Kanvas Kata ~ Jejak Dimensi Dalam Tulisan

13. Love is God

PART THREE ~ THE TRIO

Bab 13: Love is God

Dia tak pernah pergi mana mungkin dia hilang.
𝄞
“Kamarul Suffiyan, you have been accepted to pursue your Master Degree at.…” Surat dari sebuah universiti terkemuka di England sampai ke tangan Kamarul. Kalimah yang tertera di dada kertas putih itu dibaca berulang kali. Kamarul terasa seperti sedang bermimpi dan mimpi itu jadi nyata. Sekelumit sebak yang merayap di hati disorok balik bibir yang mengukir senyuman sewaktu berita tersebut dia pecahkan di meja makan.

Puan Kamalia menutup mulut dengan tangan, air mata kesyukuran seorang ibu mengalir tanpa disedari. “Alhamdulillah, Kamarul… Makbul doa mama dan papa.”

Mata Encik Suffiyan bersinar dengan rasa bangga. “Take this chance to be a role model and inspire others.”

“Mal dengan Phia, ikut jejak abang Kamarul kamu ni.” Tambah Puan Kamalia.

“Seronoklah kau, bang… Aku pun nak ikut kau nanti,” kata Kamal pula sedangkan Sophia hanya mampu tersenyum tawar.

Menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi di luar negara adalah impian yang sering Kamarul kongsikan dengan Sophia tapi malam itu, kegembiraan yang disampaikan bertukar menjadi kesedihan. Dalam keluarga, Kamarul adalah satu-satunya abang yang selalu menyokong dan memahami. Ketiadaan Kamarul bermakna dia akan kehilangan satu-satunya sumber kekuatan yang dia perlukan dari keluarga.

Nada-nada sayu bercampur gembira menyelubungi perbualan keluarga pada malam sebelum Kamarul berangkat. Selepas semuanya mengucapkan selamat malam, Kamarul masuk ke bilik Sophia, seperti yang selalu dia lakukan apabila mereka ingin berbual hati ke hati.

“Adik…” Lembut suara Kamarul menegur sambil duduk di sebelah Sophia yang sedang menatap langit di balkoni bilik tidurnya. “Janganlah sedih sangat.”

“Abang jauh nanti, kat siapalah Phia boleh mengadu dalam rumah ni?”

“Abang tau keadaan adik sekarang ni tak mudah.” Kamarul mengusap bahu Sophia. “Tapi adik ada Dahlia, ada Lynn and of course Hans. Walaupun tak boleh selalu jumpa tapi abang percaya Hans sentiasa ada untuk adik.”

Sedaya upaya Sophia cuba menahan sebak. “I’m happy for you… just that… yeah… you know what I mean…
“Adik pun mesti dapat masuk U tak lama lagi. Lagi tiga bulan keputusan keluar, kan?”
“Phia harap dapat pergi jauh dari sini. Lagi jauh lagi bagus.”
“Keputusan adik cemerlang. Abang yakin, salah satu U yang adik mintak mesti dapat.”
“Phia harap dapat masuk U sama-sama dengan Hans. Kalau Hans tak ada, Phia tak tahu macam mana nak hidup. Pengalaman kat rumah Makcik Salina dah cukup buat Phia sakit…”
“Sekarang adik dah boleh jumpa Hans walaupun sembunyi. There's no reason for sadness.”

𝄢

Keluarga Encik Suffiyan berkumpul di lapangan terbang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Kamarul. Bangga, sedih dan gembira bercampur gaul dalam hati dan di raut wajah mereka. Peluk dan salam bertukar diiring ciuman di pipi dan usapan di bahu. Sebelum berlepas, Kamarul memeluk Sophia erat, tak mempedulikan pandangan orang sekeliling.

“Abang sayang adik. Ingat selalu, adik kuat. Jangan biarkan apa pun patahkan semangat adik,” bisik Kamarul di telinga Sophia sambil menyeka airmatanya.

“Abang… jaga diri. Jangan malas tulis surat untuk Phia.”
Kamarul melepaskan pelukan, meletakkan tangan di dadanya. “Abang janji.”

Pesawat semakin mengecil dan Sophia merasa seolah-olah sebahagian dari dirinya terbang pergi bersama Kamarul. Di dalam kereta dalam perjalanan pulang, dia hanya duduk diam, memandang ke luar tingkap sambil mengenang kembali semua kata-kata nasihat abangnya itu.

“Nanti papa cuti kita semua boleh pergi jumpa abang,” pujuk Puan Kamalia sambil merangkul bahu anak gadisnya yang bersedih.

𝄞

Banglo tiga tingkat keluarga Encik Suffiyan disinari lampu-lampu indah, menjadikan suasana meriah untuk meraikan ulang tahun Kamal. Kawan-kawannya datang memenuhi taman di belakang rumah, membawa gelak tawa dan ucapan selamat. Sophia turun dengan hati berat, sekadar memenuhi permintaan ibu bapanya untuk menunjuk muka.

Salah seorang tetamu itu adalah Joe, rakan baik Kamal. Bertubuh tinggi, berpenampilan kemas, dan memancarkan keyakinan dalam setiap langkahnya, Joe segera menarik perhatian ramai. Ada sesuatu yang membuatkan dia tidak mampu mengalihkan pandangan bila dia bola matanya menangkap wajah Sophia. Lalu peluang diambil untuk mendekati.

“H!” Sapaan Joe bersulamkan senyum mesra.

Sophia sedikit tersentak. Dia memandang Joe, acuh tak acuh. “Hi…”

“Saya Joe. Kamal banyak cerita tentang keluarga dia, tapi tak pernah pula dia bagitahu yang dia ada adik secantik ni.”

“Terima kasih.” Balas Sophia, jelas tidak selesa dengan pujian yang diberi. Dia terus berlalu ke dapur.

Namun, Joe yang dah mula tertarik ingin menjadikan malam itu sebagai satu permulaan. Sepanjang majlis, dia mencari peluang untuk berbual dengan Sophia. Dari pujian kecil hingga bertanya tentang minat dan perancangan masa depan, Joe menunjukkan minat yang jelas. Dari jauh, Kamal memerhati senang hati. Bagi Kamal, Joe adalah lelaki yang sempurna—berjaya, bercita-cita tinggi dan stabil— calon terbaik untuk Sophia. Dia tersenyum puas. Rancangannya untuk mendekatkan Joe dengan Sophia bukanlah satu perkara yang susah dan mustahil.

Merasa tak selesa dengan suasana bising dan dikelilingi kawan-kawan Kamal yang tak dikenali, Sophia memutuskan untuk naik ke bilik. Di tengah-tengah keramaian, hatinya tetap sunyi. Majlis harijadi Kamal mengingatkannya kepada sambutan harijadinya yang terakhir di Tanjung Bayu bersama Hans. Joe yang memerhati segera menghampiri Sophia, mematikan langkahnya.

“Ini kad saya.” Joe menghulurkan sekeping kad berwarna putih. “I look forward to seeing you again soon.”

Kad bertukar tangan. Tanpa sepatah kata, Sophia terus masuk ke rumah dan naik bilik tidurnya.

𝄢

“Mal, aku suka adik kau.” Suatu petang selepas bermain bola, tanpa teragak-agak Joe meluahkan perasaannya.

“Kau serius ke ni?”

“Kalau dia single, aku serius. Aku pun single, memang tengah mencari. Kau taulah aku sekarang dah 27, mak ayah aku dah bising tanya-tanya.”

Joe, seorang pemuda berjaya dalam bidangnya dan berkeyakinan tinggi. Semuanya kelihatan begitu sesuai dengan apa yang diinginkan oleh keluarga mereka— lelaki yang cukup serba serbi untuk memberikan masa depan yang stabil buat Sophia.

Walaupun bukan dari latar pendidikan yang sama, Kamal yang sudah lama mencari peluang perniagaan melihat potensi besar dalam diri Joe sebagai seorang rakan kongsi. Mengenali Joe dalam kursus keusahawanan diikuti beberapa urusan niaga kecil, akhirnya memupuk usahasama. Bermula kecil dan sederhana, kini perusahaan Joe berkembang dan dia terkenal di kalangan usahawan muda. Kamal kagum dengan keupayaan Joe mengendalikan projek-projek berisiko.

“Adik aku tu, dia masalah sikit.”
“Masalah? Maksud kau?”
“Dululah… masa kat sekolah dia couple dengan butch.”
Butch? Macam tomboy, pengkid tu ke maksud kau?”
“Lebih kurang, tapi ‘pakwe’ dia tu lain sikit… tak macam pengkid atau tomboy yang kita kenal.”
“Camne tu?”

“Dia Serani. Kalau tengok sekali dua imbas memang kau tak sangka dia tu perempuan… Kalau perempuan memang lawa tapi dah nak jadi jantan sangat, hmm… handsome lah jugak. Pasal tu kot adik aku gila sangat kat dia.”

Joe ketawa. “Alah… budak sekolah, cinta monyetla tu… Sekarang dorang kawan lagi ke?”

“Tak…” Kamal terus menceritakan kisah keluarganya kepada Joe, tentang adiknya yang menurutnya ‘sukar diuruskan’. Joe semakin tertarik, keinginannya untuk memiliki Sophia semakin memuncak. Dia merasakan peluangnya terbuka luas kerana Kamal adalah sahabat baik yang mempercayainya.

“Budak tu kerja kapal sekarang. Dah jumpa perempuan lain kot. Eloklah.”

Apa yang diluahkan Joe adalah berita baik buat Kamal. Setiap hujung minggu, dia membawa Joe datang ke rumah untuk memperkenalkan keluarganya lebih dekat. Joe tak berdaya melepaskan pandangannya dari Sophia. Kesederhanaan yang dilengkapi wajah cantik penuh misteri membuat hati Joe ditarik-tarik untuk menjadikan Sophia miliknya. Walaupun Sophia tak banyak bercakap, senyumannya sudah cukup untuk membuat Joe terpukau. Hatinya kini jatuh sepenuhnya kepada Sophia.

“Adik kau buat aku gila, Mal. Eh abang… abang ipar.” Joe ketawa besar sambil menumbuk lengan Kamal. “Kau rasa orang tua kau terima tak kalau aku masuk meminang?”

𝄞

Hari yang dinanti-nanti akhirnya tiba. Keputusan kemasukan ke universiti diumumkan, membawa harapan dan debaran. Diiring doa, Sophia membuka surat di tangan. Puan Kamalia memerhati, turut berdoa dalam hati untuk anak gadisnya itu. Bagi Sophia, dia hanya peduli pada satu perkara— kebebasan dan masa depan yang dijanjikan.

“Macam mana?” Tanya Puan Kamalia, tak sabar, bila melihat Sophia hanya membisu dengan tangan melekat di dada.

Dada itu sarat dengan emosi— Sophia kehilangan kata-kata. Surat di tangan dia serahkan kepada ibunya. Kedua belah tapak tangan kemudian menekap muka.

“Tasik Biru… jauh jugak tu,” gembira nada suara yang muncul dari bibir Puan Kamalia. “Tapi bandarnya cantik. Tak silap mama dekat dengan Terusan Tasik Biru.”

Jantung Sophia berdegup kencang. Universiti Tasik Biru! — Universiti yang sama-sama dia pilih dengan Hans untuk melanjutkan pelajaran.

“Agak-agak berapa jam dari sini, ma?” Dia mengangkat muka. “Dalam 5, 6 jam.”

Telefon berbunyi mematikan perbualan mereka. Puan Kamalia segera mengangkat gagang. Suara mesra yang dia kenali memberi salam. Dalam hati Sophia jarak 5,6 jam itu cukup menjanjikan sesuatu yang berharga.

“Lia, ada kamu terima surat tawaran?”

Sophia mendengar ibunya bertanya. Sebentar kemudian telefon di serahkan kepadanya. “Dahlia.

“Dahlia! Aku dapat masuk Universiti Tasik Biru! Kau dapat kat mana?”

Di seberang talian, Dahlia menjerit kecil, turut berkongsi kegembiraan. “Aku Universiti Selatan. Jauhlah dari kau… tapi Sophia, aku ada berita terbaik!” Kata Dahlia. Suara direndahkan. “Hans baru call… dia pun dapat Universiti Tasik Biru.”

Kalimah itu adalah wahyu Tuhan yang membuka pintu kepada semua pintu untuk dia dan Hans. Ingin rasanya dia menjerit, melonjak, melompat tapi cepat-cepat dia mengawal diri kerana ibu ada di sebelah.

“Dahlia nak datang sekejap lagi. Excited betul dia,” beritahu Sophia selepas gagang diletak. Wajahnya bersinar-sinar. Senyuman melebar, hatinya berbunga-bunga.

Loceng berbunyi setengah jam selepas panggilan telefon tadi. Dalam pertemuan ceria yang penuh dengan cita-cita itu, Dahlia tak lupa menyelitkan sebuah hasrat.

Aunty, alang-alang dah nak jauh ni, boleh tak kami pergi somewhere nak celebrate dengan kawan-kawan sekolah? Ada yang cadang nak buat reunion kat Highland Resort.”

“Ma, boleh ye ma… Bila lagi dapat jumpa kawan-kawan. Semua dah jauh-jauh lepas ni.” Sophia memujuk dan Puan Kamalia hanya tersenyum, merestukan sebagaimana dia mengizinkan kedua gadis itu menonton wayang di bandar pada petang yang sama.

Tapi sebelum ke wayang mereka wajib terlebih dahulu ke kedai kopi untuk menenangkan hati dua jiwa.

𝄞

Kereta api dari Tanjung Bayu membawa Hans, Lynn, dan Marsha ke Kota Suria Putra. Ini adalah perjalanan istimewa bagi mereka, bukan hanya kerana mereka akan bertemu tapi juga kerana meraikan langkah baru dalam hidup masing-masing. Tawaran universiti lebih daripada sekadar pendidikan— ia adalah bayangan masa depan.

Hans duduk di tepi jendela kereta api, memandang pemandangan sawah padi dan kampung-kampung yang berlalu. “Aku masih tak percaya kita semua akan ke universiti. Rasa macam mimpi— macam baru semalam aku kenal dia…” katanya sambil tersenyum kecil kepada Lynn dan Marsha.

“Dan mimpi tu jadi kenyataan,” balas Lynn, mengetuk beg galasnya. “Semua ni berkat usaha kita, Hans.”

Marsha menyandarkan kepalanya ke kerusi, tersenyum. “Tapi aku rasa kau yang paling beruntung. Kau ada Sophia. Aku tak sabar tengok muka dia bila dia nampak kau nanti.” Dia mengusik.

Hans tertawa kecil tapi tak berkata apa-apa. Di dalam hati, dia tahu pertemuan itu bukan sekadar istimewa. Ia adalah hari untuk meraikan kejayaan, persahabatan, cita-cita dan cinta.

Sophia dan Dahlia teruja menunggu ketibaan di Terminal Kota Suria Putra. Apabila kereta api tiba, mata mereka mencari-cari kelibat tiga sahabat. Dalam sesak manusia, Dahlia melaung melambai dengan senyuman lebar ketika melihat Lynn dan Marsha melangkah keluar.

“Lynn! Marsha! Hans! Im so excited… Oh my God… rindunya…” Seru Dahlia sambil memeluk mereka erat.

Sophia, yang berdiri sedikit di belakang, menatap Hans dengan senyuman rindu. Hans berjalan mendekatinya, tidak dapat menahan rasa bahagia yang membuak dalam dada. “Sophia,” dia memanggil perlahan.

Sophia hanya tersenyum sebelum menarik Hans ke dalam pelukan erat. “Aku rindu kau, sayang. Rindu sangat…”

Kereta yang dipandu Dahlia membawa mereka ke Highland Resort, kira-kira sejam perjalanan dari Kota Suria Putra— arah bertentangan dengan Tanjung Bayu. Setibanya mereka di resort mewah itu, Lynn, Marsha, dan Hans terpegun. Resort itu berdiri megah di atas bukit, dengan pemandangan menghadap lembah dan banjaran. Udara sejuk dan suasana damai menyelimuti mereka.

“Aku tak pernah mimpi jejak kaki tempat macam ni,” kata Hans perlahan, matanya tidak lepas dari keindahan yang berbeza sekali dengan hangat bayu laut.

Lynn mengangguk. “Aku pun. Kau pasti tempat ni tak mahal sangat, Sophia?” Dia bertanya, menadakan keraguan.

Sophia ketawa kecil. “Korang jangan risau. Dahlia dan aku dah uruskan semuanya. Ini hadiah sempena meraikan kejayaan kita. Korang cuma perlu menikmati hujung minggu ni, okey?”

Hans menghela nafas lega. “Terima kasih, Sophia. Aku tak tau apa yang aku buat untuk layak dapat kawan, kekasih macam kau.”

Pemandangan di luar sejuk berkabus. Di dalam restoran, mereka berlima menikmati makan malam sambil bertukar-tukar cerita, diselang selikan dengan gurau senda dan gelak ketawa. Hidangan enak terhidang di atas meja, namun apa yang paling penting adalah kehadiran masing-masing di situ.

“Aku ambil undang-undang. Dapat ijazah nanti, aku tu nak mintak kadet ASP.” Marsha menyuarakan cita-citanya.“Korang macam mana pulak?” Dia bertanya kepada yang lain sambil menyuap makanan.

Lynn tersenyum. “Aku nak jadi journalist. Nak tulis kisah-kisah macam kita, tentang perjuangan hidup dan persahabatan— benda yang boleh bagi semangat dan motivasi untuk semua orang.”

Dahlia menyampuk. “Aku ambil pengurusan perniagaan sebab nak bukak bisnes sendiri. Cita-cita aku, nak buka galeri seni, pamerkan karya pelukis-pelukis muda, macam kau Hans. Mungkin Lynn boleh tulis cerita di belakang karya mereka.”

“Tengok kita dah ada arkitek—artis, businesswoman, polis dan penulis. Dah boleh buat rangkaian. Kau Phia?” Soalan yang diaju Marsha disambut dengan senyuman. Dia tak menjawab segera. Pandangannya dilempar ke luar tingkap. Cahaya lampu menembusi kabus, menambahkan suasana romantis di malam yang permai. 

Sophia menggenggam tangan Hans. “Aku nak jadi cikgu.”
“Cikgu Sophia… Cikgu Biologi. Ha, nanti jangan anak murid jatuh cinta dengan kau pulak.” Usik Dahlia.

Mereka semua tertawa, tetapi Hans dan Sophia hanya saling memandang, membiarkan mata berbicara.

Selepas perbualan panjang di ruang makan, Sophia dan Hans menuju ke bilik mereka— bilik yang Sophia tempah khas untuk mereka berdua, lengkap dengan balkoni menghadap pemandangan indah.

Pintu bilik dikunci, Sophia menoleh kepada Hans dengan senyuman kecil. “Here we are, finally, just the two of us.” Hans tersenyum, matanya penuh kasih. Dia merangkul tubuh Sophia dari belakang. Tangannya kemas mendakap pinggang. “Aku tak pernah rasa selega ni. Hidup kita baru bermula.”

Sophia memalingkan badan. Kedua tangan dilingkarkan ke leher Hans kemudian dia menjengket sedikit, lantas cepat-cepat Hans tundukkan muka, mengarahkan bibirnya menyambut bibir Sophia dengan mesra. Dalam ciuman yang hangat, Hans mengangkat Sophia dan membawa kedua belah kaki gadis itu menyilang di punggungnya. Mereka tertawa dalam ciuman yang merata-rata— di bibir, di pipi, di dahi, di leher. Sejenak ciuman dileraikan, mata saling menatap mata, masing-masing membisikkan kerinduan. Sophia memaut erat tengkuk Hans yang mendukungnya ke katil.

Duduk di atas katil, mereka berbicara tentang masa depan sambil tangan bergenggam erat. “Cabaran pasti datang tapi aku rasa kita dah kebal.” Ujar Sophia sambil melentokkan kepalanya ke dada Hans.

“Itulah hikmahnya, sayang. Pengalaman mematangkan kita. Ajar kita untuk bersabar dan tabah. Masa mungkin menduga, tapi melaluinya jugalah kita jadi lebih bijak.”

Mereka berbual panjang, berkongsi impian, kebimbangan, dan harapan. Di luar, angin malam berhembus, membawa harapan mereka ke langit luas. Ketika malam semakin larut, Hans dan Sophia saling berdakapan di bawah satu selimut tebal, mencari hangat di tubuh masing-masing. Berada dalam pelukan Hans, Sophia merasa selamat dan selesa. Sebuah gigitan cinta diberikan ke tengkuk Hans yang mengelus lembut dadanya.

“Sayang… aku dah lama nak bincangkan dengan kau satu hal ni,” kata Hans sambil menaikkan badannya sedikit tinggi. Dengan tangan kirinya menongkat kepala, tangan kanannya membelai rambut Sophia. Mata ditancap ke wajah gadis yang begitu indah disuluh cahaya malap lampu tidur.

“Apa dia? Ada masalah ke?” Sophia berdebar tapi Hans hanya tersenyum. Tangan yang membelai rambut kini mengusap pipi. “Masalah, memang masalah.” Jawabnya bersama tawa kecil di hujung suara.

“Kau buat aku risau, apa dia, cakaplah…” Lengan Hans dicubit.
“Aku nak kawin dengan kau.”

Sophia ketawa kuat. “Kawin? Bukan ke kita dah kawin? Kejap tadi pun kita kawin lagi…”Dia mengusik. Suka dia tengok muka Hans merah bila malu.

I mean, seriously… Aku nak kawin dengan kau, cara Melayu ke Islam ke, aku tak peduli. Aku nak masuk meminang, nak dapatkan restu mama dan papa kau…”
But how, sayang… Kau taukan…”
“Ye aku tau… Itulah aku fikir… aku nak buat SRS dan HRT.”

Sophia terdiam. Matanya membulat, memandang Hans dengan campuran emosi yang sukar digambarkan, cuba mencerna apa yang baru didengar. “Maksud kau, Sexual Reassignment Surgery dan Hormone Replacement Therapy?”

“Betul sayang… Aku dah penat hidup separuh-separuh, terkurung dalam badan perempuan…”

“Aku faham tapi kau betul-betul fikir ini jalan terbaik?” Lembut suara Sophia bertanya cuba melegakan rasa bimbang. “Besar tu sayang, terlalu besar.” Tambahnya lagi.

“Cinta aku lebih besar dari itu, Phia.” Hans merangkulkan lengannya ke pinggang Sophia.“Dah lama aku fikirkan hal ni. Kalau aku lelaki, keluarga kau dan masyarakat pasti terima kita. Aku nak kau bahagia. Aku nak cinta kita direstui.”

“Kalau Hans tu lelaki… aku tak ada halangan, aku sendiri akan kahwinkan mereka, Juan.” Sophia teringatkan perbualan bapa mereka sewaktu mereka dipisahkan dulu.

“Aku tau kau nak buat semua ni untuk aku, untuk kita. Tapi kau tak perlu buktikan apa-apa, sayang. Aku cintakan engkau apa adanya. Kau dah cukup sempurna.”
“Aku tak pernah rasa aku ni perempuan. Aku nak badan aku selari dengan jiwa. Aku lelaki… atau kau anggap aku perempuan?”
“Lelaki ke perempuan, kau Hans Marcello, kau milik aku. Aku tak kisah semua tu tapi aku faham tak mudah jadi engkau.”
“Hmm… Aku merancang je… Semua tu perlu banyak duit, perlukan masa dan universiti nilah harapan aku, kau tau. Bila habis belajar nanti, aku dapat kerja, ada duit, ada engkau dan aku boleh mulakan rawatan tu.”
“Apa je kau nak buat aku sokong sayang… Asalkan aku tak hilang kau.”
Thanks Sophia… Aku nak kau jadi Marcello selamanya.”
“I just want to hold you forever…” Sophia merangkul leher kekasihnya dengan belaian lembut dan menyatukan bibir mereka. Dia menarik Hans lebih rapat ke hatinya dan malam pun tidak lagi dingin. Hangat cinta mereka menyatukan jiwa, mendalamkan lagi perasaan yang tulus.

𝄞

Joe tidak menunggu lama untuk bertindak. Dia pandai ambil hati orang tua Sophia yang memandang persahabatannya dengan Kamal sebagai satu jaminan. Strategi diatur, hati dilentur dan tak lama kemudian, dia menyuarakan hasratnya untuk melamar.

Bagi Kamal, itu satu kemenangan. Melihat Joe jatuh cinta dengan adiknya, Kamal yakin itulah peluang untuk membawa Sophia menjadi wanita sejati. Joe seorang lelaki yang berpegang pada agama, berjaya dalam perniagaan dan itu membuktikan dia mampu memberi kehidupan yang stabil kepada Sophia.

“Mal rasa elok kita tunangkan adik sebelum dia masuk U. Mal bukan apa, pa, ma… Mal bimbang nanti kat sana dia buat perangai lagi. Kalau dia dah bertunang, baru dia faham, dia ada komitmen.”

“Papa pun ada fikir macam tu. Joe pun dah bersedia, ekonominya kukuh dan papa rasa dia boleh membimbing Sophia bukan saja dalam hidup tapi di landasan agama juga.”

Puan Kamalia mengiyakan restu suaminya. Perkara itu sering menjadi tajuk perbincangan mereka tanpa Sophia mengetahui apa-apa tentang rencana ini. Bagi Sophia, Joe hanyalah teman Kamal, lelaki yang sering datang ke rumah tanpa alasan yang jelas. Dia kurang senang dengan perhatian Joe yang berlebihan.

𝄢

Langit cerah tanpa awan. Di ruang tamu rumah Encik Suffiyan, Joe duduk bersama Kamal, menghadap bakal mertua. Penampilannya kemas dengan kemeja biru muda dan jeans hitam. Senyuman terukir lebar, penuh keyakinan.

Puan Kamalia menyambut Joe dengan wajah ceria. “Kau dah macam keluarga kami sekarang.”

Encik Suffiyan mengangguk setuju. “Betul tu, Joe. Kehadiran kau sentiasa dialu-alukan.”

Joe tersenyum sopan, tapi matanya jelas mencari sesuatu— Sophia yang tidak muncul di ruang tamu.

Dalam perbualan ringan, Joe akhirnya mengutarakan maksud kedatangannya. “Uncle, aunty, saya ke sini hari ini ada hajat.” Dia memandang Kamal yang tersenyum, mengangguk-anggukkan kepala. “Saya nak melamar Sophia.”

Berita itu sebenarnya dah Kamal maklumkan kepada kedua orang tuanya. Mereka terdiam seketika, sebelum wajah berubah menjadi senyuman yang jelas menunjukkan kegembiraan.

“Sophia tau?” Tanya Encik Suffiyan.
“Saya ada bagi hint. Saya rasa dia faham.”

Puan Kamalia memandang Joe, bersedia memberi kepercayaan. “Kalau kau betul-betul serius, aunty harap kau dapat membimbing dia dunia dan akhirat.”

“Sophia pun dah nak ke universiti tak lama lagi. Kalau kau betul-betul pasti, eloklah kita segerakan pertunangan.” Tambah Encik Suffiyan.

Joe memanfaatkan kesempatan itu dengan memperkukuh kepercayaan mereka. “Saya cintakan Sophia, uncle, aunty. Saya nak jadikan dia isteri saya dan bagi dia kebahagiaan. Saya juga faham tanggungjawab saya sebagai suami, dan saya akan pastikan Sophia mendapat bimbingan yang baik— bukan hanya untuk kehidupan dunia, tetapi juga akhirat.”

Kata-kata yang diucap begitu meyakinkan dan tentu saja berhasil menyentuh hati kedua-dua orang tua Sophia. Mereka saling berpandangan, gembira bila akhirnya menemui jalan keluar untuk memastikan Sophia kembali ke jalan yang benar.

Di tangga, Sophia mendengar perbincangan itu. Kakinya terlalu berat untuk turun dan menghadapi kenyataan lalu dia membawa hati yang remuk ke di dalam bilik. Kali ini tiada lagi tangisan tapi semangat untuk menentang walaupun tahu, dia tak punya kekuatan untuk melawan kehendak keluarga. Hans adalah cinta abadinya, dan Joe adalah pilihan keluarga— pilihan yang dirancang untuk memadamkan segala jejak hubungan mereka.

Selepas perbualan panjang, Encik Suffiyan akhirnya berkata, “Joe, kami restui niat kau. Tapi kami harap kau faham, Sophia masih muda. Kau kena sabar tunggu sampai dia habis belajar kalau kau betul-betul nak jadikan dia isteri.”

Joe tersenyum, menyambut kemenangan kecil. “Saya hormat keputusan tu. Saya akan beri Sophia masa yang dia perlukan. Pertunangan ni langkah pertama ke arah masa depan kami bersama. Saya tak nak terlepas dia.”

Puan Kamalia mengangguk, senang dengan sikap Joe yang kelihatan matang dan bertanggungjawab. Dengan itu, lamaran Joe diterima secara rasmi. Pertunangan dirancang dengan teliti sementara Sophia sendirian di kamarnya, mencoretkan surat kepada Kamarul dan Hans, sambil otaknya ligat membuat rencana yang akan dia bincangkan dengan Dahlia petang itu.

𝄞

Hari itu adalah antara hari paling gelap buat Hans. Setelah mendengar berita yang disampaikan dari mulut Sophia sendiri, hatinya terasa dipalu dan dipatahkan. Dia menatap bayangan dirinya dalam cermin- seorang lelaki dalam tubuh seorang perempuan. Hans merasa diri dipermainkan oleh takdir, tubuh itu telah menjadi satu halangan yang membuat orang sekeliling melihat cintanya sebagai satu dosa.

Lampu mentol kuning menyimbah cahaya samar, menambahkan kesan suram suasana. Hans duduk di tepi katil, memeluk lututnya sambil menundukkan kepala. Air mata mengalir tanpa henti, membasahi pipi dan tangan. Tangisnya pecah, menggema di segenap ruang kosong yang sunyi.

Sekelumit rasa putus asa kian mendesak untuk menghancurkan apa yang mereka bina bersama. Rasa itu terlalu perit— cinta yang dianggap suci oleh hatinya, dilihat sebagai noda oleh orang lain. Seketika dia membenci dirinya sendiri— pada tubuh yang menjadi penyekat cinta sejati yang sekian lama dia dan Sophia perjuangkan.

Juan berdiri di depan pintu bilik, tersentuh melihat anak tersayang diduga lagi. Dengan tenang, Juan merapati dan duduk di sisinya. Tangan dilingkarkan di atas bahu, cuba memberi kekuatan yang diperlukan.

Dalam juraian airmata dan sendu di kotak suara, Hans merasa terdedah. Dia memandang bapanya dengan mata yang merelakan segala emosi terbuka. Kekecewaan tak lagi mampu disembunyi. Hatinya mula bercerita tentang Sophia— betapa gadis itu telah memberi harapan dan belaian jiwa yang suci murni, dan bagaimana semua orang di sekeliling mereka berusaha memisahkan mereka. Hans menangisi dan memarahi takdir, bertanya, mengapa takdir begitu kejam memaksa, memakaikan dia tubuh yang mengunci seorang lelaki di dalam dia?

Kiddo, cinta sejati tak pernah mati. Kalau jodoh tak ke mana tapi kau kena kuat, jangan menyerah sebab cinta tu tenaga yang tak boleh dimusnahkan. Love is God, remember? And you… you are Marcello— um capitão, não um marinheiro.”

Ketar suara nelayan tua itu bergema menembusi hati Hans. Dalam tangis dia tersenyum, meresap kekuatan yang diberikan oleh seorang lelaki yang pernah kehilangan. “Dia tak pernah pergi mana mungkin dia hilang?” Juan memeluknya dengan kasih sayang— ubat kepada jiwa yang terkoyak.

Kemudian dia berdiri, tegak dan tegap di hadapan hati yang kelihatan begitu rapuh. Dengan satu gerakan pantas, dia menarik tangan Hans, memaksanya berdiri. Kedua bahu anaknya itu dicengkam kuat.

“Look at me.” Juan memberi arahan dengan suara tegas. Hans mendongak perlahan, matanya merah dan bengkak akibat tangisan. Pandangan bertemu. Mata garang seorang bapa tertancap tepat ke dalam mata seorang anak, menerobos segala pintu kesedihan.

“Dry you tears.” Seperti dihipnotis, Hans menurut. Sewaktu mengesat air mata dengan tapak tangan, dia terasa sentuhan hangat jari-jari Sophia di pipinya. Cengkaman di bahu yang semakin kukuh Juan goncangkan sedikit untuk memastikan perhatian anaknya tidak beralih.“You are a Marcello, aren’t you?”

Hans mengangguk lemah. “Yeah…”

“I can’t hear you!” Bentak Juan membuat Hans terkejut, tapi refleksnya cepat. Dengan suara yang lebih jelas, dia menjawab, “Yes sir, I am a Marcello!”

Juan tersenyum kecil namun masih belum puas. “Say it like you mean it. Who are you?”

Sambil menutup mata, Hans menarik nafas dalam-dalam, bahu ditegakkan. Untuk seketika dia menahan nafas di perut, kemudian, seiring mata dibuka perlahan-lahan, nafas dihela tenang. Mata ditancap ke wajah bapanya dan dengan nada yang lebih mantap penuh nekad, dia membuat ikrar, “yes sir, I am a Marcello— a captain, not a sailor.”

Ketawa Juan mengisi ruang itu— sebuah ketawa yang mencampurkan rasa bangga dan kepuasan. Pipi Hans ditampar mesra— satu gerakan yang selalu dia lakukan sebagai tanda sokongan dan kasih sayang. “That’s my boy,” kata Juan. Senyumnya melebar. “Now, let’s meet your mother and Santa Maria. You need their blessing, not their pity.”

Tangan masih melekat di bahu, Juan menolak tubuh Hans perlahan keluar dari bilik. Perasaan berat dan ragu-ragu yang tadi membelenggu dirinya terasa sedikit berkurang. Semangat dalam ketegasan yang disuntik bapanya tadi adalah kehangatan dan kekuatan yang dia perlukan.

Di bawah malam yang tenang, mereka berjalan menuju El Faro de Santa María di tepi pantai, tempat ibunya bersemadi dan di mana doa sering mereka dengarkan.

Chaper List:

Comments Box

  1. Indah perasaan di cintai dan mencintai sepenuh hati. Besar dugaan Hans dan Sophia. Semoga bertabah