Perasaan murni ini adalah harta yang aku persembahkan secara percuma. Tanpa perlu berpenat lelah bercerita, ia lebih indah bila diungkap tanpa bersyaratkan hari mahupun masa.
Tiada rentetan terikat, tiada syarat untuk mengikat. Cinta yang dalam adalah lebih luas dari keluasan fikiran. Dalam hempas hitam ribut, di bawah naungan langit berbirukan laut, perasaan yang dijaga baik tak perlukan hitam putih.
Matahari tetap bersinar walau dalam gelap kerana bulan dah berjanji akan membiaskan cahayanya. Begitu jugalah bintang-bintang setia menunggu malam. Menyusur denai penantian, hutan dan padang menempa kenangan manis — duri tak mampu mengguris. Hati tak pandai menangis.
Aku mau kau bebas mencintai aku dan aku mau bebas mencintaimu. Bersama ke langit tertinggi bahagia. Berdua menyelami lubuk tergelap derita. Tiada penghakiman, tiada sempadan, hanya ketelusan dan keikhlasan. Biarkan perasaan yang dikongsi bebas melanggar semua syarat.
Di saat-saat lemah, pelukanmu mengutuhkan aku hingga aku sakit ketagihan, ingin berlindung terus di dadamu — satu ruang luas tak berdinding, seperti luasnya langit tak berpenghujung.
Hidup selalu menduga. Dunia suka bergurau. Tangan kita lebih selesa berganding memikul batu-batu harapan demi membina tugu dan kubu jiwa yang teguh. Dibina bersama masa, tanpa syarat.
Dalam hidup dan permainan kehidupan, cinta tanpa syarat menjadi lagu hati. Seperti merpati yang cuba terbang ke langit tinggi dan helang hanya mau berjalan tenang memijak bumi, hidup ini selayaknya dinikmati tanpa syarat.