Suara ~ Bab 9 : Kantoi

Ray FL
0


B(caps)ilik guru sunyi sepi. Sophia sedang leka menghadap komputer ketika Rina menegurnya dari belakang. Di tangannya ada dua botol minuman. Satu diserahkan kepada Sophia dan satu lagi untuk dia sendiri.

“Banyak lagi ke report nak dibuat?” Tanya Rina. Kerusi ditarik. Punggung dilabuhkan.

“Mana pandai habis report ni semua. Selagi hidup, selagi kena kerja, macam ni lah.”
“Cuba kau tengok ni.” Rina meletakkan sebuah fail di atas meja Sophia. Jari-jemari yang lincah menekan papan kekunci kini berhenti. Fail diambil lalu diselak satu persatu.

“Bukan main kemas assignment ni. Buah hati punya, ye?”
“Siapa lagi.”
“Nampaknya ada perubahan positif. Well done, cikgu Rina. Aku rasa kau dah inspired dia.”
Inspired la sangat.” Tersenyum sinis, Rina kemudian menambah, “cuba kau baca betul-betul.”

Sophia menurut arahan. Berkerut dahinya cuba memahami apa yang tercatat dalam lembaran-lembaran putih tersebut.

“Aku kalau ekonomi ni, memang fail. Tapi tengok OK je kertas tugasan ni. Kau tak happy ke dia dah banyak berubah?”
“Bukan dia buat ni. Dia suruh orang.”
“Kau ni kan, suka betul menuduh membuta tuli. Ada bukti?”
“Bukti tak ada.”
“Tak de bukti tapi confident je kau cakap dia suruh orang. Kalaulah betul orang lain yang buat, kau tau ke siapa?”
“Tak tau pun.”
“Habis, nak serkap jarang je?”
“Intuisi.”
“Ahhh… Kau ni Rina. Sengaja nak cari pasal ke atau sengaja nak cari peluang?”
“Aku kenal gaya bahasa dia. Cara penulisan dia.”

Kertas tugasan bertukar tangan. Sophia tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala. “Lagi?”

“Dia tak pernah guna Times New Roman. Dia suka guna Alegreya.” Kata Rina seperti seorang pegawai penyiasat.

“Tengok ni… Cara dan tempat dia letakkan nama, format tugasan langsung tak sama macam yang selalu dia guna.”
“Kan kita ada format tetap.”
“Betul. Ada tiga pilihan template dan dia tak pernah guna yang ni. Aku nak test dia.”
Test? Test apa?”
“Nak tengok hati dia. Nak tengok keikhlasan dia. Nak tengok, dia jujur ke tak.”
“How?”
“You’ll know.”
“Babe, you are in love. Obviously.” Balas Sophia. Badannya disandarkan ke kerusi.

(nextPage)

Seperti cahaya pertama fajar, begitulah keyakinan dalam diri Andrey bangkit. Semangat bersemarak, membara bersama hasrat untuk cemerlang dalam bidang akademik. Berlalu sudah hari-hari yang penuh dengan keterpaksaan. Dia berjaya mengikhlaskan hati atas jalan yang dipilih buatnya. Transformasi ini sangat mengagumkan dirinya sendiri. Setiap tercelik mata, Andrey yang lama tidak ditemui lagi.

Tambahan pula sekarang ada yang rajin mengejut. Cikgu Rina setia betul jadi jam loceng. Sokongannya yang tidak berbelah bahagi membuatkan Andrey berasa dihargai dan tentu saja telah mencetuskan percikan motivasi dalam diri. Dia kini lebih berdedikasi, lebih fokus.

Mencari keharmonian dengan Cikgu Rina telah membebaskannya daripada belenggu masa lalu. Setiap hari, dia menjadi lebih tenang.

Jacques pula selalu memecah sunyi di sekolah. Bakatnya menganyam jenaka spontan membuatkan semua orang terhibur. Adakalanya idea yang terkeluar dari mulut kawan barunya itu cukup masuk akal walaupun kedengaran seperti satu gurauan. Andrey mula senang berkawan dengan Jacques. Kehadirannya telah membawa Andrey meneroka hal-hal yang selama ini dia terlepas pandang.

Dan sudah tentu perbualan ringkas dengan cikgu Sophia dari masa ke masa menguatkan lagi semua keazaman dan motivasi diri untuk cemerlang. Tumpuan yang diberi cikgu Sophia tak pernah kurang tapi tak pernah juga berlebih. Andrey masih berharap akan ada kesempatan untuk mengenali cikgu Sophia di luar sekolah. Untuk merealisasikan itu, dia tau, banyak yang perlu dilakukan. Strategi harus diatur supaya si gadis idaman tak terkejut bila diajak keluar makan atau tengok wayang.

Aduh, besar sungguh cita-cita aku.

(nextPage)

Cita-cita, walau setinggi dan sebesar mana pun ia, tak akan jadi kenyataan jika tak ada usaha dan kesungguhan, jika takutkan kegagalan. Andrey tarik nafas. Kalau tak mencuba, kita tak tau. Kalau tak cuba, jawapannya akan sentiasa negatif.

Sekarang terpulang kat aku macam mana nak mengorat cikgu Sophia sampai dia betul-betul jatuh cinta dan jadi milik aku selamanya.

Cinta… Susah rupanya bila dah jatuh cinta. Makin payah kalau terpaksa hadap kes syok sendiri macam ni. Andrey terasa yang dia melebih-lebih sedangkan tak ada tanda-tanda pun yang cikgu Sophia memandang dia lebih dari seorang pelajar. Apalagi bila tengok cikgu Sophia macam ada apa-apa je dengan cikgu Fizi— pudar semua harapan.

Macam semalam. Semalam dia nampak lagi kedua guru tersebut minum bersama di kafeteria. Bukan main mesra, gelak ketawa, berbual. Berdua pulak tu. Pernah juga Andrey ternampak mereka berjalan sama-sama pergi bilik guru. Hari tu lepas sekolah, dekat tempat letak kereta, cikgu Fizi berdiri dekat kereta cikgu Sophia. Entah apa yang dibuatnya kat situ. Mestilah tengah menunggu.

Semua tu mendesak dia untuk melupakan saja cikgu Sophia atau sekurang-kurangnya lupakan perasaan, padamkan harapan—sebelum jadi lebih parah. Tapi macam mana?

Dapat ke aku buang perasaan ni? Senang ke nak melupakan? Hari-hari jumpa dalam makmal, hari-hari berbual, tengok dia… Mustahil dia dapat aku singkir macam tu je dari hati dan fikiran.

“Apa kau nak kisah sangat? Anggap je dia tu sebagai satu bonus. Bonus untuk kau cemerlang dalam biologi. Kau muda lagi. Banyak lagi perempuan muda-muda kat luar sana tu tunggu engkau. C’mon la, she’s just a distraction in your existence. A crush. Esok bila dah habis A’Level, bila kau masuk universiti ke, mana ke, kau akan jumpa orang baru, percayalah. Masa dan pilihan. Jangan salah langkah.” Begitulah bunyinya bila hati bersekongkol dengan akal. Masing-masing cuba nak tenteramkan jiwa.

Beberapa minit sebelum kelas ekonomi tamat, khayalannya dikejutkan cikgu Rina yang datang ke meja dengan wajah kurang mesra.
  
“Jumpa saya lepas kelas.” Arahan diberi, tegas dan ringkas. Tanpa bunga kata, dia kembali ke hadapan, meneruskan saki baki kuliah.
“Sudah…” Serentak hati dan otak teringatkan Linda. Risau.
 
“Apa kena pulak tu?”
Isyarat bahu diberi. Jacques teruja nak tau.
 
Menurut perintah, selepas semua pelajar meninggalkan kelas, dia terus ke depan. Cikgu Rina dah siap sedia duduk di meja guru, menunggu.
 
“Ambil kerusi tu. Duduk sini.” Agaknya memberi arahan memang perkara menyeronokkan dan itulah yang suka sangat cikgu Rina buat. Andrey menurut tanpa berkuasa untuk berdolak dan berdalih. Hati berdebar sementara otak mencari akal untuk meloboskan diri dari soal jawab yang bakal mengambil tempat. Ada timbunan kertas tugasan di atas mejanya.

“Ni mesti pasal assignment aritu.” Otak dah tak fikir lain, selain Linda. Camtulah kalau orang dah buat salah…

Tekaannya tepat. Cikgu Rina mengeluarkan kertas tugasan yang diserahkan dua tiga minggu lepas. Andrey mula cuak. Perutnya terasa memulas-mulas.

“Abihlah kita, Linda…” Hati mula merengek.

“Hantar lambat, empat hari lewat, satu hal. Tak pe, saya boleh tolerate. Pejam mata. Saya kasi chance. Ni assignment ni, cuba explain sikit kat saya.” Kertas tersebut dihulurkan kepadanya.

“Tak lengkap ke kerja saya, cikgu? Kalau ada apa-apa yang tak kena, saya boleh perbaiki, saya akan lengkapkan. Cuma bagi saya masa.” Pertanyaan dan kesanggupan itu dilafazkan setenang mungkin. Nada tak bersalah berjaya dilagukan dengan baik. Cikgu Rina menyambut dengan senyum sinis. Andrey angkat muka, pandang tepat ke muka cikgunya yang mengeleng kepala sambil mengeluh. Kertas tugasan di tangan Andrey diambil lalu dibelek-beleknya lagi.

(nextPage)

“Apa nak jadi dengan awak ni, Andrey?” Suaranya perlahan. Tenang.
“Entahlah, cikgu.”Pertanyaannya dijawab, juga tenang. Lengkapkan dengan semua kejujuran.

“Tugasan ni sempurna. Sempurna sangat sampai hampir tak ada salah saya jumpa.”
Tersenyum lega, dia bangga dengan pujian yang diberi. Hilang sikit risau.
“Agak-agak ada tokoh tak saya jadi pakar ekonomi atau menteri kewangan?” Sempat pula dia berseloroh.

“Awak?” Cikgu Rina memusing-musingkan pointer di tangannya.
“Ye, sayalah. Takkan cikgu pulak.”
“Saya rasa awak lagi sesuai jadi menteri putar alam. Linda lagi layak jadi menteri ekonomi dan kewangan.” Suara ditinggikan. Berderau darah Andrey. Terkelu lidahnya. Tak ada alasan yang mampu direka cipta untuk menimbus salah laku.
 
“Kenapa tak buat sendiri? Cuti lama.”
“Saya tak ada mood, cikgu.”
“Itu bukan alasan. Tanggungjawab tetap tanggungjawab.”
“Saya…”
Tak sempat membela diri, dia memotong, “berapa awak bayar?”
“Itu personal.”
“Awak nak saya libatkan dia dalam masalah ni?”
“Tak… cikgu, tak… Tolong jangan libatkan dia. Dia tak salah. Ini semua salah saya, bukan dia.”
“Berapa?”
“100.”
“Biasa dah buat kerja ni?”
“Pertama kali.”
“Awak kenal siapa lagi yang selalu buat macam ni?”
“Tak tau, cikgu. Saya seorang aje kot. Tapi tolonglah, jangan ambil tindakan. Biar saya sorang yang pikul tanggungjawab ni. Linda tak salah.”
“Kes ni berat. Saya tak boleh biarkan pelajar macam awak gunakan Linda untuk kesenangan diri sendiri. Dan Linda jugak salah sebab gunakan orang macam awak untuk buat bisnes macam ni.”
“Cikgu, pasal bisnes, itu saya tak tau. Cikgu kena siasat dan dapatkan evidence, tapi kes saya, saya akan tanggung akibatnya.”
“Ini dah langgar undang-undang dan peraturan sekolah. Tau tak?”
“Tau, cikgu. Saya tau…” Dia menjawab lemah. Wajah Linda terbayang di fikiran.

Kesian Linda. Kalaulah cikgu Rina ketengahkan hal ni, apalah nasib kawan aku tu nanti? Aku tak apa, kena buang sekolah pun aku sanggup. Lagipun aku memang nak buang subjek ekonomi.

(nextPage)

“Berapa lama dah buat kerja macam ni? Entah-entah subjek lain pun awak upah orang sebab tu excel sangat dalam biologi.”
“Cikgu cakap elok-elok sikit. Biologi memang minat saya. Saya buat sendiri, OK. Hasil usaha saya. Ini pertama kali saya upah Linda. Pertama kali. First and the last sebab kita tak akan jumpa lagi dah lepas ni.”
“Dah pastilah awak akan keluarkan ekonomi dari list awak?”
Kata-kata dah memakan diri sendiri sebab sebenarnya dia masih belum buat keputusan tentang itu.

“Tapi cikgu, kalau cikgu berani cakap saya upah orang untuk kertas biologi dan subjek-subjek lain, apa bukti cikgu cakap kertas ekonomi saya ni Linda yang buat?” Andrey mula rasa tertipu. Dalam hati, dia memaki diri sendiri atas kecuaian hingga masuk dalam perangkap cikgu Rina.

“Siapa cakap saya ada bukti? Saya memang tak ada bukti. Saya serkap jarang je. Awak yang mengaku.” Tanpa dolak dalih, cikgu Rina menjawab.

Dia menepuk dahi, menyumpah seranah kebodohan diri akibat terlalu senang diserang rasa takut dan bersalah. Betul orang cakap. Berani kerana benar. Takut kerana salah.

Celaka betul. Terkena aku. Terkena lagi. Cikgu Rina memang pandai psiko.

“Memandangkan Linda tu cemerlang dalam ekonomi, saja saya petik nama dia.”
Sebenarnya cikgu Rina dah buat perbandingan antara kertas kerja Linda dan kerja yang dia serahkan. Banyak sangat persamaan dari segi format dan gaya bahasa walaupun dari segi jawapan, juga ada banyak bezanya.

“Tak patut cikgu buat cam ni.”
“Patut ke awak buat camni?” Cikgu Rina menolak kertas tugasan itu lebih dekat kepada dia.

“Lepaskan saja ekonomi, Andrey. Saya tengok awak tak larat nak pikul beban ni.” Katanya lagi. Dia mengemas meja.

“Minggu depan saya nak tengok tugasan ni atas meja saya. Not printed, saya nak tengok tulisan tangan awak sendiri.” Katanya. Kertas tugasan yang disiapkan Linda dimasukkan semula ke dalam fail sebelum meninggalkan Andrey sendirian termangu di situ, menyesali kelalaian sendiri.

 (nextPage)

“Kau OK?” Rupanya Jacques setia menunggu di luar kelas.
“Kantoi.”
“Pasal assignment tu, kan? Aku dengar semuanya.”
“Kena buat balik.”
“Aku tau kau boleh buat. Tapi Linda macam mana? Kau rasa singa gunung tu akan besarkan hal ni tak?”
Bahu diangkat. Kaki dihayun. Jacques berlari mengekori dia yang berlari cari Linda. Nasib menyebelahi, Linda masih berpeleseran di kafeteria mengisi temboloknya yang tak pandai penuh.
 
“Ada cikgu Rina jumpa kau?” Terus Andrey menyoal sebaik saja bontot dihenyak di sebelah Linda. Jacques yang mengambil tempat di hadapan mereka hanya memasang telinga.

“Tak de. Kau kenapa? Kena sampuk?”
“Aku dah kantoi. Serabutlah cikgu kau tu. Dia dah tau kau buat assignment aku.”
“Aik how come? Selama ni tak pernah kantoi.”
“Sekarang dah kantoi.”
 
Marah betul Andrey pada diri sendiri akibat kecuaian hingga terjerat dengan permainan kata-kata cikgu Rina. Tak henti-henti dia memaki dalam hati. Rasa meluat yang mula terubat kembali berulat.

“Pandai betul cikgu kau tu. Expert belit sana, belit sini. Sesuai sangat la jadi cikgu ekonomi. Kalau jadi tokey biawak pun memang banyak dia boleh buat untung. Aku dah agak, dia memang ada niat tak baik. Memang dia tak akan puas hati punya dengan aku. Pandai dia berlakon.”

“Apa kena dengan kau? Meracau macam kena santau.” Linda masih tak faham. 
“Kalau dia tanya, kau nafikan je. Rina singa gunung tu kaki psiko. Kau jangan lemah dengan kata-kata manis dia.”
“Hahahah… Apa kau merepek ni, Andrey? Apa kena kawan kau ni Jacques?”
Linda kerut kening. Jacques angkat bahu.

 “Ketawa pulak dia… Ikut je la cakap aku. Kalau dia tanya kau deny je. Kecuali kes aku. Aku memang dah ngaku assignment aku kau yang buat. Kau ambik 100 pun aku bagitau.”
“Apa yang kau bongok sangat mengaku? Hek eleh mamat ni.”
“Entahlah…”
“Apa dah jadi sampai senang sangat menyerah? Dah berkenan?”
“Aku tadi cuak kena panggil pastu dia keluarkan kertas tu. Mana aku tak… Ahhh…Kau deny jelah, OK. Kes aku, biar aku handle.”
“Habislah aku kalau dia siasat semua orang…” Kata Linda. Sugul mukanya. Andrey faham, Linda terpaksa cari pendapatan sampingan.
“Sebab tu kau jangan mengaku. Jangan jadi bongok macam aku.”
 
 (nextPage) 

Tugasan yang diminta berjaya disiapkan mengikut apa yang dihajati cikgu Rina. Tulisan tangan sendiri. Pada mulanya cikgu Rina nampak berpuas hati sewaktu kertas tersebut diserahkan ke tangannya. Isi kandungan tugasan belum tahu lagi macam mana, samada akan mencapai tahap piawaian dia atau sebaliknya. Dah tentu tak sehebat tulisan Linda, itu Andrey cukup pasti. Tapi bila cikgu Rina nampak cap jari —
“Ni, apa makna ni?” Cap jari yang tertempel di setiap helaian kertas tugasan, depan dan belakang, kini jadi persoalan.

“Itu namanya pengesahan.”
“Bilalah awak ni nak matang, Andrey…” Cikgu Rina pandang muka dia tepat-tepat.
“Tak caya assignment tu saya yang buat?”
“Saya malas nak layan budak kecik macam awak ni. Buatlah apa awak suka. Nak letak cap kaki tiga ke, nak letak cap gajah ke, cap kapak ke, cap badak ke, ikut suka awaklah.”

Bagi cikgu Rina, hal itu tidaklah mengganggu sangat, sebenarnya. Dia tau, Andrey tak berniat yang bukan-bukan. Selama ni pun bukan tak pernah budak tu menjawab setiap kali dia tinggalkan nota dalam buku latihan.

Time. Between you and me, we need time.

Hati kecil cikgu Rina berbisik. Dia menunggu apa lagi helah yang bakal dibuat pelajar yang dah mendapat tempat di hatinya itu. 

Sedangkan Andrey teringatkan Linda. Menyesal pulak dia berkasar dengan cikgu Rina.

Dia ni unpredictable. Karang tak pasal-pasal disebabkan aku, Linda yang susah.

“Cikgu… Cikgu, relakslah… Saya nak bergurau je…” Antara sedar dan tak sedar, tangan cikgu Rina dipegang. Tersentap jiwa wanita cikgu Rina. Dia menghela nafas. Matanya memandang tangan yang tak malu menyentuh tangannya. Beberapa detik kemudian, dia membebaskan tangannya dari sentuhan itu. Cermin mata di letakkan ke atas rambut.

Saja nak pukau akulah tu.

Badan disandarkan ke kerusi.

“Sorry…” Andrey kecilkan mata, saja buat muka comel, dalam usaha nak menggoda, nak merayu. Tersenyum hati cikgu Rina tapi dia berjaya mengawal senyuman di hati agar tak terpantul di bibir.

“Andrey, tahun depan awak dah dua puluh tau. Bukan dua tahun. Grow up. Kalau benci, dendam awak kat saya tak boleh awak padam, sikap saya, salah saya tak dapat awak maafkan, saya tak kisah. Saya macam mana pun akan tetap maafkan awak. Dan sebagai guru, saya akan cuba bantu awak tak kiralah dari segi akademik atau sosial. Apa yang saya nak tengok hanyalah kejayaan awak. Jangan sia-siakan masa, Andrey.” Cikgu Rina masih mampu ‘berdiplomasi’. Nasihat tetap diberi, toleransi kukuh dipegang. Hati dah timbul rasa sayang. Perangai dan kerenah Andrey ada waktunya menjengkelkan tapi banyak waktu, menghiburkan. Bagi dia, Andrey istimewa.

Pipi kurus dan cengkung itu terasa seakan-akan ditampar oleh suara yang begitu tenang melafazkan ketulusan sebuah kasih sayang. Kali ini tamparan itu semakin lembut. Andrey tertunduk, dihimpit sesal dan kesal.

Kenapalah dengan aku? Kenapa aku tak sedar yang aku ni tak matang?
Dia diserang rasa malu. Malu yang teramat sangat.

(nextPage)

“Cikgu, saya merayu. Kalau cikgu nak ketengahkan perkara ni, saya tak kisah tapi tolonglah, jangan libatkan Linda. Saya sanggup buat lima lagi tugasan kalau cikgu nak sebagai hukuman bagi kemalasan dan sikap acuh tak acuh saya. Saya minta maaf lagi sekali, cikgu. Memang saya tak matang. Saya tak hormat cikgu…”
“Saya tak jumpa bukti lagi kalau nak buat tuduhan kecuali pengakuan awak hari tu.”
“Cikgu, sebenarnya Linda perlukan duit tambahan untuk tampung yuran dia teruskan pengajian.”

Terpaksa cerita dibuka demi menjaga kepentingan seorang kawan.

“Apa masalah dia?”
“Mak dia sakit. Terpaksa berhenti kerja.”
“Sakit apa?”
“Cancer. Breast cancer. Sekarang terlantar di hospital. Ayah dia menghilangkan diri tak tau mana pergi sejak mak dia jatuh sakit. Dia yang kena jaga dan uruskan mak dia dan adik-adik. Dia ada dua orang adik. Cikgu bayangkanlah… Pada siapa mereka nak bergantung?”

Penjelasan yang diberi Andrey kepada cikgu Rina saling tak tumpah macam Tony Castello dalam cerita anakku Sazali sewaktu budak tu cuba yakinkan bapanya yang dia cuma membantu orang susah.

“Adik-adik dia berapa umur?”
“10 dan 14. Perempuan dan lelaki.”
“Lama awak tau pasal ni?”
Andrey angguk. “Dalam 4, 5 bulan. Linda terpaksa buat kerja part-time lepas sekolah. Dekat cyber cafe. Lepas tu dia kena jaga mak dia di hospital. Balik rumah, urus adik-adik lepas tu berulang lagi ke hospital. Kadang-kadang tak sempat balik rumah pun. Tak ada siapa yang boleh dia harapkan. Sebab itulah dia buat bisnes ni. Saya nak tolong dia apa yang mampu.”
“Yuran mahal dekat sini. Kenapa dia tak ambil Sijil Tinggi je kat sekolah kerajaan, kan lebih murah?”
“Mulanya tak ada masalah tapi sejak mak dia sakit, ayah pulak hilang, itu yang dia sesak. Lagipun dah lebih separuh jalan, tak kan nak berenti macam tu je.”
“Saya faham… Andrey, look… Niat awak nak tolong kawan yang susah tu memang mulia. Tapi caranya tak kena. Awak nak bantu dia financially, tapi dia bantu awak ke dari segi akademik? OK, betul, dia tolong awak buat assignment tapi itu membantu awak ke untuk berjaya dan cemerlang macam dia?”
“Tak, cikgu. Saya bodoh, tak macam dia.”
“Jangan cakap macam tu. Awak tak bodoh tapi awak malas.” Kini cikgu Rina pula menyentuh tangannya seolah mahu memberitahu bahawa dia sanggup memaafkan.

Andrey rasa tercabar.
Satu hari aku akan buktikan bahawa aku juga boleh berjaya dalam subjek ekonomi walaupun tak sehebat Linda.

(nextPage)

“Awak kena tau, Andrey. Sehina-hina perbuatan adalah perbuatan menipu diri sendiri.”
Ungkapan itu cukup menusuk. Meresap dan menembusi setiap rongga di celahan hatinya.

“Awak boleh je membantu tanpa minta balasan, kan?”
“Betul, cikgu.”
“Ada banyak cara kita boleh buat untuk tolong kawan-kawan, untuk bantu siapa dan apa saja yang memerlukan. Saya happy awak ada hati, ada kesedaran, ada empati tapi saya tak nak awak langgar undang-undang. Jangan buat benda yang hanya akan susahkan diri awak. Buat sesuatu, jadikan ikhlas tu sebagai asas dan biarlah dengan cara yang sepatutnya. Biarlah jalannya betul.”
“Saya fikir ada permintaan dan penawaran kat situ.”

Cikgu Rina ketawa kecil. Mata Andrey yang memandang meja kini beralih memandang mukanya. Merah. Bila ketawa macam tu, telinganya pun sama naik merah. Andrey gembira tengok cikgu Rina ketawa.

Lawanya dia… Nampak dia ikhlas sukakan aku. Nampak sangat keikhlasan dia nak menggoda aku dan nampak sangat jugalah dengan jujurnya hati aku ni dah berjaya dia goda.

“Andrey… Andrey… Awak ni…” Kata cikgu Rina dengan kepala digeleng.
Well, kita akan sama-sama bantu Linda, OK? Dengan cara yang betul.” Sambungnya lagi sambil menepuk-nepuk kecil tangan Andrey yang masih berehat di atas meja.

Seronok pula aku rasa.
Dalam seronok, dia turut rasa terharu sebenarnya.

“Cikgu...”
“Saya pernah cakap, kan… Awak selalu boleh cari saya untuk bercakap. Tentang apa je.”

Andrey mengangguk. Wajah cikgu Rina ditatap, cuba untuk menyuarakan kemaafan.

Gosh, I really feel bad. Maafkan saya, cikgu. Tak patut saya buat camni. Biar saya bersihkan balik kertas assigment tu.” Entah macam mana, serentak ucapan itu, tanpa sedar Andrey membawa tangan cikgu Rina ke dalam genggaman. Mata pun bertemu.

“Tak payahlah. Ni kan dah ada, cukup bersih dah. Isi tu yang penting. Hasil yang nak saya nilaikan. Kalau ada apa-apa nak dibersihkan, saya bagi tahu nanti.” Lembut cikgu Rina membalas. Matanya melihat sekeliling, mungkin bimbang jika ada mata yang memandang mereka berpegangan tangan begitu. Lalu cepat-cepat Andrey leraikan genggaman.

“Maaf.”
“It’s alright.”

 (nextPage)

Kejadian itu sesungguhnya telah membuka jalan bagi meringankan beban yang ditanggung Linda. Derma dikutip, sumbangan diberi dan bermacam-macam lagi yang telah cikgu Rina usahakan bagi membantu Linda dengan kerjasama persatuan-persatuan dan kelab-kelab yang ada.

Dan sekali lagi cikgu Rina tutup mata atas salah laku dia. Sekali lagi cikgu Rina membuktikan integriti. Sekali lagi dia diajar tentang keikhlasan. Dan sekali lagi dia tertunduk mengakui kekhilafan.
 
“Terima kasih, cikgu. Saya tak tau macam mana nak balas jasa baik korang semua.” Kata Linda, terharu dengan sumbangan dan bantuan yang diterima. Tak pernah terlintas di fikirannya untuk menagih simpati orang. Selagi ada kederat, dia sanggup berusaha. Namun setelah diyakinkan cikgu Rina, dia berserah demi masa depan dia dan adik-adik.

“Apa yang termampu, kita akan sama-sama buat. Yang penting pelajaran awak tak terganggu. Saya nak tengok pelajar saya berjaya. Itu je. Kejayaan seorang pelajar adalah hadiah terhebat untuk seorang guru.”
Linda mendakap cikgu Rina yang menyeka airmatanya.

“Tentang mak awak, kita akan usahakan sedaya yang boleh. Tawakal dan percayalah pada takdir.” Cikgu Rina menyambung kata-kata, melajukan tangisan Linda. Dia begitu sedih. Risau. Bagaimanalah masa depan dia dan adik-adiknya nanti?

You will be alright.” Andrey meyakinkan Linda. Pelukan beralih kepada Andrey.

“Aku tak tau selama mana mak aku boleh bertahan. Aku tengah siap sediakan mental dan emosi aku dan adik-adik aku untuk tempuh ketentuan tu…”
“Shh… Jangan fikir macam tu. Kita fikir yang sekarang ni aje dulu, OK. Mak engkau masih ada. Ketentuan, itu bukan urusan kita. Tapi aku nak kau tau, apa jadi pun, aku ada dengan kau. Jacques, cikgu Rina, kawan-kawan yang lain pun ada. Kami akan selalu bantu engkau. Kalau diaorang semua tak ada sekalipun, aku janji aku akan selalu ada untuk kau. Aku janji.”
 
Cikgu Rina mengangguk seperti ingin memberitahu bahawa yang dia dah melakukan perkara yang betul. Tapak tangannya mendarat di bahu Andrey yang dibasahi airmata Linda.

Tags

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!