Suara ~ Bab 7 : Antara Dua Dia

Ray FL
0


M(caps)eja paling depan selalu dikosongkan oleh rakan-rakan sekelas. Mereka semua tau Andrey akan menguasai kerusi tersebut, selewat mana pun dia tiba di makmal. Tempat itu membolehkan dia memandang wajah pujaan hatinya dengan jelas. Supaya alunan suara cikgu Sophia bernyanyi betul-betul di telinga. Tumpuan khas yang tak pernah gagal diberikan pada setiap gerak bibir cikgu Sophia telah membantu dia untuk memahami matapelajaran tanpa usaha keras. Itulah rahsia kejayaan Andrey menjadi pelajar terbaik dalam subjek biologi.

Pesona yang dimiliki cikgu Sophia tak berdaya dia abaikan. Mana mungkin. Jasanya mendamaikan jiwa Andrey yang selalu kacau terlalu besar.

Sophia. Cukup dengan hanya menyebut nama, hati Andrey akan bergetar. Satu nama yang memancarkan keanggunan dan keindahan. Satu nama yang bermaksud kebijaksanaan.

Namun dalam kekaguman dan keasyikan melayan perasaan, seringkali dia dihenyak pertanyaan—apakah yang sedang melanda jiwa remajanya? Cintakah ini atau sekadar rasa kagum? Ataukah satu gangguan emosi?

Dia tak jumpa jawapan. Apa yang dia tahu, kadang-kadang dia rasa macam ketagihan. Sehari tak nampak, hati gelisah. Hidup tak lengkap. Macam orang gila bayang pun iya. 

Nyatalah hidup amat memeningkan dan campur tangan hati menambahkan lagi sakit di kepala.

(nextPage)

“Dah lama saya sedar saya ni bukan perempuan.” 

Dia teringatkan perbualan dengan Kak Zu sewaktu sama-sama menangkap ikan di sawah. Andrey suka sangat makan ikan sepat masin. Jadi bila dapat ikan sepat, Kak Zu akan buatkan dia ikan sepat masin. Kalau makan dengan masak lemak dan sambal belacan memang terangkat. Selalu juga mereka makan bersama di tepi sawah. Kak Zu rajin layan Andrey. Apa saja Andrey nak makan, dia pasti akan masakkan.

“Kenapa orang panggil saya lesbian?”
“Sebab yang orang suka tengok, suka baca— kulit. Isi diaorang abaikan.”
“Saya tak pernah ada awek pun, kak.”
“Ah, kau pun baru umur 13, tak payah gatal-gatal nak awek.”
“Maksud saya… Yelah… Kenapa panggil saya macam tu? Memang saya mengaku saya suka perempuan. Tapi saya bukan lesbian. Saya lelaki.”
“Kau ingat orang nak faham tu?”
“Hmm… Akak tengah tunggu SPM, kan? Akak ada pakwe?”
“Nak pakwe apanya, Andrey oii. SPM pun belum tentu. Kau ajelah jadi pakwe akak.”
“Kak Zu…”
“Ha, kenapa, kau setuju ke nak jadi pakwe akak? Akak OK je. Kau pun handsome.”

Mereka tertawa. Gembira sungguh Andrey rasakan dapat bermain dengan selut dan lumpur. Berkenalan dengan Kak Zu menambahkan lagi keindahan di Kampung Nilam yang permai itu.

Walaupun Andrey tinggal ajak jauh di pekan, tapi tiap hari dia akan ke sawah untuk berjumpa Kak Zu, anak ketua kampung Nilam.

“Kau Zu ingat saya suka-suka je jadi macam ni?”
“Akak tak heran, Andrey. Dari cara kau, sekali nampak akak tau dah. Apa yang nak dimalukan? Jangan rasa rendah diri pasal tu. Bagi akak, hal camni normal. Kalau orang lain anggap sebaliknya, itu masalah diaorang, bukan masalah kau.”
“Akak betul tapi yang tak betulnya bila masalah diaorang tu diorang jadikan masalah saya.”
“Asalkan kau tak pandang itu satu masalah, biarkan je kalau diaorang nak terbeban dengan masalah tu. Kalau kita sibuk nak jadi orang lain, siapa nak jadi diri kita?”

Kata-kata Kak Zu Andrey simpan sebagai azimat sejak 6 tahun lalu. 

(nextPage)

Hati yang ghairah memuja cikgu Sophia ditambah pula dengan kehadiran cikgu Rina di celah-celah kekacauan yang menyesak akal fikir telah menguatkan lagi perasaan seorang lelaki di dalam dirinya.

Minda tak pernah letih mengulang tayang babak ciuman di kedai kopi. Itulah kali pertama bibirnya merasakan sentuhan bibir seorang perempuan. Tipulah kalau dia kata dia tak suka. Sedikit sebanyak mestilah terkesan sehingga babak itu kini selalu menjadi igauan.

Meski hanya sesaat dua, tapi masih segar diingatan akan kehalusan bibir cikgu Rina. Lembut. Basah. Dan tindakan berani cikgu ekonomi tersebut dah membuka satu sensasi yang tak pernah dia alami walaupun ciuman itu sebenarnya dah memalukan dia depan orang ramai. Dalam hati, sebenarnya dia teringin nak rasa lagi… Kalau boleh nak lebih dari itu.

Patut ke aku rancang jenayah lain biar sesaat itu jadi sejam, sehari, seminggu, selamanya… Ah, merepek!

Insiden antara dia dan cikgu Rina menganjakkan fikiran lebih ke depan. Macam-macam hal jadi tanda soal. Tambah lagi sekarang terjawab sudah misteri seorang cikgu Rina. Bukan homophobic, bukan juga transphobic. Mereka bernaung di bawah satu payung. Sesiapa pun pasti tak akan sangka sama sekali perempuan lawa macam cikgu Rina sebenarnya berhaluan kiri.

Untunglah siapa dapat kau, Rina. Hai… Mengapalah ciuman itu bukan dari cikgu Sophia? Atau perlukah kereta dia aku toreh demi satu ciuman?

“Ciuman? Hahaha... dream on. Silap-silap kau dapat penyepak.” Begitulah otak dan hati mentertawakan usulan bodoh ciptaan nafsu.

Seringkali dia tertanya, sia-siakah perasaan romantik yang dia simpan terhadap cikgu Sophia? Apakah cikgu Sophia itu lurus atau bengkok? Satu demi satu tanda tanya menerjah gedung akal, meminta investigasi.

Kalau cikgu Rina, selamba je dia confess. Tak ada segan silu, tak ada malu-malu. Macam mana aku nak korek pasal si Sophia ni pulak? Patut ke aku bersikap gentleman, terus mempamerkan cinta aku secara terang benderang? Atau perlukah aku jadi spiderman dengan menyorokkan muka di balik topeng? Hmm… Aku bukan manusia yang suka pakai topeng.

Senyap-senyap dia berdoa semoga perasaan romantik yang tersemai di sanubari tak berubah menjadi melankolik.

Barangkali semua ini hanyalah satu godaan, tak lebih dari itu. Andrey cuba memujuk hati. Mungkin semua ini hanyalah keasyikan layanan perasaan bukan cinta seperti yang dia fikirkan.

Tapi mengapa aku selalu terkenangkan dia? Kenapa ada rindu? Kenapa jantung ni berdegup laju bila dia di depanku? Kenapa dia begitu baik dengan aku? Benarlah kata orang, sesungguhnya sesuatu yang indah boleh menjadi satu percanggahan. Wajarkah dia aku tagihkan?

Dia merenung lagi diri sendiri. Sedar siapa dia dan wanita seperti cikgu Sophia, sudah tentu ramai yang memuja. Mustahil masih ada ruang kosong dalam hidup dia. Kalau ada pun, tak mungkin untuk orang seperti dirinya. 

Kadang-kadang dia nampak cikgu Sophia selalu duduk minum di kafeteria dengan seorang cikgu lelaki. Apa nama dia tak pasti tapi dari gaya yang menunjukkan kemesraan, dia tengok cikgu tu macam ada hati nak mengorat cikgu Sophia. 

Cemburu menyerang. Andrey tak suka cikgu lelaki tu. Kadang-kadang kalau tak dengan cikgu Sophia, dia pun suka duduk dengan cikgu Rina. Berborak, ketawa.

Ahhhh… Lantaklah…

(nextPage)

“Mengelamun?” Suara yang selalu dirindu telah membangunkan Andrey yang hilang dalam mimpi siang. Cikgu Sophia berdiri di sisi. Tangannya berehat di bahu Andrey.

“Tengah fokus,” jawapan diberi. Positif. Andrey gosok muka. Gelagatnya disambut dengan senyuman.

Oh Tuhan, aku jatuh cinta lagi.

“Awak sorang je kat sini, lain semua dah keluar. Masa dah tamat. Awak tak cukup tidur ke malam tadi?”
“Tertidur ke aku dalam kelas dia tadi?” Dia pandang sekeliling. Nyata, bukan dia seorang di situ.

Sophia, kenapa menipu? Bukan ke kau ada menenam aku?

“Hei, dah la... Apa kata awak pergi cuci muka lepas tu saya belanja minum kopi dan sandwich? Kita belum lagi bercakap tentang kes awak aritu. Saya teringin jugak nak tau cerita.”

Betul ke apa yang aku dengar ni?

“Jom la... Nak malu kenapa. Jom...” Dia menepuk-nepuk lembut bahu anak muridnya itu. Terlayang Andrey sebentar. Kalau boleh dia tak nak cikgu Sophia berhenti menepuk sampai dia tertidur. Tak payah minum kopi pun tak apa. Tak ada kepentingan pun nak bercerita tentang hal dia dan cikgu Rina.

Tak sangka betul hari ni aku kena loteri. Seingat aku, tiket pun belum aku beli.

Hati yang terpukau hanya mengangguk, bersedia dengan rela untuk memenuhi permintaan gadis idaman. 

Andrey membiarkan cikgu Sophia mendahului. Tak tahu dari mana idea itu datang, tapi intuisi kuat mengesahkan bahawa cikgu Sophia pasti akan menjadi miliknya, suatu hari nanti. Satu hari yang indah…

(nextPage)

Duduk jauh dari manusia, ditemani seorang wanita yang cukup mempesona dengan matanya memandang tepat ke muka, tak ada kenikmatan lain yang nak diminta dari dunia fana ini. Itulah dia halusinogen yang membolehkan semua yang tak boleh. Hati berlagu meskipun lidah terpaku kelu. Bibir tak dapat bergerak tapi mulut rasa ringan, terus pandai nak berborak. Rasional menghalang, tapi tangan rasa dah pegang. Tuhan saja yang tahu betapa gementarnya dia waktu itu. Kegugupan yang melanda rasanya macam naik roller coaster tapi dalam masa yang sama dia nampak ada istana di awan.

“Saya dengar banyak versi pasal kes awak dengan cikgu Rina. Dengar cerita dia cat motor awak.” 

Sambil membelek telefon bimbit cikgu Sophia memulakan perbualan. Rambutnya beralun jatuh lembut melepasi bahu. Cantik sungguh dia di pandangan mata Andrey. Begitu ringkas dan kemas memakai blouse ungu cair, skirt pendek warna kelabu gelap. Solekan yang dikenakan pun nipis sahaja seolah-olah dia tau Andrey tak suka perempuan pakai mekap tebal-tebal.

Sesekali cikgu Sophia tersenyum sambil jari-jari lincah menaip mesej. Tumpuannya penuh pada paparan telefon bimbit berwarna silver di tangan.

Entah dengan siapalah dia mesej tu… Bahagia sangat nampaknya.

Teknologi kadang-kadang memang mengganggu. Masa tu jugaklah telefon bimbit di sakunya bergetar-getar minta diangkat. Melihat cikgu Sophia yang leka main telefon, dia pun keluarkan telefon. Mesej. Dari pemuja rahsia tu lagi.

Aku agak dah. Asal kat kafeteria saja mesti kau masuk. Mungkin pekerja kat sini yang berminat kat aku.

Kepala ditoleh ke kaunter.
Takkanlah makcik tu…

Akal terkekeh. Hati terguling-guling ketawa bila melihat Andrey memerhatikan seorang makcik yang sedang berbual-bual mesra dengan beberapa orang pelajar.

“Hari ni dapat dating dengan cikgu. Well-done. I’m looking at you now. Hope you enjoy the conversation.

Mesej kedua pula berbunyi seperti ini, “andainya ada cinta, tunjukkan padaku cinta.”

Sudah… Apa benda cinta-cinta pulak ni.

Tiba-tiba jantung rasa berdebar bila mesej tu dah pandai bercakap pasal cinta.

Siapalah dia ni agaknya…

Matanya yang ghairah menikmati wajah indah cikgu Sophia tetap meliar tengok sana sini selepas makcik di kaunter itu tak menepati ciri-ciri suspek.

Anak dara dia kot? Mungkin tengah masak kat dapur, siapa tau? Ah, lantaklah. Ni perempuan depan aku ni yang mesti aku layan sekarang.

Cikgu Sophia masih leka dengan telefon.

Pakwe la tu. Geram pulak aku.

Cemburu membara. Andrey tak dapat menafikan gangguan itu.

Telefon bimbit dia simpan kembali dalam kocek seluar. Tak menghiraukan mesej dan cinta yang diucapkan, Andrey cuba bawa cikgu Sophia ke alam nyata.

Mana tau kat situ nanti dapat bertemu cinta?

(nextPage)

“Antik betul handphone cikgu. Kurun ke berapa punya handphone tu?”

Sambil menggosok-gosok telefon bimbit berwarna perak tersebut, cikgu Sophia ketawa kecil.

“Barang antik selalu ada sentimental value. Ni hadiah dari orang paling istimewa, kalau awak nak tau.”

Okay, I got it. Aku tau mana aku berdiri. Bangun Andrey. Bangun. Dah, jangan tidur. Jangan bermimpi lagi.

“Pandanglah muka kau tu kat cermin Andrey, oii. Tengok diri kau betul-betul. Apa yang kau ada? Apa yang dapat kau bagi? Kalau kau dapat bagi sekali pun, aku tak rasa dia akan terima. Kau sedar tak kau tu siapa? Jangan mimpilah… Bayang dia pun tak kan dapat kau pegang.”

Satu suara bergaung di telinga. Kali ini dia tak pasti suara apakah itu. Bukan suara akal. Bukan suara hati. Mereka sendiri tak tahu siapakah yang membisikkan kata-kata tersebut. Mereka sendiri tak bersetuju dengan apa yang diperkatakan suara itu. Dan seperti dirinya, mereka juga rasa terhina.

So, apa cikgu Rina dah buat?”

“Cikgu Rina tu memang pelik. Kelakar. It was pink. Pink, cikgu.” Suara tersebut dipersetankan. Dia menganggap suara itu hanyalah bisikan iblis durjana. Iblis memang benci kalau manusia bahagia. 

Setan tak suka orang yang ada cita-cita. Iblis dan setan takutkan orang yang sanggup berusaha. Mereka lemah dengan orang yang tinggi rasa percaya. Ada saja helah untuk menyesatkan manusia.

Cikgu Sophia ketawa lagi mendengar mukadimah itu. Telefon bimbit antiknya disimpan ke dalam beg tangan.

“Kenapa awak calar kereta dia?” Sekarang barulah dia pandang muka Andrey bila telefon bimbit hadiah dari orang istimewa itu tidak lagi melekat di tangan.

Thank God.

Dari A-Z Andrey pun susun cerita, menutup bahagian ciuman, sudah tentu. Cikgu Sophia yang dah tau cerita, masih teruja untuk mendengar versi sebelah pihak lagi. Versi Andrey.

“Saya tau saya tak patut buat macam tu, memang salah saya.” Akhirnya dia menamatkan cerita dengan satu kesimpulan mudah, berbaur penyesalan.

“Hmm... Nasib cikgu Rina tak panjang-panjangkan hal. Kalau tidak susah jugak.”
“Itulah yang saya respek dia. Memang tak sangka langsung.”

Serentak dengan kata itu, cikgu Rina melintasi mereka berdua.

(nextPage)

“Hai,” dia menyapa ringkas. Tak berhenti singgah, dia terus berlalu. Andrey perhatikan langkah kaki cikgu Rina. Dia nampaknya pergi duduk menyertai dua tiga orang guru lain untuk minum pagi. Cikgu lelaki tu pun ada.

“Siapa nama cikgu tu?”
“Cikgu mana?”
“Tu yang duduk sebelah cikgu Rina tu…” Jari ditudingkan sekejap.
“Cikgu lelaki yang pakai kemeja pink tu?”
“Ye…”
“Cikgu Fizi. Kenapa?”
“Ohh… Dia boyfriend cikgu Rina ke?” Saja Andrey bertanya sedangkan dia dah tau siapa cikgu Rina.

Tak mungkin dia suka cikgu tu. Kan dia suka aku?

“Kalau ye, kenapa?”
“Tak sesuai.”

Cikgu Sophia ketawa. Kepalanya digelengkan sedikit tanpa memberi sebarang jawapan.

“Hmm… ke boyfriend cikgu?”

Cikgu Sophia tergelak panjang. Kepalanya digelengkan lagi dan sekali lagi dia biarkan Andrey berteka teki.

“Kalau ye, kenapa?”.
“Kalau ye, eloklah.”
“Apa yang elok?”
“Sama-sama cikgu, kenalah.”

Cikgu Sophia membiarkan jawapan Andrey tanpa mengulas lebih lanjut.

Betul lah agaknya diaorang ada affair. Apa boleh aku buat pun. Kedudukan aku bukan kat mana-mana, sekadar kat bangku sekolah. Aku pun tak sesegak cikgu Fizi tu. Siapa nak pandang aku?

Well, berbalik cerita awak dengan cikgu Rina. Saya rasa, kalau awak tak suka, tak boleh bawak sangat ekonomi, awak tukar je yang lain. Macam matematik atau fizik?”
“Hahha... Tak payah la cikgu. Menempah maut namanya.”
“Fikirlah betul-betul. Boleh tukar lagi. Ini untuk masa depan awak. Mesti awak ada cita-cita, kan?”
“Entahlah. Sebenarmya saya tak nak ambil A’Level, tapi bapak saya paksa. Ikutkan saya, saya nak buat diploma terus, ambil art atau muzik. Dah dapat pun tawaran buat diploma kat Akademi Seni tapi abah saya berkeras nak jugak saya buat A’Level.”

Dengan jujur Andrey mengesahkan cerita yang dah cikgu Sophia dengar dari mulut Linda.

“Tapi pendapat saya, ada betulnya keputusan abah awak tu. Ini penting untuk awak lanjutkan pelajaran nanti, tak kira la universiti dalam atau luar. Mungkin dia ada rancangan dan perspektif yang awak belum nampak.”
“Entahla, macam buang masa je.”
“Betul, kalau awak nak tumpu pada seni awak boleh buat dekat kolej je tapi fikirkanlah dari sudut positif; Future professional approach.”

Kering sangat Andrey rasakan perbualan antara dia dengan cikgu Sophia. Tak seperti yang sering dikhayalkan. Mood pun secara automatik bertukar menjadi idle. Dah tak de spark. Matanya terpanggil untuk mengalihkan pandangan ke arah meja yang dihuni cikgu Rina tadi.

Hilang dah dia.

Cikgu Fizi pun hilang. Entah bila semua cikgu tu lesap dia sendiri tak sedar sebab khayal tengok muka cikgu Sophia yang terus membebel pasal sekolah, universiti, masa depan. Semua tu menakutkan Andrey. 

Berpura-pura menunjukkan minat pada usul nasihat yang diberi, jadi dia hanya mengangguk dan diam. Fokuslah konon. Padahal kalau ikutkan hati, nak saja dia tukar topik dan bisikkan ke telinga cikgu Sophia tentang kerinduannya.

(nextPage)


Leka membuat lakaran di dalam buku sketch, dia yang memang peka kepada bunyi dan bau dapat menangkap derap tapak kasut cikgu Rina dan bau minyak wangi— entah apa nama jenama yang selalu dipakai — “minyak atar agaknya,” kata Andrey dalam hati. 

Kedua bunyi dan bau kian menerjah kedua lubang telinga dan sepasang lubang hidung. Dengan beberapa buku di tangan dan cermin mata diletakkan sempurna atas rambut yang dibiarkan bebas, maka detik-detik menghitung kebosanan pun bermula.

Menghargai nasihat cikgu Sophia tentang pentingnya pelajaran, Andrey cuba tumpukan perhatian tapi perhatian itu bertukar menjadi mimpi. Mimpi tentang ciuman si singa.

Patutkah aku menuntut lebih banyak ciuman lagi?

Gerak bibir cikgu Rina cuba diikut hanya untuk menerbangkan dia ke alam fantasi. Andrey tak dapat menahan mata dan sekali lagi kapur mendarat di kepala.

“Pergi cuci muka.” Cikgu Rina mendominasi seperti selalu, tapi kali ini dalam nada tenang. Seperti polis di raja, Andrey menurut perintah, terus bangun untuk pergi ke tandas. Sempat wajah cikgu Rina dicuri pandang sewaktu mengambil jalan keluar dari pintu depan.

Sepintas lalu, dia menangkap sedikit kemesraan terselit di balik keangkuhan yang terpancar dari sinar mata cikgunya itu.

Rokok dan kopi, dua elemen yang dia halalkan untuk mencuri masa cikgu Rina. Sedar tak sedar, masa pun tamat. Sampai habis waktu sekolah dia duduk berdaulat dekat situ rupanya. 

Mindanya tak henti berfikir tentang kedua dia— Sophia dan Rina, juga tentang diri sendiri. Lebih lanjut, tentang dia dan perbualannya dengan cikgu Sophia pagi tadi dan kemudian kembali kepada ciuman pertama. Fikiran berputar di sekitar episod itu sehinggalah cikgu Rina muncul di belakang bangunan, tempat dia membuang masa.

“Ada saya suruh awak duduk sini sepanjang sesi?” Cikgu Rina melabuhkan punggung, menyertai dia, duduk di lantai simen yang sejuk.

“Tak de. Saya sakit kepala.” Badan disandarkan ke dinding, cuba menutup rasa terkejut bila cikgu Rina muncul secara tiba-tiba. Nafas panjang dihirup. Mata memandang ke depan, ke arah padang. Ada anak sungai yang memisahkan padang dengan jalan. Selalu juga dia ke situ, berdiri di jambatan untuk melihat ikan-ikan kecil berenang di bawahnya.

(nextPage)

Angin bertiup perlahan menggugurkan daun-daun dari pepohon yang meredupkan suasana belakang bangunan terbiar itu. Nyaman. Sehelai daun berwarna kuning yang mula mengering di hujung mendarat di atas rambut cikgu Rina. Spontan tangan Andrey menepis daun tersebut lalu ia jatuh ke atas tanah. Cikgu Rina mengutipnya lalu diletakkan ke atas tapak tangan.

“Sebab banyak sangat merokok? Saya memang suruh awak berhenti, kan?” Katanya sambil menyelitkan daun tersebut di celah-celah helaian sebuah buku yang dibawa bersama. Sementara Andrey pula mencapai kotak rokok dan lighter yang berbaring di atas simen lalu menyimpannya ke dalam beg.

“Ye, betul. Ada cikgu cakap aritu.”
“Abis kenapa hisap lagi?”
“Entahlah, cikgu… Nak ringankan kepala.”
“Banyak lagi cara lain nak ringankan kepala.”
“Ini je yang ada. Yang saya tau.”
“Banyak lagi yang boleh bantu, yang awak kena tau.”

Ada je jawapan dia ni.

Muka cikgu Rina dipandang sekilas.

Tak sangka sampai ke sini dia cari aku.

What’s amiss? Boleh cerita?”
“Tak ada apa yang menarik pun.”
“Kalau malas tunggu bas, jomlah saya hantar awak balik. Takkan nak duduk sini sampai matahari terbenam.”
“Saya nak tunggu bulan jatuh ke riba.”

Jawapan itu berjaya memecahkan tawa dari kotak suara cikgu Rina. Rambut yang jatuh sedikit menutupi mata, diselak ke belakang. Sambil membuka ikatan rambut, dia bertanya, “nak jadi macam pungguk?” Kepala ditoleh. Selepas mengemaskan rambut, ikatan dikenakan semula. Muka Andrey ditatap. Hatinya terasa aman. 

“Macam si luncai dengan labu-labunya.”
“Awak ingat saya nak biarkan?”

Wajahnya tenang, tak lagi tegang. Ketara perubahan yang cikgu Rina tunjukkan selepas apa yang terjadi antara mereka berdua. Meskipun sewaktu mengajar dia tetap mengekalkan imej tegas, namun kemesraan yang dihantar dari sekilas pandang dan segaris senyuman ringkas secara perlahan-lahan menjejak denai ke hati Andrey.

“Awak nak minum tak, makan ke? Atau sekurang-kurangnya temankan saya, boleh? Lapar…” Cikgu Rina menepuk-nepuk perutnya. Perlakuan itu agak kebudakan tapi nampak manja.

Suka pulak aku tengok.

“Macam mana tau saya ada sini?”
“Kan saya dah cakap, saya suka awak. Mestilah saya tau kat mana lubuk kegemaran awak.” Dia sentiasa mempunyai jawapan untuk setiap pertanyaan.

“Ahh... Tak payahlah serius sangat, cikgu.”
“Serius tak serius, sekarang jom ikut saya. We need some refreshments.” Cikgu Rina dah berdiri. Dia menghulurkan tangan.

“C’mon…” Dengan penuh yakin tangan Andrey ditarik.

“Elok jugak, boleh hantar saya balik. Saya pun memang malas nak tunggu bas, dan lagi, tak de motor, semua rancangan tergendala.”

Kata-kata itu membuat cikgu Rina rasa bersalah. Ingin saja dia katakan bahawa dia sanggup bawa dan teman pelajarnya itu ke mana saja, bila-bila masa pun. 

“Tak ada masalah. Rumah kita pun bukan jauh sangat. Biasa awak buat apa lepas sekolah, ye?”
“Lepak kat tasik atau mana je sejam dua. Tasik, sungai, perpustakaan. Kedai kopi.”

Bukan dia tak suka duduk di rumah, malah baginya rumahlah syurga. Tapi jiwanya nak selalu dekat dengan alam. Bila dah puas bermeditasi, baru dia balik.

(nextPage)

Cikgu Rina mencadangkan sebuah restoran. Kehendaknya Andrey ikut tanpa banyak cakap. Dia patuh memandangkan dia pun bukan reti sangat pasal restoran. Amat jarang dia makan-makan kat luar kecuali sekali sekala minum teh dan pizza kat kedai kopi, tempat bibirnya dicabul dan motornya dicuri.

“Sini makan sedap. Order je apa suka. Saya belanja.” Cikgu Rina memujuk dia untuk makan sama— cuba mengambil hati.

“Awak nampak pucat, letih. Kurus.”
“Kurus tu betul tapi betul ke saya pucat atau cikgu kena tukar cermin mata?”
“Pucat, Andrey. Awak ni memang selalu tak cukup tidur ke? Asik mengantuk je, kenapa?” Komen cikgu Rina selepas pelayan mengambil pesanan.

“Susah tidur malam. Maksud saya, tidur lewat.”
“Biasa tidur pukul berapa?”
“Tak tentu. Dua, tiga pagi. Kadang-kadang kucing dah mengantuk pun saya tak tidur lagi.” Dia menjawab jujur supaya cikgu Rina faham mengapa dia selalu tidur dalam kelas.

“Belajar atau kepala berat memikir?”
“Belajar, jarang. Banyak fikir tu, selalu.”
“Apa yang awak fikir sampai tak boleh tidur?”

Macam polis pulak perempuan ni. Banyak sangat soal.

“Pasal cikgu Rina. Dia tu selalu kacau saya tidur dalam kelas.” Saja Andrey mengusik supaya cikgu Rina berhenti bertanya. Suka agaknya dengar jawapan itu, lalu dia ketawa.

“Tidur kena cukup, makan mesti teratur. Baru fit. Awak kena rajin exercise, baru senang tidur. Rajin bersenam tak?”
“Ikut mood.”
“Bersenam ni macam main muzik, macam berseni. Kena ada disiplin.”
“Saya rasa balik karang elok cikgu sediakan kertas soalan. Esok cikgu bagi saya. Boleh saya jawab semua yang cikgu nak tau. Ni sekarang saya lapar, haus, nak makan, nak minum. Nak kasi gemuk.”

Cikgu Rina ketawa lagi, lebih besar dari tadi. Dia gembira dapat meluangkan masa bersama Andrey. Kalau boleh dia nak hari-hari supaya lebih saling mengenali, lebih mesra dan yang paling penting, dia nak memastikan apa yang dia rasa.

“Sarapan tak tiap pagi?”
“Tak pernah tak. Kenapa?” Jawab Andrey tanpa memberi apa-apa respon pasal exercise.

Agaknya dia nampak aku ni lembik tak bermaya, kurus kering, tak cergas, tak fit. Pucat la ngantuk la hape... Adoiii... Ada je yang tak kena Rina oiii...

“Saya ingat nak ajak awak sarapan esok macam awak minum dengan cikgu biologi awak pagi tadi tapi lagi awal dari tu.”

Ahhh... Sekarang, apa??? Boleh pulak dia ingat aku minum dengan cikgu Sophia kat sekolah tadi. Rina… Rina…

“Tengokla...”
“Camne nak tahu?”
“Saya biasanya lambat...”
“Kalau camtu bagi saya nombor telefon awak. Biar saya kejut. Saya buat wakeup call.”
“Sekarang cikgu nak rutin saya?”

Cikgu Rina angguk dan berkata, “ha ah, sekaranglah. Bila lagi?” Tegas dan muktamad tanpa ragu apalagi rasa bersalah. 

Telefon bimbit dia keluarkan. Selepas menekan beberapa butang, telefon itu diserahkan kepada Andrey. Nama terpampang, dah siap-siap dia taipkan. Hanya perlu masukkan nombor.

Oh Tuhan, aku benci bila dia merayu macam ni. Eh silap, bukan merayu tapi lebih kepada mengarah.

Andrey cuba buat tak tau. Tapi cikgu Rina penuh dengan idea.

“Kan motor awak esok lusa kot baru siap? Awak sanggup ke naik bas hari-hari pergi sekolah,?”
“Kalau malas, saya membuta je la kat rumah.”
“Rugi ponteng sekolah, tau?”
“Teksi banyak.”
“Tapi lambat. Saya cepat. Esok, pukul 7. Tepat.”

Andrey tepuk dahi. Cikgu Rina ketawa, senang hati.

Tags

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!