkap dalam kelas Bahasa Inggeris, renungan Sophia melayang jauh dari pelajaran. Sesekali dia memandang ke belakang kelas. Di sana, dia melihat Hans, duduk sendirian seperti biasa dengan mata terpaku kepada buku nota. Hans memiliki sesuatu yang unik— satu aura. Gadis itu tinggi dan kurus dengan rambut pendek sedikit kusut, menambahkan pesona boyish yang memukau. Walaupun jarang memandang orang, tatapan matanya tajam, menyimpan kecerdasan tersirat di balik wajah yang kelihatan dingin dan penuh rahsia.
“Hana Marcello.” Suara cikgu Norma memecah kesunyian. Guru bahasa Melayu itu memandang ke arah Hans. Segera dia bangun. Sophia, seperti rakan-rakan sekelas yang lain memandang ke arahnya. Seketika dia mengangkat muka, pandang ke depan kemudian dia menundukkan wajahnya semula, memandang buku di meja.
“Hana Marcello,” bisik Sophia dalam hati. Baru ini dia tahu nama sebenar Hans— nama penuhnya. Sophia lemparkan sebaris senyum mesra kepadanya bila mata mereka bertentangan buat beberapa saat.
“Karangan macam ni yang saya nak.” Puji cikgu Norma sambil mengangkat kertas putih di tangannya dan melambai Hans ke depan.
Dengan teragak-agak Hans patuh. Dia berdebar— segan.
“Bacakan kepada kelas.” Pinta cikgu Norma. Kertas putih bertukar tangan.
Karangan pendek 200 patah perkataan yang bertajuk Faedah Menabung itu Hans baca dengan jelas dan lancar biarpun ada sedikit gementar dan malu.
Sophia terpegun dengan kefasihan Hans berbahasa Melayu walaupun dia berbangsa campuran. Bukan itu saja, karangannya juga cukup jelas dan berkualiti. Kata Alfie, Hans, seperti kebanyakan keluarga nelayan lain, berketurunan Kristang— satu etnik kacukan Belanda dan Portugis yang berkahwin dengan penduduk tempatan di zaman penjajah dulu.
“Biasa orang panggil, orang Serani,” terang Alfie sewaktu dia dan Dahlia mengelilingi meja Sophia dan Lynn, mengambil kesempatan untuk berbual sementara menunggu cikgu Halim masuk.
“Nenek Hans berdarah Melayu-Belanda.” Tambah Lynn pula. “Kami kat kampung tu memang banyak sangat susur galur dan ada pertalian darah.”
“Kau bersaudara dengan Hans?” Tanya Sophia, teruja dengan pendedahan baru itu. Inilah kali pertama dia kenal dan dekat dengan etnik tersebut. Selama ini dia hanya tahu begitu saja dari bahan bacaan yang tak seberapa.
“Bau-bau bacang. Dalam komuniti kami, kebanyakannya ada pertalian— jauh atau dekat. Kami dari yang etnik sama tapi aku ada darah Cina— baba nyonya belah mak dan Portugis-Belanda, belah ayah.”
“Macam mana dengan ayah Hans?” Rasa ingin tahu berkobar-kobar dalam hati Sophia.
“Uncle Juan, sama macam ayah aku, berkuturunan Portugis-Belanda. Maksudnya nenek moyang kami salah satu dari kedua bangsa tu.”
“Cool, isn’t it? Sebab tu Hana tu tinggi, cantik.” Sampuk Alfie. “Hana- Hans. Hana Marcello. Mana-manalah… yang penting aku suka dia, walaupun dia tomboy dan sombong.” Alfie, satu-satunya budak lelaki dalam kelas yang rajin berbual dengan rakan perempuan, membuka rahsia hati.
“Bukan sombong, Fie. Dia introvert.” Lynn membetulkan persepsi Alfie.
Perbualan mereka terhenti bila Hans masuk ke dalam kelas. Semuanya senyap. Seperti biasa Hans terus ke tempat duduknya di meja belakang dan menenggelamkan diri dalam sebuah buku. Kerap Sophia lihat dia bersama buku tebal berkulit merah itu— Salina karya A.Samad Said.
#
Suatu petang, bila loceng berbunyi menandakan waktu rehat, Dahlia menghampiri dan menyandarkan badannya di kerusi sebelah Sophia dengan senyuman lebar. “Lepas sekolah nanti we all nak jalan-jalan tepi pantai. Tag along?”
“Sure! Mesti seronok,” jawab Sophia, membayangkan hembusan angin laut dan bunyi ombak.
Dahlia tersenyum nakal. “Kami nak makan kat kedai Hans.” Pandai dia mendetikkan minat di hati Sophia.
“Kedai Hans?” Dahi Sophia berkerut.
“Hans kerja kat situ lepas sekolah. Kedai tu pakcik dia punya.” Terang Dahlia seakan dapat menebak hati Sophia yang sememangnya dah lama menyimpan hasrat ingin mengenali Hans lebih daripada sekadar pelajar pendiam di hujung kelas.
“Tapi… kedai tu jual apa?” Tanya Sophia teragak-agak. “Hmm… maksud aku…”
“Kau takut dia jual babi ke?” Dahlia dengan cepat menangkap apa yang Sophia fikirkan.
Lynn ketawa sambil menepuk sedikit bahu Dahlia. “Kau ni, Lia…” Kemudian dia menoleh kepada Sophia, “kedai Uncle Jose, jual seafood je. Ada air kelapa, ada air tebu.” Terang Lynn.
“Aku suka seafood.” Wajah Sophia berubah ceria.
“Hans yang masak, tau. Papa dan mama selalu bawa aku makan kat kedai Uncle Jose.” Terang Dahlia.
“Hans masak?” Sophia semakin teruja. Banyak sungguh kejutan dalam diri seseorang yang begitu pendiam.
“Kau nak tau, nanti petang kita pergi.” Kata Lynn.
Seperti yang telah direncanakan dan setelah mendapat keizinan kedua orang tua, Sophia menyertai Dahlia menyusuri lorong-lorong bukit sementara Lynn menanti mereka di pantai. Matahari petang memancarkan warna perak di atas permukaan air. Aroma makanan laut yang dipanggang memenuhi udara. Mereka tiba di sebuah kedai paling hujung— sebuah kedai kecil, terselit di antara dua kedai makan sedikit lebih besar. Papan tanda kayunya sedikit lusuh, bergoyang lembut ditiup angin.
Di bawah bumbung nipah, Hans membersihkan meja dengan tekun, membelakangi pantai. Dia memakai apron hitam di atas kemeja berkotak-kotak hijau dan hitam. Lengan bajunya dilipat hingga ke siku. Seluar hitam yang memang dikhaskan untuk bekerja sudah agak lusuh.
Telinganya menangkap deru tawa dan suara. Spontan dia memalingkan kepala, menoleh ke belakang. Wajahnya tersentak, agak terkejut bila melihat Dahlia dan Lynn yang dah selalu makan di situ melangkah masuk bersama Sophia. Hans mengangguk sedikit, sebagai ucapan salam kemudian kembali mengelap meja dan menyusun kerusi.
“Hans!” Dahlia menyapa sambil melambai. “Sinilah kejap…”
Hans menghampiri meja yang dipenuhi ketiga-tiga gadis tersebut. “Hari ni Sophia nak rasa air tangan kau.” Kata Dahlia, tersenyum sambil menjeling ke arah Sophia yang memandang Hans.
“Kau kenal, Sophia, kan?” Tanya Lynn pula.
Pandangan Hans berhenti sekejap di wajah Sophia. Gadis itu menguntumkan senyuman. Untuk sesaat, riak wajah Hans kelihatan gembira, namun dia segera memalingkan pandangan dengan hanya berkata, “Hai,” sebelum berlalu.
Sophia memerhatikan langkahnya memasuki pintu dapur. Ada rasa simpati dan empati di hati. Tingkah laku Hans itu— sesuatu yang sering dia lalui— mungkin sedikit rentan. Dia teringat bagaimana perasaannya pada hari pertama setiap kali bertukar sekolah. Sophia terfikir, adakah Hans merasa seperti itu setiap hari? Kekok, janggal, malu, segan? Pasti membingungkan.
Aunty Maria menghampiri gadis-gadis itu. Dia dah cukup kenal dengan Lynn dan Dahlia tapi inilah pertama kali dia melihat Sophia. Lalu Dahlia memperkenalkan mereka berdua.
“Jangan ambil hati. Anak sedara aunty tu memang pemalu sikit.” Kata Aunty Maria dengan begitu ramah dihiasi senyum mesra.
“Hari ni nak makan apa, Dahlia?” Aunty Maria sedia mengambil pesanan.
“Saya macam biasa tapi hari ni saya nak air tebu. Korang dah decide nak makan apa?”
“Hmm… saya air kelapa dengan udang goreng tepung.” Kata Lynn. “Kau pulak, Phia? Lama benar tenung menu tu, macam nak ambil periksa.” Usiknya.
Sophia ketawa sambil memandang Aunty Maria. Wajah wanita itu manis dan mesra. “Mungkin wajah ibu Hans juga cantik seperti Aunty Maria,” bisik hati Sophia.
“Saya nak cuba sotong goreng tepung dan udang bakar… Hmm… Minuman… saya nak air tebu juga.”
“Nanti Aunty suruh Hans masak sedap-sedap.”
Selepas menyerahkan pesanan kepada Hans, Aunty Maria menyediakan minuman untuk ketiga-tiga gadis manis itu. Petang masih awal. Waktu seperti itu memang tak ramai pelanggan, kedai pun baru saja dibuka. Uncle Jose pun belum sampai lagi. Dia ke bandar untuk membeli beberapa barang keperluan. Marsha juga belum tiba. Anak gadis pasangan itu selalunya datang lewat petang, selepas menyiapkan kerja rumah.
Dahlia, seperti dapat membaca hati dan fikiran Sophia mula berbisik, “Hans ni misteri sikit kalau kau nak tau. Dari tingkatan satu kami semua sekelas, tapi tak ada siapa yang betul-betul kenal dia.”
Sophia mengangguk perlahan, pandangannya tertumpu pada pintu dapur di mana Hans sibuk memasak. “Dia mesti sibuk, penat— kerja lepas sekolah,” balas Sophia— menggalakkan Dahlia untuk terus bercerita.
“Ha ah. Dengar orang cakap, dia banyak tolong ayah dan pakcik dia sebab… keluarga dia hmm— rasanya cuma dia dengan ayahnya je.”
Sophia memandang wajah kedua kawannya itu, cuba mencari jawapan.
Lynn mendekatkan sikit kedudukannya dengan mereka lalu berbisik, “Hans is an orphan. Aunty Emelda passed away during labour.”
Perbualan terhenti bila Aunty Maria menghampiri meja mereka dengan membawa minuman. Sementara Dahlia dan Lynn menikmati minuman mereka, Sophia hanya merenung gelas. Dia tersentuh mendengar apa yang baru saja Lynn sampaikan.
“It must be tough for Hans…” Katanya cukup perlahan, hampir hanya gelas berisi air tebu yang mendengar bisikannya itu. Sebak di dada Sophia mendalamkan simpati. Segera dia terlayang ke perkampungan nelayan yang pernah dia lawati— terbayangkan kehidupan penduduknya yang sederhana dan berkerja keras. Sophia tidak tahu Hans juga sebahagian daripada mereka, tetapi sekarang, dia mula faham— dorongan rasa malu menyebabkan gadis itu menarik diri daripada orang lain dan tentunya sukar mengimbang sekolah dengan kerja— pasti Hans selalu berasa rendah diri dan serba tak kena.
Hans yang berdiri di dapur, sesekali memerhati dari celahan dinding kayu. Selepas memastikan gadis-gadis itu selesai, dia kembali ke depan untuk membersihkan meja. Dengan tenang dia menunduk sambil mengumpul pinggan-pinggan kosong, tapi Sophia merasa terdorong untuk mendekati.
“Terima kasih, Hans,” katanya lembut, lalu memberi pujian ikhlas— “Pandai awak masak, sedap hidangan tadi. Mesti awak expert, kan? Boleh jadi chef.”
Pipi Hans sedikit memerah. Dia hanya berkata, “Terima kasih,” sambil memandang ke arah lain.
Itu mendorong Sophia untuk melanjutkan perbualan. “Saya rasa saya nampak awak hari tu, waktu saya ikut papa dan mama melawat jeti.”
Mata Hans sedikit terbuka, nampak terkejut. “I see…” Balasnya sepatah.
Sophia mengangguk.
“Saya pun nampak awak…” Kata Hans perlahan, hampir berbisik. Dia teragak-agak, memandang Sophia seolah-olah cuba menilai sama ada dia boleh mempercayai anak gadis Pegawai Daerah itu.
Sophia tersenyum, nada suaranya tetap lembut dan mesra. “It’s a beautiful place. I’d love to see more of it someday.”
Ekspresi Hans menjadi lebih selesa walaupun masih cuba mengelak kontak mata. Sophia nampak ada senyuman nipis di bibir Hans. “Yes, it is,” balas Hans, hampir kepada dirinya sendiri. “It’s home.”
Dahlia dan Lynn agak terkejut menyaksikan interaksi antara Hans dan Sophia. Itulah kali pertama mereka lihat Hans bercakap agak panjang dengan seseorang. Manakala Sophia pula merasa puas. Dia percaya, usahanya untuk melewati dinding yang dijaga Hans dengan penuh hati-hati, akan membuahkan hasil satu hari nanti.
Tiba masanya gadis-gadis itu untuk pulang, Sophia sempat berpaling kepada Hans. “Mungkin nanti kita jumpa lagi, berbual lagi panjang? At school, of course. Awak patut join kami sekali-sekala kalau ada masa.”
Hans mengangguk. Walaupun tidak kelihatan begitu yakin namun ada kerlipan terima kasih di matanya, tanda dia sebenarnya menanti seseorang yang sudi mendekat.
Malam itu, ketika Sophia berbaring di atas katil, dia memikirkan tentang Hans— gadis pendiam yang membesar di kampung nelayan. Dia tau, di balik sikap pemalu dan pendiam yang disifatkan dingin oleh rakan-rakan sekolah, terdapat kekuatan yang tidak pernah mereka sedari. Entah kenapa, semua itu membuat Sophia merasa lebih dekat dengan bandar kecil ini— mengetahui bahawa bukan saja di kampung nelayan, malah di dalam kelasnya sendiri, ada insan seperti Hans— penuh dengan kisah, cabaran, dan impian.
#
Semakin hari, Sophia semakin suka memerhatikan Hans, bukan hanya dalam kelas tetapi juga dalam setiap detik-detik kecil yang tak dipedulikan orang lain. Hans selalu tiba tepat saat loceng berbunyi, duduk di sudut belakang dengan buku-bukunya tersusun rapi. Selepas menjamah bekalan, dia akan menghabiskan sisa-sisa waktu rehat, sama ada membaca atau melukis.
Sophia benar-benar merasakan satu tarikan yang kuat untuk mendekati Hans. Dia terpanggil untuk menjalinkan persahabatan, tetapi setiap kali mencuba, usaha itu terasa lebih sukar daripada yang disangkakan. Bukannya Hans bersikap kasar atau menolak— dia cuma pandai menjaga jarak secara sopan, memberi interaksi singkat dan neutral. Sophia tak mahu terlalu mendesak. Dia tahu Hans memiliki dunia sendiri— sebuah dunia yang sukar ditembusi oleh orang lain.
Pada suatu petang Jumaat, cikgu Siti mengumumkan projek berkumpulan. Kelas menjadi riuh rendah. Semua orang berebut mencari pasangan. Namun Sophia tidak tergesa-gesa; dia hanya memerhatikan Hans, yang masih duduk tenang, menunduk fokus membaca buku, seolah-olah sengaja menunggu sehingga semua orang berpasangan.
Mengambil nafas dalam-dalam, Sophia berjalan ke arah Hans. “Hans? Nak team-up tak, for the project?”
Hans mendongak, sedikit terkejut, jari-jarinya bermain di tepi buku nota. “Oh… erm, boleh, kalau awak nak.”
Sophia tersenyum lega. “Great! We can work on it during lunch if that’s okay with you?”
Hans mengangguk, namun suaranya hampir berbisik. “Ya, boleh.”
Ketika mereka duduk bersama waktu rehat, Sophia perasan, Hans kelihatan tegang, tak selesa. Dia hanya menunduk, bahunya sedikit membongkok. Sophia cuba mencairkan suasana dengan berkongsi idea untuk memulakan projek, menjelaskan konsep yang difikirkan sesuai. Hans mendengar tetapi hanya memberikan respon yang pendek-pendek.
Namun, Sophia tidak patah semangat. “I noticed your drawings. They are wonderful! Maybe we can include them in this project?”
Hans terkejut. Mukanya diangkat, sekilas dia memandang wajah Sophia.“Awak… perasan?”
“Mestilah,” jawab Sophia sambil tersenyum. “I think they’re great. You’re gifted.”
Hans menundukkan pandangannya, pipinya sedikit memerah. “Terima kasih,” ucapnya perlahan, tetapi Sophia melihat secercah kebanggaan di wajah Hans, walaupun dia cuba menyembunyikannya.
Bagi Sophia, saat-saat kecil seperti ini adalah satu kemenangan. Setiap kali Hans memberi anggukan, malu-malu atau menerima pujian, Sophia menganggap itu satu langkah lebih dekat untuk menembus tembok yang Hans bina. Dalam masa yang sama, kadangkala dia sedikit kecewa bila merasakan Hans terlalu menahan diri, seperti dia belum benar-benar bersedia membuka hati.
Sukar untuk Sophia membaca apa sebenarnya yang Hans fikirkan. Mana mungkin dia tahu, sebenarnya dalam diri gadis pendiam itu, saat-saat bersama Sophia terasa seperti memasuki sebuah dunia asing. Dia tidak biasa didekati seperti itu, oleh seseorang yang benar-benar menunjukkan minat untuk mendekati, apatah lagi memuji atau tertarik pada ideanya. Hans sedar diri— dia tau terlalu besar jurang perbezaan hidupnya jika nak dibandingkan Sophia. Dia tahu pakaian dan begnya lusuh, tangannya sering kotor dan bercalar, kesan terkena periuk dan kuali panas atau percikan minyak dan sudah semestinya bekas hirisan pisau. Waktu rehat lebih selalu dihabiskan di bawah pokok daripada di kantin kerana setiap hari dia membawa bekal untuk mengalas perut. Hans harus berjimat cermat. Upah yang diterima dia simpan dalam tabung dan sebahagian daripada wang upah dia berikan kepada bapanya untuk keperluan rumah— yang selalunya dihabiskan dengan membeli arak.
Dan sekarang, di hadapannya ada Sophia, gadis baru yang disenangi ramai, mengenakan pakaian kemas, mahal dan tinggal di kediaman rasmi yang besar, serba mewah. Kesungguhan yang Sophia tunjukkan untuk mengikat tali persahabatan mencetus campur baur tanda tanya— antara rasa ingin tahu, kekaguman dan di atas segalanya adalah rasa tidak yakin. Hans telah diajar untuk tidak mengharapkan lebih daripada apa yang dia ada. Persahabatan, baginya, adalah sebuah kemewahan yang sukar dikecapi.
Setiap kali Sophia berusaha mendekat, Hans merasa dirinya rapuh. Dia takut jika minat Sophia hanyalah sementara, atau lebih parah, andai suatu hari nanti mata Sophia terbuka untuk melihat betapa besarnya jurang perbezaan antara mereka. Hans tak pasti samada dia sanggup menghadapi kekecewaan setelah menaruh harapan dan kepercayaan.
Namun begitu, walaupun hati bergolak, sedikit demi sedikit, Hans mula menikmati kehadiran Sophia. Ada kehangatan dalam senyuman gadis itu, keikhlasan dalam kata-katanya yang membuat Hans merasa dihargai— sesuatu yang tidak pernah dia angankan. Sebahagian dalam dirinya mula percaya mungkin Sophia benar-benar mahu menjadi sahabat tapi sebahagian lagi—bahagian yang lebih besar— masih berhati-hati, takut kecewa.
#
Hujung minggu tiba. Dahlia mengajak rakan-rakannya berjalan ke pantai. Dia terlebih dahulu telah menjemput Hans, tanpa pengetahuan sesiapa pun. Walaupun jarang berbicara dengan Dahlia, Hans mengejutkan anak Jurutera Daerah itu dengan menerima undangannya.
Sophia juga terkejut bila mendapati Hans menyertai mereka di pantai. Kelihatan gugup berdiri di pinggir kumpulan, Sophia berjalan mendekatinya sambil tersenyum. “Hey! Tak tau awak pun akan ada sama…” Sapanya, separuh bertanya dengan suara lembut.
Hans mengangguk, memandang ke pasir sambil berkata perlahan, “Dahlia bagitau, korang nak main bola tampar. Kebetulan, saya free hari ni.”
Sepanjang petang itu, Sophia berada di sisi Hans, bersama mengejar dan menampar bola. Ketika semua berhenti untuk membasahkan tekak, Sophia menawarkan diri untuk membelikan Hans sepotong ais krim. Mulanya Hans teragak-agak, jelas tidak biasa dengan layanan sebegitu, tetapi akhirnya menerima dengan ucapan terima kasih, perlahan seperti selalu.
Duduk di tepi pantai, Sophia memandang Hans yang sedang menikmati ais krim. Tatapannya penuh rasa ingin tahu. Setelah beberapa ketika, Sophia memberanikan diri. “I understand this might not be a topic you enjoy discussing,” katanya dengan suara perlahan. “but it must be challenging, right? Balancing school and work can’t be easy.” Dia berhenti seketika. Matanya penuh memandang wajah Hans. “Don’t get me wrong. Actually, I'm truly impressed.”
Hans diam, matanya tertumpu di kaki langit. Tetapi setelah beberapa saat, dia bersuara tenang, hampir berbisik. “Kadang-kadang saya rasa ketinggalan— always feel like I'm on the outside, just watching from a distance.”
Hati Sophia tersentuh. “I get that. Berpindah-randah, saya pun selalu rasa camtu— like I never fully belong.”
Hans memandang Sophia, kali ini tepat ke anak matanya dan dia menahan tatapan itu agak lama. “Tapi awak Sophia…. awak bertuah. Awak ada segalanya.”
Sophia menggeleng perlahan. “Mungkin nampak camtu, tapi semua orang pun ada cabaran sendiri. Kadang-kadang saya rasa sunyi, dikawal, diatur… susah nak terangkan.”
Untuk pertama kali, Hans benar-benar melihat Sophia, seolah-olah memahami bahawa mereka mungkin lebih serupa daripada apa yang dia sangka. “Maaf… saya tak tau,” katanya perlahan.
Berseri-seri wajah Sophia, menghargai ikatan yang sedang mereka simpulkan. “Maybe we can help each other feel less like outsiders.” Dia melagukan sebuah harapan.
Hans tidak segera menjawab, namun Sophia seakan dapat melihat pengertian dalam tatapan mata Hans, mungkin juga penerimaan. Sebuah langkah kecil terasa seperti lompatan besar— Sophia tetap positif.
Ketika mereka semua berjalan pulang, Hans berjalan sedikit rapat dengan Sophia. Masih tidak banyak bercakap, tapi pandangan mata Sophia tidak lagi dia elakkan. Dan ketika mereka berpisah, Hans menghadiahkan Sophia senyuman kecil dan bagi Sophia, senyuman kecil yang diberikan Hans sebagai ucapan selamat malam itu adalah dorongan yang dia perlukan. Sophia semakin bersemangat untuk terus mendekati, langkah demi langkah. Dia ingin menunjukkan kepada Hans bahawa dirinya layak dihargai dan tidak perlu merasa sendirian.
#
Laluan-laluan kecil yang mengarah ke perkampungan nelayan disusuri penuh hati-hati. Sophia semakin biasa dengan kawasan kampung nelayan tersebut, didorong rasa ingin tahu juga kerana tahu Hans tinggal di situ. Ketika melangkah memasuki kawasan pantai, Hans yang sedang memikul sebuah beg di bahu menyedari kehadiran Sophia yang sedang berjalan menuju ke arah yang sama. Mereka berbalas senyuman. Hans berhenti, menunggu gadis itu mendekatinya.
“Hai!” Sapa Sophia, senyumannya indah seperti sinar matahari yang hampir tenggelam di kaki langit.
“Hai, Sophia,” balas Hans, kelihatan gembira namun sedikit gugup. Dia membetulkan beg yang tergantung di bahunya. “Awak datang jalan-jalan, nak tengok kampung, cari cengkerang?”
“Betul, sambil-sambil ambil angin.” Dia memerhatikan Hans dari atas ke bawah. Hans memakai seluar pendek bermuda dan t-shirt kelabu. “Dari mana?”
“Saya ke kedai belakang tu tadi, ambil sayur dari kedai runcit, untuk kedai.” Jawab Hans sambil menunjukkan apa yang ada dalam beg yang digalasnya.
“Saya suka makan sayur.” Balas Sophia. Kaki mereka mula menapak ke gigi air.
“Belakang rumah saya ada kebun kecil.”
“Awak berkebun?”
Hans mengangguk. “Minat saya.” Seliparnya dibuka dan dia merendamkan kakinya ke pasir. “Saya suka lihat benih yang disemai bercambah dan putik tu tumbuh segar.”
Sophia turut membuka sandalnya dan ikut sama merendam kaki ke dalam pasir. “Tentu lain rasanya bila dapat rasa hasil tangan sendiri, kan?”
“Betul tu. Dapat berjimat lagi.” Hans memandang wajah Sophia yang dipanah matahari petang. Sophia turut memandang ke wajah Hans yang tersenyum.
“Awak rajin.”
“Saya tak ada banyak, Sophia. Itu je hiburan bagi saya.”
Jawapan itu mencambahkan idea di minda Sophia. “Well, kalau boleh, saya nak teroka banyak lagi, apa saja yang ada kat sini. Kat bandar dulu, semuanya lain.” Sophia mengaku. “Ni kampung awak, mungkin awak boleh jadi tour guide saya?”
Dia melihat Hans memandang ke belakang dan kembali memandang wajahnya.
“Kalau begitu, first thing first… come,” ajak Hans, menuju ke arah sebuah pondok usang di tepi laut. “Ayah saya ada di sana. Mungkin dia agak… hmm, kasar, tapi dia orangnya baik. Jom…”
Mata Sophia bersinar. Mereka berjalan seiringan, tanpa sepatah bicara, hanya deru ombak dan suara-suara dari perkampungan nelayan yang menyemarakkan suasana. Ketika tiba di pondok itu, seorang lelaki tinggi berkulit sawo matang, jelas, akibat terik matahari sedang membaiki jala. Hans berdehem untuk menarik perhatiannya.
“Pa, ini Sophia,” kata Hans, suaranya lebih lembut daripada biasa. “Dia… kawan sekelas saya.”
Juan Marcello memandang Sophia dengan penuh teliti, kemudian mengangguk perlahan. “Jadi, inilah dia anak Pegawai Daerah baru kita?”
Sophia tersenyum dan mengangguk hormat. “Yes, sir. It’s a pleasure to meet you.” Tangan dihulurkan.
“Hmm,” Encik Juan Marcello menyambut salam Sophia sambil menggumam pendek, lebih sebagai tanda hormat dan kemudian memandang Hans dengan lembut— pandangan seorang bapa. “Well, Hans doesn’t bring friends around often. Nice to meet you, young lady.”
Pada saat itu, seorang gadis sebaya mereka muncul dari dalam pondok, rambutnya sedikit terurai ke dahi. Dia terhenti seketika, memandang antara Sophia dan Hans— teruja, agak terkejut. “Ini Marsha, sepupu saya,” dia memperkenalkan. “Dia pun sekolah sama dengan kita, cuma dia di kelas peralihan, jadi dia setahun lewat.”
Marsha memandang Sophia, ekspresinya penuh minat. “Ah, so you must be the new girl Hans has been mentioning!?”
Sophia ketawa, memberikan pandangan mesra kepada Hans. “I didn’t know I was such a topic!”
Marsha tersenyum, kilauan kegembiraan jelas di wajahnya. “Kat sini tak selalu orang baru datang. Tak ramai orang pun tahu kawasan kampung ni.” Jelas Marsha, cuba merahsiakan apa yang pernah Hans curahkan kepadanya tentang Sophia.
Sophia mengangguk, mencerna kata-kata Marsha. “Tempat ni cantik, tenang. Ada cara tersendiri. Unik.”
Bapa Hans meneruskan kerjanya, memasang telinga pada perbualan ketiga-tiga remaja tersebut. Sesekali dia melemparkan pandangan kepada Sophia kemudian kepada Hans— tanda persetujuan. Marsha yang masih teruja kelihatan tidak sabar ingin mengetahui lebih lanjut tentang diri Sophia. Banyak dia bertanya dan Sophia menjawab setiap soalan dengan mesra. Dia menceritakan tentang kehidupan di bandar, di kota dan juga tentang sekolahnya yang terdahulu.
Perbualan mengalir dengan lancar dan bersahaja. Mereka berempat berlama-lama di bawah cahaya petang, menyaksikan sesuatu yang istimewa di hadapan masing-masing. Bagi Hans, ini adalah kali pertama dia merasakan dunianya— dunia yang selalu dia jaga, patut dikongsikan.
Petang masih panjang, sebelum Hans meneruskan harinya berkerja di kedai. Marsha minta diri sementara bapa Hans juga sudah beransur pulang ke rumah. Lalu Hans mengajak Sophia ke pinggir air, di mana bot nelayan milik bapanya berlabuh. Bot itu terayun perlahan mengikut irama ombak yang tenang. Kayunya berkeriut saat air beralun ke tepi. Hans naik ke atas bot terlebih dahulu sebelum dia menghulurkan tangannya untuk membantu Sophia, memastikan langkah gadis itu stabil ketika dia naik dan duduk di sebelahnya di bangku kayu yang sempit.
“Ini bot papa,” ujar Hans, dengan nada bangga terselit dalam suara. “He doesn't allow us to row out to the sea, but we can certainly sit here and act as if we are gliding across the waves.”
Sophia tersenyum, matanya tertumpu pada air yang tenang terbentang luas di hadapannya. Matahari yang semakin jatuh mewarnai langit dengan warna merah jambu dan emas. “Your home is magnificent, Hans. You must feel happy every day being surrounded by such beauty.”
Hans mengangkat bahu, tapi ada kedamaian di matanya ketika dia memandang ke arah laut yang tenang. “Yeah, I guess I do. It’s quiet out here, you know? When I’m on the boat with papa, just us and the sea, it feels like… like I’m part of something bigger.” Dia terhenti sejenak, memandang burung camar yang melayang rendah di permukaan air. “Tapi, perasaan macam ni… bukannya semua orang boleh faham.”
“Saya rasa saya faham,” jawab Sophia, nada suaranya perlahan dan penuh pemikiran. “Sometimes, as I gaze at the twinkling stars and the glowing moon, a sense of a greater force beyond our world, instils a feeling of humility that is strangely comforting.”
Hans menoleh, sedikit terkejut. Dia tak sangka Sophia akan faham— atau akan berkata sesuatu yang sangat hampir dengan apa yang dia sendiri rasa. “You’re different from what I expected,” dia mengaku, tapi kemudian tersipu malu. “Kebanyakan orang… takkan cakap benda macam tu.”
Sophia ketawa kecil. “I think maybe we’re both a little different.”
Mereka duduk bersama dalam keheningan yang selesa, menyaksikan matahari semakin tenggelam di ufuk yang membiaskan cahayanya berkilauan di atas air. Hans merasakan kehangatan yang jarang dia alami— sesuatu yang memberitahunya bahawa dia tak perlu terlalu berhati-hati, sekurang-kurangnya untuk seketika.
“Jadi boleh aku tanya?” kata Sophia, menukarkan perkataan saya kepada aku, supaya lebih terasa rapat dan mesra. “Have you ever gone to the sea by yourself?”
Hans menggeleng. “How I wish. Papa tak benarkan aku bawa bot ni sorang-sorang. Bahaya katanya. Tapi suatu hari nanti, kau tau…” Hans menurut rentak pilihan Sophia dalam menggunakan kata ganti nama. “Suatu hari nanti, aku nak belayar sendiri. Mungkin pergi jauh, lihat tempat-tempat baru.” Hans menunduk, hampir malu kerana tanpa sedar dia telah menyuarakan impian yang jarang dia ungkapkan. “You probably think that’s silly.”
“Not at all,” balas Sophia dengan lembut, nada suaranya penuh kekaguman. “It sounds incredible. I hope you get to go as far as you want.”
Apabila matahari perlahan-lahan tenggelam di kaki langit membiarkan dunia diselimuti senja, Sophia merasa berat hati untuk mengakhirkan peretemuan. Tapi sudah tiba masa untuk pulang. Dia berdiri perlahan, enggan menghentikan keajaiban di senja itu. “Aku kena balik. Nanti papa dan mama risau kalau aku lewat.”
Hans mengangguk, turut bangun, wajahnya tenang, dihiasi senyuman kecil. “Thanks for your time.”
“Terima kasih jugak sebab tunjukkan tempat ni,” jawab Sophia, nada suaranya penuh dengan rasa syukur. “Kita jumpa esok?”
Hans tersenyum, “sure.” Dia memandang Sophia ketika membantu gadis itu turun dari bot. “Aku teman kau balik?” Tawaran itu tentu saja disambut dengan senang hati. Mereka berjalan perlahan-lahan, beriringan. Sesekali bahu mereka bersentuhan sambil terus berbual hinggalah sampai ke pintu pagar banglo kerajaan kediaman rasmi Pegawai Daerah — rumah Sophia di atas bukit. Hans memandang rumah yang besar itu. Jauh sungguh bezanya dengan teratak tempat dia membesar dan tinggal hingga kini.
Ketika malam memeluk senja, Hans menuruni bukit, menyusur lorong-lorong ke kampung, bersama sebuah kedamaian menyelimuti jiwa— suatu kepastian bahawa, buat kali pertama, dia mempunyai seorang sahabat yang melihat diri di dalam dirinya. Lupa terus dia tentang perbezaan di antara rumah besar di atas bukit dan pondok kecil di tepi pantai.
Sampai di rumah dengan seribu kebahagian, Hans bersiul kecil. Bapanya yang turut gembira mendengar ritma bahagia dari siulan itu mengangkat kening tapi tidak bertanya. Selepas bersiap-siap menukar pakaian, Hans bergegas ke kedai makan Uncle Jose. Setibanya di sana, suasana turut terasa berbeza. Meja-meja yang separuh penuh diserikan dengan wajah-wajah biasa— para nelayan yang merehatkan diri selepas seharian di laut dan penduduk kampung yang berkumpul berkongsi cerita sambil menikmati hidangan pilihan masing-masing. Bunyi riuh rendah perbualan dan sesekali derai ketawa memenuhi ruang, membawa Hans kembali kepada makna sebenar sebuah ‘rumah.’
Dia terkenangkan Sophia. Tentu Sophia sedang menikmati makan malam di meja mewah banglo itu. Tentu saja hidangannya istimewa, lazat-lazat, disediakan oleh tukang masak khas. Hans tersenyum, membayangkan dirinya sedang memasak di dapur mewah rumah Sophia.
Dan ketika angan-angan itu bermain di fikiran, radio kecil di atas kaunter berdengung seketika sebelum mula memainkan melodi lama Dean Martin, Sway. Irama yang penuh energi itu memeriahkan ruang dapur kecil dan tanpa sedar, Hans membiarkan dirinya dibawa arus melodi yang indah. Tangan kanannya memegang senduk kayu, sementara tangan kiri menggenggam sudip. Senyuman perlahan-lahan terukir di wajahnya. Hans menggerakkan tubuh, menari mengikut alunan.
Kakinya melangkah ringan di atas lantai simen kasar yang sedikit usang, berputar dan beralun menggayakan senduk kayu di tangan umpama mikrofon ketika dia mendendangkan lirik lagu. Hans menjadikan dapur itu seperti pentas. Dia menyenduk sup dengan gaya dramatik, sesekali melemparkan sayur ke dalam kuali dengan sentuhan penuh tenaga, seolah-olah dia sedang memimpin sebuah orkestra. Dia merasa bebas, penuh kekuatan dan setiap gerakan tarian adalah penghargaan terhadap kebahagiaan yang baru terbit dalam hidupnya, sesuatu yang dibawa oleh kehadiran Sophia.
Beberapa pelanggan mencuri pandang ke arahnya. Ada yang tersenyum kecil melihat Hans yang biasanya pendiam kini menari tanpa segan silu. Marsha, sepupunya, menjenguk dari hadapan kedai, menahan ketawa melihat aksi Hans yang penuh keriangan. “Wah, kau betul-betul buang tabiat, Hans… seronok benar nampaknya.”
Hans hanya mengangkat bahu, pipinya memerah dengan rasa bahagia yang sukar dijelaskan. “Aku suka lagu ni,” jawabnya, dengan sedikit tawa dalam suara.
Mama Maria muncul dari balik pintu, tersenyum melihat anak saudaranya menari riang bersama senduk di tangan. Dalam nada berseloroh, dia berseru, “Eh, Hans! Sejak bila kau suka menari ni?” Matanya berkilau, terhibur melihat gelagat Hans yang ketawa hingga pipinya kemerahan—akibat bahang dapur yang bercampur dengan rasa malu.
Bahagia di hati harus diekspresi, lalu dia menghulurkan tangannya kepada Mama Maria yang menyambut dengan ketawa. Mereka terus bergerak mengikut irama, menyambung langkah penuh gaya dan bersemangat. Berdua, mereka berputar bersama, menari di dapur kecil itu sambil mengacau periuk, membalikkan kuali. Setiap gerakan seiring dengan rentak lagu yang ceria. Uncle Jose yang sedang menggoreng nasi turut menyanyi sambil menggendangkan kuali.
Sewaktu menari, wajah Mama Maria memancarkan kasih sayang, memandang Hans dengan penuh pengertian. Dia perasan keceriaan di wajah Hans yang jarang-jarang dilihatnya. “You seem really happy tonight. Is there something special going on?”
Hans terhenti seketika, memandang ke bawah dengan senyum kecil, wajah Sophia muncul lagi dalam benaknya. “It was a great day,” katanya perlahan, malu-malu.
Mama Maria memeluk dan mengusap bahu Hans. “A good day is precious,” suaranya selembut usapan yang diberikan. “It could lead to something wonderful.”
Malam itu, setelah dapur ditutup dan pelanggan terakhir beredar, Hans pulang ke rumah bersama sebuah kehangatan. Setelah membersihkan diri, dia baring di atas katil, menarik selimut sehingga ke dagu. Dalam bilik yang serba tiada itu, kedamaian memenuhi dirinya. Bila mata dipejamkan, wajah Sophia muncul lagi dalam fikiran. Senyuman dan gelak tawa Sophia telah menghidupkan segala-galanya, memberi cahaya pada setiap sudut yang gelap.
Bayangan senyuman Sophia kekal bersama walau ketika dia sedang tidur, membekalkan nafas baru. Ia bagaikan sebuah janji— segar dan indah berkembang sebagai satu permulaan yang membuat jiwanya berasa lebih hidup.