Konserto Untuk Sophia ~ Part 1.2

Ray FL
0


PART 1: THE SOLOIST
Bab 2: Sophia

D(caps)ua tiga hari kebelakangan ini, kediaman rasmi pegawai daerah yang terletak di atas bukit menghadap ke laut itu sibuk dengan urusan perpindahan. Beberapa orang pekerja keluar masuk, menguruskan barang-barang— mengemas, menyusun dan mengatur perabot. Dari depan ke dapur, dari bilik bacaan ke bilik tidur. Dari ruang makan ke ruang tamu. Atas dan bawah, di dalam dan di luar rumah. Hari itu, segalanya beres. Semuanya lengkap, tersusun sempurna. Gambar-gambar digantung ke dinding, perabot mewah cantik menghiasi ruang tamu dan aroma masakan memenuhi udara bercampur dengan angin sepoi-sepoi yang membawa masuk bayu laut melalui jendela yang terbuka.


Sophia bersandar pada bingkai tingkap bilik tidurnya di tingkat dua. Pemandangan dari sudut itu merentang ke pantai. Langit biru diselaput awan putih selembut kapas melayang malas. Di bawahnya, jalan batu berbelok-belok di antara rumah-rumah berbumbung atap genting. Dia melepaskan pandangan ke laut yang terletak di kejauhan— luas dan indah berkilauan di bawah cahaya matahari petang. Sebuah ketenangan luar biasa menyelinap ke dalam hatinya. Apa yang terbentang depan mata kelihatan begitu santai, damai, itu terbukti. Tapi apa yang dia rasai ketika ini, begitu aneh— seperti pernah dia rasai sebelumnya— sebuah keindahan yang pernah singgah dalam hidup atau mungkin dalam mimpi.


Selama bertahun-tahun menjadi warga kota dan bandar-bandar yang sibuk dan serba moden, kesempurnaan di Tanjung Bayu tak layak dijadikan tandingan. Sophia berasa begitu selesa di tempat baru, seolah-olah itulah rumahnya yang sebenar, sebahagian daripada dirinya.


“Phia, turunlah! Kita jalan-jalan ke pantai.” Kedengaran suara ibu melaung, memanggil dari tingkat bawah.

Segera dia meraih sunhat— kegemaran terbaru yang dia pilih di pasar malam semalam. Topi yang dianyam ringkas itu mengingatkan dia tentang seorang gadis pulau yang pernah dia baca dalam sebuah buku cerita. Dia selalu berangan, dialah gadis itu— memakai topi pantai, dengan gaun ungu cair seperti warna langit senja, berkaki ayam, bebas menikmati lembut pasir dan air laut.


Sophia menyertai orang tuanya. Ibunya, Puan Kamalia Mohktar sedang menyapu pelindung matahari pada lengan dan muka. Sejurus itu, dia membantu anak gadisnya pula menyapukan losyen yang sama di lengan, tangan, leher, muka dan kaki.


Keluarga Encik Suffiyan Hafizi menuruni bukit melalui anak-anak tangga yang berlumut, menyusuri jalan sempit yang menghala arah pantai. Mereka melintasi kedai-kedai kecil dengan cat yang dah merekah. Kedai-kedai itu menjual pelbagai hasil laut dan tanaman kampung juga kraftangan. Penduduk tempatan yang mengusahakan perniagaan kecil tersebut tersenyum mesra sambil memberi salam— satu kelainan sebenarmya— lebih mesra daripada pandangan acuh tak acuh yang selalu mereka terima di bandar.


Encik Suffiyan melambai pada hampir setiap orang yang lalu lalang. Dia menerangkan kepada anak-anaknya bahawa itu adalah sebahagian daripada tugas— bertemu ‘orang baru’, sama seperti dia menguatkuasakan peraturan. Mengambil beberapa detik berbual mesra dengan seorang peniaga, Encik Suffiyan turut menyatakan kekagumannya terhadap bandar yang cantik dan permai itu.


Pantai terletak tak berapa jauh dari rumah baru mereka, hanya beberapa minit berjalan kaki. Ia dibingkai oleh tebing dan sebuah pelabuhan kecil. Sophia menarik nafas panjang sebaik saja kakinya menyentuh pasir, membiarkan bayu dari laut memenuhi paru-paru. Burung camar berkicauan di atas kepala, menyatukan nyanyian mereka dengan desiran ombak.


“This place feels like a hidden treasure,” katanya, hampir berbisik, tak mahu merosakkan keajaiban di sekeliling.

Ibunya tersenyum. “It does, doesn’t it?”


Sophia memerhati abang-abangnya yang menendang pasir, saling mencabar satu sama lain untuk berlumba lari ke arah tepi air. Dia ketawa sambil menggeleng kepala. Kamal dan Kamarul, sentiasa bersaing. Kedua-duanya selalu nak jadi lebih hebat dan terbaik. Sophia terasa bahagia apabila keluarganya dapat meluang masa, berkongsi pengalaman bersama-sama.


Dia beranjak sedikit jauh dari ibu dan bapanya, memberi peluang untuk mereka berbual, menikmati angin petang. Dengan berkaki ayam, dia menyusuri pantai, membiarkan tapak kakinya tenggelam ke dalam pasir yang sejuk dan lembap. Kulit-kulit kerang dan cengkerang yang bertaburan— berkilauan dengan warna merah jambu, ivory dan biru pucat membuat dia terpegun. Sesekali, ombak kecil menerjang kaki, menggelitik kulit dan meninggalkan potongan-potongan rumpai laut yang kusut di antara jari-jari. Dia tak dapat menahan senyum.


Sewaktu dia berlutut untuk mengutip secebis cengkerang putih, satu suara menegurnya dari arah bertentangan. “Cantik, kan? Tajam mata awak.”

Terkejut, Sophia mendongak melihat seorang gadis sebaya berdiri berdekatan sambil tersengih memandang. Gadis itu berambut gelap, diterbangkan angin dan memakai gaun ringkas yang padan dengan warna air laut.


“Terima kasih,” balas Sophia sambil menegakkan tubuhnya. “Saya tak pernah tengok kulit kerang dan cengkerang macam ni, sebelum ni.”

“Kat sini awak akan jumpa banyak lagi. Saya Lynn, by the way.” Gadis itu menghulurkan tangan dengan senyuman yang menggariskan sedikit hujung matanya.

“Sophia,” jawabnya sambil menjabat tangan Lynn berserta sedikit rasa malu. Dah selalu dia berpindah randah mengikut tugas bapa, namun mencari kawan adalah sebuah tugas yang sukar, tetapi Lynn kelihatan santai dan mesra. Mungkin tempat ini berbeza.


“Baru pindah sini, kan?” Lynn bertanya, seolah-olah membaca fikiran Sophia. “Saya nampak awak dan keluarga awak pindah masuk rumah DO tu.”

Sophia mengangguk, mengiyakan pertanyaan dan pernyataan Lynn. “Ya, macam tu lah kerja papa, selalu kena tukar.”

Lynn mengangguk tanda faham. “Mesti penatkan? Tapi seronok, dapat jalan-jalan, tengok tempat baru.”

“Ye,” akui Sophia, sambil memandang ke arah ombak. “Saya suka tempat ni. Lain daripada tempat dulu.”

Senyuman Lynn melebar. “Bagus! Kalau awak nak, banyak lagi saya boleh tunjuk. Bukan pantai ni aje. Ada banyak kampung-kampung lain lagi sebelah sana.”


Sophia teruja, tidak menyangka akan mendapat kawan secepat itu. Dia menoleh ke belakang memandang keluarganya— Kamarul dan Kamal masih seronok mengejar bola sementara ibu dan bapanya berganding tangan menyusuri pantai. Kemudian dia kembali menoleh ke arah Lynn sambil mengangguk. “I’d like that,” katanya. “Jom…” Dia mengajak Lynn bertemu orang tuanya.


“Yes, he is a fisherman. We live over there.” Jawab Lynn bila Encik Suffiyan bertanyakan tentang bapanya. Jari telunjuk di arahkan ke sebuah penempatan nelayan, tak jauh dari tempat mereka berdiri.

Sophia meminta izin kedua orang tuanya untuk menyusuri pantai lebih jauh bersama Lynn.

“Elok-elok tapi jangan lama-lama sangat,” pesan Puan Kamalia.


Semasa mereka berjalan di sepanjang pantai, Lynn menunjukkan kolam air pasang surut yang tersembunyi, kampung nelayan dan juga sebuah gua kecil yang terletak di tebing. Sophia mendengar dengan penuh minat. Dia merasa seolah-olah dia sedang melangkah ke dalam sebuah cerita dan Lynn sebagai pemandu ke dunia yang tenang dan indah di tepi laut itu.


Kedamaian yang tertempa dalam hati membuatkan Sophia terfikir bahawa ini akan menjadi satu pengembaraan peribadi— sesuatu yang mungkin akan membuatnya meninggalkan pola biasa— perpindahan yang tak berhujung lantas menemukan dia satu tempat yang dipanggil rumah.


#


Hari pertama di sekolah baru tiba selepas tamat cuti penggal. Pakaian seragam yang serba baru licin bergosok. Dia selesa walaupun merasa sedikit pelik. Seragam sekolah kali ini agak berbeza daripada sekolah sebelumnya— blaus putih dan skirt navy yang jatuh betul-betul di bawah lutut, dipadankan dengan tali leher biru. Sophia membetulkan tali leher itu di hadapan cermin. Rambutnya diikat rapi. Dia tersenyum, mengucapkan selamat kepada refleksinya di cermin bersama satu senyuman.


“You're going to be great,” kata Puan Kamalia sambil meletakkan tangan di bahu anak gadisnya itu, memberi keyakinan . “And if things feel awkward at first, just give it a little time.”


Sophia mengangguk sambil mengukir senyuman. “Ini bukan kali pertama. Semua ini pernah aku buat.” Dia mengingatkan dirinya sendiri. Sekolah baru, guru baru, rakan baru— semuanya adalah sebahagian daripada pengalaman menjadi anak seorang pegawai daerah. Tapi entah kenapa, kali ini, lain sangat rasanya. Dia mahu berada di situ, untuk menjadi lebih daripada sekadar seorang ‘gadis baru.’


Bangunan sekolah di Tanjung Bayu itu sederhana jika nak dibandingkan dengan sekolah moden, di bandar terdahulu. Di sini, dindingnya dicat kuning lembut, tingkap-tingkapnya tinggi dengan corak melengkung dan halamannya dihiasi pokok-pokok hijau yang subur, memberikan bayang-bayang, meredupkan persekitaran. Udara membawa angin masin ringan dari laut dan Sophia merasakan satu keselesaan aneh dalam kesederhanaan di sekelilingnya.


Semasa dia melangkah melalui pintu masuk, beberapa mata memandang dia dengan perasaan ingin tahu. Dia berjalan dengan yakin ke pejabat, di mana seorang kerani yang kelihatan mesra menyerahkan jadual dan membimbingnya ke kelas pertama— Bahasa Inggeris. Koridor riuh dengan suara, gelak tawa dan bunyi loker berdenting ditutup. Dia terasa hidup dan dialu-alukan, tetapi dalam masa yang sama, gugup dalam perut turut bertambah.


Jadual di tangan digenggam erat semasa pintu kelas semakin dekat. Tiba di situ, dia menarik nafas panjang dan menolak pintu. Seorang guru— wanita muda dengan mata mesra, mengenakan selendang berwarna-warni, tersenyum kepadanya.


“Everyone, this is Sophia,” kata guru itu sambil memberi isyarat supaya dia datang lebih dekat dengan meja guru. “She’s just moved here, so let’s make her feel at home.”


Sophia melambai kecil, wajahnya memanas akibat perhatian yang diberi. Matanya mengimbas ruang itu, tersenyum dan mengangguk, tetapi cepat-cepat menundukkan pandangan. Kemudian dia menuju ke tempat duduk kosong berhampiran tingkap, mengamati rakan sekelasnya yang baru— sekumpulan budak perempuan dengan rambut berikat kemas dan yang lelaki bersandar malas di kerusi.


Sebelum tamat kelas, guru bernama Siti itu mengedarkan sehelai cerpen untuk dibaca dengan kuat bersama-sama. Sophia membawa dirinya tenggelam dalam cerita itu. Kegugupannya mereda apabila dia mendengar suara rakan sekelas. Situasi itu mengingatkannya mengapa dia suka membaca— membaca sentiasa membuatkan dia berasa seperti di rumah, tidak kira di mana dia berada.


“Take some time to revisit this at home and grasp the concepts. We'll go over it again tomorrow, and I'll have some questions for you,” pesan cikgu Siti sebelum mengakhiri sesi pada hari itu.



Selepas kelas, seorang gadis bermata sepet dengan rambut diikat sepeeti ekor kuda meluncur ke tempat duduk di sebelahnya. “Hai, Sophia, kan?” Katanya sambil tersengih. “Saya Dahlia.”

Sophia berasa lega, mendapat kawan baru yang mesra. “Ya, hai! Nice to meet you.”

“Awak minat sukan atau kelab atau apa-apa je?” Tanya Dahlia, nadanya santai menunjukkan rasa ingin tahu. “Kat sini ada banyak kelab dan persatuan— bola tampar, Kelab Seni, Pengakap, malah Kelab Pencinta Alam. Kita boleh pergi weekend hiking.” Terang Dahlia sambil menghulurkan sekeping kertas kepadanya.

“Ada pendaftaran hari ni, kalau berminat kita boleh pergi sama-sama.”


Fikiran Sophia ligat. Di sekolah lamanya, dia pernah mengambil bahagian dalam Kelab Tenis, tapi tidak pernah mencuba seni. Idea Kelab Pencinta Alam mencetuskan sesuatu dalam dirinya; sesuatu yang tak pernah dia cuba dan dia mahu meneroka bandar ini.


“Sounds good,” jawab Sophia. “Seronok kalau dapat tengok lagi banyak tempat.”

Great! Kalau macam tu, lepas sekolah nanti kita pergi sama-sama,” kata Dahlia, wajahnya berseri-seri.

“Sabtu ni ada gotong royong kat pantai. Kita join?”

“Why not? It’s a good idea.”

“Indeed a great way to start; lots of people join, and you get to know everyone pretty quickly.”

Kegugupan Sophia semakin reda. Dia tidak percaya betapa cepatnya dia mesra dengan gadis itu, seolah-olah mereka telah berkawan lama.


Menjelang waktu makan tengah hari, Sophia berasa lebih santai. Dahlia menjemputnya untuk menyertai rakan-rakan lain dan tidak lama kemudian Sophia mendapati dirinya dikelilingi oleh sekumpulan gadis yang mesra dan ramah. Mereka berbual tentang apa saja— dari filem terkini hingga makanan ringan kegemaran. Dari kedai roti di bandar hingga ikan di kampung nelayan.


Seorang budak lelaki bernama Alfie turut menyertai mereka. Alfie selalu membuat semua orang ketawa dengan gurauan yang tidak berkesudahan dan Murni, gadis yang suka tersenyum— teruja menceritakan novel misteri baru yang sedang dia baca. Dan apabila dia berkongsi minatnya dalam bidang sains, mereka semua memberi tumpuan, menunjukkan minat. Sophia juga diminta bercerita tentang sekolah lamanya di bandar. Banyak soal dan jawab dan itu membuat dia merasa diterima.


“Awak patut masuk Kelas Sains dan Matematik!” Kata Alfie. “Ada aktiviti lepas sekolah seminggu sekali.”

Sophia ketawa, merasakan kemesraan yang tidak diduga. “Tengoklah. Nanti saya fikir mana yang sesuai dengan masa.”


Loceng berbunyi, menandakan waktu makan tengah hari sudah tamat. Mereka menuju ke kelas seterusnya bersama-sama, memenuhi koridor sambil berbual-bual. Hari itu berlalu dengan cepat, dipenuhi dengan lebih banyak perkenalan, soalan ingin tahu dan gelak ketawa mesra dengan rakan-rakan baru di antara kelas. Menjelang penghujung hari, Sophia merasakan sesuatu yang amat jarang dirasakan— rasa kekitaan.


Selepas sekolah, dia dan Dahlia menuju ke meja pendaftaran di dewan utama, di mana pelbagai kelab sedang mendaftar ahli baru. Mereka berdua tak sabar-sabar menambah nama ke Kelab Pencinta Alam. Ketika selesai menulis nama, kedengaran satu suara memanggil.


“Sophia!”

Dia menoleh dan melihat Lynn, kenalan dari pantai, berdiri di tepi meja sambil tersenyum. “Hey, tak sangka awak pun datang mendaftar.”

“Dahlia ajak. Saya pun memang berminat nak sertai Kelab Pencinta Alam,” balas Sophia sambil tersengih. “Kelab Sains dan Matematik pun saya join.”

Cool. Sama macam saya! Baru pagi tadi saya teringat nak ajak siapa masuk sama. Lagi seronok kalau berteman,” kata Lynn sambil menepuk perlahan bahu Sophia.


Mereka bertiga berjalan keluar bersama-sama, berbual tentang acara kelab yang akan datang dan merencana aktiviti hujung minggu. Hati Sophia membengkak dengan keterujaan buat kali pertama sejak berpindah. Ia bukan sekadar sekolah baru, tempat baru dan rakan baru— malah ia adalah peluang untuk menjadi sebahagian daripada sesuatu— membina sebuah tapak hidup bukan sekadar melalui.


Semasa berjalan meninggalkan sekolah, Sophia melihat sekilas ke laut di antara bangunan. Air berkilauan di bawah matahari petang. Dia menghirup udara yang segar sedalam-dalamnya, membiarkan udara itu mengisi ruang hati dengan harapan.


#


Ketika menaiki kereta keluarga pada satu pagi Sabtu, Sophia tak dapat menahan diri daripada mempamerkan keterujaan dan rasa gembira. Lawatan ke sebuah lagi perkampungan nelayan yang terletak di sebelah utara bandar terdengar seperti pengembaraan mini. 


Ketika mereka memandu di sepanjang jalan pantai, pemandangan berubah daripada rumah yang kemas dan laluan pejalan kaki berturap kepada laluan berliku-liku yang dibarisi rumput tinggi bergoyang ditiup angin laut.


Kampung itu terletak di pinggir pantai. Rumah-rumah kayu ringkas dicat dengan warna pudar. Dindingnya kelihatan lapuk dimamah matahari dan garam laut. Laluan tanah yang sempit mengalir di antara rumah-rumah, menuju ke pantai berpasir, di mana bot-bot nelayan kecil beralun disapa ombak lembut.


Walaupun kampung itu kecil, ia mempunyai daya tarikan tersendiri. Bukan itu saja, kampung itu nampak selesa dan Sophia kagum dengan suasana harmoni yang terbentuk di antara pokok kelapa dan air laut.


Sewaktu mereka berhenti dan melangkah keluar, bau laut memenuhi udara, bercampur dengan bau ikan dan rumpai. Kanak-kanak berlari, berkaki ayam di sepanjang pantai, mengejar satu sama lain. Gelak ketawa mereka seakan suara latar dalam sebuah simfoni. Kanak-kanak itu menyambut kedatangan mereka dengan riang. Pakaian mereka bertampal tetapi bersih. Seorang wanita tua melambai dari ambang pintu, senyuman hangat terpancar di wajahnya.


Hati Sophia terasa lapang. Dia suka melihat gambar kehidupan seperti ini— cara sederhana sebuah kampung yang hidup mengikut rentak irama tersendiri, jauh dari kesibukan dunia yang biasa dia alami.


“Ayuh, kita pergi berjumpa dengan ketua kampung,” kata bapanya sambil memberi isyarat ke arah sekumpulan lelaki yang berkumpul dan berbual berhampiran bot di bawah sinar matahari pagi. Sophia berjalan di samping ibu bapanya, memandang sekeliling ke segenap penjuru kampung dengan mata yang luas dan perasaan ingin tahu.


Bapa Sophia memperkenalkan mereka kepada Encik Fernando, ketua kampung— seorang lelaki beruban dan berkulit sawo matang. Wajahnya dilapisi kedutan, tanda buat seseorang yang telah menghabiskan seumur hidup di bawah matahari. Encik Fernando menyambut ketibaan mereka dengan mesra. Suaranya tenang dan ramah. “Terima kasih kerana melawat kami, Encik Suffiyan," katanya kepada bapa Sophia. “Tak selalu kami dapat pelawat, terutamanya pegawai.”


“Tugas saya. I truly enjoy soaking in the beauty of this place,” jawab bapanya, sepadan dengan langkah Encik Fernando. “Saya nak tahu lebih lanjut tentang kampung dan melihat apa yang boleh kami lakukan untuk membantu.”


Encik Suffiyan berbual-berbual dengan ketua kampung dan para nelayan, mendengar dan bertanya tentang isu-isu yang ingin mereka bangkitkan. Sementara isterinya beramah mesra dengan kaum wanita di perkampungan tersebut. Sophia pula melihat-lihat keadaan sekeliling. Dia menyedari walaupun kampung itu bersih dan penuh dengan wajah-wajah yang tersenyum, tanda-tanda keusangan jelas kelihatan.


Bot-bot di situ dijaga dengan baik tetapi sudah lama, nampak tua. Catnya mengelupas. Jalan di perkampungan itu tidak berturap— hanya laluan sempit menjadi penghubung antara rumah-rumah dan pasar kecil di pantai. Pasar itu dibina daripada kayu, menempatkan beberapa gerai yang menjual ikan dan barangan keperluan dapur. Sophia sedar, kampung ini kekurangan kemudahan asas yang selama ini dia anggap sebagai perkara biasa.


Timbul simpati di hatinya. Berdiri di bawah sebatang pokok, dia melihat seorang wanita mengisi baldi logam di pam air komunal— barisan orang menunggu dengan sabar di belakang. Kanak-kanak membantu membuat kerja harian, menganyam bakul atau menjaga adik-adik semasa orang dewasa bekerja.


Mereka semua terus menyusuri pantai. Sophia menangkap perbualan antara bapanya dan Encik Fernando— membincangkan cabaran dan masalah kampung. Dia mendengar dengan teliti. Kini dia tahu, kebanyakan keluarga di situ bergantung sepenuhnya pada hasil laut. Beberapa cara lain turut diusahakan untuk kelangsungan hidup. Jika cuaca buruk, adalah mustahil untuk ke laut. Kerana itu mereka bergelut demi memastikan keperluan mencukupi untuk menyara keluarga.


“It would be helpful to have more training programs,” kata Encik Fernando, termenung sambil mengerling ke arah tuan pegawai daerah. “Sebuah sekolah atau klinik kecil yang lebih dekat juga akan membawa perubahan yang besar.”


Encik Suffiyan Hafizi mengangguk. “Kita akan lihat apa yang boleh kita buat. Saya juga nak pastikan kampung ni mendapat akses kepada air bersih yang disalurkan terus ke rumah. Begitu juga dengan sistem sanitasi yang baik.” Dia mengisyaratkan pembantunya untuk membuat catatan kepada semua permasalahan dan isu-isu yang telah dibentangkan.


Ibu Sophia menambah, “mungkin kita boleh bekerjasama dengan beberapa organisasi untuk membawa perpustakaan kecil di sini untuk kanak-kanak atau mengadakan pemeriksaan kesihatan secara berkala. It would be a start.”


Mata Encik Fernando bersinar dengan rasa syukur. “That would mean a lot to our people, ma’am. We’re proud of our work, but it can be hard to give the children more than we have ourselves.”


Hati Sophia tersentuh mendengar ucapan Encik Fernando. Dia sentiasa mengagumi kerja bapanya, tetapi dia tidak pernah memahami sepenuhnya apa yang dimaksudkan dengan berkhidmat kepada masyarakat. Sekarang, setelah melihat dan mendengar dengan mata dan telinga sendiri, dia menemukan satu penghormatan baru untuk kedua-dua orang tuanya. Mereka bukan sahaja bercakap tentang bangunan, pembangunan ataupun program— mereka bercakap tentang membantu orang ramai mendapatkan dan seterusnya membentuk kehidupan yang lebih baik.


Lawatan itu memberi kesempatan kepada Sophia dan keluarganya membeli sedikit hasil laut dari pasar kecil, di mana penduduk kampung menjual ikan segar, sayuran kampung, bakul buatan tangan dan anyaman topi. Udara dipenuhi dengan perbualan dan ada beberapa mata memancarkan rasa ingin tahu, terutamanya bila melihat ke arah anak gadis sunti pegawai daerah. Sophia tersenyum— dengan malu-malu melambai ke belakang apabila mereka berlalu.


Seorang wanita duduk di sebuah pangkin bersama bakul penuh gelang-gelang dari cengkerang berwarna-warni. Dia menghulurkan satu kepada Sophia. Suaranya mesra. “Untuk kamu, sayang,” katanya, meletakkan gelang itu di tangan Sophia. “Hadiah untuk menyambut kedatangan kamu ke kampung kami.”


Sophia terasa pipinya sedikit panas, terharu dengan kebaikan wanita itu. “Terima kasih banyak,” ucapnya, sambil menyarungkan gelang itu di pergelangan tangan. Kerang-kerangan itu terasa sejuk di kulitnya. Setiap satu diikat dengan penuh teliti. Cantik.


Menjelang tengah hari, mereka mengucapkan selamat tinggal kepada penduduk kampung. Sewaktu melangkah ke arah kereta, Sophia memandang ke arah kampung itu, hatinya dipenuhi dengan rasa kagum berbaur simpati. Orang-orang di situ hidup serba sederhana, namun mereka begitu murah hati dan mesra. Hidup dengan maruah dan suasana harmoni yang belum pernah benar-benar difahaminya sebelum ini.


Dalam perjalanan pulang, Sophia menyandarkan kepalanya ke tingkap kereta, memerhatikan pemandangan yang berlalu. Ada sedikit keanehan mengusik hatinya, seolah-olah dia baru sahaja melihat sebahagian dunia yang selama ini tidak pernah dia kenal, menyedarkan dia tentang kerja bapanya bukan sekadar untuk menguatkuasakan undang-undang atau mengurus daerah; tetapi juga untuk membantu orang menjalani kehidupan yang lebih baik, untuk membawa harapan kepada tempat-tempat seperti kampung kecil di tepi laut ini.


Apabila kereta berhenti di halaman rumah, dia memandang gelang di pergelangan tangannya, tanda peringatan akan kebaikan yang telah disaksikan serta impian untuk membuat perubahan suatu hari nanti.


“Saya nak pergi lagi ke kampung tu.” Dia menyuarakan hasrat di hati. “Saya nak membantu, macam papa, macam mama.”


Encik Suffiyan berpaling kepadanya sambil tersenyum— senyuman yang tulus hingga ke mata. Perasaan bangga meresap dalam hatinya, “Of course, my dear. There’ll always be a way.”


#


Sophia membentuk bersahabatan dengan Dahlia dan Lynn, dua gadis dari dua latar belakang berbeza. Hari-harinya menjadi lebih kaya dengan perspektif yang dikongsi mereka. Lynn— sentiasa bersikap tenang dan merendah diri, mungkin itu cerminan kehidupan keluarganya yang sederhana. Selalunya, Lynn akan berkongsi cerita tentang gerejanya dan kedamaian yang dia temui dalam kepercayaan. Nadanya selalu lembut tetapi yakin. Sophia suka dengan cara Lynn menyampaikan sesuatu— diekspresi dengan nilai kerohanian, ibarat sungai yang tenang mengalir melalui kata-kata.


Dahlia pula lebih lincah dan suka bersosial. Kehidupan baginya adalah tentang di sini dan sekarang— acara sekolah, sukan, muzik, makan, berhibur dan berehat. Dia tidak begitu mengambil berat tentang hal agama atau kerohanian dan sering ketawa tentang bagaimana sesetengah orang menganggapnya ‘terlalu besar’. Bagi Dahlia, agama adalah hal tambahan, sesuatu yang tidak dia pedulikan atau dianggap perlu. Sudut pandangannya agak luas dan moden, membebaskan Sophia daripada rasa kewajiban untuk hidup hanya berdasarkan tradisi.


Pada suatu hari, ketiga-tiga gadis itu duduk di pantai, melihat ombak memecah lembut di pasir. Dahlia memberitahu tentang funfair yang akan di adakan di bandar sebelah. Matanya berkilauan dengan keterujaan ketika dia berkongsi setiap butiran. Lynn mendengar tetapi kelihatan tidak berminat. Lynn tahu, funfair bererti duit. Mungkin ia menyeronokkan tetapi bagi orang macam dia, ada perkara lain yang lebih penting boleh dibuat dengan harga sebesar itu.


“Aku tak dapat join. Biasalah, Sabtu. Aku tolong masak kat dapur gereja,” Lynn memberitahu selepas Dahlia selesai. “Bantuan tu tak seberapa, tapi ramai yang memerlukan.”

Dahlia mengangkat kening sambil ketawa perlahan. “Kau tak bosan ke? Maksud aku, sekali sekali, kau kena bersosial, berhibur macam orang lain.”

Lynn tersenyum, tidak terganggu dengan soalan Dahlia. “Aku suka apa yang aku buat, rasa penuh dan aman. That means a lot to me,” jawabnya, ringkas.


Sophia memerhatikan mereka berdua. Sesuatu bergolak dalam dirinya. Walaupun dia tak begitu memahami, namun dia mengagumi tujuan dan kedalaman Lynn. Dalam masa yang sama, dia juga menyukai pendekatan santai Dahlia terhadap kehidupan— cara gadis itu mencipta bahagia dalam setiap hari baru. Berdiri di antara kedua-dua pandangan mereka, Sophia terdengar satu panggilan lembut di hatinya. Dia terbuka untuk meneroka laluan sendiri.


Perkara yang dibincangkan dengan kedua rakannya di pantai terbawa hingga ke malam. Berbaring di atas katil, Sophia berfikir tentang perbezaan antara Lynn dan Dahlia dalam mendekati kehidupan. Sebelum ini, dia tidak terlalu memikirkan soal agama, kerohanian atau makna sesuatu. Keluarganya selalu berpindah-pindah dan rutinnya terasa seperti sauh. Tetapi sekarang, dia tertanya-tanya jika ada lagi yang perlu dibongkar dari dalam diri, sesuatu yang lebih mendalam. Perasaan rindu tiba-tiba muncul— kerinduan atau sesuatu yang tidak dapat didefinisikan dengan jelas.


Bagaimanapun, dia tahu semua itu perlukan masa. Tak perlu terburu-buru dalam mencari jawapan. Dan dia nampak kewujudan rakan-rakan seperti Lynn dan Dahlia, telah membuka satu denai untuk dia teroka dalam sebuah pencarian— sesuatu yang dia benar-benar percaya. Permulaan ini masih mentah namun Sophia yakin, itu adalah pintu di sebalik sebuah pemahaman baru.


#


Seperti kebanyakan malam, keluarga Sophia berkumpul di sekeliling meja makan. Acara makan malam dilengkapkan dengan perbualan ringan. Ibu dan bapanya bertanya tentang sekolah, tentang aktiviti dan hari ketiga-tiga anak mereka. Kamarul, anak sulung berusia 19 tahun akan berangkat semula ke kampus esok malam dengan menaiki keretapi. Dia menuntut di sebuah universiti di ibu kota manakala Kamal, anak kedua berusia 16 tahun. Kamal akan menduduki O’Level tahun depan. Dia juga bersekolah di sekolah yang sama dengan adiknya, Sophia. Kamal agak rapat dengan Sophia. Menjadi teman berbual, bertukar fikiran dan bergaduh. Dia juga bersikap melindung dan begitu mengambil berat tentang adiknya itu.


Hal yang bermain di fikiran malam tadi menjelma lagi. Sophia seakan tak dapat berhenti memikirkan tentang itu. Selepas memastikan semua orang mendengar, dia memutuskan untuk bertanya.


“Em… boleh Phia tanya sesuatu?” Sophia memulakan sambil meletakkan garpu di tepi pinggan. Dia memandang ibu bapa dan abang-abangnya yang membalas pandangan dengan riak wajah ingin tahu.

“Sudah tentu, sayang. Apa yang kamu fikirkan?” Jawab bapanya dengan suara mengundang.


Sophia menarik nafas kecil, mengumpulkan semua fikirannya. “Lynn dan Dahlia, my close friend at school… I think you know them, dont you, Kamal?” Dia memandang Kamal.

Of course. Kenapa dengan diaorang?” Jawab Kamal. “Dahlia anak Encik Bakhtiar, jurutera daerah, jiran kita.” Terang Kamal kepada kedua ibu bapa mereka.

“Oh, anak Bakhtiar dengan Munirah. Memang papa dan mama kenal sangat,”sambut Puan Kamalia.

Encik Suffiyan mengangguk. “Kenapa dengan mereka?” Dia bertanya.

“Lynn tinggal dekat kampung nelayan bawah ni. Hmm, papa, semua orang kat kampung nelayan tu Katolik ke?”

Mostly. Ada juga Buddha, Hindu, Islam. Majoriti keluarga Kristang penganut Katolik.”

“Oh macam tu… Lynn rajin pergi gereja. Dia cakap tiap Sabtu dia tolong masak kat dapur gereja untuk jamu sesiapa je yang memerlukan, regardless race and religion.”

“Bukan tu je, tak kira bangsa, agama, mereka turut membantu dengan cara masing-masing,” terang Encik Suffiyan lagi.

“That’s really great.” Sophia menunjukkan sokongan. Dia memandang bapanya sambil tersenyum. “I’ve been pondering one question lately... Phia nak tau, nak faham… what is the difference between being spiritual and being religious?


Puan Kamalia tersenyum lembut, jelas berpuas hati dengan rasa ingin tahu anak tunggal perempuannya itu. Encik Suffiyan hanya mendengar dan memerhatikan perbualan antara ibu dan anak, memberi mereka masa sebelum dia memberi hujah.


Those are big questions, little girl,” katanya sambil menepuk tangan Sophia.

“I am not a little girl and the matter is important to me.”


Kamal, abangnya nombor dua, menunjukkan minat untuk menyertai perbualan. “Agama dan kerohanian kedua-duanya membantu orang mencari tujuan, but they could be different. Both have ways and guidelines. Being religous means, ikut kepercayaan dan amalan tertentu, macam kita, muslim. Orang muslim agamanya Islam. Kita ada ajaran dan pegangan yang berpandukan kitab suci Al-Quran. Macam Lynn, dia Kristian, kitabnya Injil atau Bible. Dia pun ada pegangan dan garis panduan mengikut kepercayaan dia.”


And being spiritual,” tambah Kamarul anak yang sulung, nadanya lebih bertimbang rasa, “how do I put this?” Dia diam seketika, cuba mengatur bicara supaya senang difahaminya adiknya itu. “It can mean feeling linked to something... more profound. It doesn't have strict rules and is more about personal experience. Some find this connection in religion, while others feel it through nature or by helping people.”

“Sounds like Lynn.” Sophia membuat kesimpulan. Kamarul mengangguk. “I think so.”


Encik Suffiyan tersenyum bangga dengan pengetahuan kedua anak lelakinya. Matanya beralih pula memandang satu-satunya anak gadis dalam keluarga itu dengan penuh pengertian. “Dalam Islam, kita boleh bentuk hubungan kerohanian dengan Allah melalui solat dan juga melalui komuniti. Tapi pengalaman setiap orang, berbeza. Some people find peace in the organised structure of religion. For others, they discover it in their own unique, more personal ways, on an individual level.


Sophia mempertimbangkan hujah-hujah mereka. Pandangannya jatuh ke pinggan, saat dia mencerna semuanya. “Phia rasa Phia faham. Lynn is more spiritual. Dia suka bercakap tentang alam dan hubungan dengan Tuhan, whereas Dahlia… well, dia tak beminat. Dia kata, dia jumpa kebahagiaan bila berada di sekeliling orang ramai— berpesta.”

“She is an extrovert, then. It has nothing to do with being religious or spiritual.” Komen Kamal.

Sophia memegang gelas berisi air kosong. Dia memandang air itu, seperti air laut yang tenang. “It’s bigger than that.” Katanya, perlahan.

“Explain.” Bapanya menuntut penjelasan. Dia kenal Encik Bakhtiar Basri, jurutera daerah yang dah dua tahun berkhidmat di daerah itu. Atas urusan kerja, mereka saling mengenali sejak setahun kebelakangan ini. Apa yang dicerita Sophia tentang Dahlia, Encik Suffiyan dapat mengaitkan dengan rakan kerjanya itu— seorang yang liberal dan lebih terbuka.


“She is more outgoing than Lynn. But, she said that being religious or spiritual isn't important. I mean, like… not important at all. What really matters is here and now.”

“Well, as a Muslim, she should know that here and now lead to tomorrow. And God is watching us.” Balas Kamal. Dia seakan tidak menyokong cara Dahlia yang nampaknya lebih suka bersosial. Dalam hati, Kamal bimbang jika pemikiran Dahlia akan mempengaruhi adiknya.


Mata ibu Puan Kamalia melembut sewaktu menyampaikan buah fikirnya yang lebih mudah.“There's no need to rush with this. When it comes to spirituality, faith is something we explore throughout our lives. Just relax and take your time.


Kamarul melemparkan senyuman kepada adiknya yang kelihatan keliru. “Untung adik dapat kawan dengan idea yang berbeza. Kalau sama je semua, apa jadi? Tak ada variasi, fikiran kita akan stagnant kat situ-situ je. Now, they can help you explore, but in the end, it’s about what feels true to you.


Makan malam diteruskan dengan perbualan sekitar topik tersebut. Sophia berasa terhibur dengan keterbukaan keluarganya. Dia tahu dia tidak perlu mencari semua jawapan dalam satu hari atau satu malam. Buat masa ini, memadai sudah dengan bertanya dan memahami bahawa perjalanan itu adalah milik peribadi untuk diterokai.


#


Bulan mengambang penuh. Ketika semua orang enak dibuai mimpi, Sophia menyelinap senyap-senyap ke balkoni yang bersambung dengan biliknya. Cahaya bulan memandikan alam dan ombak berdesir memukul pantai, bergulung seperti degupan tenang sebuah jantung. Dengan tangan melilit secawan teh, dia memandang keluasan laut, cuba mencari penghujungnya.


“Tentu terlalu jauh,” desis Sophia dalam hati bila dia hanya menemui segaris ufuk tidak berkesudahan yang terbentang ke arah bintang-bintang.

Mungkin Tuhan ada di atas sana, di ruang antara bintang-bintang dan bulan, atau mungkin Tuhan sedekat dinding biliknya— mungkin juga di dalam hati sendiri. Kata-kata Lynn melayang di fikiran, bergema seperti ombak di lautan, “God can be everywhere, Sophia. Not just in the sky, but inside us, too.”


Sophia menghirup perlahan, membiarkan kehangatan teh meresap dalam dirinya. Dia duduk di atas kerusi malas yang terdapat di balkoni. Di atas meja kopi, terletak sebuah buku yang dia pinjam dari perpustakaan awal minggu itu. Buku yang bertajuk Mindfulness: A Journey Within itu sangat menarik. Ia seolah mengheret dia ke satu alam lain. Sophia membukanya terus ke halaman yang dia tandakan dengan penanda buku berbentuk seekor kucing. Jarinya menjejaki kata-kata di dalam buku tersebut yang seolah-olah menyimpan beberapa rahsia yang ingin dia bongkarkan.


Buku tersebut menjelaskan tentang kesedaran sebagai cara untuk fokus dengan tenang dan penuh pengamatan, menyelami diri sepenuhnya dengan saat ini. Idea itu begitu menarik bagi Sophia—jawapan tidak selalunya ada pada masa hadapan atau tersembunyi dalam pengalaman orang lain, tetapi boleh didapati di sini, sekarang, dalam fikiran dan perasaan sendiri.


Perenggan bertukar perenggan, Sophia menjadi semakin asyik ditenggelamkan halaman demi halaman. Penulis menyebut bahawa setiap momen menawarkan kesempatan untuk terhubung dengan sesuatu yang lebih besar— sebuah cara untuk memahami hidup tanpa memerlukan semua jawapan. Fikirannya bercampur, antara teruja dan tanda tanya. Jika kesedaran dapat memberi kedamaian, mungkin itu juga dapat membantunya memperjelas pemahaman tentang diri sendiri dan kepercayaan.


Sophia berhenti sejenak. Buku ditutup lalu dia berdiri menatap bulan. Mungkinkah Tuhan benar-benar sedekat yang Lynn sarankan, sedekat nafasnya sendiri? Campuran kegembiraan dan kekaguman terhadap kemungkinan-kemungkinan itu melayangkan dia jauh— seolah-olah dia berada di ambang sesuatu yang sangat luas namun terasa begitu selamat dan aman. Walaubagaimanapun, fikiran-fikiran yang berputar-putar di benaknya malam itu terlalu peribadi untuk dikongsikan— tidak dengan keluarga atau teman-teman. Itu adalah miliknya untuk direnungkan secara peribadi. Untuk dikontemplasi dengan tenang, setenang lautan di bawah bulan yang terbentang luas di hadapannya.


Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!