Kulontar jauh semua kekesalan yang tak pernah terbuku sekelumit pun dalam dada ini. Bukankah jodoh, ajal, maut, pertemuan, semua itu urusan Tuhan? Cinta yang pernah datang dan pergi mematangkan aku tentang diri sendiri, apa yang aku mahukan dalam hidup ini, apa yang aku cari dan apa tujuanku dalam menempuh hari-hari mendatang.
Dalam kesederhanaan, kujalani hari-hariku berbekalkan semangat yang setiap hari aku teguhkan, memperbaiki setiap kekurangan berpandukan pengalaman-pengalaman lalu yang membawa aku ke hari ini, di sini. Sepi ini, kesendirian ini membawa aku dekat kepada Tuhan. Terasa tenang tatkala aku berbicara denganNya. Tiada sempadan, tiada rasa malu, tiada had, aku bebas membicarakan apa saja dari hatiku, dari fikiranku.
Kuluahkan segala kesepian, kerinduan, keterpaksaan, sakit, sengsara, pilu, resah dan gundah, kecewa dan hiba, gembira dan syukur dalam setiap nikmat yang diberi. Aku mahu terus menggali dan mencari. Yakin bahawa Dia tak pernah mengabaikan aku, malah inilah cara dia melindungi aku.
Namun aku bukanlah orang suci. Semua orang berdosa dan begitu jualah aku. Terlalu banyak dosa yang telah dan masih aku lakukan, yang telah aku tinggalkan, yang kuulang-ulang lagi. Ternyata kesepian dan keseorangan ini melemahkan aku dalam menghentikan kezaliman terhadap diri sendiri.
Judi, ye aku seorang penjudi, satu-satunya tabiat buruk yang masih ada. Aku bukan kaki botol, aku bencikan arak. Aku bukan kaki perempuan—perempuan bagiku adalah anugerah. Aku bukan pencuri, aku bukan perogol, bukan juga seorang yang menjual maruah kepada manusia lain. Tidak. Bukan, itu semua bukan aku. Aku hanyalah seorang penjudi sepi.
Malam itu, aku ke sana lagi selepas tamat waktu kerja, jam 8.30 malam. Aku tidak terus pulang ke rumah kerana aku benci diselimuti sepi dan sunyi bertemankan kenangan yang mengusut fikiran. Di situlah tempatku setiap malam semenjak dia tinggalkan aku. Mulanya hanya suka-suka. Dari suka-suka jadi ketagih dan kini menjadi rutin, bukan kerana mahu menang semata, tetapi ketenangan itulah kemenangan bagi aku.
Saat-saat yang aku kecapi sewaktu membiarkan minda hanyut dengan secawan kopi dan puntung yang bersilih ganti. Beberapa muka biasa menjadi teman bicaraku. Aku tahu mereka juga sepi seperti aku. Bila sang sepi bertemu sang sepi yang lainnya, tak banyak yang dibual bicara. Hanya kerincing syiling dan desiran kertas menjadi dialog perbualan.
Sejak beberapa bulan yang lepas, tuahku menjadi-jadi—setiap malam aku pulang dengan tangan penuh. Gembira. Puas hati. Kulihat iri dimuka kenalan-kenalan sepiku yang lain tatkala mereka menguntum senyuman palsu sambil mengucap tahniah.
Aku tau... Aku tau betapa palsunya dunia ini dan betapa palsunya pendukung-pendukung wataknya, termasuklah aku. Dengki dan iri hati? Tipulah jika aku katakan aku bebas dari sifat keji tersebut. Aku rasa apa yang mereka rasakan bila nasib melompat kepada yang lain. Adat. Kalah dan menang itu adat berjudi. Ini adalah kehidupan. Bukankah kehidupan itu juga satu perjudian?
Di sini, apakah sebenarnya yang mereka cari? Menggandakan wang atau menipiskan saku? Jika kau tanya aku, aku mencari ruang mengisi sepi... Sepi. Sepi ini amat mengerikan.
#
Perempuan itu bukanlah pengunjung tetap kelab ini. Dia datang mungkin dua atau tiga kali seminggu. Kadang-kadang sekali... Ahhh... Aku tak tahu. Aku tidak memerhatikan dia, tetapi aku sedar akan kewujudan dia. Dia masih muda, mungkin dalam lingkungan akhir 20-an. Lebih gemar berdiam, dia memilih tempat yang paling ceruk, terpinggir dari penjudi-penjudi lain. Seperti aku, datangnya tak berteman. Sendirian.
“Tentu saja dia juga sepi seperti aku dan yang lain,” desus hatiku.
Dan sejak sebulan dua lepas, semakin kerap aku lihat dia di situ. Kami tak pernah berbual mahupun bertemu sapa, tiada senyuman, tiada hi dan bye seperti yang selalu dilakukan penjudi-penjudi lain bersama kemesraan terpupuk di kelab suram itu. Yang ada hanyalah sepi sehinggalah pada suatu waktu, ketika aku meninggalkan tempatku untuk ke tandas dan bila pulang aku lihat tempatku diambil orang. Wangku masih di situ, tertera di skrin simulator.
“Maaf, aku tak perasan yang mesin ini masih ada baki di dalamnya.”
“Ah, tak apa-apa, perkara kecil.” Aku melihat ke kaunter baki. Terlebih 10 dollar, lalu aku keluarkan lebihan tersebut untuk kukembalikan kepada pemilikknya.
“Maafkan aku. Aku benar-benar minta maaf.” Kata si gadis berulang kali dan seiiring itu juga aku meyakinkan bahawa itu tak apa-apa. 10 dollar bertukar tangan, dia mengucapkan terima kasih dan berlalu ke tempat di mana dia leka bermain sebelumnya.
Sesekali aku mengerling ke arah gadis itu, aku tersenyum sendirian. Dia tidaklah dingin seperti yang aku sangkakan.
Malam semakin pekat, manusia-manusia sepi semakin susut meninggalkan ruang tersebut. Dia dan aku masih di situ, bertemankan lima atau enam yang lainnya.
Aku beralih ke tempat lain selepas mengosongkan mesin tersebut. Aku lihat si gadis masih leka dengan permainan nasib tetapi nampaknya, usaha dia tak menghasilkan apa-apa, jadi terlintas di fikiranku untuk membiarkan dia mencuba di tempat aku bermain tadi. Lalu aku menghampiri. Perlahan bahunya aku sentuh, mengejutkan dia dari tumpuan.
“Maaf.” Kataku bila dia melontarkan reaksi terkejut.
“Tempat itu kosong sekarang, jika saudari mahu mencuba,” kataku ringkas. Dia menjawab terima kasih seringkasnya juga dan aku berlalu ke tempatku. Tetapi dia tidak ke situ sebaliknya dia membiarkan usulanku begitu saja. Beberapa ketika kemudian, aku lihat dia bangun dan berlalu meninggalkan ruang sepi yang masih diselaputi gumpalan asap rokok.
Sejak hari tersebut, semakin kerap aku lihat dia. Nasib dan tuah baikku yang berulang-ulang menarik perhatian dia. Kulempar senyuman, dia menyambut dengan sebaris senyum nipis dan berlalu. Esoknya kami bertemu lagi, kali ini kuucapkan hello kepadanya, sesuatu yang tak pernah aku lakukan sebelum ini.
Dia menyambut baik dengan senyuman. Begitulah hari-hari seterusnya sehingga akhirnya mata hatiku terbuka untuk melihat ruang sepi itu sebagai satu keindahan yang tak terkatakan. Otakku mengupas setiap kejadian, tiap senyuman dan kata-kata. Di sebalik wajahnya yang selalu menunduk, ada waktu-waktunya dia mengangkat muka melontar senyuman kepadaku. Hati ini terasa bagai terisi lagi. Adakah aku jatuh cinta?
Akhirnya dia berada di mana-mana saja. Di segenap ruang fikirku, aku bawa dia dalam sepi yang membahang. Bayangan wajahnya mengisi sunyi hari-hariku. Sehingga kecanduan mempertaruhkan wang di situ bertukar menjadi pelabuhan harapan. Bukan untuk mengosongkan mesin dan meja, bukan untuk mengganti syiling dengan nota-nota dollar, tetapi kerana mahu melihat dia, bertemu dan berbicara dengannya.
Aku mahu mengenali dia. Entah mengapa aku rasakan bagai ada keserasian antara kami berdua.
#
Lima hari dia tidak kunjung selepas pertemuan malam Sabtu yang lepas. Mungkin dia berputus asa atas kekalahan demi kekalahan. Mungkin dia merasa jelek menyaksikan kemenanganku. Aku tak tahu... apa yang aku tahu, aku merindunya.
Malam itu, selepas waktu kerja aku tidak terus ke situ, sebaliknya aku pulang ke rumah. Selepas sebatang rokok, aku membersihkan diri di bawah pancuran air suam. Aku mahu kelihatan segar dan bersih, berharap untuk bertemu dia malam itu. Kulihat wajahku di cermin. Boleh tahan. Dan aku senyum kepada diri sendiri, melatih bibir ini untuk memberikan dia senyuman paling bermakna.
Sejam aku menanti, fokusku kepada permainan hilang sama sekali, dia tetap tak muncul-muncul. Aku hampa. Pulang dengan kemenangan tetapi kemenangan itu tak bererti apa-apa bila terlepas apa yang aku harapkan. Kunanti hari esok. Tiada. Esok lagi. Aku gelisah. Resah dan bimbang. Aku berdoa kepada Tuhan, semoga dia tak apa-apa.
Kepada Tuhan aku meminta agar dibukakan kesempatan untuk aku mendekati dia. Aku tak kisah berapa lama masa harus kupertaruhkan, asalkan dia dapat aku dekati. Malangnya, dia tak muncul-muncul, namun tetap kuhembuskan doa tanpa putus asa hinggalah dua minggu, tiga minggu berlalu, akhirnya doa sepiku terjawab. Senyuman berbalas. Serasa mahu aku berlari mendakap tubuhnya dan membisikkan rindu ke telinganya.
“Aku Zack. Lama kau tak ke sini?” Tangan kuhulur lalu dia menyambut salamku dengan senyum.
“Emily,” dia memperkenalkan diri. Tuhan, betapa aku merindukan senyuman itu.
Aku mengambil tempat di sebelahnya dan memesan dua gelas cola untuk kami.
“Aku sebenarnya mahu menyingkir hobi yang sia-sia ini,” ikhlas dia menjawab pertanyaanku selepas menyalakan sebatang rokok. Aku mengangguk, aku faham. Aku rasa apa yang dia rasakan.
“Aku juga...” Rahsia hati aku singkapkan.
“Apa yang membawa kau ke sini?” Dia bertanya.
“Dulu... kesepian yang membawa aku. Tapi sekarang ada sesuatu yang lain. Kau pula?”
“Mungkin sama jawapannya. Sepi dan kosong. Aku lemas dalam keramaian manusia. Di sini aku sendiri. Bebas tanpa perlu bersuara, mendengar. Hanya dunia aku tapi kau dah mengganggu sepi itu.” Dia ketawa kecil selepas menghabiskan perkataannya.
“Maaf... bukan maksud aku.”
“Aku bergurau.”
Perbualan malam itu telah mengisi kesepian kami. Hari-hari seterusnya, kelab itu kami kunjungi lagi, tapi bukan untuk mempertaruhkan nasib sebaliknya menceritakan tentang nasib. Di situlah segalanya bermula.
“Kalau kau sudi, mungkin kita boleh cari tempat yang lebih sesuai untuk berbual.” Niat yang aku simpan sekian lama akhirnya berjaya aku suarakan.
“Bila-bila masa saja.” Jawapannya membuat hatiku melonjak gembira.
#
“Aku tak akan ke sana lagi.”
Kusuarakan keputusan muktamad yang telah aku buat di satu malam saat kami mengisi sepi berjalan menyusuri pantai yang damai.
“Sebab?”
“Di sana, apakah sebenarnya yang kita cari? Menggandakan wang atau menipiskan saku? Jika kau tanya aku, aku mencari ruang mengisi sepi... Sepi. Sepi ini amat mengerikan.”
“Sepi telah menemukan kau dan aku.” Dia membalas jawapanku untuk pertanyaannya.
“Dan sebenarnya, aku dah menang besar dan aku tak perlu lagi ke sana.”
Emily tersenyum. Mungkin keliru. Mungkinkah mengerti?
“Betul kata kau. Kita tak perlu ke situ lagi. Kita dah menang dan kemenangan itu lebih besar nilainya dari wang.”
“Emily, aku mahu kita sama-sama menghargai makna ini... dan aku mahu kau tau tentang erti yang telah kau bawa dalam hidup aku. Terima kasih kerana mengizinkan aku memenangi hatimu.”
“Terima kasih juga, Zack kerana membuka jalan untuk aku...”
“Tak perlu berterima kasih kepada aku, sebaliknya marilah kita sama-sama berterima kasih kepada Dia yang telah mengatur pertemuan kita.”
Begitulah kekuasan Tuhan... jodoh, pertemuan, ajal dan maut, semuanya urusan Dia. Kita hanya mampu mencuba dan berusaha. Bermula dengan dosa menzalimi diri sendiri, hikmah penuh rahsia di balik kedosaan itu amat besar pengertiaannya.
Tiga tahun aku terjerumus dalam kancah judi, pertemuan di ruangan sepi itu membawa aku kembali di mana perjalananku terhenti. Tuhan telah merancang kesepian dalam hidup aku dan Emily untuk menganugerahkan kami kasih sayang dan kini adalah tanggungjawab kami bersama untuk memelihara semua pemberian itu dengan penuh rasa syukur.
Tiada tekanan, tiada paksaan. Perlahan tapi pasti. Kami tidak memperjudikan cinta ini, tetapi pertaruhan itu telah menyatukan hati kami.