Dari satu huruf ke satu huruf
aku belajar menyebut namamu
dan bila aku sudah fasih,
aku mula melagukannya
bila sudah lancar aku mula mencari makna.
Terjumpa di satu sudut
aku terdengar kau menyebut namaku
dan alam pun turut mendengar bicaramu
Lalu aku jatuh.
terpaku.
Dari satu sudut ke satu sudut
kita belajar tentang arah
menggali dalam-dalam semua sejarah
setiap hari
dan kita tak pernah berhenti
belajar menyebut nama
semakin fasih, semakin lancar
semakin dalam setiap makna.
Bila kau bersuara
alam pun terpaku
mahu mendengar semua ceritamu
dan sekali kita jatuh
kita terus jatuh.