“Tak baik serkap jarang. Kena siasat siapa yang buat.” Dengan tenang Sophia cuba menarik Rina keluar dari emosi.
“Siapa lagi yang anti sangat dengan aku kat sekolah ni?” Tangan dileraikan dari memeluk tubuh. Pintu kereta dihampiri. Rina memandang tepat curahan dendam yang terlakar di situ.
“Apa kau buat kat dia tadi?”
“Dia membuta dalam kelas. Macam selalu. Langsung tak hormat kita ni, cikgu dia.”
“Dah lima bulan aku ganti cikgu Lee. Elok je si Andrey tu aku tengok. Fokus. Rajin bertanya. Tak pernah tidur, buat hal pun tak pernah. Result pun champion.”
“Tu kau. Bukan aku.” Dengan muka bengang Rina melangkah ke bilik kaunseling untuk bertemu cikgu Remy, guru disiplin. Sophia dah bersetuju untuk meneman.
Kadang-kadang timbul rasa pelik dengan sikap Rina yang berubah-ubah bila hal si Andrey jadi bahan bual mereka berdua. Adakalanya Rina menunjukkan rasa kagum bila bercerita tentang bakat seni Andrey tapi dalam masa yang sama dia turut meluahkan rasa sakit hati.
“Jadi awak betul-betul yakin Andrey yang buat?”
“Kami dah minta security department periksa CCTV.” Kata Sophia. “Tapi belum dapat lagi footage.”
“Tak payah CCTV. Memang tak ada suspek lain. Saya tau dia tak puas hati dengan saya.”
“Awak halau dia dari kelas lagi ke?” Cikgu Remy meneruskan siasatan.
“Dia membuta dalam kelas, macam selalu. Bila saya suruh terangkan apa yang saya tengah ajar, dia failed. Dah tak tunjukkan minat, saya rasa elok dia gugurkan saja matapelajaran ekonomi.”
“Saya syorkan awak nasihat dia ke sini. Kita boleh bagi dia kaunseling. Kalau dia betul-betul tak larat lagi nak bawak subjek awak, kita boleh encourage dia ambil subjek lain yang dia minat.”
“Elok jugak macam tu. Pelajar macam ni kena pandai approach, Rina. Tak boleh berkasar dan tegas sangat. Chill je. Pendapat aku lah…”
Rina menoleh ke arah Sophia. Dia cukup mengerti apa bermain di fikiran dan perasaan guru biologi itu. Dengan Sophia, Andrey umpama anak emas. Bukan main elok perangai, tak pernah buat hal. Siap jadi pelajar terbaik biologi lagi.
“Itu semua tak jadi masalah, boleh saya uruskan. Tapi perbuatan dia yang ni dah melampau sangat. Sampai usik kereta. Itu saya tak boleh tolerate.”
“Macam nilah, kita tunggu laporan dari security department.” Cikgu Remy bersedia memberi rumusan.
“Kalau tak nampak dia dalam CCTV, macam mana?”
“Ada atau tak ada bukti, saya akan keluarkan satu surat untuk dia sebelum perkara ni kita bawa ke pihak atasan, memandangkan dia suspek utama awak. Awak boleh buat laporan polis, kalau awak nak. Itu hak awak.”
“Betul kau nak buat police report?”
Kereta diberhentikan di hadapan balai. Tanpa mematikan enjin, Rina bersandar, cuba menenangkan diri. Kemudian dia menoleh ke kiri, memandang ke arah bangunan yang berwarna biru dan putih sebelum bola matanya berhenti di wajah Sophia yang menunggu jawapan.
“Tenang dulu. Jom aku belanja kopi.” Sophia menggosok-gosok lengan Rina yang masih memegang steering kereta.
“Panjang cerita nanti kalau kau buat report. Aku tau hal ni tak boleh dipandang remeh tapi tak terlalu berat sampai nak libatkan polis, betul tak?”
“Ikut geram memang aku tak peduli. Ikut kesian, tak sampai hati pulak bila teringat muka dia.”
“Very well. You know what? I believe you could use a nice cup of espresso, darling.”
Satu jemputan rasmi diterima Andrey pada hari berikutnya. Ke mana? Mana lagi kalau bukan ke bilik kaunseling. Memang dah dijangka. Tahniah! Kenapa? Kerana inilah julung-julung kalinya dia dijemput ke situ. Selama dua tahun menuntut di TBC, tak pernah sekali dia buat hal sampai kena mengadap guru disiplin. Ini tahun ketiga. Pecah rekod.
Semuanya pasal kau Rina. Tahniah! Betul. Tahniah itu selayaknya untuk engkau, bukan aku.
“Saya tak suka ekonomi dan perdagangan, pengurusan.” Begitulah jawapan diberi sewaktu soal siasat dijalankan.
“Betul saya cakap. Memang saya tau ni kerja dia. Tak payah susah payah nak siasat. Eloklah mengaku terus. Bagus. Memang bagus sangat!” Rina membentak keras. Geram betul dia tengok budak kurus yang tengah buat muka toya memandang dia.
“Sabar, cikgu Rina. Kita selesai ikut undang-undang sekolah.” Cikgu Remy cuba mengawal keadaan.
“Yang awak ni pun satu Andrey, kalau ye pun ada yang tak puas hati, tak boleh ke duduk bincang baik-baik. Kalau awak tak suka ekonomi, tak siapa larang awak gugurkan subjek tu. Masih ada masa kalau nak tukar yang lain.”
“Apa je yang berkaitan dengan cikgu Rina, saya tak suka.” Telus perasaan disuarakan. Apa yang terpendam kini bukan lagi rahsia dan kata-kata itu membuat mata kecil cikgu Rina menjadi besar. Sambil tangan memeluk tubuh, Cikgu Rina merapati Andrey.
“Termasuk kereta saya? Apa masalah awak?” Berdiri muka ke muka, Andrey lihat kulit cerah cikgu Rina bertukar merah macam udang kena bakar. Kembang kempis hidungnya menahan marah sampaikan hembusan nafas yang dia hela terasa menyentuh kulit muka Andrey.
Dalam cuba menahan ego, sebenarnya dia turut menahan gugup bila cikgu Rina membaham mukanya dalam jarak sedekat itu. Namun dia tetap cekalkan hati untuk tidak mengalihkan pandangan, sebaliknya memerintahkan mata untuk bertikam lagi.
Jangan berkerdip.
Pesannya kepada deria penglihatan.
Tengok betul-betul muka dia sampai hafal. Esok-esok boleh kau lukis atas kertas putih buat pameran. Untung-untung dapat anugerah lagi.
Dia cuba menyedapkan hati sendiri. Peristiwa ini akan diingat sampai mati.
“Memang nak bagitau, saya ni tak puas hati dengan cikgu.” Luahan perasaan diteruskan tanpa sekelumit pun rasa terancam. Saling menikam, mata mereka terus berlawan. Akhirnya cikgu Rina tewas oleh renungan yang Andrey pulangkan tepat ke matanya.
“Saya serahkan kepada cikgu untuk uruskan hal ni mengikut akta peraturan dan undang-undang kolej.” Kata putus cikgu Rina berikan kepada cikgu Remy yang duduk tenang membuat catatan.
“Settle dah? Boleh saya pergi sekarang?” Tanpa teragak-agak, Andrey mencapai beg galas yang dibiarkan terbaring atas lantai. Sempat dia mengintai sewaktu cikgu Rina menurunkan tanda tangan di atas sehelai kertas sebelum dokumen itu cikgu Remy serahkan kepadanya pula.
“Kes ini akan kami bawa dan bincangkan dengan pengetua untuk tindakan lanjut. Sementara tu, awak akan digantung sekolah selama dua minggu. Tolong sign sini.” Tegas Cikgu Remy. Kertas bertukar tangan. Andrey membacanya sekali lalu. Muka cikgu Rina dipandang sambil surat itu ditandatangani. Guru ekonomi itu menjeling— bengang. Itu jelas terpancar dari mukanya yang tegang sedangkan hati Andrey mula berlagu riang.
Sekuntum senyuman dia sedekahkan dan berkata, “sekurang-kurangnya saya tak payah tengok muka cikgu. Two weeks, my Lord… What a relieved.”
Melangkah keluar dari bilik kaunseling bersama satu kepuasan yang mampu menyentuh langit, Andrey rasa bebas. Sewaktu berlalu menuju ke pintu, sengaja dia langgarkan bahunya ke bahu cikgu Rina.
Melampau betul budak ni!
Bebas seperti seekor helang melayang terbang ke syurga ketujuh, motosikal dipacu laju-laju meninggalkan sekolah.
Kalau kena buang pun aku tak kisah. Lantaklah abah nak cakap apa, nak buat apa. Nak halau aku dari rumah pun aku tak peduli lagi. Aku boleh hidup berdikari.
Mengenangkan Cikgu Rina, sekolah itu tak lain hanyalah tempat untuk menyakitkan jiwa sendiri. Tapi mengapa perempuan itu begitu hebat dalam subjek tersebut? Mana perginya cikgu-cikgu lain? Tak boleh ke sesiapa ambil alih tempat dia?
Selalu Andrey berdoa semoga tempat cikgu Rina digantikan dengan cikgu lain supaya dapat dia menuntut ilmu ekonomi dengan tenang. Supaya cemerlang sepertimana cemerlangnya dia dalam subjek-subjek lain. Sayangnya, seteguh mana pun dia beriman dengan doa, masih doa-doa itu belum mau didengar Tuhan.
Mungkin dia tak bernasib baik.
Atau mungkin juga Tuhan dah mengarahkan sesuatu…
Rina terus ke bilik guru untuk mengemas apa yang patut sebelum pulang. Dia menghampiri Sophia yang sedang tekun menghadap komputer.
“Busy hari ni? Banyak lagi ke kerja?”
“Tak lah. Report je.”
“Aku nak hantar kereta ke workshop lepas tu pergi bandar sekejap, ada hal nak settle.”
“Kau nak aku follow ke? Nanti balik tak de kereta.”
“Tak pe. Kau kan ada appointment petang ni. Aku ambil teksi je nanti.”
Sophia mengerling jam di tangan. “Appointment aku sejam je pun, bukan lama. Kalau nak aku jemput call lah.”
“OK… Kau dah makan belum?”
“Tadi tu dengan kau.”
“Pagi tadi tu?”
Sophia mengangguk lemah. Rina nampak ada keresahan di wajah kawannya itu.
“Phia, itu sarapan. Makan sandwich je mana cukup.”
“Tak selera.”
“Hmm, malam ni kita keluar dinner?”
“Tengokla…”
“C’mon… jangan macam tu… OK, kalau kau tak nak keluar, aku masakkan untuk kau. Cakap je kau nak makan apa, nanti aku beli barang lepas settle hal aku.”
Sophia mengukir senyum nipis. Muka Rina direnung sayu. Terharu dia atas kasih sayang dan perhatian yang dicurahkan. Tak terbalas rsanya jasa-jasa Rina selama mereka berkawan.
“Macam manalah aku kalau tak ada kau...”
“Tetap cantik, macam selalu.” Pipi dicuit. “Tell me, kau nak makan apa?”
“Bawak aku tempat biasa, boleh?”
“Apa saja untukmu.”
Pukul tiga, hari yang sama. Masih terlalu awal untuk pulang ke rumah jadi Andrey memilih untuk melepak di kedai kopi kegemarannya. Lepas bergaduh dengan cikgu Rina tadi, perut terasa lapar. Dia memesan secawan teh untuk membasahkan tekak bersama sekeping pizza untuk mengisi perut. Dia bercadang untuk menghabiskan hari di tasik sehingga matahari tenggelam selepas kekosongan di perut terisi.
Tasik Biru adalah saksi luahan perasaannya— segala yang terbuku dalam hati. Banyak yang dah didengarkan. Rungutan, kekesalan, rasa gembira, bimbang. Harapan. Segala-galanya. Di situ dia rasa selamat. Di situ dia tenang, lepas bebas melakukan apa saja yang dia suka tanpa perlu menunggu sesiapa untuk meneruskan, apatah lagi memerlukan keizinan untuk meneruskan. Tasik Biru sentiasa ikhlas menerima kehadirannya. Setia mendengar dia.
Duduk di atas tanah beralaskan rumput segar atau tunggul kayu, dia temui kedamaian hakiki. Hanya cara ini dapat dia menghargai masa secara peribadi. Bila bersendiri, fikiran lebih aman, jiwa lebih bebas, tiada tekanan, tiada ancaman. Tak perlu pedulikan apa-apa atau sesiapa pun. Inilah gambaran kehidupan di syurga. Malah, bersendirian juga sering memperkayakan jutaan falsafah, setelah letih dihenyak dan dikerumuni bising dan sesak.
Alunan lagu dari pemain mp3 mendendangkan Ordinary World dinikmati bersama sisipan Earl Grey. Otak mula rancak merancang aktiviti untuk ‘percutian’ dua minggu yang telah dihadiahkan pagi tadi. Fikiran berputar bersama lagu nyanyian Duran Duran itu bermain di telinga.
Tiba-tiba terasa bahunya disentuh. Sentuhan itu lembut sahaja, namun hampir membuat jantungnya tercabut. Suara pemain mp3 direndahkan. Kepala ditoleh ke arah susuk tubuh yang berdiri di sisi, di sebelah kanan. Tubuh itu kemudiannya melangkah dua tiga tapak untuk berdiri di depan muka. Di situ dia menancap mata garangnya yang berselindung di balik kaca.
“Teh?” Tanya Andrey, acuh tak acuh. Kejutan yang dibuat cikgu Rina begitu menyesakkan dada. Tapak tangannya mula terasa berpeluh. Gelisah. Mujur dia masih mampu mengawal diri untuk bertenang, atau sekurang-kurangnya berlagak begitu. Jiwa yang tadinya terbang ke syurga seakan ditarik-tarik kembali ke neraka.
Macam mana dia tau aku kat sini?
Bibir cikgu Rina yang tak dicalit sebarang pewarna menggaris senyuman kelat. Dia menghela nafas. Bunyi macam berat tapi bukan mengeluh. Kerusi ditarik. Tanpa dijemput dia mengambil tempat duduk, muka ke muka dengan pelajarnya.
“Now, tell me... The suspension flies you over the moon, hmm?”
Pelawaan tidak dihiraukan.
Lidah menjadi kelu sepantas waktu. Andrey membuang pandang ke jalan. Perkara terbaik yang dapat dilakukan hanyalah membenarkan cikgu Rina bercakap. Untuk menenangkan diri, sebatang rokok Andrey nyalakan. Perlahan-lahan asap dihembus ke atas, dengan harapan dapat memukau cikgu Rina untuk diam dan menghalaunya dari situ.
“Nervous?” Cikgu Rina memerli. Ternyata dia kebal. Asap rokok ternyata tak meninggalkan apa-apa kesan. Mulut Andrey terkunci namun dalam diam, akal diperah untuk merangka kata-kata terbaik supaya tidak kalah berlawan bicara.
“Dah tertelan lidah? Tadi bukan main lagi awak bercakap.”
Provokasi itu tidak diendahkan. Rokok disedut lagi dan sekali lagi kepulan asap berarak macam awan melintasi wajah cikgu Rina.
“Saya anggap awak ada penyelesaian bijak untuk hal ni.” Cikgu Rina terus bersuara, kali ini bernada tenang. Riak wajahnya kelihatan serius tapi tak setegang dan semerah tadi, sewaktu mereka di bilik kaunseling. Dia duduk memeluk tubuh, kakinya disilangkan. Sengaja atau tidak, kakinya melanggar kaki Andrey. Lantas Andrey beranjak sedikit ke kiri bagi mengelak mereka dari bersentuh kaki.
Dalam hati Tuhan saja yang tau betapa risaunya dia. Kebimbangan itu sekuat daya disembunyikan sedangkan otak dah nampak macam-macam. Manalah tau cikgu Rina akan memanjangkan kes tersebut ke tahap lebih parah.
Entah-entah dia dah buat laporan polis. Karang tak pasal-pasal aku kena gari kat kedai kopi ni.
“Ahhh, tak mungkin.” Untungnya, Andrey ada hati yang berani.
“Jangan jadi pengecut. Confident kena ada. Pandang mata, jangan alih. Dia bukan boleh buat apa-apa pun.”
Patuh pada kata hati, saranan diturutkan. Mata bertemu mata dan beberapa saat pun berlalu. Akhirnya sedutan terakhir diambil, dalam dan tenang sebelum rokok dipadam.
“Tunggu je la keputusan pengetua.” Keyakinan bagaikan telah menyuntik ubat penenang dalam darah. Andrey menyandarkan badan, mencari selesa di tempat duduk.
“Awak ingat kereta saya tu apa? Pokok getah?”
Andrey ketawa. Pokok getah… Abih kau ingat otak aku ni apa? Kotak kosong?
Balas hati yang sakit bersama kejengkelan yang tak terlepas di mulut.
“Saya tak nak drive dengan tulisan tu kat pintu kereta saya. Sekarang dengan cukup sopan, saya bertolak ansur.”
“Sopan…” Hati mengejek, memperlekehkan kata-kata cikgu Rina.
“Tak nak drive naik bas.” Jawab Andrey, selamba.
“Awak ni memang kurang ajar, kan?”
“Cikgu tak ajar.”
“Nak ajar macam mana kalau awak asik membuta? Cakap kat saya. Dahlah buat salah, biadab pulak. Nak saya report polis?”
“Reportlah.”
“Jangan cabar saya.”
“Cikgu yang dah cabar kesabaran saya.”
“Balai dekat je tu.”
“Point your wish, miss.”
Sebut perkataan balai, kecut pulak perut dia. Tadi macam berani sangat. Manalah tak kecut, muka abah tiba-tiba menerpa ruang mata. Lepas tu nampak pulak muka bininya. Ada kecewa terlakar kat situ. Kemudian pipi kena tumbuk sebab dah buat bini kesayangan abah kecewa.
Mau aku tak takut.
“Awak nak suruh saya lupa semua ni? Tak sangka pandai awak buat lawak. Saya anggap awak dah ada jawapan sebelum buat perkara sia-sia. Train your brain, Adriana.”
“Saya tak de duit nak bayar. Sorry.”
Kali ini giliran cikgu Rina pula mentertawakan kata-kata Andrey. Kepalanya digeleng-geleng.
Huh, macam teruk sangatlah aku ni.
“Biar saya tengok.” Kerusi di tolak sedikit ke belakang. Dia berdiri. Dompet dikeluarkan dari saku poket belakang jeans Levi’s yang koyak di lutut.
“Nah, tepat 45.70, lepas bayar minum. Kalau cikgu belanja teh dan pizza ni, adalah lebih sikit. Saya harap cukup untuk cat balik kereta cikgu.” Dia kembali duduk selepas menyerahkan setiap wang tunai yang ada. Cikgu Rina mula buat satu ekspresi yang tak suka benar Andrey tengok. Lengkap dengan senyuman mengejek, seakan mahu memberitahu betapa bangga, bongkak, megah, berlagak dan sombongnya dia.
“Awak nak main-main dengan saya?”
“Tak. Saya jujur dengan cikgu. Itu je saya ada.”
“Look, saya ada idea. Idea yang sihat, bijak, munasabah dan adil.” Katanya sambil meletakkan semula duit itu ke tapak tangan Andrey. “Simpan.”
Getah rambut berwarna hijau kebiruan yang melilit pergelangan tangan dikeluarkan lalu rambutnya yang lurus itu diikat. Dia membetulkan duduknya di kerusi kemudian cermin mata dibuka lalu diletakkan ke atas meja. Sehelai tisu dicapai lalu dia mengesat mukanya sebelum cermin mata berbingkai hitam itu disarung semula.
“Apa?”
“Motor tu, awak punya, kan? Bukan motor pinjam?” Cikgu Rina menghalakan jari telunjuknya ke arah tempat letak motosikal.
Andrey hanya mengangguk.
Kenal pulak dia motor aku.
Nafas ditarik dan dilepas, tanda puas. Entah mengapa, tiba-tiba muka cikgu Rina berubah ceria. Memang luar biasa sebab dengan Andrey, memang dia jarang senyum. Tapi kat sini, sekarang ni, senang pula dia senyum, walau sekadar senyum kelat, senyum sinis, senyum nipis, senyum hambar, senyum tawar. Apa yang nyata senyumannya yang beragam-ragam itu bukan dibuat-buat.
“Motor tu hadiah daripada parents saya. Kenapa?” Terang Andrey dengan bangga apabila cikgu Rina diam tak menjawab. Perhatiannya tertumpu pada Aprilia berwarna hitam itu. Nampaknya cikgu Rina sangat teruja melihat satu-satunya harta yang Andrey miliki.
“Spoilt brat. Anyway, great... Saya suka motor tu. Cantik. Pandai awak jaga.” Dia memalingkan wajah, kembali memeriksa muka pelajarnya dengan teliti.
“So?”
“Well, let’s be fair and square. Saya akan simpan motor awak tu sebagai cagaran untuk hutang yang awak tak mampu bayar, sampai awak dah cukup duit untuk baiki kereta saya, faham? Sekarang bagi saya kunci.” Tanpa memanjangkan mukadimah, cikgu Rina membentangkan ideanya yang ‘sihat, bijak, munasabah dan adil’ itu.
Kunci yang dari tadi terletak di atas meja direntap Andrey sepantas kilat lantas menyumbatnya ke dalam saku seluar.
Nasib dia tak perasan kunci tu ada atas meja, depan mata dia. Kalau tidak… memang ranap.
“You can’t be serious. Please, leave me alone.”
“I’m serious. Masalah ciptaan awak ni memang sangat serius. Awak yang mintak semua ni. Kalau nak saya pergi, bagi saya kunci. Sekarang!”
“Ahh, macam la reti bawak motor.”
“Ingat awak je tau merempit? Gimme the key, you will see.”
“You must be joking.”
“No, I am not... Take this for scratching my car.”
“No way...!”
Cepat-cepat Andrey bangun lalu menyarungkan jaket denim ke badan. Kemudian beg galas disandang ke bahu. Dia bergegas melangkah ke kaunter bayaran. Selepas membayar harga sekeping pizza dan secawan teh yang belum luak, dia terus keluar, menuju anak tangga untuk segera ke tempat letak motor. Tak sempat kaki menjejak anak tangga pertama, tangannya ditarik kasar. Tanpa mengendahkan orang sekeliling apa lagi memberi kata dua, cikgu Rina membawa Andrey berdiri muka ke muka. Dekat, begitu dekat. Aksi itu menarik perhatian pengunjung kedai kopi. Mereka semua terpegun kehairanan melihat apa yang terjadi. Ada makcik, ada pakcik, abang, kakak, adik... Hitam, putih, coklat semua ada. Majmuk. Memang majmuk penonton sinetron antara Andrey dan cikgunya.
Argghhh... Malunya aku… Kau tak malu, Rina?!
Ketika itu, Andrey merasakan kebenciannya pada cikgu Rina semakin menebal.
Macam manalah perempuan mental macam dia ni boleh jadi cikgu? Cikgu aku pulak tu. Sakit otak betul!
Seluruh badan bagaikan lumpuh, bila tanpa segan silu cikgu Rina menggali saku seluarnya.
“Ohhh… My… Goodness…”
Perlakuan cikgu Rina yang terlebih berani itu membuat Andrey terpana. Dia benar-benar tak sangka yang cikgu Rina akan bertindak sedemikian.
Semakin cuba mengelak semakin dalam tangan cikgu Rina menyeluk. Tangan kirinya pula menyentap dan melipat tangan kanan Andrey ke belakang, mengunci mangsa daripada bergerak.
Boleh tahan kuat minah ni. Ada tali pinggang hitam ke apa?
Spontan, Andrey jadi bodoh, tak berdaya. Atas sesuatu sebab yang tak dapat dijelaskan, dia merasa lemah dan lembik sampai tanpa malu untuk mengaku kalah. Tenyata cikgu Rina ada kuasa pukau, sepertimana dia memukau kawan-kawan sekelas dengan khutbahnya pasal ekonomi dan entah apa lagi. Dia tak perlu rokok pun.
“Hmm, dapat pun.”
Kunci dipegang, sengaja dihayun-hayunkan di depan muka mangsa. Garis bibir semakin melebar. Bukan main seronok lagi cikgu Rina. Tak pernah Andrey tengok dia gembira macam ni sedangkan lidah Andrey kelu lagi. Mata jadi kabur, sendi-sendi rasa berterabur. Darah tersekat dalam urat. Tindakan berani cikgu Rina telah mematikan keupayaannya untuk bertindak cepat. Maruah diri gagal dipertahankan.
“Nak lari sangat daripada tanggungjawab sampai lupa helmet?” Cikgu Rina membuat isyarat mata, mengingatkan dia yang terlupa bahawa helmet masih lagi duduk di atas meja. Andrey mengeluh dalam hati, kesal dengan kelalaian sendiri.
Belum sempat akal memikirkan apa yang patut dibuat, cikgu Rina menambah satu lagi kejutan apabila dia meletakkan tangannya di belakang kepala Andrey. Terpaku macam kura-kura, Andrey terpinga-pinga dengan kepantasan sang singa yang pandai memanipulasi keadaan. Peluh mula merecik dalam baju. Begitu mudah dia dilumpuhkan dengan renungan mata cikgu Rina. Bukan kerana renungan itu menawan, tapi kerana ia mengerikan. Dan entah berapa lama dia pegun macam patung cendana kat situ, sedar tak sedar, bibir cikgu Rina terasa melekat dibibirnya. Tak lama, cuma sesaat dua sebelum cikgu Rina melepaskannya sambil meraikan kemenangan dengan berkata, “and that’s for being very rude to me all the time.”
Kaki bagai tak jejak bumi, Andrey terawang antara tanah dan langit. Sepanjang bernafas selama sembilan belas tahun dalam planet ini, itulah satu saat di mana dia mengalami fenomena terbang ke eksosfera. Malu yang ditanggung tak mungkin dapat digambarkan dengan kata-kata. Lengkap dengan kepelbagaian emosi yang timbul dalam hati dan pertimbangan. Andrey bertambah bingung. Suara tersekat di kerongkong tanpa mampu untuk melompat keluar dari mulut.
“Itulah, aku dah cakap, jangan carik masalah. Sekarang tengok…” Akal mula mengejek. Hati tertunduk diam, masih lagi kebas akibat dicium singa.
Bibir Andrey kesat dengan belakang tangan, kemudian belakang tangan dikesat ke seluar. Cikgu Rina kembali ke meja. Cawan teh diangkat, lalu saki baki Earl Grey dihirup. Sekeping potongan pizza dia ambil lalu disuapkan ke mulut dan mengunyahnya pelan-pelan. Setelah potongan pizza itu habis dia telan, dia mencapai tisu. Mulutnya dikesat kemas sebelum kertas tisu diselitkan elok-elok bawah pinggan kemudian teh dihirupnya lagi. Habis. Kepala Andrey bertambah pening melihat perlakuan cikgu tersebut. Pelik. Pelik sangat. Memang dari awal Andrey dah dapat rasa, cikgu Rina ni memang lain macam benar perangainya.
Tadi pelawa teh tak nak, sekarang teh aku kau telan habis. Pizza aku pun licin kau bedal. Mental.
“You wanna play a game, hmm? Let’s play, Andrey. This is merely a beginning.” Cikgu Rina menamatkan sinetron petang itu dengan satu peringatan. Helmet di atas meja dia capai. Beg tangan disilangkan ke badan lalu dia berjalan menuruni anak tangga menuju ke tempat letak motosikal.
Andrey berlari menuruni anak tangga cuba untuk menyelamatkan Aprilianya namun nasib tak menyebelahi. Cikgu Rina bukan saja licik tapi tangkas. Sambil tersenyum dia menaikkan ibu jari sebelum memandu pergi, meninggalkan Andrey terkulat-kulat.
Gila. Dia ni gila rupanya. Cikgu Rina gila. Gila. Mental.
“Kau tengok, dia bukan saja berjaya pijak maruah kau, cabul bibir kau, malah motosikal kau dia ambil sesuka hati, dia curi depan mata sendiri.”
Kata-kata otak membuat perut Andrey terasa kecut. Kepala jadi pusing dan pening seakan dihantuk kuat ke dinding. Hati masih diam menahan sakit— masih tak percaya bibir dah kena cium! Rasa benci bercampur baur dengan perasaan yang semakin celaru dengan semua tindakan berani cikgu Rina.
Hairan — Kenapa dia cium? Sebab aku biadab, kurang ajar? Dia ingat ciuman tu akan buat aku tunduk kat dia? Akan melutut mintak maaf?
Keliru — Apa sebenarnya dia nak? Duit atau malukan aku? Nak aku sujud sembah kaki dia?
Marah — Dia curi motor aku. Harta aku. Buah hati aku. Kesayangan aku. Hukuman ni memang berat. Aku tak boleh terima!
Deruman enjin Aprilia semakin menghilang, sedangkan kesan ciuman masih menghantui kewarasan. Ciuman pertama yang tak pernah muncul dalam mimpi.
Berjalan lemah ke tempat letak motosikal, dia mengharapkan apa yang terjadi hanyalah satu mimpi. Tapi sayang, tak seperti mimpi indah, mimpi ngeri boleh bertukar jadi kenyataan. Motor dah hilang dikebas cikgu Rina. Lesap tanpa dia berkuasa melakukan apa-apa untuk menghalang si pencuri, seolah-olah diri dah larut dalam sihir pemangsa. Aprilia kesayangan dah diculik, dah tak ada lagi menunggu dan menemani dia sepertimana yang setia ia lakukan.
Hanya bekas tayarnya saja yang tinggal sepertimana dia ditinggalkan di situ dengan puluhan mata tersenyum kepadanya, menyaksikan drama ciptaan seorang cikgu hasil kesinambungan jenayah seorang pelajar.
Perasaan malu semakin menebal, setebal tembok besar China bila dia terpaksa menahan teksi untuk pulang ke rumah. Impian untuk merehatkan minda di tasik musnah sama sekali, digantikan sejarah yang tak mungkin akan lenyap dari ingatan.
Rina merebahkan badannya yang penat ke atas katil selepas keluar dari bilik mandi. Segar dia rasa lepas disiram air sejuk dihari yang panas. Hati pun mula menyejuk. Dia tersenyum mengenang kejadian di kedai kopi dua jam lepas. Puas. Dia cukup puas hati. Sekarang motosikal Andrey dah jadi hak dia, buat sementara. Sampai kereta siap. Sampai tamat tempoh si penjenayah digantung sekolah.
Sampai kau merayu.
Terbayang muka Andrey diingatannya. Budak kurus yang suka pakai jaket Levi’s. Seluar Levi’s. Rayban Aviator. Dengan bahagian depan rambut panjang menutup dahi, belakangnya pendek mencecah leher. Selekeh. Macam seniman jalanan. Tapi itulah yang menarik. Simple.
“Introvert.”
Rina tersenyum. Dia memandang ke dinding. Sekeping gambar cantik berbingkai menghiasai ruang kamar.
“Artistic.”
Sebuah majalah sekolah yang terselit antara celahan buku-buku di meja sisi dicapai. Berhenti di halaman karya pelajar, dia mencari lagi puisi yang dah berjaya menarik perhatiannya.
Mungkin tak bisa kuselam lautan dalam. Tapi bila mendongak ke langit, aku tenggelam ke dasarnya.
“Poetic.”
Rina menyelak halaman seterusnya. Lagi karya Andrey Arman.
“Adriana. Andrey…” Bibirnya menyebut nama yang jarang sekali disebut. Kalau dengan Sophia dia akan bahasakan Andrey dengan panggilan budak tu. Dia tersenyum lagi.
“Rajin pulak dia hantar karya kat majalah sekolah.”
Aku mau kau bebas mencintai aku dan aku mau bebas mencintaimu. Bersama ke langit tertinggi bahagia. Berdua menyelami lubuk tergelap derita.
“Boleh tahan, romantik. Ni mesti puisi untuk awek. Siapalah awek dia ni agaknya?”
Majalah sekolah dua tahun lepas diselak lagi. Tanpa susah payah mencari, jarinya terus ke muka surat yang menampilkan gambar kelas 5 Art 1. Kelas yang diteraju cikgu Faiz— kelas yang pernah dihuni Andrey. Gambar kelas dua tahun lepas itu kecil tapi matanya tetap dapat menangkap susuk Andrey yang terselit antara pelajar lain. Setahu Rina, Andrey kembali ke TBC sebagai calon A’Level setahun selepas tamat O’Level.
“Muka sombong, berlagak macam ni ada awek ke? Kat sekolah kawan pun tak ada. Asik sorang je. Paling-paling bilik lukisan dengan belakang bangunan tu je kawan dia. Hmm… tapi boleh tahan, comel.”
Bila tiba dihalaman yang menyenaraikan calon-calon O’Level, Rina mencari profil Andrey. Ada. Dia memang tahu. Tapi tak bergambar. Kosong. Itu pun dia dah tahu.
Andrey Arman.
DOB: 12 November
Scorpio. Aku Cancer.
Rina tersengih.
Hobi: Melukis. Bermain muzik. Menulis. Berkebun. Tidur.
Hmm… yang tu mesti tak tinggal. Membuta je kerja kau.
Warna Kegemaran: Transparent
Lagu kegemaran : Negaraku
Baris tersebut berjaya menukar senyum menjadi tawa.
Cita-cita: 18-Wheeler Driver
Ketawanya bertambah kuat. Hatinya terhibur. Lupa terus tentang kereta. Tentang motosikal.
Ada sense of humour.
Falsafah hidup: My stomach is empty but my heart is full.
“Dia ni rare…”
“Apa yang rare?”
Satu suara menegur. Kelihatan Sophia berdiri depan pintu bilik.
“Aik, tak bagitau nak datang?”
“Eh, macam tak biasa. Nah…” Sebungkus plastik diserahkan kepada Rina yang masih terbaring atas katil. Ada buah mangga dalam bungkusan itu.
“Aku tengok kau tak mesej, tak call, aku terus ke sini.”
“Wah… sedapnya mangga. Thanks, babe. Appointment macam mana?”
“Macam biasa, boring. Apa yang kau baca? Meh sini aku tengok.” Majalah sekolah diambil tanpa menunggu jawapan.
“Apa kau buat dengan majalah dua tahun lepas ni?”
“Saja baca-baca.”
“Tak ada benda lain nak baca? Tu buku banyak, majalah lain banyak. Ini jugak yang kau baca.”
“Aku pilih random je tadi.”
“Ada benda rare ke dalam ni?” Halaman-halaman diselak. Tak ada apa yang menarik bagi Sophia. Dia meletakkan majalah tersebut di meja. Sambil membuka ikatan rambut, dia bertanya, “kereta masuk bengkel dah, kan?”
“Nasib sikit je yang nak di touch up.”
“Abih tu motor tu… apa cerita?”
Rina memusingkan badannya untuk berada dalam posisi meniarap. Dia memang dah bersedia nak ceritakan semuanya.
“Aik, dia biar je kau ambil motor dia?”
Rina ketawa kecil. Badannya dipusingkan semula untuk baring menatap siling. Sebiji bantal diambil, lalu dia memeluk bantal tersebut.
“Lain macam aku tengok kau ni.”
“Dia tak sempat nak halang, aku kebas terus. Aku cakap, tunggu dia bayar baru aku pulangkan motor tu. Cagaran.”
“Mahal ke repair kereta kau tu?”
“Ikut mekanik cakap tadi, tak la mahal mana. Tapi bukan duit aku nak dari dia.”
“Abis, kau nak apa? Apa plan kau ni sebenarnya? Jangan buat bukan-bukan, Rina. Kesian budak tu.”
“Kesian, kesian jugak. Tapi dia tu kena diajar. Biar tau nilai. Bukan harga.”
“Ish… Peninglah aku cakap dengan orang berseni ni. Straight to the point, boleh?”
“Aku tak akan ambil duit dia. Tapi masa dia.”
“Oooocayyy…. Lepas tu? Lepas masa dia kau ambik, apa lagi kau nak buat? Kau nak ambik apa pulak?”
“Lepas tu kita tengoklah, dia merengek macam mana nanti.”
“Tak faham aku. Kenapa perlu buat camtu? Kan senang kalau settle elok-elok je.”
“Jangan risau, aku tak kan susahkan buah hati kau tu.”
“Hai, Rina, Rina… Kalaulah mak ayah dia tanya mana perginya motor, kan ke susah dia nanti?”
“Itu masalah dia. Budak tu kena belajar hormat cikgu.”
“Dia tak pernah kurang ajar dengan aku. Baik budak tu. Rajin bertanya. Pandai. Cepat tangkap.”
“Itu engkau, bukan aku. Dia suka kau kot. Tu yang champion semacam.”
“I don’t think so. Aku rasa semuanya pasal minat. Aku dengar parents dia paksa ambil A’Level sebab dia gagal buat IB.”
“Amboi sampai ke situ kau selidik, erk?”
“Apa nak heran, sekolah tu berapa banyak mulut ada. Hmm, kau mesti kenal Linda, kan? Budak ekonomi, best student kau.”
“Linda, mestilah aku kenal. Anak didik aku tu. Kenapa dengan dia? Budak tu awek si Andrey ke?”
Bergoncang badan Sophia, ketawa gelihati mendengar andaian kawannya itu.
“Dorang kalau couple, aku tak taulah motor tu nanti terjongket macam mana.”
“Jahatnya mulut kau, Phia…” Balas Rina tapi dia ketawa sama.
“Tak lah… Sebenarnya Linda yang cerita kat aku pasal budak tu.”
“Aik, macam mana pulak dia boleh cerita kat kau? Dia tak ambil bio kan?”
“Tak…” Sophia berhenti seketika, cuba mengingati hari dia berbual dengan Linda.
“Masa latihan bola jaring, Linda, kau taulah kan… dia memang tak boleh bawak badan sangat kalau pasal sukan-sukan ni. Tapi dia rajin datang tengok. Aku masa tu duduk kat padang. Dia datang tegur, jadi kami borak-borak. Masa tulah dia cerita. Aku pun koreklah. Itu yang aku tau pasal budak tu. Tak banyak. Tapi adalah sedikit, sebanyak.” Terang Sophia panjang lebar.
“Ooo… Panjang kisah dia. Kena paksa rupanya.”
“Aku faham macam mana rasanya bila dipaksa.”