Hari ini dia tak ditemani Jacques. Lepas makan tadi, Jacques terus ke mesyuarat Kelab Memanah. Ada dia mengajak, tapi Andrey tak minat sangat bersukan. Nanti-nantilah, katanya. Selepas sebatang rokok, dia teruskan niat ke bilik Seni dan Kebudayaan. Memang dah dia rencanakan sejak beberapa hari lepas. Keputusan untuk menyertai semula kelab seni, perlu disuarakan kepada cikgu Fauzi. Sesuatu dah memanggil dia untuk mendedikasikan waktu di situ. Sesuatu yang susah nak dijelaskan.
Cikgu Fauzi menyambut kedatangannya dengan wajah riang. Ternyata guru seni itu gembira dengan berita yang disampaikan. Dua tahun pertama di TBC, dialah yang banyak mendidik Andrey dalam bidang seni lukis. Kini dia meyakinkan lagi bahawa anak didiknya itu telah membuat satu keputusan yang tepat. Bakat perlu digilap begitulah kata cikgu Fauzi dan Andrey setuju.
“Lepas awak tamat tingkatan lima, banyak yang dah dirombak. Awak mungkin tak tau kita dah ada presiden baru. Saya nak berehat dah tak lama lagi. Lepas ni saya jadi penasihat je sementara tunggu pencen. Sepatutnya awak jumpa dia, tapi tak apalah, saya wakilkan. Hari ni dia ada meeting dekat PPD.”
Betul, dia tak pernah ambil peduli tentang kelab selama kembali menuntut di TBC. Kenapa hilang minat? Sebab dia berharap sangat dapat masuk Akedemi Seni. Akibat terlalu kecewa, berbulan dia mengalami depresi. Dia cuba protes keputusan bapanya sehingga beberapa bulan itu akhirnya mencapai setahun. Semua yang dia suka tak dihiraukan lagi, termasuk duduk di tasik, bermain muzik, menulis, melukis, berkebun. Apa yang dia buat sepanjang tempoh itu hanyalah menghabiskan masa di katil, berkurung dalam bilik. Tidur. Membuta. Tanggungjawab pada diri diabaikan. Makan minum pun tak dipeduli kerana itulah beratnya turun mendadak jadi kurus kering.
Mahu tak mahu, dia berserah. Keputusan bapanya terpaksa diikut. Tak tahan diri kena marah, kena bebel hari-hari.
“Buang masa melepek kat rumah, tak ada progres, apa kamu nak jadi?” Bentak bapanya di meja makan pada satu hari.
“Macam mana nak ada progres bila saya depres? Saya tak faham kenapa abah begitu susah nak faham saya. Besar sangat ke permintaan saya? Sekadar nak teruskan pelajaran di Akademi Seni, apa yang teruk sangat?” Jawapan itu dia luahkan kepada ibu. Dengan abah, Andrey tak berani bukak mulut.
“Just go with the flow. Bukan lama pun, 2 tahun je.” Ibunya memujuk.
Andrey terlalu kecewa. Semuanya dah dia usahakan sendiri. Selepas terima keputusan O’Level, dia hubungi Akademi Seni, bertanya tentang pengambilan baru. Mereka memaklumkan bahawa pengambilan sedang dibuka. Sebaik meletakkan ganggang telefon, secepat mungkin dia terus ke sana. Borang akhirnya ditangan. Syarat-syarat dan kelayakan diteliti penuh minat. Berkali-kali dia baca semula. Cukup lengkap dengan apa yang dia ada. Segalanya dia uruskan sendiri secara diam-diam. Ibunya tak dimaklumkan. Andy yang sibuk dengan program IB juga tak diberitahu. Abah? Lupakan saja.
Dalam bilik, dia mula rakamkan demo tape, seperti yang tertera dalam syarat. Sebuah lagu cover dan lagu ciptaan sendiri. Bila demo siap, terus dia menghantar dengan tangan sendiri. Tak lama lepas tu, sepucuk surat dia terima. Surat jemputan untuk temuduga dan uji bakat. Betapa gembira dan bangganya dia.
Berbekalkan sebuah gitar, dia menghadiri jemputan itu dengan penuh harapan. Ada empat orang yang menemuduganya. Seorang perempuan dan tiga lelaki. Gemuruh darah berkocak sewaktu mereka meminta dia mulakan nyanyian. Dia memilih lagu ciptaan sendiri. Masih jelas diingatan, pensyarah perempuan itu memuji. Katanya, dia ada suara yang bagus dan berbakat dalam bidang nyanyian dan penciptaan. Bangga. Dia merasa sangat bangga dan bersemangat dan kepada mereka dia meluahkan hasrat untuk menjadi seorang komposer dan pemimpin orkestra.
Sebulan kemudian, sepucuk surat diterima lagi. Kali ini surat itu adalah ucapan tahniah dari Akedemi Seni atas kejayaannya dalam ujibakat. Dia diterima untuk mengikuti program Diploma Seni Muzik selama tiga tahun di situ. Berita gembira itu disampaikan kepada semua orang. Mak, Andy dan abah. Mak dan Andy turut mengucapkan tahniah dan menyokong apa saja minatnya. Sayang seribu kali sayang, berita itu tak bererti apa-apa pada abah sewaktu surat itu ditunjukkan kepadanya.
Kecewa. Dia terlalu kecewa sehingga matanya pedih menahan tangis. Semuanya terpaksa dia lupakan. Semua usaha dari menelefon, bertanya, ambil borang, rakam demo, audition… Semua itu sia-sia belaka. Dengan hati berat, setelah dipujuk emak, akhirnya dia menyerah. Menyerah dengan pilihan abah.
Hanya selepas dua tiga bulan memulakan perjalanan seterusnya di TBC, barulah perlahan-lahan motivasi dan semangatnya menjelma. Meskipun pada mulanya dia sangat terganggu dengan keputusan tegas abah, tapi lama kelamaan, sekolah menjadi sebuah tempat yang nak dia tuju setiap hari, walaupun hujung minggu. Semuanya kerana cikgu Sophia. Institusi itu menjadi semakin menarik dan cikgu itulah penyerinya.
Cikgu Sophia. Dialah yang telah menghembuskan semangat dan memotivasikan Andrey. Ketenangan dan kekuatan yang sangat diperlukan, ada di wajah wanita itu. Memuja dalam diam, terselitlah angan-angan untuk memiliki. Dia mengaku, kadang-kadang dia rasa malu kerana menyimpan perasaan itu, tapi apa dayanya untuk menipu hati? Setiap kali cikgu Rina menyimbah gusar, cikgu Sophialah tempat dia mencari perlindungan, hanya dengan menghadiri kelas atau sekadar selayang fikiran. Begitulah kesan yang diberi cikgu Sophia tanpa dia sedari.
“Kelab baru kita dah set up di blok C. Awak tau pasal tu?” Cikgu Fauzi mengejutkannya dari lamunan masa lalu.
“Tak tau, cikgu. Tapi kenapa tak kat sini je?”
“Situ lebih strategik, view lebih menarik. More inspiring. Bilik lebih besar, memandangkan bilangan ahli makin bertambah sebab kita dah buka penyertaan untuk semua tingkatan. Dari satu sampailah enam atas, tak ada limit. Jadi saya harap, awak sebagai senior, dengan bakat yang awak ada, dapat jadi inspirasi dan contoh yang baik kepada junior.”
“Saya cuba.”
Andrey mengekori cikgu Fauzi ke Blok C, lokasi baru AC Club.
Dari dinding ke dinding dia melangkah, mengagumi karya-karya yang terbingkai di situ, termasuk karya yang pernah dia ilhamkan di atas kanvas untuk pameran tahun-tahun sebelumnya. Senyuman bangga terukir di bibir. Damai dan tenang dikelilingi seni, terasa jiwanya semakin hidup. Semakin pasti bahawa di sinilah dia mau berada.
Sebuah lukisan menghentikan langkahnya. Untuk beberapa ketika, dia terpaku merenung lukisan itu, kagum dengan apa yang terpampang di dinding. Jiwa seakan dihentak oleh satu momentum luar biasa — satu perasaan yang sangat halus. Lukisan itu bukanlah sebuah lukisan abstract yang memerlukan imaginasi untuk penghuraian. Sekadar sebuah lukisan alam yang ringkas. Permainan warna dan cantuman kehidupan di bumi dan di langit, lukisan itu kelihatan seakan menyanyi. Tentu pelukis mendambakan kehidupan begitu, di situ, seperti yang dia curahkan di atas kanvas. Lukisan itu begitu hidup.
“Presiden kita yang lukis tu. Apa pendapat awak?”
“Hebat.” Hanya ada satu kata yang dapat mendefinisikan kekaguman. Cikgu Fauzi ketawa. Andrey merasa hairan. Lalu kening diangkat, meminta penjelasan.
“Saya harap, awak tak toreh kereta dia lagi.”
Terlopong dia mendengar jawapan cikgu Fauzi.
“Seriusla, cikgu...”
“Saya tak bergurau. Cikgu Rina presiden baru kelab ni. Dia dah tukar nama kelab ni kepada AC Club. Itu lukisan dia. Itu dan ini juga. Tengoklah semua…” Cikgu Fauzi membawa dia melihat satu per satu karya presiden kelab yang baru.
“Setiap Sabtu, dia akan berkarya di sini. Sebagai presiden kelab seni dan kebudayaan, awak jangan pulak terkejut bila saksikan bakat-bakat lain yang dia ada.”
Terdiam oleh kenyataan, cikgu Fauzi menepuk bahunya sambil menyerahkan sekeping kertas— borang penyertaan.
“Let bygones be bygones. Saya pasti cikgu Rina akan merasa bangga bila saya serahkan borang ni kepada dia nanti,” kata cikgu Fauzi sewaktu borang yang dah siap diisi bertukar tangan.
Macam mana aku boleh terlepas benda ni? Macam mana aku boleh tak tau pasal ni? Cikgu Rina, pelukis? Pandai melukis? Bakat-bakat lain?
“Jacques, kau nak join AC Club tak?”
“Apa kebendanya tu? Kelab lumba haram ke?”
“Kalau haram, tak de pakai kelab la monyet.”
“Ye tak ye... Abih kelab malam tu halal la ye?”
Mereka ketawa berdekah, menarik perhatian rakan sekelas yang sibuk dengan aktiviti masing-masing sebelum kelas pertama selepas rehat dimulakan.
“Kelab seni dan kebudayaan la bongok. Halal. 100% guaranteed.”
“Seni tu aku paham. Kebudayaan tu macam mana?”
“Ada macam-macam cabang. Tapi tak semestinya ikut semua. Kau pilih mana kau nak je. Ada muzik, seni lukis, tarian, performance, entah apa lagi. Aku baru join balik kelab tu.”
“Oooo... Aku ni tak reti benda-benda macam tu.”
“Kau minat muzik atau lukisan?”
“Tak.”
“OK, then forget about it.”
“Baik.” Jacques tak menunjukkan apa-apa reaksi, sebaliknya dia mengeluarkan Game Boy dari poket seluarnya. Game Boy? Hmm... Melihat itu, Andrey menyiku lengan kawannya yang leka dengan konsol di tangan.
“Monyet, aku rasa elok kalau ada aktiviti. Cubala, mana tau kau dapat explore bakat seni dan minat kau nanti.”
“Hmm... Kau nak aku teman kau, kan?”
Nak tak nak terpaksalah Andrey mengaku. Ada bimbang dalam hati bila membayangkan kejanggalan menyertai kelab yang diterajui cikgu Rina. Mesti Jacques terkejut bila tahu cikgu Rina lah peneraju kelab tersebut.
“OK, nanti bawak aku daftar.”
“Thanks, buddy.” Spontan dia memeluk Jacques.
“Hoi apa ni peluk-peluk?! Geli lah.”
Selesai sekolah dia terus ke tempat letak motor. Jacques, seperti anjing yang setia pada tuan, mengekori.
“Aku still tak dapat bayangkan macam mana singa gunung tu tunggang motor ni. Aku ni suka jugak nak jadi biker cam kau, tapi aku tak reti bawak moto. Kaki aku pulak pendek.”
Ada saja idea si Jacques. Dia pandai betul buat jenaka dan dia melakukannya secara spontan.
“Aku tak mampu pakai kereta macam kau.”
“Hahahaha, bro, kau ni bodoh ke naif? Kau ingat aku mampu sangat? Kalau bukan mak bapak, memang merangkak la aku.” Ketawa besar keluar dari dadanya. Jacques sememangnya seorang yang happy go lucky.
“Kucing-kucing aku tengah menunggu. Lisa je tak nak ikut, tak tau apa hal. Entah apa-apa kucing seko tu. Tapi yang lain OK. Dah janji nak bawak lunch. Lepas tu...” Jacques ketawa sambil membetulkan kolar bajunya. “Aku akan bagitau kau esok. Betul ni kau tak nak join?”
“Aku dah ada plan. Lain kali la.”
Semakin kuat ketawa Jaqueline Adam. Dia datang dekat dan bahu Andrey ditumbuk.
“Gosh, bro… Kau ni tak teringin ke nak rasa nikmat hidup?”
“Malam aritu, aku serik dah. Apa ntah yang seronok sangat. Serabut adalah.”
“Kau ni Andrey,” Jacques memalingkan badannya menghadap Andrey yang bersandar di motosikal. ”Kalau tanya aku, perempuanlah jawapannya.”
Dengan itu, Jacques meninggalkan Andrey melayan dunia sendiri.
Rokok dinyalakan sambil memerhati dari jauh kegembiraan yang kedengaran dari hilai tawa Jacques and The Pussycats.
Duduk di atas motosikal dia berfikir, betapa mudahnya Jacques memikat perempuan. Senang betul dia dapat kawan. Selama tiga tahun bersekolah di sini, satu-satunya PLU yang dia kenal dan berbual ialah cikgu Rina. Itu pun baru-baru ni je. Lain dengan Jacques, hari pertama saja dah dapat empat... lima, jika Lisa disenaraikan.
“Memangla... Dia pandai menghidupkan suasana bukan macam kau, Andrey. Kau tu pendiam, singa pun tak thrill nak terkam.”
“OK…” Dia senyapkan otak dengan perkataan tersebut. Malas dia nak dengar otaknya mengata-ngata lagi.
“Andrey, tunggu sapa?” Satu suara yang tidak dikenali menyapa dari belakang. Bila menoleh, kelihatan seorang gadis menuju ke arahnya sambil tersenyum.
“Lisa…”
“Awak tau nama saya... What a surprise…” Tangan gadis itu bersilang memeluk buku. Dia kini berdiri di hadapan Andrey yang masih duduk di atas motor. Penampilan Lisa sederhana saja. Macam dia, t-shirt dan jeans. Pernah sekali dua Andrey nampak Lisa di perpustakaan awam bandar itu. Sekali lagi, seperti dia, Lisa juga selalu bersendiri.
“Oh, Jacques yang bagitau. Dia baru je gerak pergi lunch dengan kawan-kawan awak. Kenapa tak ikut?” Soalan yang tidak dapat dijawab Jacques diajukan kepada Lisa.
“Saya tak selesa. Maksud saya, kita baru je kenal, dia dah ajak party semua... Macam cepat sangat, bagi saya la... Plus, dia banyak mulut.”
“Ya, tapi dia funny. Ada dia ajak saya tadi tapi saya setuju dengan alasan awak. Jadi mungkin lain kali.”
“Ya, betul. Lagipun saya tak biasa lepak dengan butch. Kawan-kawan saya lebih sesuai dengan dia, macam Rosy.”
“Biar saya teka, Rosy mesti yang bibir merah berdarah tu kan?” Sengaja dia bertanya, walaupun sebenarnya dah lama tau. Siapa je yang tak kenal Rosy? Dari jauh orang boleh nampak bibir dia.
“Sesuai dengan nama.”
“Awak ni nampak pendiam, lain sangat dengan dia orang tu semua. Macam mana boleh clique?”
Lisa ketawa. “Rosy mintak saya ajar Fizik. Lepas tu dia kenalkan dengan kawan-kawan dia. Saya OK je. Yang penting kita jadi kita, kan?”
Andrey mengangguk, setuju dengan pandangan Lisa. “Betul... Biar sesat, jangan terpesong.”
Ada kerut di dahi Lisa. Keliru agaknya pada apa yang cuba Andrey sampaikan.
“OK… Jadi, awak nak balik terus ke ni?”
“Ha ah… Ngantuk, nak siesta. Penat.”
Lisa mengangguk. Senyuman tak lekang dari bibirnya. “Tapi kenapa tak balik terus je?”
“Saja nak relaks kejap hisap rokok… Awak?”
“Saya ada meeting kelab tenis jap tadi. Pukul lima saya ada latihan. Awak masuk sukan apa?"
“Sukan? Tak de. Kelab Seni je. Saya tak minat sukan.”
“I see. I love sports. Art is not my cup of tea, but I like Van Gogh. Hmm... Kereta saya dah sampai tu. Jumpa awak lain kali. Nice talking to you, Andrey."
Lisa minta diri, berjalan keluar dari pintu pagar sekolah. Sebelum sampai ke kereta yang sedang menunggu, dia berpaling.
“Don’t smoke too much. Not good for your health.”
Andrey membuat andaian bahawa Lisa seorang gadis yang baik. Sebagai markah tambahan, Lisa di matanya adalah yang paling menarik di kalangan rakan-rakannya yang lain. Sekurang-kurangnya dia sopan, tak macam Rosy, Sue, Zana dan Liya yang suka bercakap kosong, kuat, ketawa macam kena histeria.
Tak faham aku macam mana Jacques boleh selesa dengan budak-budak tu. Kalau aku, memang serabut kepala otak dibuatnya.
Senyap sunyi persekitaran sekolah. Semua dah pulang ke rumah masing-masing, atau menyambung aktiviti harian mereka, sedangkan dia masih di situ. Mencari, menunggu… Apa yang dicari, apa yang ditunggu, dia sendiri tak pasti. Yang dia tau, esok, Sabtu. Ada perjumpaan AC Club. Jacques dah setuju nak daftar sebagai ahli, jadi dia bercadang nak heret Jacques sama esok.
Harap Jacques tak bagi apa-apa alasan untuk membatalkan janji.
Kereta cikgu Rina masih di situ. Sejenak dia tertanya, dah ke cikgu Rina menerima borang penyertaanya? Hati berdebar, ada bimbang, malu, segan, ragu-ragu, excited. Taulah dia kini, cikgu Rina bukan calang-calang orang. Dia masih tak menyangka yang cikgu Rina begitu berbakat sampai dilantik sebagai presiden kelab. Perasaan tak suka dulu bertukar menjadi segan. Bila dikenang-kenang semula semua perbualan—sebelum dan selepas insiden toreh kereta, dia jadi semakin malu. Apalagi bila kata-kata cikgu Rina sering kedengaran begitu tulus dan halus.
Sejauh manakah dia menyukai aku atau mungkinkah itu hanya satu gurauan?
Masih duduk berteleku atas motor, masa berlalu begitu saja, sehingga dia disapa, lebih kurang jam tiga petang. Jawapan kepada penantian terjawab sudah. Wanita itulah yang ditunggu, yang dicari. Atas alasan apa, tak dapat dia berkata dengan pasti tapi debaran menghadap hari esok telah menggerakkan hatinya untuk bersiap sedia pada hari ini.
“Dah dapat target kereta mana nak ditoreh?” Tegur cikgu Rina. Andrey tau dia bergurau. Itu terbukti di bibirnya yang menghantar segaris kemesraan.
“Lama termenung? Dari tadi saya nampak awak kat sini. Ke memang tunggu saya?”
Waktu tu jantungnya berdetak lebih kencang seperti genderang mau perang.
Dari tadi nampak aku kat sini? Abih dia tak de kerja lain ke nak buat selain skodeng aku? Jangan-jangan dia ada simpan teropong dalam handbag.
“Hmm... Cikgu... Pasal esok...”
“Ohhh... Pasal tu...”
Andrey mengangguk sambil cuba mengelak kontak mata lebih-lebih lagi waktu tu cermin mata dijadikan hiasan rambut. Bimbang diri terhipnotis lagi.
Angin berhembus sepoi-sepoi bahasa. Cuaca redup dan segar di bawah lindungan pokok-pokok, tapi seluruh badannya berpeluh. Sentuhan nafas alam di kulit membuat dia terasa dingin di bawah pancaran bahang matahari Khatulistiwa.
“Tahniah. Cikgu Fauzi ada bagitau saya pasal tu. Borang awak dah pun saya terima. Welcome back to the club. See you tomorrow.” Lemparan senyuman kecil dihantar. Cikgu Rina meneruskan langkahnya ke kereta.
Eh eh... Cepatnya nak blah... Biasanya kau yang suka curik masa aku…
“Tahun-tahun sebelum ni, cikgu tak de pun join kelab?” Usaha menghentikan langkahnya berjaya. Dia memusingkan badan. Tak lepaskan peluang, terus guru itu dia rapati.
“Biar saya bawakan.” Fail-fail di tangan cikgu Rina segera dia ambil tanpa tunggu persetujuan. Mereka berjalan bahu-ke bahu menuju tempat letak kereta guru.
“Baru dua tahun setengah saya mula mengajar. Tak kan itu pun tak tau?” Pintu kereta bahagian belakang dibuka.
“Oh… Sama dengan cikgu Sophia.”
“Dia awal setahun.” Terang cikgu Rina sambil meminta dia untuk meletakkan fail-fail itu di tempat duduk belakang.
“Itulah, lama sangat honeymoon lepas O’Level…”
Andrey ketawa. “Rehat cikgu. Kalau honeymoon lama cam tu, mau patah pinggang saya.”
Ungkapan itu telah memberhentikan pandangan mata cikgu Rina di mukanya. Dia tersengih sambil garuk dahi. Cikgu Rina mengecilkan matanya.
Apalah aku merepek tadi…
“Cikgu, mungkin Jacques pun nak join. Saya ada ajak dia sekali esok.” Nak tutup malu, segera dia tukar tajuk.
“Why not? Lagi ramai lagi bagus. Kita memang galakkan remaja dekatkan diri dengan seni dan kebudayaan, dengan alam. Cara ni dapat mengelakkan aktiviti sia-sia disamping mengeratkan pertalian sesama manusia, melalui seni dan budaya.”
Sambil memberi sedikit penjelasan tentang visi dan misi kelab, cikgu Rina berjalan ke pintu depan. Baru separuh pintu dibuka, dia terpaksa menutupnya semula bila namanya panggil.
Andrey diserang gugup lagi. Nak cakap apa pun tak tau tapi hati mendesak jangan diam. Cikgu Rina memadang mukanya yang dah mula ditumbuhi peluh di dahi.
Apa kau nak, sayang?
Dia menanti kata-kata lanjut dari Andrey. Ekspresi di wajah jelas mempamerkan keinginan. Setelah mencampakkan beg tangan ke tempat duduk pemandu, pintu kereta ditutup semula. Kunci kereta disangkutkan dijari.
“Hmm... Lukisan cikgu... Hebat.” Seikhlas penghormatan Andrey lontar apresiasi.
“Saya impressed dengan karya-karya cikgu. Tak sangka cikgu melukis dan... ada sentuhan.” Dia menzahirkan kekagumannya dengan memilih kata-kata terbaik untuk mempotretkan ketulusan hati. Ucapan itu berjaya membawa cikgu Rina berdiri di sisinya yang masih bersandar di kereta yang pernah dia toreh.
Tangan pun mula berpeluh. Nafas dia tarik perlahan dan perlahan-lahan juga dia lepaskan, tak nak cikgu Rina perasan kegugupan yang sedang melanda sampai berjaya buat dia tertunduk tengok kasut. Di saat bahu menyentuh bahu, terpantul lah kata-kata dari kotak suara cikgu Rina. Alunan nada kedamaian pun menerjah telinga.
“Terima kasih, Andrey. Saya nampak potensi awak. Semua bakat yang awak ada, sayang kalau tak digunakan. Lagu-lagu awak, lukisan awak. Semua saya dah...”
“Cikgu...” Alunan nada kedamaian itu dia hentikan. Bukan sebab tak suka dengar tapi dia berniat untuk mendengarkan lagu hatinya.
Cikgu Rina dah hilang kuasa ubat tidur. Mengantuk lenyap sama sekali. Niat nak siesta serta merta terbatal dari potongan 24 jam seorang Andrey.
“Ye, apa dia?”
Nampaknya cikgu Rina macam nak cepat je. Serba salah pulak dia rasa nak ambil masa. Tapi dia nekad, lalu mata yang merenung kasut tadi diangkat. Keyakinan yang berlawan dengan keraguan dipadukan. Dari mana timbulnya keberanian, itu bukan persoalan untuk dia memandang penuh wajah cikgu Rina. Rasa percaya yang mula terpupuk bukan untuk disia-siakan. Luka dah menyembuh, meminta dilepaskan dari balutan.
Lembut raut wajah cikgu Rina waktu itu, hanya hati yang bermata saja tau menilai.
“Nak minum teh tak? Teh, pizza?”
Tercetus di harapan semoga mata hatinya tak terus tertidur lagi.