Bulan ditelan laut, bintang berkerdip lembut. Kisah kita ditulis di bawah langit, tak mungkin dapat diceritakan oleh masa. Gema tawa dan sendu airmata yang dikongsi, setia meneman penuh harmoni. Impian, rindu dan harapan berkeliaran di situ dan hatimu menjadi rumahku yang abadi. Musim berubah namun mimpi kekal begitu.
Cintaku adalah matahari yang mencium awan, didakap lembut harum embun. Di pagi yang seterusnya, degupan jantung dan hembus nafas masih setia mengikrarkan janji. Segunung harapan muncul di balik tarian tabir awan dan kabus.
Matahari, sampaikan suara hatiku. Angin, bawalah sentuhanku, usaplah dia. Bulan, jelmakanlah bintangmu, terangkan malamnya untuk melihat kewujudan aku di dalam dia.
Sayangi aku, sayang. Aku berikrar, bukan merayu. Dakaplah aku dalam susah dan senang. Pujuklah hati ini di saat aku bimbang. Kerana di matamulah aku nampak bahagia. Di suaramulah aku diulit satu rasa paling sempurna.
Cintai aku, cinta bukan hanya dengan kata-kata tapi dengan setiap tindakan, sekucup sentuhan. Sebarkanlah cintamu dengan kelembutan.
Terimalah aku. Terima diriku kerana aku adalah aku. Tanpa berusaha menjadi yang lain. Lindungi aku dalam perjalanan ini sebagaimana aku tak pernah gagal menjaga semua mimpi dan impianmu.