Suara ~ Bab 5 : Pengajaran

Ray FL
0
 

R(caps)iuh rendah sekolah bila loceng berbunyi. Semua pelajar kelam kabut, tak sabar nak balik. Andrey duduk di kaki lima, dekat dengan kereta hitam cikgu Rina, bertemankan otaknya yang serabut melayan rungutan hati. Selagi tuan kereta tak memulangkan motor, selagi itu dia tak akan berganjak.

“Kau tengok tu,” Sophia mencuit lengan Rina yang sedang menyiapkan laporan sebelum mengakhiri tugas. Dia menjenguk kepala di tingkap. Dari tingkat dua bangunan, jelas kelihatan Andrey sedang duduk di kaki lima dengan telinga disumbat earphone.

“Tunggu kau kot.”
“Biar dia rasa.”
“Motor dia kau tak pulangkan lagi, kan? Kesian dia, kau buat macam ni, Rina.”

Kata-kata Sophia tak diendahkan. Tangannya lincah mengemas buku-buku dan fail-fail untuk dibawa pulang. Sophia menggeleng-gelengkan kepalanya melihat kerenah Rina yang kadang-kadang keras kepala.

“Kau buat camni, apa yang kau nak capai sebenarnya?”
“KPI.”
“Haha, KPI, ye?” Sophia ketawa. Rina hanya mengangkat bahu.
“Aku rasa aku tau.”

Muka didongakkan, mata meminta penjelasan. Sophia senyum sambil menarik kerusi. Punggung direhatkan kemudian dia membawa kerusi tersebut rapat dengan kawannya itu.

“Kau nak capai hati dia, kan?”

(nextPage)

Lama dah Andrey duduk, berdiri, duduk dan berdiri lagi. Sekejap dia sandarkan badan di kereta cikgu Rina, sekejap dia duduk semula di kaki lima, hingga kelibat cikgu Rina muncul juga akhirnya di celah-celah warga sekolah. 

Guru itu memisahkan dirinya dari gamat pelajar yang meluru ke pagar atau yang berjalan santai ke tempat letak kenderaan sementara cikgu Rina berjalan menghala ke tempat letak kereta yang disediakan khas untuk para guru. Tangan kanannya menjinjing sebuah beg laptop sambil tangan kiri memeluk timbunan buku dan fail. Seorang pelajar lelaki datang menghampirinya, menawarkan khidmat. Andrey lihat bukan main lagi si singa gunung tu tersenyum manis menerima pelawaan budak lelaki tersebut.

Tak boleh ke engkau berkelakuan sopan dan bersikap mesra macam tu kat aku?

“Terima kasih, Khairi. Tolong letak buku dan fail-fail tu kat seat belakang.” Dengan mesra cikgu Rina memberi arahan kepada pelajar tersebut sambil membukakan pintu.

Boleh pun rupanya cakap lembut-lembut. Aku ni yang tercegat macam tiang bendera menunggu sikit pun tak kau endah.

Patuh pada permintaan guru, budak lelaki bernama Khairi itu pun meletakkan buku-buku dan fail yang dibawanya di tempat duduk belakang.

Have a nice day, cikgu.” Ucap Khairi.

Dengan budak lelaki kemain lagi kau layan. Dengan aku bukan main ganas engkau mengaum. Mengada!

“Buat apa kat kereta saya ni? Nak toreh lagi?” Kedengaran suara cikgu Rina memerli selepas Khairi berlalu. Tanpa sebelah mata pun memandang, dia berjalan ke sebelah kiri kereta. Langkahnya Andrey bontoti. Beg raket berwarna hijau jenama Yonex dikeluarkan kemudian dia menjinjing beg tersebut ke belakang kereta. Andrey ekori langkahnya lagi. Boot dibuka. Nampak bersih kemas boot kereta cikgu Rina, kosong tak ada barang langsung.

Biasanya kereta perempuan mesti banyak kasut. Bersepah macam tong sampah. Ah… Lantaklah dia nak isi apa pun. Jangan dia sumbat motor aku dalam tu, sudah.

“Saya nak motor saya hari ni jugak.” Tegas suaranya menuntut hak, berharap cikgu Rina akan beralah. Namun tiada sepatah kata keluar dari mulutnya malah sikit pun dia masih enggan memandang muka Andrey.

“Tolonglah cikgu… Jangan macam ni. Tak ada motor saya patah kaki. Kalau bapak saya tau hal ni, mati saya.” Terpaksa juga dia merayu dan kali ini mengekori cikgu Rina ke bahagian hadapan kereta pula.

“Duit ada dah. Berapa je cikgu cakap... Bagi saya angka. Saya bayar dua kali ganda kalau itu yang cikgu nak.”

Cikgu Rina tetap membisu. Pintu kereta dibuka, bontot dihenyak ke tempat duduk pemandu.
Selepas menghidupkan enjin kereta, akhirnya dia bersuara. “Tunggu apa lagi, naiklah. Nak sangat motor tu, kan?”

Tak hirau dengan bahasa dan nada yang digunakan, bagi Andrey itulah irama paling indah, lagu pertama cikgu Rina dendangkan ke telinganya. Dia masuk ke perut kereta dengan hati melompat gembira. Berkali-kali ucapan terima kasih dilafaz dan kali ini dia ikhlas. Betul-betul ikhlas. Cikgu Rina tak beri apa-apa reaksi. Andrey tak peduli. Yang penting, Aprilia.

(nextPage)

Sunyi mengisi ruang. Cikgu Rina diam, Andrey senyap, sampailah kotak rokok dari beg dikeluarkan.

“Jangan berani nyalakan benda tu dalam kereta saya.” Garang ngauman si singa gunung memberi amaran.

“Maaf...” Andrey mendengus. “Boleh pasang radio? Senyap sunyi sangat ni.” 
Cikgu Rina buat tak tau.

Mood cikgu tak baik hari ni?” Perbualan cuba diinisiatifkan. Semua resah, tak sedap hati, mual, takut yang selalu melanda, hilang sama sekali. Andrey sendiri hairan mengapa semenjak kereta cikgu Rina dia toreh, keberanian tu datang. Ajaib. Tapi nampaknya, si singa gunung tetap memilih untuk diam sedangkan Andrey memang tunggu dia mengaum lagi.

“Angin orang tua ni. Period kot.” Hati buat spekulasi, mengajak Andrey untuk sama-sama diam, sehinggalah kereta diberhentikan di hadapan sederetan kedai.

“Saya nak lunch dulu,” beritahu cikgu Rina. Tanpa menunggu jawapan apatah lagi persetujuan, dia terus melangkah keluar dari kereta.

“Memang lama la nampaknya ni,” hati Andrey mengeluh. Dengan langkah longlai dia menurut. Lemah rasanya kaki tapi cikgu Rina tak suka bagi pilihan.

“Apa boleh buat, ikut je la Andrey. Kalau tidak, entah sampai bilalah dia peram motor kau tu.” Pujuk sang hati. 
“Padan muka... Inilah akibatnya termakan hasutan setan, buat kerja bodoh.” Kedengaran sang otak menyeranah.

“Kenapa tak nak makan? Order la sikit, snack ke apa. Chicken wings dekat sini sedap tau.”  Cikgu Rina menjemput sambil membelek-belek menu di tangan. “Awak nampak pucat, letih… Awak tak sihat ke?” Tambahnya sewaktu meletakkan menu di atas meja. Suaranya tenang, dah tak keras lagi. Dia pandang tepat-tepat muka Andrey yang cengkung. Lingkaran hitam di bawah mata walaupun tak ketara tapi dalam jarak sedekat itu cikgu Rina tahu, Andrey tak cukup tidur.

“Tak pe lah, cikgu. Saya tak selera. Cikgu ada depan mata, perut ni boleh puasa sepuluh hari.”
Lancar mulutnya memerli. Sebenarnya dia dah kenyang. Dah makan nasik ayam masa rehat kat sekolah tadi. Saja dia besar-besarkan cerita. Bagaimanapun secawan kopi dipesan. 

“Puasa ye? Padanlah kurus kering macam orang merana. Rajin puasa rupanya. Bagus… bagus…” Balas cikgu Rina, sedikit pun tak ambil hati sebaliknya dia tersengih mendengar alasan yang diberi Andrey.

“Mana cikgu simpan motor saya?”
“Rumah.”
“Kat sekolah tadi tak makan ke? Macam lapar benar saya tengok. Patut diam je tadi, erk, pasal cikgu lapar? You’re not you when you’re hungry?” Gurauan yang cuba dibuat tak dihiraukan pun.

Poyo betul. Kalau cikgu Sophia mesti dah ketawa. 

Untuk memadam kebosanan itu, Andrey keluarkan kotak rokok dari beg.

“Boleh tak awak berhenti?” Intonasi cikgu Rina kembali tegas, macam dalam kelas.

“Kalau camtu cepat sikit, boleh? Saya ni bukan ada masa sangat nak dibuang. Banyak kerja lagi nak settle lepas ni.”
“Sabar boleh? Saya tengah makan ni.”

(nextPage)

Mengerti acara petang itu akan memakan masa yang lama, Andrey cuba menyelesakan diri. Jaket dicabut dari badan lalu disangkutkannya ke kerusi. Rambut yang jatuh melepasi dahi diselak ke belakang sebelum merapatkan badan ke meja. Tangan kirinya menongkat dagu. Sengaja dia memerhatikan setiap suap mi kari yang cikgu Rina sudu ke dalam mulut dengan niat untuk membangkitkan ketidakselesaan.

“Sedap?” Andrey bertanya. Hatinya tersengih bila cikgu Rina meletakkan sudu dan garfu kemudian mencapai napkin sebelum mengelap mulut. 
Dia tunggu cikgu Rina marah. Nak kena bebel.

Tapi cikgu Rina tenang. Dia tak membebel. Dia tak marah. Sebaliknya dia mula mengatur bicara, menyuarakan tanda tanya yang terpendam dalam hati.

“Saya tak faham kenapa awak kurang ajar dengan saya. Macam saya ni dah buat satu benda kejam kat awak yang menyebabkan awak dendam, benci. Kenapa? Cuba awak cerita sikit apa salah silap saya selama saya jadi cikgu awak. Apa yang awak tak puas hati sebenarnya?”

“Dendam?” Andrey tersenyum sinis. “Mana ada dendam, cikgu. Benci pun tak. Saya tak suka ekonomi.”

Tentang benci dan dendam, sebenarnya Andrey sendiri tak ada jawapan, tapi dia tak tipu bila sebut pasal ekonomi. Benar, dia ambil ekonomi semata-mata nak lengkapkan lima subjek. Itu saja. Mula-mula minat tu ada, tak banyak, sikit. Tapi lama-kelamaan dia bosan. Memang pilihan tak berasas sama sekali. Padahal banyak lagi subjek lain. Cikgu Rina pula muncul, melengkapkan kebosanan itu.

“Tak suka ekonomi, kenapa saya jadi mangsa?”
“Cikgu ke saya yang jadi mangsa ekonomi? Bukan ke semua orang, malah satu dunia ni pun mangsa ekonomi?”
“Tengok… jawapan.”
“Kurang ajar dengan cikgu? Seriusla... Am I?”
“Kalau bukan kurang ajar atau biadap, nak panggil apa?”
“Tidur masa kelas tu biadap, kurang ajar?”
“Of course. Respectless.”
“Bukan sengaja nak tidur. Tapi saya mengantuk. Dah mengantuk, tidurlah. Takkan nak makan pulak. Karang kalau makan dalam kelas. ntah kasut pulak yang melayang kat muka saya.” Jawapan bijak gagal ditemukan. Tak ada alasan dapat dibagi untuk membela diri tapi sekurang-kurangnya dia jujur—memang dia mengantuk. 

“Awak ada girlfriend?”
“Ni apa pulak ni?” Barangkali berpuas hati dengan alasan mengantuk tadi, Cikgu Rina mengubah tajuk. Satu tajuk yang tak ada kena mengena langsung, baik berkaitan ekonomi, Aprilia mahupun masalah antara dia dan Andrey.

“Awak patut belajar hormat perempuan.” Senyuman kecil tergaris dibibir nipis cikgu Rina, sengaja nak menduga.

Apa punya nasihat la. Whatever...

“Nak hormat perempuan tak perlu ada makwe pun.” Andrey pandang muka dia. Dia pandang muka Andrey.

“Berapa upah repair kereta tu? Berapa saya kena bayar cikgu? Sebutlah, dua, tiga ribu? Saya boleh transfer hari ni. Kalau nak cash pun saya boleh bagi.” Kata-kata itu hanya menjadi bahan ketawa cikgu Rina, membuat Andrey terasa seperti niatnya nak menebus harta diperlekehkan sedangkan itu semua rancangan cikgu Rina sendiri. Sungguh tidak adil.

“Awak ingat duit boleh beli semua benda? Well, secara material, mungkin. Tapi bukan secara spiritual, faham? Duit bukan apa-apa. Sekurang-kurangnya tak bagi saya.”

Kau kena faham, masa lagi berharga.

“Tapi cikgu sendiri yang cakap, cikgu akan pulangkan motor tu bila saya mampu bayar. Sekarang saya dah ada duit, bagi jela balik hak saya. Apa lagi cikgu nak?”
Well, nak bagi motor awak balik la. Bukan itu ke yang awak mintak?”
“Ha, kalau camtu apalagi, jomlah bawak saya ambil motor saya tu.”
“Hmm, nampaknya motor tu makwe awak la, kan? You know what... Awak patut cuba bawa perempuan naik motor tu. Mesti lagi thrill, trust me.” Cikgu Rina menduga lagi. Nak baca fikiran Andrey. Nak tengok sejauh mana dia boleh bertahan. Dan yang paling ingin dia lihat ialah hati Andrey itu sendiri.

(nextPage)

Andrey rasa serba tak kena. Muka cikgu Rina diamati. Tak seperti hari-hari sebelumnya, di situ, pada saat itu, buat julung kali Andrey tengok muka cikgu Rina betul-betul.

Apa masalah dia ni sebenarnya? Tadi dia cakap aku nampak sakit, tapi aku tengok dia yang sebenarnya sakit.

Permintaan Andrey tak diendahkan sebaliknya cikgu Rina memperlihatkan rasa selesa dan santai, bagai sengaja membiarkan waktu berlalu, atau lebih tepat lagi, dia sengaja biarkan Andrey tertunggu-tunggu.

“Cikgu Rina, kita selesai hal ni elok-elok, OK. Saya nak bayar— duit repair plus interest. Bagi saya nombor akaun bank cikgu, saya transfer… Atau lagi senang, jom bawak saya pergi bank, saya keluarkan duit, cash saya bagi. Lepas tu cikgu pulangkan motor saya. Abih cerita. Senang, kan?” Saki baki kopi dihirup licin. 

“Nak settle hal ni, nak bayar boleh, tak ada masalah pun sebenarnya. Tapi awak kena bayar harga sebenar.”
“Astaga…” Andrey menepuk dahi.

Harga sebenar... Apa benda harga sebenar?!

Jawapan cikgu Rina betul-betul buat dia sakit otak. Kalau bukan sebab motor kesayangan, sumpah!!! Sumpah tak ingin dia ikut cikgu Rina ke situ. Tersandar dia, tak tau apa nak kata. Berkali nafas panjang ditarik dan dilepas tanpa membiarkan matanya lari dari memandang muka cikgu Rina, mencari makna harga sebenar. Dia menggeleng kepala cuba menghalau kekacauan yang menyerang fikiran.

“Seronok betul nampaknya cikgu Rina tu.” Akal berkata pada hati.
“Ha ah. Nampak sangat dia enjoy menyakat engkau. Dia tau camne nak perah masa dan buat jiwa kau sakit macam ni.” Hasutan hati menggandakan kejengkelan.

Wajah yang selalu megah itu ditinjau lagi. Satu susuk yang sebolehnya dihindar. Wanita yang kini duduk depan mata, berdua, menikmati minum petang. Sungguh romantik. 

Hari semakin lesu, fikiran bertambah layu. Hati meronta-ronta rindukan Aprilia. Demi motor itulah Andrey memujuk diri supaya bersabar.

Dalam kekalutan, hati sempat buat huraian tentang diri cikgu yang begitu meletihkan. Cikgu yang boleh tahan pelik perangainya.

Ada ketika, intuisi mengatakan cikgu Rina ni seorang yang agak misterius. Otak menambah, perempuan macam ni ibarat still water runs deep. Entah ye entah tak. Memandai-mandai je akal buat penilaian. Baik tanya hati. Hati biasanya lebih jujur dan berani walaupun dia jugalah pakar provokasi. 

Katanya, “she could be a diamond in the rough.”
“If so, the work must be tough.” Segera akal membalas. Andrey dibisukan kedua mereka tapi dia lebih suka meminta bantuan hati untuk membuat tafsiran dan penilaian.

(nextPage)

Sesiapa pun tau, Cikgu Rina bukanlah cikgu senior. Awal tahun lepas, sewaktu Andrey sedang leka bercuti, dia memulakan kariernya di Tasik Biru College. 

Muka memang boleh tahan lawa. Senang cerita, memang lawa. Kulit cerah, mata, kalau tak pandang tepat-tepat, duduk rapat-rapat macam sekarang ni, memang Andrey takkan perasan yang dia memiliki sepasang mata berwarna coklat cair, sama warna dengan rambutnya yang lurus menyentuh bahu. Hidung boleh tahan mancung, ada lesung pipit bila dia senyum, itu memang ketara.

Umur lebih kurang cikgu Sophia, agaknya. Lingkungan pertengahan dua puluhan.
Tinggi : 5 kaki 7 inci.

Lebih kurang aku.

Status perkahwinan : Unknown.
Orientasi seksual : Doubtful.
Ukuran dada, pinggang, punggung…

“Kau kenapa, Andrey?” Otak menyergah, tak sanggup biarkan tuannya hilang pedoman. Hati yang degil terus menyeru-nyeru untuk diberi peluang membuat analisa lagi.

Walaupun kedengaran merepek dan tak masuk akal, gusar yang menakluk relung hati dan ruang fikir merumuskan sesuatu yang terpaksa Andrey persetujui— mengkhianati diri ternyata satu jenayah tapi macam mana dapat dia nafikan kelebihan-kelebihan yang dimiliki cikgu tinggi lampai itu? Kelebihan yang selalu jadi idaman setiap perempuan. Kegilaan setiap lelaki —muka lawa, badan seksi. Mesti selalu jadi tumpuan. Tak heran kalau ramai yang berkenan.

“Apa kau merepek ni?!! Cakap lagi, apa yang kau cakap tadi?! Gosh, aku tak percaya apa aku dengar.” Akal bertengkar dengan hati. Dia biarkan. Biarlah mereka berhentam sewaktu dia berdiri di kandang saksi, mendengar semua pertuduhan yang dijatuhkan. Mangsa atau pemangsa, yang nyata, dialah keduanya.

Bukan aku tak pernah sedar dia tu lawa tapi perangai dia dah buat dia hilang seri.

“Cakap aje lah, kalau dia tu cool macam Sophia, gerenti kau pun gila.” Hati mengusik.

“Ya Tuhan, kau hilang akal dah ke? Tolonglah, aku tak nak terlibat.” Akal tarik diri. 

Tapi terus terang, aku sedang berlaku adil dengan korang berdua, hati, otak. Dan kejujuran ini tak sepatutnya menyinggung perasaan sesiapa pun.

Pertengkaran yang tercetus antara otak dan hati Andrey abaikan. Lalu dia mentafsir sendiri tanpa campur tangan kedua belah pihak.

Speechless?” Suara cikgu Rina memecah sunyi. Lama rupanya Andrey berinterior monolog, tak sedar ada yang setia menunggu dia bsrsuara.

“Jawab apa? Saya ikut cikgu ni pasal motor saya. Saya nak sekarang, lepas tu, saya akan tinggalkan cikgu dengan dunia cikgu.”
“Awak ni kan boleh tahan supercilious. Apa yang saya nampaklah, awak lagi suka sorang-sorang, kan? Tak ada kawan… Sendiri, menyendiri dan pendiam sangat. Sombong, berlagak, terlalu bangga dengan sesuatu, seolah-olah orang lain tak layak berkawan dengan awak.”

Berdesing gegendang telinga Andrey mendengar ludahan kata-kata tepat di muka. Perasaan marah mengajak dia bangun dan cabut dari situ.

Nak sangat simpan motor tu, kau ambil lah. Aku boleh mintak mak abah belikan motor lain.

Tapi tak sempat nak gerakkan kaki, otak menegur, cuba memujuk. “Hey, relaks la. Kalau kau blah, lagi dia suka, tak payah pulangkan motor. Siapa yang rugi? Kau jugak. Selagi dia tak bagi balik motor tu, selagi tu kau kena layan, hadap dia, keluar date dengan dia, kena merayu. Lagipun kau ingat abah kau senang-senang nak belikan kau motor baru? Mimpilah.... Kau tengok je mana dia ni nak bawak. Tak payah sensitif sangat. Stay humble sejam dua, pastu kau boleh tembak dia, OK? Takkan dengan cikgu camtu pun kau nak tergugat. Malu je...”

“Entah…” Hati nampaknya berdamai dengan otak.

Ha yelah... Dia bersetuju dengan saranan hati dan otaknya.

“I believe, you as a teacher, must be good at distinguishing between an introvert and someone like you described earlier.”
“Hmm… Faham pun awak maksud saya,” Cikgu Rina tersenyum. Sebenarnya Andrey bukannya faham. Tuhan pun tak faham dan Tuhan pun tau dia tak faham.

“Saya ada kawan.” Berhenti seketika, menyedari kebenaran yang dia separa berbohong. Kemudian dia menyambung, “tapi cikgu, saya nak tanya sikit… Cikgu ni kerja kat sekolah tu sebagai guru ke mata-mata gelap? Untuk mengajar ke untuk spy saya?”
“Awak tak bosan?” Daripada menjawab cikgu Rina lebih suka bagi soalan. Itu dilakukan sambil menghirup jus epal kemudian bibirnya dijilat sedikit. Perbuatan tersebut telah merindingkan bulu roma Andrey dengan serta merta.

Tuhan atau syaitankah yang dah bawak aku ke sini?

(nextPage)

Andrey berdehem, betulkan peti suara akibat perbuatan cikgu Rina menjilat bibir tadi. 

Sambil menggeleng dia berkata, “sunyi tu subjektif. Tengah-tengah pesta pun boleh sunyi kalau hati sunyi.” Ungkapan itu disambut dengan senyuman lebar. 

Cikgu Rina mengacau-ngacau jus epal yang dah mula mencair air batunya. Warna hijau yang bermula pekat dah sama warna macam air mineral yang dipesan Andrey selepas kopi. 

Dia suka bila Andrey bermadah, berfalsafah begitu, seperti yang dia baca dalam dua buah majalah sekolah—tahun pertama dan kedua Andrey di TBC. Kini dia dapat mendengar secara langsung. Dan dia mahu mendengar banyak lagi. Dia tahu akan ada banyak lagi.

“Awak tak teringin nak ada?”
“Ada apa cikgu? Kawan? Saya ada kawan, tapi tak ramai.”
“Andrey, look... Saya tau awak ni siapa. Maksud saya, saya tau awak ni macam mana…” Ayat berhenti seketika sebelum menyambung, “tak payah nak segan dengan saya.”
“Siapa? Macam mana? Macam apa?”
“Tak cukup jelas ke apa saya cakap tadi?”
“Tak.”
“Biasanya butch sebaya awak busy mengepit awek daripada busy cari pasal dengan cikgu.”
“Jangan nak samakan saya dengan orang lain. Bila sampai waktu, awek akan cari saya.” Satu respon berjaya diberi biarpun kedengaran angkuh. 

Menarik. I like the confidence.” Puji cikgu Rina, ikhlas. Dia terus merenung, menunjukkan minat untuk mendengar lagi.

Nak tak nak, Andrey terpaksa akur pada hakikat bahawa cikgu Rina sedar akan kewujudan lelaki yang menghuni dalam jasadnya. Hakikat yang dengan terang dan jelas dipamerkan tanpa berselindung. Hakikat yang membuat dia rasa diterima walaupun dalam masa yang sama, banyak tanda tanya dan adunan perasaan yang bergaul dalam fikiran. Kalau dia tepung, dah lama dia jadi kuih gulung.

“Macam tu kan elok. Saya suka orang yang transparent. Boleh bincang secara dewasa. Kalau awak malu atau takut, buangkanlah jauh-jauh. Baru kita boleh cari penyelesaian.” Cikgu Rina mahu Andrey tahu yang dia benar-benar ikhlas ingin menjernihkan keadaan dan itu memerlukan masa, bukan wang.

Andrey terasa kepalanya berdenyut-denyut. 

“Kalau macam tu, kenapa tak bagi je motor saya? Saya bagi duit, cikgu bagi motor. Kenapa nak panjang-panjangkan cerita?”
“Jangan risau, motor awak sihat.”

Tangan diangkat. Badan disandarkan semula ke kerusi. Satu keluhan berat dilepaskan. Cikgu Rina membayangi dia tapi dengan tangan menyilang tubuh sementara bibir mengukir senyum.

“Saya pun ada benda nak tanya cikgu.”

Bersama denyutan di nadi dan di kepala, intuisi perlahan-lahan mengesan sesuatu yang menarik dalam perbualan mereka—seperti medan magnet yang saling melawan tapi salah satu darinya beransur-ansur memusingkan kutub untuk mendekat.

Mungkinkah semua itu hasil tindak balas terhadap kata-kata dan juga soalan-soalan yang cikgu Rina ajukan? Memerhati gerak isyarat dan bahasa tubuhnya, watak dan perwatakan, semua ekspresi yang dia tunjuk, Andrey akui, ada satu rangsangan positif tersalur dalam pertimbangan dan rasa ingin tahu. Emosi paling halus turut disentuh oleh rangsangan itu.

Andrey teringat peristiwa dua minggu lalu. Bila dikaji secara logik, cikgu Rina sebenarnya telah menghantar isyarat. Bukankah ‘ciuman pertama’ di kedai kopi itu dah jadi bukti? Mustahil seseorang akan buat macam tu kepada seseorang kalau tak ada sesuatu yang melibatkan perasaan.

Di situ rasionaliti mengambil tempat. Berasal dari tujuan yang satu— motosikal, sekarang muncul satu niat baru.

“Anything, anytime...” Tak seperti sewaktu mengajar, petang itu Cikgu Rina cukup murah dengan senyuman. Semakin lama masa dicuri, semakin dia kelihatan bersemangat dan suaranya kedengaran lebih mesra.

(nextPage)

“Soalan cikgu tadi tu… Bukan cikgu ke sebenarnya yang tak suka saya? Mungkin ada benci dan ada dendam.” 

Tanda tanya yang selalu berlegar di minda kini terpancul juga di mulut. Andrey percaya inilah masa yang sesuai untuk bercakap dari mata ke mata, hati ke hati. Kalau boleh dia nak berdamai. Kenapa? Sebab kebenaran tak perlukanmu bukti dan kesalahan akan membuktikan dirinya sendiri.

Wajah cikgu Rina berubah. Lembut. Sama lembut dengan pandangan matanya yang merenung muka Andrey. Ditenung, dipandang lama-lama macam itu, Andrey rasa janggal. Namun dia akur demi hati yang berkocak untuk mengakhiri persengketaan dengan baik, tak ada gunanya menentang arus.

“Apa sebab awak fikir macam tu?”
Dah dia agak, mesti kena tanya balik.

“Dari awal cikgu tak suka saya. Semuanya ada kat sini.” Jari ditudingkan ke kepala sendiri. “Malas nak cerita panjang. Lupa ke tak ingat?” Ayat disambung, cuba memancing sambil berterus terang. Teringin benar dia dengar jawapan jujur cikgu Rina.

“Dua-dua tak. Tak ada benci, dendam jauh sekali. Tak lupa dan tak pernah tak ingat. Tapi sebagai seorang guru, saya nak pelajar saya bagi perhatian, bukan membuta. Itu masalah awak.” Dua baris ayat terakhir kedengaran tegas bunyinya, gaya seorang cikgu. Namun tiga baris ayat pertama bernada tenang, seperti bisikan bayu malam yang mendamaikan laut.

Gagal menghapuskan bukti, Andrey hanya mampu mengangguk. Semua orang tau, memang dia selalu tertidur dalam kelas. Membuta— perkataan kegemaran si singa gunung. Benang yang basah mustahil ditegakkan. Bagaimana pula dengan benang yang kering? Boleh ke?

“Tak ada sebab untuk membenci awak, Andrey.” Separuh berbisik cikgu Rina melengkapkan ayat.

“Saya mengaku saya suka membuta dalam kelas. Mungkin ekonomi tak sesuai untuk saya. Kalau ada salah silap saya selain toreh kereta, kalaulah ada perkara buruk yang dah saya buat tanpa saya sedar, cakaplah, supaya saya faham. Mana tau dalam diam hati cikgu dah saya cederakan tanpa sengaja.” Tangan diangkat. Kalah lagi tapi untuk kali ini, dia ikhlas dengan apa yang diucapkan.

Baris-baris itu kedengaran jujur di pendengaran cikgu Rina. Tak sampai hati dia nak terus mendera. Cukuplah menguji setakat itu saja, hari ini. Banyak lagi hari lain kalau nak terus menguji.

“Saya faham.” Jawapan cikgu Rina pendek tetapi renungan matanya yang tepat ke wajah Andrey sangat panjang dan dalam.

“Cikgu…”
“Hmm...”
“Cikgu ada boyfriend ke girlfriend ke? Atau cikgu mungkin dah kawin ke, ada anak, suami? Atau... janda... ibu tunggal…” Untuk menyedapkan hati sendiri, Andrey mengubah topik. Gurauan diselit sama. Dia tau cikgu Rina tu single, bukan janda, balu atau sewaktu.

Gurauannya menjadi. Pertanyaan yang diajukan telah membawa keluar ketawa besar cikgu Rina dan itu nyata datangnya dari hati. Mata yang redup itu telah memberi pengesahan dan itu dengan mudah memunculkan senyum di bibir Andrey.

Bila ketawa macam tu, barulah kau nampak mesra. Hilang angkuh timbul pesona yang dapat merantai hati mana-mana lelaki yang imannya senipis kulit bawang. Mujurlah aku ni tergolong dalam golongan orang-orang yang tebal iman.

Ciuman sesaat bermain lagi di paparan minda.

Cikgu Rina tak terus menjawab sebaliknya membuka cermin mata kemudian menyarungkan kanta itu di atas rambut.

Ah... perfect. Boleh tengok mata kau dengan jelas, tanpa dihalang cermin.

“Ha ah… Supaya lagi senang dia hipnotis engkau.” Serentak hati mengusik, otak pun mengejek. 

Rahsianya, kalau mood baik, Andrey memang suka tengok bila cikgu Rina meletakkan cermin mata atas rambut bukan sangkut atas hidung. Sebab apa?

Sebab bila dia pakai cermin mata di atas rambut, kaburlah mata dia, jadi, dapatlah aku tidur macam baby. Korang ingat aku ada niat lain?

“Dulu saya pernah ada kawan macam awak.”
“Kawan? Someone special?”
“Hampir...”
“Jadi cikgu ni… hmm...” Andrey berhenti di situ. Dia tak pasti samada patut bertanya lanjut atau biarkan saja. Perkara seperti itu terlalu peribadi untuk dikongsi apalagi dengan seseorang yang tak dikenali rapat.

Namun cikgu Rina, tanpa teragak-agak, mengangguk dan berkata, “sebab tu saya faham awak dan saya nak awak faham yang kita ni, manusia... We are more than just a body.”
“I’ve been pondering about it for so long. Alone, of course. We are the spirit, the soul.” Spontan Andrey meluahkan sesuatu yang dah lama tak dia bincangkan dengan sesiapa. Sejenak dia teringatkan Kak Zu. Selama ni, hanya Kak Zu sajalah satu-satunya perempuan tempat dia mencurah rahsia tentang orientasi seksualnya.

“Now, here’s a soul.” Cikgu Rina mengangkat kening, menghantar indikasi selaju cahaya. Ligat otak Andrey memproses, siap dengan analisis sekaligus membangkitkan satu keinginan.

Interesting. Jadi, boleh saya tau cerita cikgu? Kalau tak keberatan?”
“Tak ada apa yang menarik pun. Masa tu saya menuntut tahun kedua di universiti. Lama dah.” Pengakuan telus itu kedengaran begitu jujur. Andrey mula mengagumi keterbukaan cikgu Rina.

“Sekarang? Dah beralih arah? Ada anak?” Meskipun jawapan ada digenggaman, sengaja dia mengusik, cuba menduga hati untuk menambah kemesraan.

Cikgu Rina ketawa sampai merah muka. Itu semakin menyerlahkan lesung pipit yang menghias kedua belah pipinya. Andrey sengaja buat muka toya. Senyum tak, ketawa pun tak tapi dalam hati, memuji.

Kenapalah awal-awal dia tak berperangai senonoh macam ni dengan aku, kan senang?

“Oh please...” Keluh pasangan jiwa yang kerap bertelagah kerana dia.

“Senang ke nak ubah siapa kita, jiwa kita? Manusia yang hidup dalam badan kita ni? Boleh ke jadi orang lain?”

(nextPage)

Pernyataan berbentuk pertanyaan itu tak ubah seperti apa yang selalu dia bicarakan dengan diri sendiri kalau tidak dengan Kak Zu dulu.

Kalaulah mengubah jiwa, perasaan dan esensi atau roh yang ditiupkan dalam jasad semudah kata-kata mereka yang suka menghakimi, lenyaplah segala permasalahan dalam dunia ini. Semuanya akan hidup aman damai. Tak ada protest, tak ada opresi. 

“Bad experience?” Menunjukkan minat, Andrey lupa tentang waktu. Dia mau cikgu Rina terus bercerita. Kalau nak terus bertanya sekalipun, Andrey sedia menjawab. Sebab, inilah kali pertama dia bertemu dengan seseorang seperti dia.

“Mustahil nak baiki percaya yang dah hilang.”
“Kecewa sangat ye?”
“Dia player. Siapa yang boleh terima?”
“Ohh... Kes curang lah ni?”
“Lebih pada tu.”
“Tak ada pendirian?”
“Tak pasti tentang diri sendiri.”
“Sakit?”
“Sakit boleh dicegah sebelum melarat. Saya lebih sayangkan diri saya.”

Andrey berfikir sendiri, mesti banyak yang dah cikgu Rina alami. Tak macam dia— baru nak naik. Baru nak kenal dunia.

Malunyalah…

Tak tau macam mana nak respon, lalu dia terus ke soalan seterusnya untuk jawapan yang tak sabar didengarkan.

“Kenapa cikgu nak tau sangat kalau saya ni single ke apa? Dan satu lagi cikgu, sebenarnya saya heran betul kenapa cikgu tak nak ambil tindakan tegas atas salah laku saya?”
“Hmm, sepasang soalan yang bagus.”
“Give me the best answer then.”
“There’s only one reason.”
“Which is?”
Simple, Andrey. Saya suka awak.” Punca dikemukakan dengan lancar tanpa suara keraguan. Cukup telus, cukup mulus namun disambut dengan ketawa agak kuat.

“Apa lawak yang cikgu nak buat? Tadi marah pastu diam, kejap karang suka. Lepas ni apa? Saya tengah mimpi ke atau cikgu yang tengah high lepas kena mi kari?”

“Hey, tadi kau sendiri cakap, tak akan ada manusia yang nak buang masa layan orang yang dia benci. Sekarang cikgu Rina dah mengesahkan spekulasi engkau. Apa yang kau mengada sangat? Patut kau happy. Kau ingat senang-senang orang nak suka kita? Lawa pulak tu…” Serentak akal dan hati mengingatkan dia kepada kata-kata sendiri.

“Pelik? Awak ingat saya main-main? Saja nak buang masa?”
“Ye tak ye, betul jugak... Macam manalah saya boleh tak sedar, kan… Of course la cikgu suka saya. Pasal tu cikgu suka memalukan saya, hina saya. Guna pen merah atas kad laporan saya. Langsung tak bagi kredit, walaupun jawapan saya betul.” Peluang dah terbuka untuk meluahkan segala-galanya, tak perlu dipendam-pendam lagi. Pengakuan cikgu Rina, Andrey simpan belakang kepala.

“Saya yang bermasalah, kan? Membuta dalam kelas. Sebab tu patut kena baling dengan kapur, kena halau... Apa lagi...? Ehmm... Marah saya depan budak-budak tu semua. Apa saya buat memang ada je salah kat mata cikgu. Sebaik mana pun saya jawab exam atau buat assignment, ada je point yang tak kena. Ada je yang cikgu tak puas hati. Kat mata cikgu, kepala saya ni kotak kosong, kan? Kalau cikgu nak tau sangat, cikgulah sendiri yang dah cetus kemarahan dan kebencian dalam diri saya, bukannya ekonomi.”

Untuk beberapa saat, tiada kata yang keluar dari mulut mereka namun mata seakan tak mau menghentikan bicara. Terasa beban yang menghempap dada selama ini dah hilang. Sekarang dia tak sabar nak dengar jawapan dari mulut cikgu Rina. Biarlah semuanya selesai di sini, hari ini.

“Jadi betul la memang ada benci?” Bersama pertanyaan cikgu Rina sertakan satu kejutan dengan meletakkan kedua tapak tangannya di atas tangan Andrey.

“Betul. Benci dengan sikap cikgu.”
“I am so, so sorry, Andrey. I wasn’t aware of that.” Dia berbisik.
Wasn’ t aware?! Itu je alasan cikgu? How easy…” Tangan ditarik.
“Saya bersalah buat awak rasa camtu. Tak ada niat pun...”
“Tak apalah, cikgu. Saya dah bagitau ni, saya anggap semuanya dah settle.”
“Andrey, percayalah... Tak ada alasan untuk membenci awak… Sikit pun saya tak ada rasa macam tu, apalagi dendam. Tak ada, Andrey… Saya cuma nak awak tumpukan perhatian… Nak tengok awak berjaya macam…”

Tak sempat menghabiskan ayat, Andrey memotong dengan menuntut janji. Malas dia nak dengar penjelasan lanjut tentang apa-apa pun.

“Yes, sure...” Dengan jawapan itu, cikgu Rina memandu mereka ke rumah. Sunyi kembali memenuhi ruang di sepanjang perjalanan selama 15 minit itu.

“Terima kasih, dan lupakanlah apa yang saya cakap tadi. I know I lack a lot. You don’t need to prove it.

Permintaan Andrey disambut dengan pandangan sayu. Cikgu Rina tidak membalas kerana dia benar-benar rasa bersalah. Tapi apa boleh buat, hal dah jadi. Sekarang ni terpulangah pada masa… Bagi Andrey pula, dia tak nak tau pun apa yang cikgu Rina fikir. Kalau betul dia suka, suka hati dialah. Andrey tak rasa apa-apapun. Gembira tak. Benci pun tak.

“Tipulah kalau kau kata sikit pun kau tak tersentuh.” Malangnya dia gagal menipu hati dan kewarasannya.

(nextPage)

“Ini kunci. Terima kasih, saya enjoy bawak motor awak.”
“Ya, terima kasih, cikgu.” Kunci bertukar tangan. 

Cikgu Rina nampak kegembiraan terpancar di wajah Andrey.

How about taking me for a ride one day? It could be a chance for you to discover something that you’ve never felt before.“ Kata cikgu Rina sambil mengusap belakang badan Andrey.

“Boleh je, kalau cikgu nak. Kita boleh plan nanti.” Kerana terlalu gembira, dia tak dengar apa cikgu Rina cakap. Bersetuju, dia iyekan saja. Aprilia dah buat dia terlupa pada amarah. Seakan konflik itu tak lain daripada seminit mimpi ngeri. Dan seperti yang cikgu Rina usulkan, dia anggap semuanya dah berbayar dengan adil dan saksama.

“Tapi mana dia, cikgu?”
“Oh, maaf... Sana tu.” Cikgu Rina menudingkan jarinya ke beranda. Aprilia ditutupi kanvas biru.

Elok dia jaga motor aku.

Hatinya berlagu riang. Tapi tak lama. Tiba-tiba lagu itu menjadi sumbang.
“What the hell???!!!”

Andrey menjerit sebaik saja kanvas diselak. Apa yang terpampang, sukar untuk dipercaya. Terus dia dapatkan cikgu Rina. Bahu dipegang dan digoncang kuat dengan kedua belah tangan.

“Cikgu ni kenapa?! Apa masalah cikgu?!!” Andrey rasa tangannya dah ringan nak melayang ke muka cikgu Rina.

“Awak toreh kereta saya... Saya cat motor awak. Adil, kan? Warna tu sesuai dengan awak. Kenapa? Tak suka?” Selamba cikgu Rina menepis tangan Andrey. Bajunya yang berkeromot sedikit akibat sentapan tadi dibetulkan lantas berjalan santai ke garaj seperti tak ada apa yang berlaku. Berdiri di sebelah Aprilia, dia kemudiannya mengusap tangki motosikal itu.

Shhhittt… Rina... Tapi tak… bukan dengan warna tu... And those.... aaarrggghhhhhhhhhh..........
 
Andrey melepaskan kemarahannya di tembok. Berpaling semula memandang motosikalmya, dia kecewa. 

Entah mana hilang pandangan sayu dari mata cikgu Rina. Entah mana pergi kata-kata lembut yang dia ucapkan tadi. Hanya riak bangga tercermin di muka, tersenyum lebar memandang Andrey yang melangkah lemah, menapak ke Aprilia kesayangan yang dah dia cemarkan dengan warna merah jambu, dihiasi tulisan di kiri dan kanan tangki. Tulisan yang berbunyi —
“I💓 Rina dan sebelah kiri... I 💓 Economics...”

“Cantik, kan?” Tanya cikgu Rina, berbangga menikmati satu lagi kemenangan.

“Lupakan pasal cagaran yang saya cakap hari tu. Anggap je semua dah settle, dah berbayar.”
“Bijak. Memang bijak. Tahniah!!!”
“Well…” Dia mengangkat bahu. Apa yang cuba dia sampaikan, malas Andrey nak fikir.

Oh, harga sebenar. Inilah dia agaknya…

“Saya ada soft spot untuk cikgu kat restoran tadi, tapi terima kasih banyaklah. Sekarang cikgu rosakkan lagi. I hate you, Rina.”
“One day you’ll understand what hate truly means.”

Dengan rasa terhina, Aprilia dipacu laju meninggalkan rumah cikgu Rina terus ke kedai motor untuk mengembalikan warna asal. Malu dia nak bawa motor warna pink, apalagi dengan ungkapan yang menjatuhkan maruah tercatat di kedua belah tangki.

Kerja-kerja pembaikan memerlukan sedikit masa. Apa boleh buat. Kenalah sabar sebelum dia dan Aprilia dapat menikmati kebebasan dengan tenang dan bahagia tanpa gangguan cikgu Rina.

Sewaktu menunggu teksi untuk pulang ke rumah, dia terdengar hati menyapa akal.

“Agaknya macam nilah yang cikgu Rina rasa masa dia nampak apa yang tertoreh kat pintu kereta dia hari tu, kan?”
“Tapi ada ke rasa benci?” Akal memberi satu jawapan untuk difikirkan.

Tags

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!