Tirai biru kegemarannya bergelombang di tiup angin. Udara segar dari luar membawa nafas pepohon bersatu dengan wangian dari essential oil yang mengharumkan kamar, mengembalikan seribu satu nostalgia. Hatinya disapa syahdu, diserang rindu.
Andrey duduk di birai katil merenung wajah di cermin. Seketika kemudian, dia berdiri lebih dekat dengan cermin untuk merenung refleksi diri dengan lebih jelas. Tidak lagi asing dalam pantulan, dia melihat seseorang yang amat dia kenalinya, seseorang yang telah lama dia tunggu, yang ingin dia lihat.
Bertahun-tahun dia menempuh jalan yang dipenuhi dengan keraguan, kesakitan dan saat-saat di mana dia hampir tidak mengenali dirinya lantaran tersepit di bawah lapisan kekeliruan. Terima kasih kepada setiap sesi terapi yang membimbing dalam mengupas lapisan, meleraikan simpulan ketakutan dan rasa malu yang selama ini membelenggu.
Hormon telah memulakan kerja dengan senyap, membentuk semula tubuhnya. Perubahan-perubahan itu secara beransur-ansur memadam jasadnya yang lama. Pengalaman itu tak ubah rasanya seperti seorang pengembara pulang ke rumah.
Karakteristik sekunder lelaki menjadi lebih jelas. Suaranya lebih dalam, otot semakin mudah dibina, bentuk muka menjadi lebih bersegi berserta pertumbuhan bulu-bulu yang semakin ketara menghiasi atas bibir dan dagu. Dia membuka baju. Parut di dada terpamer. Parut itu adalah bukti kekuatannya dalam perjalanan kelahiran semula. Tetapi bukan perubahan fizikal semata-mata yang dirasakan seperti dilahirkan sekali lagi— ia adalah kebebasan, ketenangan untuk hidup sebagai dirinya sendiri.
Andrey berasa utuh, bukan sahaja di tubuh tetapi dalam jiwa dan untuk pertama kalinya, dia melihat masa depan tidak lagi berkantakan kebimbangan, tetapi dengan mata harapan. Ini adalah satu kelahiran semula, sebuah hidup baru tanpa syarat.
Badan direbahkan semula ke katil. Selesa. Dia rindukan bilik itu. Rumah itu. Adik-adiknya. Andy. Mak. Abah. Tiba-tiba dia terasa sunyi lalu dia turun ke bawah, meninjau-ninjau sekeliling. Suasana hening dan senyap. Di perkarangan rumah, hanya ada Uncle Black yang sedang tekun menggilap SUV abah.
“Uncle Black, apa khabar?” Dia menyapa. Setin cola bertukar tangan.
“Baik. Kau sihat? Bukan main lagi badan sekarang, macam Brat Pitt,” komen Uncle Black mengundang ketawa dari dada.
“Brat Pitt... Saya lagi suka Johnny Depp.”
“Kena cari Winona la macam tu...” Gurau Uncle Black.
“Esok petang uncle ke kampung jemput boss, kau nak ikut?”
“Tak nak lah...”
“Takut nak jumpa abah?” Uncle Black menuntun mereka duduk di tepi kolam.
“Bukan takut, uncle. Rasanya dia masih belum sedia terima saya macam ni.”
“Uncle pun abah. Macam mana marah pun seorang abah pada anak, tetap dalam hati dia, kasih sayang tu tak akan padam.”
“Tapi abah lagi suka kalau saya jadi Angelina Jolie.”
“Hahaha... Tak sesuai...”
Lama dah Uncle Black berkhidmat untuk keluarga Shariff, memang dah macam ahli keluarga. Hubungan dia dengan Tuan Arman macam adik-abang.
“Abah tu bukan tak suka, dia menolak untuk suka. Ada benda dalam hati dia yang menolak.”
“Apa dia?”
“Apa-apa pun boleh jadi. Ego, mungkin? Tapi kalau kau anak uncle, uncle akan jadi macam mak.”
“Uncle tak kisah?” Lelaki berusia lewat 50an itu tersenyum. Bahu Andrey ditepuk.
“Son, the world is constantly evolving, and so are our thoughts.”
#
Sophia runsing. Semenjak dua menjak ini, hatinya sering berdebar-debar sehingga ada kalanya menyukarkan dia untuk bernafas. Dia pernah mengalami situasi itu dan keadaan semakin pulih sejak dia menjalani rawatan tapi akhir-akhir ini, perasaan itu kerap mengganggu lagi.
Dia berjalan mundar mandir, dari bilik ke dapur. Dari dapur ke ruang tamu. Ke balkoni kemudian ke ruang tamu semula. Televisyen yang dipasang hanya membingitkan telinga. Alat kawalan jauh dia capai lalu butang merah ditekan. Senyap.
Dia bangun dan keluar ke balkoni semula. Tangannya memegang rel. Dia menjengkit dan melenturkan badannya sedikit. Dia menjengkit lagi. Kali ini dia menekan tapak tangan di rel dan cuba untuk melangkah tebing balkoni.
Setiap kali dia berdiri di situ, bersedia untuk terbang, dia mati rasa, dia menyerah. Dunia di sekeliling memalap, warna-warni bumi menjadi kabur dan suara-suara kedengaran samar seolah-olah kehidupan telah mereput sama. Rasa sakit di dada terus-menerus menekan, perasaan hampa menggigit-gigit hati, meluaskan kekosongan yang tidak dapat diisi oleh apa pun.
Setiap upaya untuk mengakhiri hidup bukan lahir dari kejahilan tetapi dari harapan yang tinggi— sebuah keyakinan bahawa mungkin dia akan menemukan Hans bila dia memasuki dimensi di seberang sana.
Sophia membayangkan dia — membayangkan Hans menarik tangannya ke suatu tempat di mana kesakitan hilang, di mana dunia tidak lagi dingin malah menjadi penuh erti. Senyuman Hans adalah satu-satunya cahaya yang dapat dia lihat dalam gelap.
Dia diliputi rasa takut— ketidakpastian yang memualkan perut, memikirkan kemungkinan andai dunia di sebelah sana akan lebih menghampakan, dipenuhi keheningan yang lebih dalam dari ini. Maka dia ragu-ragu, terjebak di antara beban hidup yang tak terpikul dan ketakutan menghadap kematian.
Tubuhnya menggeletar keletihan, namun fikirannya berbisik bahawa tiada lagi ketenangan di dunia ini. Setiap percubaan yang gagal membuatkan dia berasa seperti terperangkap dalam api penyucian yang kejam, seolah-olah kematian sendiri menolaknya, menafikan pertemuan semula yang diharap-harapkan.
Dia tidak dapat bertahan lagi, tetapi setiap kali dia cuba melepaskan, secebis kecil ketakutan, atau keraguan menahannya, memerangkap dia dalam kitaran kesedihan dan kerinduan yang tidak berkesudahan itu.
“Hans...” Bisiknya kepada angin— angin yang menyapu muka, memeritkan mata, menggenangkan tangis.
Tiba-tiba desir angin kedengaran seperti membawa satu suara. Suara Hans. “Aku tak pernah pergi, sayang. Aku sentiasa ada— hidup dengan engkau. Dalam hati engkau. Jangan risau. Aku tetap ada meneman.” Suara itu, seperti pita rakaman yang dimainkan berulang-ulang, bergema tanpa henti.
“Aku datang. Aku akan datang. Kau tunggu aku.”
“Aku tak kan mungkir janji.” Serentak ucapan itu, dia terdengar gema loceng gereja yang kuat disertai laungan azan dari masjid terdekat. Sayup-sayup lantunan suara dan lagu dari kuil-kuil berdekatan memanggil-manggilnya kembali ke dunia nyata.
“Kau janji, Hans?”
“Pernah ke aku mungkiri janji?”
“Aku nak bersama kau. Tunggu aku datang.”
Loceng bergema semakin kuat dan semakin laju. Dia terjelepuk di lantai balkoni. Memandang ke langit, gema suara azan dan nyanyian dari kuil-kuil kini menjauh dan akhirnya hilang. Tapi loceng masih berbunyi. Kali ini bersama ketukan kuat.
“Sophia...” Dia mendengar namanya dipanggil. “Sophia…” Dia tahu, itu bukan suara Hans.
Pintu diketuk lagi. Dia menongkat tangannya, membantu tubuh untuk berdiri sebelum berjalan lesu ke ruang tamu, ke muka pintu. “Andrey...”
“Ye, saya. Kata nak keluar tadi, mintak saya jemput. Ni tak siap lagi. OK tak awak?”
“Ohhh.... Hmmm... Sorry, saya terlelap. Sakit kepala.2 Sophia memicit dahi. Sebelah tangannya memegang bingkai pintu.
Andrey lihat rambut Sophia kusut, tak terurus. Matanya bengkak. Andrey tahu dia menangis. “So... boleh saya masuk tak ni?” Dia terpaksa mempelawa diri sendiri bila agak lama Sophia membiarkan dia tercegat depan pintu.
“Yea, come, come in... of course.”
“Cikgu betul ke OK ni?”
“Ye, saya OK. Awak tunggu sekejap, saya nak mandi.”
Andrey duduk sementara menunggu Sophia bersiap-siap. Dia memerhati sekeliling ruang tamu. Bersepah dengan buku di atas meja kopi. Beberapa biji bantal bertaburan di lantai bertemankan surat khabar dan majalah di sana sini. Dia bangun, mengutip akhbar-akhbar dan majalah tersebut, menyusunnya elok-elok sebelum meletakkan naskah-naskah itu di rak sepatutnya. Bantal-bantal yang berserakan diangkat lalu ditepuk-tepuk kemudian dia menyusunnya kemas di atas sofa. Sehelai selimut berwarna kelabu dia lipat kemudian dia baringkan atas bantal.
Sebuah beg tangan berwarna hitam yang tersadai di lantai dia capai. Sewaktu meletakkannya ke atas meja, sebiji botol jatuh keluar. Andrey mengambil botol bertutup kuning itu. Dia membaca label. Hati yang bimbang menyeru dia untuk menyelongkar beg tangan tersebut. Ada beberapa lagi botol kecil di dalamnya. Dan beberapa paket pil yang tak pernah dia kenal. Sempat dia merakam gambar ubat-ubatan tersebut menggunakan kamera telefon bimbit sebelum terdengar pintu bilik air dibuka dan Sophia keluar ke ruang tamu dengan hanya mengenakan tuala. Dia menghampiri Andrey lalu duduk di sisinya.
“Kata nak keluar, kenapa tak siap?” Sambil bertanya, mata Andrey sempat menjamah bahu yang telanjang itu. Kulit Sophia kelihatan begitu halus dan licin.
“Saya rasa tak sihat. Kita kat sini je, boleh?” Pinta Sophia sambil melumurkan losyen di peha kemudian turun mengusap betis.
Mata Andrey menyoroti pergerakan tangan yang mengusap kaki, dari atas ke bawah. Dari betis naik peha semula. Putih, bersih. Timbul keinginan untuk menyentuh dan merasai kehalusan kulit seorang wanita yang pernah menghiasi mimpi siangnya lalu Andrey menggerakkan tangan perlahan-lahan dan dia memilih untuk menyentuh cawan lalu menghirup teh yang Sophia hidangkan sebelum ke bilik mandi tadi— menelan air liur yang tersekat di kerongkong.
“Kalau tak sihat, tak apalah, tak payah keluar. Awak dah makan?”
“Belum.”
Segera Andrey bangun menuju ke ruang masak. Berdiri di tingkap dapur, dia menarik nafas sambil mengurut dada.
Patut ke aku tunggu, atau balik terus? Wajah Rina menjelma di fikiran.
“Kalau rajin masaklah. Kalau malas, tak payah. Saya tak lapar.” Sophia yang masih dalam keadaan berkemban berdiri di muka pintu dapur. Kini dia menggosok-gosok pula lehernya, meratakan losyen di situ kemudian beralih mengurut kedua lengan sebelum meneruskan usapan di dada. Andrey terkedu. Seketika matanya terpaku melihat Sophia dalam keadaan begitu buat pertama kali.
Dia hanya tersenyum melihat reaksi Andrey. Dia tahu Andrey resah. Dia tahu Andrey malu. Getaran di seluruh wajah Andrey turut bergetar di seluruh tubuhnya. Dia tahu, kalau dia memulakan, pasti sesuatu akan berlaku. Meskipun begitu, dia seronok melihat kegugupan di mata Andrey. Dia suka melihat sepasang mata itu menyoroti tubuhnya, membelai kulitnya hingga pandangan menjadi kabur. Sophia membayangkan diri dan tubuhnya serta hati dan jiwanya disentuh dan dibelai Andrey dan dia tahu itu tak sepatutnya terjadi.
Senyuman Hans menjelma di minda berselang seli dengan senyuman di wajah Rina.
“Saya tak lapar...” Katanya lagi, agak kuat.
“Tak pe, saya tengok apa yang ada...” Cepat-cepat Andrey alihkan pandangan matanya ke sudut dapur. Terus dia buka almari, mencari apa yang patut. Meja kosong. Dapur bersih. Dia buka pula peti ais. “Saya masak apa yang ada, ye... Kita makan sama-sama.” Tak ada jawapan. Dia menoleh ke belakang, Sophia tak ada di situ.
Beberapa minit kemudian, Sophia kembali menyertainya di dapur, lengkap berpakaian. “Masak apa?”
“Apa yang ada je... Tuna sandwich.”
Sophia senyum, teringat hari pertama Andrey belikan dia tuna sandwich— teringatkan Hans yang selalu buatkan sandwich kegemarannya itu setiap kali mereka berkelah atau sebagai bekal ke sekolah.
“Ehmm... Rina... Rina cakap nak masak malam ni, awak join kami?”
“Tak apalah... Petang sikit saya ada hal. Tak tau pukul berapa habis.” Sandwich tuna dihidangkan di atas meja dekat balkoni. Mereka berbual kosong, menggantikan rancangan untuk keluar membeli belah.
“Akhirnya dapat juga awak buat semua ni. Apa awak rasa sekarang?”
“Lebih gembira, lebih berkeyakinan. Macam saya cakap dulu, saya buat untuk saya bukan untuk orang lain.”
“Maaf, saya tak ada dengan awak waktu tu.”
“Tak apa, saya faham. Cikgu banyak hal yang lebih penting nak buat.”
Sophia mengangguk, melemparkan senyum nipis. “Kita borak kat sini aje lah ye. Hari ni saya rasa tak sedap badan.” Katanya seperti dia terlupa yang dia dah membatalkan rancangan waktu Andrey sampai tadi. Andrey tak kisah sangat tentang itu. Asalkan dia tahu, Sophia tak apa-apa.
“Saya simpati atas kehilangan papa awak. Maaf sebab saya masih hospitalised masa tu, tak dapat menziarah hari tu.”
“It's OK... Hidup memang pasangannya mati, kan? Saya kena terima.”
“Yes, it's just a matter of time.”
Sophia memerhatikan Andrey dari hujung rambut ke hujung kaki. Wajahnya, suaranya. Seperti biasa, Andrey gemar memakai kemeja. Kemeja lengan panjang itu dilipat lengannya sampai ke siku. Sophia memerhati kelainan pada lengan itu yang kelihatan lebih berotot, dihiasi urat-urat yang menonjol. Berbeza sungguh kalau nak dibandingkan waktu di sekolah dulu. Dia terkenangkan Hans. Pasti saja Hans akan melalui perubahan-perubahan yang sama kalaulah dulu dia berkesempatan untuk mendapatkan rawatan yang serupa.
“Banyak awak dah berubah. Muka awak, fizikal awak. Awak nampak lebih lelaki.”
“Tak suka?”
“Mana boleh tak suka. Kacak.”
“Thanks.”
Sophia senyum, merapatkan diri di sebelah Andrey. “Yang penting awak happy. Awak sihat. Pada saya, macamana pun awak, awak tetap Andrey saya.”
Minum petang dinikmati bersama segar udara dan pemandangan indah dari balkoni tingkat tujuh itu.
“I'm happier and feel healthier. Anyway, how's life?”
“Tak ada apa yang menarik pun. Sekolah, mengajar, balik rumah, tidur. Bosan.”
“Kena ada orang jaga baru tak bosan.”
“Awak nak jaga saya, Andrey?”
“Boleh ke?”
“Awak sayang saya?”
“Mestilah sayang.”
Sophia merapatkan tubuhnya ke tubuh Andrey. Tangan disentuh dan di situ dia melepaskan satu ciuman sebelum lengan Andrey diusap lembut. “Setiap kali hujan turun, saya pasti teringatkan awak. Awak ingat lagi tak, hari pertama kali kita jumpa?”
“Jerat... Tak pernah saya lupa.”
“Jerat...” Dia tersenyum. Matanya memandang penuh ke wajah Andrey. Ada sinar seperti selalu. “Berdebar... tapi bila dekat baru saya sedar, Hans dah takde. Mungkin saya gila.”
“Cinta memang gila.”
“Memang gila sebab sejak ambil alih tempat cikgu Lee, pelan-pelan saya rasa hidup balik. Semuanya sebab awak.”
“Sebab dia...”
“Maafkan saya...”
“Tak apa. Saya faham, berat ujian awak.”
“Andrey, saya tak ada niat nak mainkan perasaan awak. Apa yang saya rasa, semuanya dari hati. Saya harap awak faham, saya tak boleh khianati dia. Hati saya untuk dia seorang.”
“Memang gila sebab sejak ambil alih tempat cikgu Lee, pelan-pelan saya rasa hidup balik. Semuanya sebab awak.”
“Sebab dia...”
“Maafkan saya...”
“Tak apa. Saya faham, berat ujian awak.”
“Andrey, saya tak ada niat nak mainkan perasaan awak. Apa yang saya rasa, semuanya dari hati. Saya harap awak faham, saya tak boleh khianati dia. Hati saya untuk dia seorang.”
Dagu Sophia Andrey sentuh untuk membawa mata menatap mata. Dia nak dengar mata itu sendiri mengucapkan kata-kata itu terus ke dalam matanya.
“You are too special to be true. I'm sorry.”
“Perjalanan hidup masih panjang. Ini satu fasa je.”
“Jangan terluka kerana saya.”
“Tak ada apa yang akan terluka...”
Jadi apa yang nak ditanya lagi? Tak ada apa... Dia hanya dapat memberi masa.
“Don't worry. I understand it all. It was tough what you've been through and you have no idea how strong you are.”
“Mengapa kami bertemu hanya untuk dipisahkan?”
“Sampai masa nanti, awak akan dicintai setulus itu lagi.”
“Benar. Masanya akan tiba. Kami akan terus bersama. Saya tunggu waktu tu datang.”
Lafaz kata itu benar-benar menghiris hati Andrey. Setiap kali kalimat seperti itu terpancul dari mulut Sophia, sukar dia menahan sebak sesukar dia menahan diri daripada menarik Sophia kembali ke dunia nyata. “Bukalah hati awak. Terimalah hakikat yang Hans tak mungkin akan kembali lagi sepertimana awak terima hakikat kehilangan papa awak.”
“Hans tak akan kembali sebab dia sentiasa ada. Dia tak pernah pergi. Dia tak pernah hilang. Dia selalu ada.”
Andrey terdiam, gagal membina ayat sempurna yang dapat mengubah fikiran Sophia. Lalu dia menarik nafas panjang dan perlahan-lahan dia tiupkan ke dahi Sophia bersama satu ucapan bisu, “saya sayangkan cikgu.”
Sophia meletakkan kedua belah tapak tangannya dipipi Andrey. “Dah tiba masanya untuk awak tentukan hidup awak.”
“Macam mana dengan masa depan awak? Awak tak boleh hidup menangisi nasib...”
“Kan saya dah ada kehidupan? Kerjaya saya, pelajaran saya. Awak doakan saya berjaya buat Master. Kalau ada rezeki sampai PhD.”
“Doa saya tak pernah putus. Kalau boleh saya nak teman Sophia sampai semuanya jadi realiti. Bukan setakat PhD je.”
“Thanks. Saya pun camtu... Satu hari nanti saya nak tengok Andrey Shariff memimpin orkestra. Mungkin satu konserto untuk saya, siapa tau?”
Bila Sophia menyebut tentang itu, semangat Andrey menyala. Teringat dia pada permohonan yang akan dihantar. “Ada rezeki saya akan teruskan impian saya. Konserto Untuk Sophia akan saya realisasikan. Saya dalam proses buat demo untuk permohonan ke Akademi Seni.”
“Lagu apa?”
“Suara.”
“Lagu Rina.” Sophia tersenyum. Mindanya mengulang tayang bibit-bibit yang bertunas dalam hati Rina. Dia dah saksikan bagaimana bibit-bibit itu bertumbuh menjadi benih dan menyubur bertunas. Dalam hati dia doakan semoga tunas itu menghidupkan sebatang pokok yang gagah. “Melodi yang awak cipta, puisi yang Rina tulis saling melengkapi. Saya suka.”
“Puisi tu selalu buat saya rasa terharu.”
“Saya tak pandai bermadah. Saya tak berseni... Saya sayang awak. Itu je saya tau.”
“Saya pun sayang Sophia. Sayang sangat.”
“Dan saya juga tau perasaan Rina kat awak. Jelaskan, dari puisi dia? Dapat ke saya gantikan tempat Rina?”
Kata-kata Sophia mendiamkan Andrey. Dalam diam ada keluhan.
#
Selama kembali ke rumah abah, Andrey selalu mengelak dari bertemu muka. Nasib baiklah semua orang dalam rumah tu tau, dia ni memang jarang turun sarapan kecuali sewaktu bersekolah dulu. Jadi, tidak lah dia rasa terpaksa sangat. Cuma waktu makan malam susah nak elak melainkan kalau abah ada urusan luar. Bila tahu abah akan menyertai makan malam, cepat-cepat dia ajak Rina keluar. Penat main lari-lari begitu tapi lagi memenatkan kalau terus bergaduh. Andrey dah mula fikir nak keluar terus dari rumah abah bila dapat masuk Akedemi Seni nanti. Sewa rumah sendiri.
Amanda telah memaklumkan, cuti semester kali ini mak dan abah nak bawak mereka semua melancong ke Rusia. Lega. Andrey rasa sangat lega. Pergilah. Melanconglah mana pun abah nak bawa. Dia hanya nak bersendirian, aman dekat Terusan Tasik Biru— dunia untuknya.
Dan percutian itu telah membuka kesempatan untuk dia menjemput Rina ke rumah.
“Besarnya rumah awak... Istana ke apa ni?”
Betul, dia selalu mengambil dan menghantar Andrey depan rumah tapi tak pernah lagi dibawa masuk ke dalam. Dari luar rumah susah nak nampak betapa besarnya singgahsana abah dan mak lantaran dilindungi pokok-pokok yang menutup dan mengelilingi kawasan. Bila masuk, baru kelihatan betapa luasnya mahligai Tuan Arman.
“Rumah abah. Rumah mak. Saya belum mampu buat rumah. Kalau mampu pun tak nak saya besar-besar macam ni, nak buat apa?”
“Tak perlu besar dan mewah. Cukup untuk kita berdua, itu dah memadai.”
“Rumah kecil kita yang serba sederhana tu akan akan saya besarkan, akan saya kayakan dengan kasih sayang.” Andrey memeluk Rina dari belakang. Bahunya dicium. “Jom... Saya nak tunjuk awak satu benda paling awak suka.” Tangan Rina dipimpin ke ruang muzik. Di sana grand piano kesayangan mak megah menanti untuk dipetik.
“Steinway & Sons...” Rina pandang muka Andrey, teruja. “Tak pernah terfikir akan dapat main piano ni. Paling-paling hebat pun Kawai je.”
“Go ahead. Play me a masterpiece, maestra.”
“You sure?”
“It's made for that, especially for a gifted person like you.”
Rina mengelilingi piano tersebut. Dia mengusap dan memerhati setiap inci binaan halus dan mewah itu.
“Abah hadiahkan mak piano ni masa ulang tahun perkahwinan mereka yang ke lima.”
“Really? How romantic. So mum plays? And your dad too?”
“Abah... bolehla, sikit-sikit. He likes music but is not a musician. Mak surely is.”
Bukan saja sebagai hadiah ulang tahun, piano itu juga abah hadiahkan kerana mak telah membawa dia dan Andy ke dunia. Andrey menyemat sebuah hajat dalam hati— satu hari nanti, bila dia dah kaya macam abah dan mak, akan dia hadiahkan Rina piano yang lebih hebat dari itu.
Tarian jari mula berlari di atas kekunci hitam dan putih. Dia tersenyum memandang Andrey tanpa jari-jarinya tergelincir dari menyentuh nota-nota. Tersuaralah melodi indah, menusuk jauh ke sanubari. Andrey terpesona pada gabungan dua keindahan. Indah karya agung ciptaan Pencipta— dia. Dan indah melodi yang bergema dari petikan jari-jari yang ingin dia genggam sampai bila-bila.
“Matrimonio De Amor...” Rina berbisik ketika petikan dia hentikan. Wajahnya diangkat, menghadiahkan tatapan penuh kasih ke mata Andrey.
“Your talent and gift are truly exceptional. You deserve such a piano.”
“I can never afford this.”
Andrey tersenyum. Kata-kata itu menguatkan lagi azamnya untuk berusaha sampai satu hari nanti piano seperti itu akan menjadi milik wanita yang dia cintai.
“OK... Tadi kata nak masak. Sekarang jom kita tengok siapa lagi berbakat kat dapur.” Rina menarik tangannya.
“Cikgu Rina, kawin nanti saya nak macam ni— pagi, cikgu kejut saya, macam selalu. Macam masa sekolah dulu tapi lain sikit sebab sarapan dah siap atas meja tunggu saya. Bila lunch pun sama. Lunch mesti ada dua lauk. Daging dan sayur. Balik kerja saya tau dinner dah menunggu. Sama macam lunch, mesti ada daging dan sayur tapi tak nak recycle tengahari punya.”
“Amboi demand... Ingat saya ni bibik ke apa?”
“Kata nak jadi isteri mithali?”
“Abis kalau semua saya buat awak nak buat apa?”
“Ohhh... Saya ada tanggujawab lain lagi berat dari tu.”
“Pandailah awak...”
“Dah semestinya. Tengok sini...” Pinggangnya Andrey rangkul. “Saya bangun pagi, keluar cari rezeki. Balik petang, nak kena potong rumput, siram bunga, cantas ranting. Lepas tu malam nak kena layan bini pulak... Kesian tau. Bini saya dah la ganas macam singa gunung.”
Rina ketawa besar lalu pipi Andrey ditampar manja. “Gatal...”
“Sangat...” Terus Andrey memeluk lalu menolak tubuhnya jatuh sedikit di atas meja makan sebelum dia melumatkan bibir mereka. Rindu buat dia jadi geram. Kalau boleh dia nak angkat Rina bawak terus ke atas. Ke bilik tidur dan hempas terus atas katil untuk melepaskan rindu dendam. Lupakan pasal masak. Lupakan pasal makan.
“Dah lah tu... Kata nak masak.” Badannya ditolak dan Rina terus bangun menuju ke peti ais.
“Ada daging, sayur. Hmm...Black pepper beef, your favourite.”
“Marvellous.”
Masak bersama di dapur bukan saja satu terapi tetapi juga meditasi— salah satu cara untuk lebih dekat dengan pasangan, lebih mengenali dan cara ini juga dapat merapatkan lagi keintiman serta kasih sayang. Andrey suka begitu. Bergurau senda di dapur sambil dengar lagu. Dengar Rina menyanyi dan sementara tunggu daging empuk, lauk masak, mereka boleh menari macam mula-mula dulu.
Kesempurnaan harus dicipta, bukan dicari.
Keharmonian itu menguatkan kasih sayang dan rasa cinta antara antara mereka. Lebih puas dari duduk makan di kedai, itu dah tentu.
#
“Jom kita tengok matahari terbenam.” Andrey memimpin tangan Rina ke tingkat rumah paling atas— rooftop terrace and garden untuk keluarga Shariff menyejukkan mata menikmati warna-warni alam yang permai.
Dari puncak tertinggi banglo itu, menghadap ke timur, kalau rajin bangun pagi, dapatlah tengok matahari terbit. Dan bila petang macam ni, kalau cuaca baik, memang tak pernah dia lepaskan peluang untuk melihat matahari terbenam di sebelah barat. Hari ini Andrey mahu bersama Rina menghayati keindahan ciptaan Tuhan yang biasanya dia kecapi seorang diri atau jika masa mengizinkan, bersama ahli keluarga yang lain.
“Cantiknya... Beruntung betul awak.” Rina menarik nafas, menikmati udara segar dari puncak bukit. Dia mendepangkan tangannya seolah-olah dia cuba memeluk awan.
“Semua ni bukan saya punya. Pinjaman.”
“Tak semua orang dipinjamkan benda-benda hebat macam ni.” Dia mengalihkan pandangan matanya ke wajah Andrey. Tangan yang cuba meraih langit, mendambakan kebebasan tanpa beban dari awan, kini kembali mendakap kehangatan insan di sisinya, sosok yang kukuh dan nyata.
“Sebab tu kita mesti selalu hargai apa kita ada. Saya harap balik dari Rusia nanti abah akan lembut hati terima saya. Saya masih menumpang di sini.”
“He could use a little vodka for that.” Kata Rina dalam gurauan, merelakan diri dibungkus oleh satu-satunya perkara yang dapat dia genggam. Langit boleh menunggu. Dia hanya mahu memegang apa yang nyata.
“He should. Let's pray for it.”
Matahari perlahan-lahan membenamkan diri, degupan jantung aman berpadu di tapak tangan. Mereka menghembuskan doa untuk disatukan dengan nafas alam. Masing-masing mengaminkan dengan harapan semoga ia mencecah kaki langit dan dibawa matahari terus ke syurga.
Pemandangan senja mereka nikmati sehingga matahari hilang dan gelap mendakap malam. Taman yang abah bina ilham dari mak kini diterangi lampu-lampu malap yang menyala secara automatik bila gelap dan terpadam bila terang.
“Malam ni bulan mengambang penuh. Biasanya saya buat ritual.”
“Ritual? Ritual apa? Pelik-peliklah awak ni.”
“Ritual... minum darah kambing. Kambing hitam...”
“Hahaha... Mana kambingnya?” Rina ketawa sakan mendengar jenaka yang cuba dibuat buah hatinya itu.
“Kat pasar.”
“Awak ni, mengada!”
“Moonlight bath. Kalau cuaca baik, saya akan berendam dalam kolam ni sambil tengok atas sana.”
“Interesting. Tak pernah saya buat tu.”
“So, tonight will be your first moonlight bath.” Andrey merangkul tubuh Rina sambil melepaskan ciuman di bahu. “Sayang...”Di telinga Rina dia berbisik. “Nak tengok tak?” Cuping telinga digigit manja.
“Tengok apa?”
“Dada baru saya, fully recovered.”
“Dah lama saya tunggu.”
“Tak sabar ye?”
“Hari tu dapat tengok masa pakai compression vest je. Now let me undress you.”
Rina mengizinkan Andrey mencuri kesempatan membelai rambutnya yang dibiarkan terurai menyentuh bahu sementara dia melepaskan butang baju kemeja di tubuh Andrey satu persatu. Bulan melebarkan cahaya ke seluruh langit yang tidak berawan. Sebutir demi sebutir bintang menampakkan diri dan serangga mula bernyanyi. Andrey memandang ke atas, menghembuskan rasa syukur dan terima kasih yang tulus kepada Tuhan kerana telah menganugerahkan dia sebuah mahakarya buat peneman hidup.
“You look great.” Dadanya yang kini bogel diusap lalu Rina melepaskan satu ciuman di situ.
“You like what you see?”
“I love what I feel.”
“Mak abah dan adik-adik cuti lama. Rina boleh ajar saya berenang sementara tunggu sekolah bukak balik.”
“Berenang je?” Rina senyum mengusik.
“Apa je ilmu cikgu ada, saya nak berguru.”
“Apa je awak sanggup belajar, mana je, bila-bila masa pun. Tasik, sungai...”
“Langit, awan… Ke bulan, ke bintang?”
“Semuanya percuma. Kita lagi kaya dari mak abah awak.”
“Yes, we surely are.”
Cahaya di langit terbias di permukaan kolam. Andrey menuang wine merah ke dalam gelas kemudian diserahkan kepada kekasih hati yang terpegun menatap wajah bulan.
“I feel so blessed.” Katanya. Gelas berisi wain merah itu dihantuk. “To us.”
Kolam di rooftop terrace terasa begitu dekat dengan bulan yang bersinar indah seperti mutiara bercahaya. Airnya hangat menyentuh kulit ketika mereka terapung bersama di bawah bentangan langit malam. Mereka minum sambil bercerita, bergurau dan ketawa perlahan. Dunia sunyi di sekeliling kecuali riak kolam yang lembut digerakkan tubuh mereka.
Rina tidak menjangkakan apa-apa di luar saat yang sempurna ini— dia hanya mahu memeluk Andrey. Dia mahu selamanya memeluk cintanya.
“Rina pandai buat saya jatuh cinta.” Bisikan di telinga membuat bulu roma Rina merinding. Dia luluh dan menyerah dalam pelukan. “Saya cintakan Rina.” Lengannya diusap lembut kemudian jari-jari itu melewati bahunya sebelum mendaki ke dagu untuk merapatkan bibir dengan bibir. “I dont know how to express my feelings but please know that you make me whole.”
Serentak dunia meluas dan memudar apabila Andrey meluahkan perasaan, meninggalkan mereka berdua dalam ruang di mana hanya kata-kata yang wujud.
Setiap patah perkataan membawa kebahagiaan dan cantuman emosi yang menyelubungi hatinya seperti pelukan hangat. Suara Andrey sedikit bergetar ketika dia memberikan bahagian yang paling berharga dari dirinya. Jarang Andrey melakukan itu tapi kini Rina mengerti, bila dia melakukannya, bererti dia benar-benar pasti dan bersedia.
“I have nothing material to offer you, but I believe we can complete each other spiritually.”
“I never doubted.”
“Saya nak kukuhkan hubungan kita.”
“Awak pasti?”
“I never doubted.”
“Saya nak kukuhkan hubungan kita.”
“Awak pasti?”
Andrey memanjangkan tangannya, mencapai seluar pendek di tepi kolam. Saku poket diseluk kemudian dia membawa Rina rapat ke dadanya. “Dengan cincin ni...”
Dada Rina terasa sebak, harmoni dengan campuran perasaan— gembira, terharu, tak percaya. Semangat emosi yang Andrey curahkan terlihat begitu mentah dan jujur, indah dan luhur. Dia terasa seperti berdiri di hadapan lautan luas tak bertepi. Ombak cinta menghempas lembut ke dadanya, meninggalkan dia tercungap-cungap mencari nafas.
“Be my wife, Ireena Joseph.” Di bawah sinar bulan, Andrey melamar. Setelah hampir tiga tahun mereka menyelami dan memahami hati masing-masing, Andrey cukup pasti Rinalah pilihan yang terbaik buatnya, dirinya dan masa depannya.
Itu satu kejutan buat Rina. Dia sama sekali tak menyangka Andrey akan melamarnya secepat itu. Namun bahagia di hati yang terbias di wajah tak mungkin dapat disembunyikan dan dia dah lama bersedia.
Melilit kedua belah tangannya ke leher Andrey, Rina berbisik, “I was married to your soul long before you even knew it.”
Cincin yang dah tersimpan sejak empat bulan lalu akhirnya tersarung juga di jari manis masing-masing. Nama mereka siap-siap diukirkan di dalam cincin yang berkilau di bawah cahaya bulan.
“I love you with every thought, every breath and every step. I'll protect you with every prayer, loving you with every tear. Holding you in every hope. Believing you in every trust.”
“Tell me more.”
“As I wait for each day to arrive, I will hold you tight, every night. Waking up next to you, seeing a smile etched on your lips. Knowing that you are mine and Heaven belongs to me.”
Hati Rina menangis kegembiraan. Benarlah dia tak salah bila tegas mengatakan bahawa cinta akan datang tanpa perlu mencari.
“Tuhan hantarkan Rina untuk saya.”
“I love you, Andrey.” Suaranya tersekat sekejap di kalimah itu. “No dimension can ever replace our greatest moments.”
Malam itu umpama malam bulan madu. Malam kedua buat mereka berdua, membebaskan jiwa daripada cengkaman keraguan di bawah simbahan cahaya bulan yang terbias di air kolam.
Percintaan di kolam renang berlanjut ke kamar. Pintu balkoni dibiarkan terbuka luas, membenarkan alam menyaksikan percintaan mereka. Hembusan bayu bergaul dengan wangian Frankincense menambah segar udara malam.
Dingin angin dah hangat tubuh bersilih ganti menyentuh kulit. Bibir yang saling merindu berpadu dan membelai, meresapkan cinta yang semakin tebal dan mengukuh. Andrey merebahkan tubuh Rina di atas katil yang pernah menyaksikan kerinduannya terhadap cikgu Rina, tak lama dulu. Kenangan malam-malam penuh kerinduan yang hangat itu melintasi ruang ingatan. Rindunya bertambah. Dia tersenyum sambil mengucup bahu bekas guru ekonominya yang akan terus menjadi guru dalam hidupnya.
“I've been waiting for this since our first night together. I missed you so much.”
“I'm all yours.”
“Ireena...” Dia mengucup sepasang mata indah itu sambil tangan membelai hati. “Cikgu Rina... my wife.”
Simbahan cahaya bulan yang mengambang penuh merestui penyatuan jiwa mereka.
#
Ruang bacaan terasa tegang, tebal dengan kata-kata yang tidak terucap. Foto keluarga menghiasi dinding— gambar percutian, parti hari jadi, senyuman yang kini jauh dan memudar. Suasana terasa berat dengan perbualan yang sudah terlalu lama dihindari.
Andrey berdiri di tengah-tengah ruang itu, tangan terkepal di sisi tubuh. Dadanya naik dan turun dengan cepat. Matanya enggan berkedip akibat kekecewaan. Suaranya disekat rasa sakit. Tuan Arman berjalan ke arahnya, memegang sehelai sampul putih. Mata yang dalam itu menatapnya tajam. Puan Asha duduk di sofa, diam namun berharap dia masih bisa menenangkan badai yang telah menghempas selama berbulan-bulan.
Dokumen pertukaran jantina dan semua rekod pertukaran pengenalan secara rasmi sampai ke tangan Tuan Arman. Dia tak mahu mempercayai apa yang dibacanya tapi semuanya jelas nyata sekarang. Andrey bukan lagi Adriana. Rasmi. Puan Asha cuba memujuk dan meyakinkan namun nampaknya tiada yang dapat melembutkan hati seorang abah.
“I understand you're scared. We're both scared. But if we turn away from him now, we'll lose him. Maybe not physically, but emotionally. Is that what you want? To push him away because you disagree with who he is?”
“This... this whole thing—this is not what I raised you to be!” Suaranya serak. Kemarahannya tajam, tetapi di bawah suara itu tersembunyi derau ketakutan, kesedihan yang dia enggan akui.
“Saya cukup bersyukur sebab ada mak yang memahami bukan macam abah yang menzalimi. Dari dulu tak pernah abah dengar saya sedangkan semua permintaan dan arahan abah saya turut. Satu ni je yang saya mintak, kenapa susah sangat abah nak bagi?”
“Crazy! This is crazy!”
“You know it's not true, Arman. Berapa kali dah saya terangkan tapi awak tak nak dengar langsung. Kalau dia sakit mental sekali pun, dia tetap anak kita. Dia dah dewasa untuk tentukan arah dan jalan hidup dia.”
“It's still a mental illness to me.” Tuan Arman menghempas sampul di tangan ke atas meja. Dia memandang ke dinding, ke arah gambar keluarga yang tergantung di situ dengan mata kecewa.
“Let's assume you are right. Will you keep denying his needs and his right to be treated? This is the treatment he needs. Open your mind, Arman... For God's sake.”
“Saya tak gila abah. Gender Dysphoria is not a mental illness. I suggest you meet the doctors for a clear understanding.”
“Don't try to teach me.”
“Or better yet, consider a therapy for transphobic issues.”
Tangan abah melayang ke pipi. Panas. Berdesing telinga, Andrey tersandar ke dinding. Tak cukup dengan tamparan itu, abah tambah lagi dengan satu penumbuk di muka sampai berdarah hidung.
“Nak sangat jadi lelaki, kan? Fight me!”
Berpinar-pinar kepala dia rasa. Tak pernah sekali dalam hidup abah buat macam ni. Kini sedarlah Andrey bahawa abah benar-benar marah dan kecewa. Tapi dia akan lebih kecewa jika terpaksa memalsukan diri demi kepentingan orang lain.
Puan Asha meluru mendapatkan anaknya. Darah yang menitis bersama airmata dia kesat dengan lengan baju. Andrey dipeluk sambil matanya memandang tepat ke wajah seorang suami yang tak lagi dia kenali.
“You dah gila ke Arman?!” Puan Asha terasa malu memandang suaminya. Tak pernah dalam hidup, lelaki itu menaikkan tangan kepada anak-anak mereka. Arman di depan matanya ternyata bukan Arman yang dia kenali. “I dont know you... This is not my Arman...” Suaranya tersekat-sekat menahan sendu. Lelaki yang penuh dengan kelembutan dan kasih sayang kini telah hilang. "Can't believe you could be so heartless, Arman! You should feel ashamed of what you've done. He is your son. That's the fact.” Puan Asha kesal, suaminya bagaikan dirasuk hantu, betul-betul dah hilang akal. Dia menekup muka cuba menyorokkan airmata. Hatinya hancur melihat anaknya terpaksa menanggung beban penolakan itu hanya kerana mahu menjadi diri sendiri.
“Shut up!” Tuan Arman tak mahu mendengar apa-apa lagi. Dia bangun dan melangkah keluar, meninggalkan isteri dan anaknya.
Andrey tahu, masa dah tiba untuk dia keluar dari rumah abah, membina hidup sendiri. Dia tak mau jadi punca pertengkaran orang tuanya. Dia tak mahu melihat hubungan dan cinta antara mak dan abah rosak kerana dia.
“Mak, it's OK. I'll be alright.” Dia mencium pipi mak kemudian angkat kaki ke bilik untuk mengemas apa yang patut.
Sebelum berlalu meninggalkan mahligai abah, Andrey peluk erat tubuh mak. Wajahnya kecewa tapi matanya tak pernah gagal memancarkan sinar kasih sayang.
Di ruang tamu, Tuan Arman menghempaskan badannya ke atas sofa. Dia memandang tangan sendiri.