Suara ~ Bab 1 : Terusan Tasik Biru

Ray FL
0



M(caps)ountain Bike berwarna biru dikayuh tenang. Dengan berhati-hati basikal itu dibawa menyusuri tali air dan batas-batas yang memisahkan petak-petak sawah. Tanah elok kering tak berlecak, tapi kalau salah langkah boleh jatuh tercebur dalam air. Batas laluannya kecil sangat, cukup-cukup untuk sebuah basikal. Kalau berselisih, terpaksalah salah satu bagi laluan.


Andrey menghentikan kayuhan bila sampai di sebuah wakaf berhampiran sebatang sungai berdekatan dengan sebuah jambatan kayu yang menghubungkan dua buah kampung— Kampung Nilam dan Kampung Zamrud. Dengan cermat dia menongkat basikal kesayangannya kemudian wakaf dihampiri.


Beg galas denim yang pada asalnya berwarna biru navy kini dah bertukar hampir warna putih diletakkan di atas pangkin kayu. Bertahun sudah beg galas itu setia berkhidmat membawa peralatan lukisannya. Berus, warna, palet, easel, kanvas.


Tangan didepangkan. Nyaman hembusan nafas fauna yang menghias Kampung Nilam dihirup dan dilepaskan semula. Di seberang sungai terdapat kebun-kebun kecil yang diusahakan penduduk setempat. Dari jauh kelihatan beberapa orang petani, lelaki dan perempuan sedang tekun mengerjakan kebun. Sayup-sayup kedengaran suara mereka bergurau dan ketawa sesama sendiri. Gembira berjasa kepada tanah. Keringat yang jatuh meresap dihirup bumi bagai meniup nyawa kepada benih-benih yang disemai.


 “Elok cuaca hari ni.” Satu suara menyapa mesra dari arah kiri. Seorang gadis berseluar track dan kemeja lusuh lengan panjang berkotak-kotak hitam-merah menghampiri. Tangan kanannya menjinjing sebuah bakul rotan. Topi besar yang menutup kepala dibuka. “Hai...” Senyuman dilempar dan disambut dengan mesra.

 “Kak Zu. Apa khabar akak?”

“Kalau sakit tak ke sawah, dik.”

 “Tak lama lagi musim menuai dah.”

“Sayang, Andrey tak ada kat sini dah masa tu.”

“Eh, lajunya internet. Bukan kampung ni line pun tak berapa nak ada ke?”

 Kak Zu ketawa kecil sambil meletakkan bakul di atas lantai wakaf. "Mulut makcik-makcik kampung lagi laju daripada broadband.” Dia merehatkan punggung di sebelah Andrey.

 “Camnilah kak, nasib anak askar. Bukan macam anak ketua kampung.”

“Tapi best la dapat tengok tempat orang. Jauh perjalanan, luas pemandangan. Budak kampung, kat sini ajelah kita." Balas anak ketua kampung Nilam yang lebih kurang 4 tahun lebih tua dari anak pegawai tentera di sebelahnya.

 “Tunggu orang masuk minang.”

“Pandai je kau ni.”

“Dapat calon laki kerja askar nanti boleh la merata pergi.”

“Kalau askar nak macam Tuan Arman.”

“Ha, dapat anak nanti letak nama Andrey, ye.”

 

Kak Zu pandang muka Andrey. Ada senyuman di bibir gadis itu. “Dulu pendiam masa kenal, sekarang pandai dah bergurau. Tapi nak pindah pulak. Baru ingat nak mengorat.”

 “Dia punya gurau lagi dahsyat.”

“Untunglah nanti dapat jumpa orang baru.”

“Kadang-kadang letih jugak kak, asik kena pindah sekolah je.”

“Jumpa ramai orang, dapat ramai kawan.”

“Kenalan je.”

“Akak ni, kenalan ke kawan?” Tanya Kak Zu kepada Andrey yang mula mengambil tempat di sebelahnya.

“Kakak.”

“Nak lukis apa hari ni?”

“Lukis akak, boleh? Jadi model petani moden. Ratu cantik Pekan Mutiara.”

“Akak cantik ke?”

“Cantik.”

“Pandai ambik hati. OK lah, akak balik dulu. Nak singgah kedai beli koyok. Badan sakit ni.” kata Kak Zu sambil menepuk belakang badannya sendiri.

 

“Kena urut tu, kak.”

“Sebelum pindah nanti jumpa akak tau.”

“Kenapa, nak mintak urut?”

“Amboi... pandai ke?” Kak Zu mengerling lalu Andrey ditinggalkan sendirian dengan kanvasnya.

 

#

 

Kampung Nilam terletak dalam mukim Pekan Mutiara, dikelilingi tiga empat kampung lain yang dipisahkan oleh sungai kecil dan tali air. Bersiar-siar dengan basikal dah jadi rutin Andrey setiap petang. Tak senang hatinya kalau sehari tak keluar ambil angin. Dia suka mendengar cerita-cerita alam sambil menghirup dan menghela udara segar yang berganding dengan panorama indah buat santapan mata untuk dibingkai kemas dalam ingatan.

Nyaman. Pekan itu bukan saja miskin dengan pembangunan tapi juga miskin dengan pencemaran.


Mengagumi megahnya bentangan padang yang menghijau dan menguning selari musim, Andrey suka menyusur tali air ke tali air yang lain. Seronok dia bila dapat menghabiskan petang menangkap ikan di sawah sambil berbual dengan para petani— tak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda. Andrey kagum dengan semangat mereka— bertungkus lumus mengerjakan bendang dan ladang demi kelangsungan hidup. Melihat usaha keras yang didedikasi, keinsafan dan motivasi timbul di jiwa Andrey yang masih merangkak dalam menuntut ilmu kehidupan.


Setelah puas memerhati sekeliling dan memilih subjek, Andrey mula menyediakan peralatan melukisnya. Petang itu, dia berhasrat untuk mengabadikan sinar jingga di horizon yang bercantum dengan hijau pepohonan dan air sungai yang membiaskan cahaya langit. Minggu ini minggu terakhir dia di situ.

 

“Tak lama lagi, tempat ni jadi sejarah.”


Terngiang di telinga ungkapan abah dua bulan lepas. Sewaktu berita itu disampaikan, dia sedikit pun tak merasa terkejut— dah biasa. Malah dia bersyukur kerana akhirnya dapat keluar dari pekan kecil tersebut. Tapi lebar senyuman abah membawa satu lagi kejutan. Katanya, “kali ini ke rumah sendiri, bukan kuarters kerajaan lagi.”


Mereka empat beradik saling berpandangan sesama sendiri. “Ke mana kita lepas ni?” Andrian, saudara kembarnya meminta penjelasan. Teruja betul mereka, tak sabar-sabar lagi nak tahu lokasi seterusnya dalam pengembaraan hidup.

 

Merenung refleksi di permukaan air yang tenang, satu per satu kenangan dan pengalaman terbias. Ada suara bergema dalam hati. Katanya, “hidup ni macam sungai. Nampak tenang kat permukaan. Apa jadi kat bawah, orang tak tau. Tapi tetap jugak mengalir tak kira hujan atau kemarau. Nak pergi laut.”


Begitulah Andrey mengibaratkan dirinya— mata air yang baru belajar meleleh dari legeh. Membawa sama apa saja yang terjatuh ke dalamnya. Mengalir menjadi anak sungai cetek sebelum hanyut lebih jauh, mengangkut lebih banyak tumpangan. Ranting, daun, kayu, perahu, haiwan— bernyawa atau tidak. Apa saja. Semakin dalam, semakin banyak yang karam. Yang terapung hanyalah hampas-hampas ringan, hanyut di bawa arus.


Lahir di situ, merangkak di sini. Berjalan di sana, berlari di tempat lain. Tidur di timur, jaga di barat— lapan penjuru bumi yang dilewati, tak ada satu yang tak meninggalkan kesan. Seawal usia lima tahun, Andrey sudah mula mendalami banyak perkara, terutamanya tentang kepelbagaian bangsa, budaya, kepercayaan, dan tradisi. Apa yang paling ketara adalah perbezaan status, taraf, serta cara dan gaya hidup. Setiap lokasi dan komuniti baru banyak membantu dalam memperluaskan perspektif dan masa telah mengajar dia untuk menghargai setiap peluang dan kesempatan.


Hidup ini penuh dengan variasi, satu kesimpulan mudah dicatatkan dalam sebuah puisi tulisannya. Lebih banyak menggunakan telinga daripada menggunakan mulut, Andrey dah terbiasa mengamati cara dan pemikiran orang sekeliling. Semua itu dizahirkan dalam lukisan dan tulisan.

Pemandangan petang hampir siap diwarna atas kanvas. Andrey meneguk air sambil menganjak beberapa tapak ke belakang untuk melihat karyanya dengan lebih jelas sebelum memberi sentuhan terakhir. Dia tersenyum, puas hati dan bangga dengan hasil seninya.

 

“Mesti aku rindu tempat ni.” Katanya perlahan. Namun fikirannya beralih pula ke sekolah— satu tempat yang selalu cuba dielak tanpa pernah berjaya. “Akhirnya dapat jugak aku lari dari sekolah tu.” Bisiknya lagi. Ada gembira di hujung nafas.

 

Pekan Mutiara adalah saksi kehidupan awal remaja seorang Andrey. Rutin hariannya berkisar antara rumah dan sekolah—bangun pagi, ke sekolah, pulang tengah hari, makan, dan siesta. Petang pula, biasanya diisi dengan aktiviti pilihan sendiri seperti berkebun, bermain muzik, melukis, atau menulis, yang dirasakan lebih produktif. Andrey cepat letih bila beramai-ramai dan bersesak-sesak.


Di pekan kecil itu jugalah bermulanya pengembaran dalam mengenal dan mencari diri. Tahun pertama dan kedua, dia masih belum mengerti dengan jelas apa yang sedang dia alami tapi bila meningkat usia 15 tahun, dia mula sedar sekolah itu sebenarnya sedang mengadili dia.

 

“Kau dah nak pindah. Jangan lupa tulis surat untuk aku.” Pesan Ziana kepadanya semasa mereka menghabiskan waktu rehat bersama.

“Telefon ada, nanti boleh borak. Lagi senang.”

“Bil mahal.”

“Gunalah public phone.”

“Kampung ni ada dua je pondok telefon, Andrey. Kalau rosak kena pergi pekan. Aku manalah boleh keluar jauh-jauh.”

“Pekan pun jauh? Aku jalan kaki pun sampai.”

“Jauhlah kalau bapak kau letak limit.”

“Hmm... Tak pe. Kalau ada chance call je la. Bukan nak borak lama-lama pun. Kau bukan awek aku.” Jawab Andrey dalam nada gurauan. Dia pandang muka Ziana, tak ada reaksi. Mungkin dia tak faham apa yang cuba Andrey sampaikan.

 

“OK... Tapi aku suka tulis surat.” Ziana tersenyum sambil membetulkan tudung dan senyuman itu meleret ke arah seorang budak lelaki yang melintasi mereka. Andrey tahu, Ziana ada hati dengan pelajar tingkatan 5 itu.


“Ikut kaulah. Tapi jangan kau tunggu posmen hari-hari pulak.”

“Aku doakan akan terbuka pintu hati kau untuk terima hakikat hidup ni. Harap tempat baru dapat mengubah engkau.” Ziana mengulang doa yang sama lagi. Lali dah telinga Andrey dengar semua tu.


“Aku selesa dengan diri aku, kenapa kena berubah? Apa yang nak diubah pun?”

“Kau tengok diri kau... Cara kau berpakaian pun dah menyimpang jauh dari ajaran agama.”


Andrey akui, pengetahuannya dalam bidang agama masih terlalu cetek. Oleh kerana itu dia memilih untuk diam, tak mahu menyangkal dan tidak pula sama sekali bersetuju. Perkara besar seperti ini perlukan masa untuk melihat, merenung dan memikir. Ziana mungkin lebih arif tentang agama, memandangkan dia datang dari keluarga orang-orang yang ‘beragama’. Jauh sama sekali berbeza jika hendak dibandingkan dengan Andrey yang dibesarkan dengan cara dan prinsip berbeza.


Kata Tuan Arman, hidup ini seperti alam semesta— tak ada sempadan. Dia dan isterinya, Asha lebih menggalakkan pemikiran kritis dalam membina hubungan semula jadi dengan ketuhanan. Aspek-aspek kerohanian lebih diutamakan supaya hidup dapat dilihat dan dinilai dari pelbagai sudut.


Sejak kecil lagi, mereka mengajar anak-anak mereka tentang pentingnya memupuk pemikiran terbuka, menggalakkan soal jawab, berkongsi pandangan dan pendapat. Hidup perlu diteroka. Kesimpulan bergantung kepada penaakulan sendiri, begitu juga dengan keputusan. Perbezaan pemikiran dalam soal inilah sering dihubung kait orang sebagai punca masalah yang dihadapi Andrey di Sekolah Menengah Pekan Mutiara.


Loceng berbunyi menandakan berakhirnya waktu rehat. Perbualan berakhir di situ. Ziana menuju ke kelasnya— sebuah kelas yang memberi status cukup membanggakan dari kaca matanya sendiri, sementara Andrey segera melangkahkan kaki ke bilik seni— sebuah bilik comot, tempat di mana kedamaian meresap dalam hati dan jiwanya. Seperti selalu, membiarkan kata-kata Ziana lenyap bersama angin adalah pilihan paling bijak.


Andrey sedar, dirinya sering dipilih sebagai tajuk untuk dibincangkan hingga melarat-larat jadi gosip dan buah mulut orang. Tak perlu susah payah meminta-minta, dia berjaya mendapat perhatian warga sekolah sehingga mereka memilih untuk menghakimi. Penghakiman berasaskan apa yang dilihat mata, bukan didengar telinga apalagi dirasakan oleh hati. Diimbangi rasional dan logik? Jauh sekali.


Manusia cukup gemar melakukan itu— menilai sesuatu dari permukaan. Manusia cenderung menghakimi berlandaskan apa yang dilihat mata, tanpa menilai personaliti inikan pula menitik beratkan individualiti. Dari dimensi itu, mata Andrey terbuka untuk melihat wajah-wajah di sebalik topeng. Ramai. Banyak. Ada yang memakai topeng atas dasar ikut-ikutan. Ada yang memakainya atas desakan satu kuasa. Bagi Andrey, mudah. Kalau rela, kalau selesa pakai topeng, pakailah. Dia bukan sesiapa sepertimana menafikan hak-hak manusia lain bukan kuasa sesiapa pun.


Tapi, ramai yang teringin benar nak jadi Tuhan. Hak manusia lain untuk memilih sering kali dinafi seolah-olah memaksa dan menghukum itu adalah satu kewajipan yang dosanya tak mungkin ada pengampunan jika tak dilaksanakan.


Kalau nak cerita tentang tekanan di sekolah, memang hari-hari dia rasa ditekan, didesak dan dipaksa untuk menopengkan diri— supaya jadi macam orang lain— supaya padan dengan yang lain. Hatinya membantah keras. Akal fikiran tak pernah bersetuju lalu keduanya sebulat suara mempersetankan peraturan ciptaan manusia.

 

“Kalau tak suka tak payah buat. Lagipun, buat benda tanpa rela, mana datang ikhlasnya?” Satu respon ringkas tapi padat diberikan Adrian sewaktu pertama kali konflik itu diceritakan.

“Aku nak tukar sekolah tapi mana nak pergi? Kau senanglah, duduk asrama kat bandar. Aku ni tak boleh pergi mana.”

“Itula. Dulu Dapat offer masuk asrama kau tak nak. Kena bangun pagilah, disiplin ketatlah... Sekarang ni kau anggap je semua ni satu challenge.” Abang yang tua beberapa minit darinya itu memberi nasihat.

 

“Masuk asrama pun bukan aku boleh pakai bebas. Lagi banyak rules.”

“Tau pun kau.”

“Perhimpunan pagi tadi, cikgu disiplin suruh aku berdiri luar dewan. Dia cakap aku tak layak duduk dalam dewan tu.”

“Hah? Gila ke? Apa alasan dia?”

“Apa lagi... Aku heran kenapa hari-hari nak persoalkan identiti aku? Aku pakai pinafore pun jadi masalah. Entah apa-apa entah. Ikut hati, itu pun aku tak nak sarung kat badan ni. Terpaksa je.”

“Dress code, bro.”

“Yang nak belajar otak bukan baju.”

 

Adrian merasa tidak setuju dengan apa yang adiknya alami di sekolah. “Ni discrimination. Mana punya undang-undang dia pakai?” Ada geram digetar suaranya.

“Undang-undang padang pasir. Saja nak malukan aku kot. OK, aku faham, dresscode tapi kenapa nak persoalkan identiti aku sampai menekan aku hari-hari? Sampai tahap menghina? Nak paksa aku pakai baju kurunglah, tudunglah apa.”

“Itulah... Pinafore, skirt pun uniform rasmi jugak.”

“Itupun last choice. Nak harap aku pakai yang lain, sorry lah...”

“Tak salah jadi diri sendiri. Tapi nak buat orang faham, bukan senang. Tambah lagi bila dah libatkan undang-undang camni. Kita ni hidup dalam penjara buatan manusia. Tindakan dia buat macam tu memang melampau.”

“Kau pun tau, kita bukan macam diaorang tu, in term of belief. Bangsa bukan agama. Dan agama tak menentukan bangsa. Kau setuju?” Andrey melontarkan suara tenang, cuba meluahkan sesuatu yang kerap dia fikirkan sejak akhir-akhir ini.

 

“Tapi manusia suka jadi Tuhan, kan?”

“Terus terang, aku tak berminat langsung dengan dogma-dogma macam ni. Kita ni, dibekalkan dengan otak, bukan manual.”

 

Suara hati dan akal fikiran saling bersahutan. Minda yang masih terlalu mentah itu tak pernah penat mencuba untuk memahami punca manusia melakukan apa yang mereka lakukan. Apa yang mereka anggap wajar dan waras. Mengapa dan apa sebabnya mereka bersikap, berfikiran hingga bertindak sedemikian? Adakah kerana masih kolot lantaran jauh dari kemajuan kota? Atau ianya berpunca daripada kecenderungan membudayakan agama? Mentafsir pemikiran manusia hanya berasaskan tempat, itu tidak adil. Sama halnya jika nak menghubung-kaitkan soal pegangan dan kepercayaan. Itu semua hak individu, pilihan peribadi.


Tanda tanya itu dia biarkan dalam hati seperti mana Adrian hanya mampu memberikan masa dan telinga mendengar keluhannya. Andy sama sekali tak menyokong tindakan dan desakan guru-guru di sekolah adiknya itu, tapi apalah yang dapat dia buat? Undang-undang kena ikut. Sekolah awam, macam tu lah...

 

“Aku tengok kat sekolah ni, banyak mentaliti masih belum cukup ke depan.”

“Kau rasa sebab apa?”

“Entahlah. Subjektif.”

“Ada kau bagitau abah mak pasal ni?”


Andrey menggeleng. “Tak. Aku tak tau apa nak cakap. Mak abah pun tak kan setuju, aku tau, tapi kalau aku mengadu pun, dorang mesti cakap sama macam kau cakap. Lagipun mana ada pilihan sekolah lain dekat pekan ni?”

“Kau kenalah tahan je sekarang ni sampai kita pindah dari sini.”

“Memang itulah yang tengah aku buat.”

“So?”

“It's all about personal choice, right?” Andrey memandang muka abangnya, mencari keyakinan.

Of course! No one has the authority to intrude on our thoughts. Aku faham, hal ni boleh tahan berat. Tapi masalah kena kita hadap, bukan lari.”

“Bukan nak lari. Tapi bila hari-hari kena kejar, kena tekan, kena khutbah pasal dosa pahala, pasal hukum hakam, diaorang buat aku rasa macam aku ni dah beli rumah dalam neraka. Bersih sangat agaknya diorang tu. Bebas dosa.”

 

Adrian atau lebih mesra dengan panggilan Andy menepuk-nepuk perlahan bahu adiknya. “Sabar. Ni satu chapter yang kau kena analisis elok-elok. Aku percaya benda ni bukan kosong.”

 

Pengalaman yang dicedok di Sekolah Menengah Pekan Mutiara tersimpan kemas dalam ingatan. Senario ini perlu diamati dan didekati dengan fikiran terbuka. Mulut memang malas, tapi otaknya rajin cari jawapan.


Itulah titik permulaan di mana kecenderungan bersoal jawab dengan diri sendiri dan mencari jawapan dalam buku-buku di perpustakaan mula terbentuk. Dia nak memahami kewujudan. Tumbuh minat untuk mencari kebenaran antara dosa dan pahala— nak kenal apa itu syurga, apa itu neraka. Nak tau segala-galanya tentang kepercayaan. Dan akhirnya Pekan Mutiara tak lain hanyalah satu lagi kenangan.

 

#

 

“Did abah mention that he has chosen the best school for all of you?” Mak bertanya sewaktu makan malam di rumah baru mereka. Abah tak dapat menyertai atas urusan kerja. Andy pula di asrama.

 

“Nope.” Ketiga-tiga anaknya menjawab serentak.

“TBC.”

“TBC?”

It's a private school— the best in town. Mak ke sana tengah hari tadi. Nanti tengoklah brochure atas almari depan tu.”

“Wow, private school. Means, no uniform?” Teruja Amanda mendengar penjelasan ringkas emak. Anis yang baru berusia sepuluh tahun tak menghiraukan sangat perbualan mereka. Tak sempat soalan itu dijawab, Andrey pula bertanya, “but why not public school, as usual?”

“Simply because it's available. Pekan dulu mana ada private school, kan?”

“Isn't it cool, Andrey? Tak payah pakai uniform lagi.”  Kegembiraan terpancar dari ungkapan Amanda yang mengerti akan konflik yang dihadapi kakaknya itu. Selalu dia nampak Andrey dicemuh dan dipulaukan di sekolah. Malah pernah dia saksikan Andrey dimarahi guru disiplin depan warga sekolah di kantin. Walaupun menghadapi tekanan yang sama, tapiAmanda tak ada masalah untuk mengenakan baju kurung walaupun dia enggan bertudung.


Selesai makan malam, mereka tiga beradik berehat-rehat di ruang tamu. Andrey mula membelek-risalah-risalah yang dimaksudkan emaknya tadi. Menarik. Sophisticated. Mindanya mula membayangkan suasana di sekolah itu. Teman-teman baru. Guru. Dah tentu kebanyakan penuntutnya datang dari golongan berada.


Satu perasaan melintasi hati lantas melayangkan ingatannya ke wajah-wajah mesra yang pernah bertukar salam, bertegur bersapa sewaktu dia berbasikal, merayap di sekeliling pekan dan kampung. Wajah-wajah yang menghuni rumah-rumah papan, yang menuai padi di sawah, yang memetik petai di hutan. Wajah-wajah yang membanting tulang di ladang. Kenalan-kenalan yang berjalan kaki ke sekolah, yang hanya membawa bekal nasi goreng atau lempeng untuk mengalas perut di waktu rehat.

 

“Ni... Baca.” Risalah-risalah tersebut diserahkan kepada Amanda sebelum dia melangkah keluar untuk mengambil angin malam.


Matanya memerhati sekeliling. Dalam dan luar— membandingkan apa yang ada depan mata dan apa yang pernah dia lihat dan alami di pekan-pekan persinggahan sementara hidupnya yang terdahulu— kuarters kerajaan tak akan dapat menandingi teratak orang tuanya itu. Persekitaran taman perumahan senyap sunyi. Hanya kedengaran suara cengkerik berlagu berlatarkan suara katak. Jarak antara rumah ke rumah agak jauh. Pohon-pohon rendang, yang memagari kawasan, menambahkan lagi privasi. Terasa seperti mahligai yang berdiri megah di atas bukit itu hanya ada dia. Tak ada sesiapa yang lain.

 

“Aku dah masuk 16 tahun. Tahun depan O'Level.” Dia mengeluh. Minggu depan sesi persekolahan bermula. Hatinya resah bila otak tak henti berfikir tentang TBC. Ini sering terjadi setiap kali bertukar sekolah. Gelisah. Sekali lagi dia terpaksa akur pada kelemahannya dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Daya ketahanan mental mesti tinggi, lebih-lebih lagi orang macam dia— tak pandai membina rangkaian.

 

“Orang ingat, bila dah biasa tukar sekolah, pindah tempat, mesti tak kekok. Ramai kawan, ramai kenalan. Cakap hal tu, saya angkat tangan, kak.”

“Susah nak sesuaikan diri dengan sekolah baru?”

“Itu tak jadi hal sangat. Nak buat kawan tu yang payah.”

 

Andrey mengimbas semula perbualannya dengan Kak Zu, malam sebelum dia sekeluarga meninggalkan Pekan Mutiara. Permintaan Kak Zu untuk bertemu sebelum berpindah dapat disempurnakan. Kak Zu belanja Andrey makan malam di pekan. Sebungkus hadiah diberi dan sebagai balasan, Andrey hadiahkan lukisan terakhirnya di Kampung Nilam.

 

“Gambar ni tajuk dia Ratu Cantik Pekan Mutiara.” Usik Andrey. Pehanya dicubit.

 “Kau berbakat besar. Cantik lukisan ni. Terharu akak... Nanti kalau ada kesempatan turun bandar, boleh kita jumpa, kan?”

“Boleh je. Nanti saya bagi alamat dan nombor telefon.”

“Bosanlah akak, tak ada kawan lagi nak tangkap ikan, memancing, mandi sungai... Ermm…Mesti rindu engkau.”


Tersentuh hati Andrey bila mengenangkan saat-saat manis yang mereka cipta bersama. “Jangan cakap cam tu...” Memang dia sedih sampai tak sedar airmata mula bergenang. Kak Zu pandang tepat-tepat ke dalam mata Andrey seakan mahu memberitahu, apa yang baru sebentar dia sebut datangnya Ikhlas dari hati. “Macam musim, semuanya perlukan masa.” Katanya, perlahan.

“Macam berkebun, bersawah, kan? Macam padi.”


Kak Zu mengangguk. “Nak sesuaikan diri dengan kenangan, masa, tempat. Semuanya. Dengan hi, dengan bye.” Muram di wajah Kak Zu tak dapat Andrey hindarkan. Hatinya turut merasa sayu, lalu dia cuba menceriakan perbualan. “Ingat tak masa kita mula-mula kenal dulu? Masa akak jatuh basikal dengan ikan bersepah atas tanah?”


Malam terakhir di Kampung Nilam, Pekan Mutiara dihabiskan dengan mengenang kembali detik-detik pertemuan yang telah membungakan kemesraan. Kak Zu tempat Andrey meluah rasa tanpa perlu membina batasan.


“Mana pun kau pergi, apa pun kau buat, jangan pernah lupa pada padi. Makin berisi, makin menunduk.” Pesan Kak Zu. Tangan Andrey masih dalam genggaman tangannya.


Tiga tahun dia meneroka Pekan Mutiara. Bukan sekadar pekan saja, malah kampung-kampung yang mengelilingi pekan kecil itu juga. Banyak yang dah dia belajar, baik daripada alam mahupun manusia sendiri. Mana mungkin dia lupakan apa yang telah dipelajarinya.

 

“Jangan sesekali jadi pagar makan padi.”

Andrey angguk, mempersetujui kebenaran dalam pesanan-pesanan yang disampaikan Kak Zu.

“Walaupun sekolah macam penjara, tapi ada akak kat sini, dengan alam semulajadi yang cantik, tenang, saya bebas.”

“Akak harap kat sana nanti, kau bebas jadi diri kau yang sebenar.” Kau Zu berhenti seketika. Muka Andrey dia pandang. Sejak pertama kali kenal, dia dah rasa serasi dan dia nampak siapa Andrey di dalam Adriana. “Sini memang susah, dik. Orang dah biasa dengan normaliti. Lain sikit, semuanya pelik.”


“Ziana kata, saya kena berubah. Teruk sangat ke saya ni, kak?”

“Apa yang teruknya? Akak tak nampak pun kat mana yang teruknya... mungkin sebab mata akak tak ‘kero’ macam mata Ziana tu...” Mereka sama-sama ketawa mendengar jawapan Kak Zu. “Tak ada salahnya jujur pada perasaan, Andrey. Benda datang dari hati, tak betul kalau nak pertikaikan salah ke betul.”


“Kalaulah semua orang berfikiran terbuka macam akak...” Bisik Andrey. Dia senyum memandang Kak Zu yang selalu positif. Selalu bagi dorongan dan selalu ada masa untuk dia.

“Benda ni boleh fikir sendiri kot. Bukan kita tak ada otak.”

“Saya tak pernah ada makwe pun, kak. Tapi orang tetap panggil saya lesbian. Saya benci betul perkataan tu.”

“Tulah akak nak jadi makwe, tak nak, barulah valid dorang nak panggil kau lesbian.” Kak Zu mengusik lagi. “Tapi sapelah nak kat kita ni kan, orang kampung keje sawah je. Tua pulak tu.”


“Alah, Kak Zu hot. Sekali petik, sepuluh datang,” puji Andrey dan pujian itu bukan sekadar nak ambil hati tapi ikhlas dari hati.  Kak Zu seorang gadis kampung yang sederhana, manis dengan kulit sawo matangnya, mesra dalam kematangannya. Sikap Kak Zu yang terbuka telah memberi keselesaan kepada Andrey untuk menyandarkan rasa percaya. “Nanti dapat result, STP silap-silap terbang pergi England jugak ikut jejak Kak Long, dapat pakwe hidung mancung.”

“Ameen, dik...”

 

Andrey tersengih sendirian mengenang perbualan mereka berdua. Kak Zu betul. Macam musim, semuanya perlukan masa. Setiap fasa perlu ditempuh, jangan dielak, Andy juga tak salah. Semua ini bukan beban tapi satu di antara tanggungjawab yang harus dipikul dalam meniti peralihan zaman. Dalam meniti dan memahami hidup, pada dasarnya. Jadi dia tunduk mengikhlaskan hatinya untuk berguru dengan waktu kerana hanya bersama waktulah keberanian terbentuk di teras kewujudan manusia.

 

“It's exhausting to live like a wanderer chasing the wind, right?”

Terdengar sapaan dari belakang. Puan Asha menghampiri Andrey bersama dua cawan teh panas di tangan. “But I want you to take it as an advantage to develop skills that can be beneficial, personally and socially. Professionally.” Katanya sambil meletakkan cawan teh tersebut di atas meja. Dia cukup mengerti akan kegelisahan yang mengganggu ruang fikir di celahan hati anaknya itu.

 

“Rugi rasanya tak explore kampung mak ni dari awal.” Balas Andrey, cuba melencongkan arah perbualan.

“Tak berkesempatan, kan? Sekarang waktu dah sampai. So, how do you find this place?” Wanita berusia lingkungan 45 tahun itu melabuhkan punggungnya di atas kerusi bertentangan.

 “Interesting tapi turun naik bukit, sakit sikit la kayuh basikal.”


Senyuman di bibir Puan Asha menyambut jawapan yang diberikan. Senyuman yang membawa satu berita gembira buat Andrey. “Tahun ni dah boleh ambil lesen.”

“Naik basikal tak payah lesen.”

“Tapi kalau motor, taklah sakit turun naik bukit.”

“Seriously?”

“I talked with your dad, and he's on board with getting you a motorcycle.”

Melonjak gembira hati Andrey. Itulah yang dia nanti-nantikan. Anganan untuk memilik sebuah motorsikal kini menghampiri kenyataan. “Aprilia, mak?”

“Anything you wish.” Puan Asha meninggalkan anaknya sendirian melayan fikiran.

 

Merenung malam, tak lupa Andrey panjatkan kesyukuran atas kesempatan untuk memahami hidup. Untuk semua nikmat-nikmat yang dia kecapi juga atas semua kekurangan. Andrey yakin kekurangan-kekurangan itulah yang akan membantu dia menjadi lebih baik.

 

#

 

Terusan Tasik Biru. Perpindahan ke situ bagi Andrey satu rahmat. Nikmat yang menyimpan seribu satu maksud tersirat. Bandar ini syurga buatnya selepas beberapa tahun terbelenggu dalam satu putaran. Keputusan abah mengisytiharkan Terusan Tasik Biru sebagai rumah kekal mereka adalah sebuah laungan kemerdekaan. Satu pembebasan. Penghijrahan. Hari yang selayaknya disambut sebagai satu tanda penghargaan. Peristiwa yang mesti dihormati. Memori menerjah lagi. Semuanya indah. Malah, yang pahit juga bertukar manis bila dikenang.

 

Dia bertuah. Bukan semua orang diberi keistimewaan untuk mengecapi pengalaman seperti ini— berpindah-randah, pergi tempat orang. Dengar macam-macam cerita. Tengok berbagai-bagai kerenah. Semua itu sedikit sebanyak telah membantu menghapuskan kejanggalan dan ketakutan dalam hidup. Dan disebabkan sering bertukar-tukar tempatlah dia cepat menjadi ‘dewasa’, berpeluang mengenal sikap manusia.


Kawan? Hanya Kak Zu yang layak setakat ini. Ziana? Kawan sejati akan menerima siapa pun kita tanpa usaha untuk mengubah apalagi mencerca. Tak. Ziana hanyalah satu pengalaman. Hakikatnya bersendirian itu lebih baik dari bertemankan seseorang yang hanya suka merosakkan kepercayaan.


Walaupun tak ramai teman, tak pernah sehari dia merasa sunyi. Kalau manusia sering beranggapan bahawa sunyi itu menyakitkan, bagi Andrey, itulah kebebasan. Sunyi... Kadang-kadang dia tak tahu apa maksudnya. Mungkin sama dengan berdikari— satu perkataan yang kedengaran sunyi. Sunyi seperti malam. Seperti gurun tak berangin. Sunyi boleh jadi amat menakutkan.


Ramai orang berlari mencari tempat untuk berlindung dari kesunyian kerana tanpa itu, sunyi akan datang meneman  macam hantu. Sibuk mencari, manusia terlupa bahawa sunyi itu datang dari dalam. Sama seperti berdikari, menghadapi sunyi perlukan keberanian dan kekuatan itu tak datang dari luar.

 

#

 

“Hopefully, the kids manage it well. Macam mana dengan pejabat tu, OK tak?

“Perfect. Now I can finally grow the business the way I've always wanted. Thanks for bringing us back home.”


Tuan Arman meletakkan buku yang sedang dia baca ke meja sisi bila isterinya, Asha datang menyertainya di atas katil dalam bilik serba ungu itu. “I love this town. It's where everything started for us. Remember?” Dia mengajak isterinya menyusur denai memori di Terusan Tasik Biru.


“How could I possibly forget? It's where I found the best thing ever happening to me.” Puan Asha memandang wajah suaminya lalu dia melentokkan kepalanya ke bahu lelaki itu.


 “I've always dreamed of this since I fell for you.”

“You know how to be a romantic at times.”

 Sambil membelai rambut Asha, Arman berbisik, “It's an honour to make you happy.”

I dah bagitau Andrey pasal lesen dan motor tu. So, untuk Andy... motor jugak ke?”

“Ha ah. Baru adil, kan?”

“Sukalah diorang tu nanti.”

I nak budak-budak tu explore bumi Tuhan ni. Nak convoy ke apa ke. Lepas O'Level nanti, baru sama-sama boleh ambil lesen kereta pulak. Tapi itu kena tengok performance. I harap dua-dua dapat buat IB. Senang esok kalau sama-sama dapat pergi overseas. Ada teman.”

“Kalau tak dapat macam mana?”

“Form six.”

“Tapi... kan banyak universiti dan kolej-kolej swasta?”

“Anak-anak kena faham tentang nilai baru dorang boleh hargai hidup.”

“OK, darling. You are the boss.” Asha mencium pipi suaminya.

“Sabtu ni, apa kata kita bawa budak bertiga tu explore tempat ni. I cuti.”

“Elok jugak tu. Boleh tengok tempat lama kita...” Lelaki yang telah meneman hidupnya sejak lebih 20 tahun, dipeluk erat.

 

Terusan Tasik Biru sebenarnya terletak berhampiran kampung halaman pasangan itu. Panggilan tugas yang dipikul Tuan Arman tidak mengizinkan dia untuk mendekatkan anak-anaknya dengan tanah kelahiran mereka. Kini, kesempatan datang untuk memulakan satu kehidupan yang lebih teratur.


“I'm thankful that our dreams have all come true.”

“Thanks to the amazing woman who's always got my back.”

“Andrey is so much like you, Arman.”

“You mean, reserve, aloof, difficult to get along with?”

Minat dia pada alam. Suka explore. Camping. Yeah, of course, those traits you mentioned too.”


 Arman ketawa lalu menarik rapat isterinya dalam pelukan. “Minat dia pada seni dan muzik tu turun dari you, kan? Our children are great...” Tuan Arman memetik padam suis lampu tidur.

“Yes, they are.”  

Ciuman demi ciuman mula dihinggap ke seluruh wajah Asha. “But, sayang, I think four is enough.”

Betul... but, I can't get enough of you.”

 

#

 

Tasik Biru College atau lebih dikenali dengan panggilan TBC menempatkan pelajar tingkatan satu hingga tingkatan enam atas. Kolej ini juga turut menawarkan program A'Level. Lain benar suasananya saat pertama kali Andrey menjejakkan kaki di situ.


Namun satu yang paling melegakan Andrey, TBC memberi kebebasan berpakaian. Ini memudahkan gerak geri dan personalitinya yang memang rimas bila mengenakan seragam sekolah. Pakaian perempuan, tepatnya. Memakai pakaian perempuan samalah seperti memakai topeng. Dia mahu bebas. Bebas menjadi dirinya sendiri. Tidak dikongkong peraturan ciptaan manusia. Peraturan-peraturan mengarut yang membelenggu dan mendera.


Bagaimanapun, dalam isu ini, ada satu perspektif yang cukup dia hormati. Pakaian seragam, walaupun sering membebankan emosi, namun sebenarnya itu satu idea yang bagus. Miskin, kaya, sederhana, semuanya sama bila mengenakan pakaian seragam sekolah. Tidak seperti di TBC. Pakaian melambangkan status sosial. Pemakaian membezakan darjat. Itulah hakikat.

 

Diiring seorang kakitangan bahagian pentadbiran, Andrey dibawa ke kelas barunya. Begitu juga dengan Amanda yang kini menuntut dalam tingkatan dua sementara Anis dibawa Puan Asha ke sebuah sekolah rendah, juga bawah naungan nama yang sama.

 

*

 

Pintu diketuk. Perhatian yang diberikan para pelajar kepada pelajaran terhenti seketika.

“Selamat datang,” sambut seorang guru lelaki dengan mesra. “Saya guru kelas ni. Cikgu Izlan.”


Perkara wajib setiap kali bertukar sekolah— kenalkan diri pada kelas. Benda paling malas dia nak buat. Tapi kali ni ada bezanya. Dia rasa lebih santai dan relaks. Tak dikongkong lagi oleh pakaian seragam, tidak lagi dipenjara pakaian perempuan yang melemaskan, yang merosakkan individualiti dan identiti. Dia rasa diterima walaupun kekok bila memandang mata-mata yang memandang.


Elok ke apa aku pakai ni? Sesuai ke? Bila melihat wajah-wajah baru yang berada di depan mata, dia rasa kecil. Semua di depannya kelihatan mewah bergaya. Baju, aksesori. Dia? Jeans lusuh dan kemeja T warna biru. Rambut lurus yang mencecah bahu diikat ala kadar. Ah, lantaklah.


“Pekan Mutiara tu tak silap saya 500 kilometer dari sini. Jauh. Pekan kecik je, kan?” Tanya cikgu Izlan selepas Andrey memperkenalkan diri.

 “Betul, cikgu.”

 “Saya pernah ke situ. Cantik. Inspiring. So, what brought you there?”

“My father was stationed there.”

“He must be somebody.”

Andrey hanya menjawab andaian guru itu dengan senyuman. Seketika kemudian dia terpanggil untuk melepaskan nafas bangga, “Terusan Tasik Biru is my hometown.”

I see. Welcome home, then! Well, awak cakap tadi hobi awak melukis. Kalau berminat, boleh join Kelab Seni. Saya boleh bawak awak jumpa presiden Kelab Seni dan Kebudayaan, cikgu Fairuz.”

That's great. Terima kasih, cikgu.”

No problem. Sila ambil tempat duduk.” Balas guru yang mengajar matapelajaran Sejarah itu.

 

“Sini kosong.” Satu suara menegur bila melihat dia berjalan ke belakang kelas untuk mencari tempat duduk. Seorang pelajar perempuan tersenyum mesra sambil menarikkan kerusi.


“Arni.” Tangan dihulur.

Boleh tahan. “Andrey.” Salam diterima.

“Tadi dah kasi tau.” Arni ketawa. “Welcome to TBC. You know what it stands for?

“Tasik Biru College. Obviously…”

Arni tersengih menampakkan sebarisan giginya yang didakap besi. “Tak.”

“Habis tu apa?”

“To be continued.”


Tags

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!