PART TWO ~ THE DUOBab 6: Resapan Jiwa |
God may be inside us, in each breath we take,in every leaf, and throughout this vast ocean...in all things; I believe that's how God talks to us.
Senyuman kecil terukir di wajah apabila tabung itu berada dalam genggaman, seperti dia sedang memegang seluruh impian dalam bekas sekecil itu. Hans menarik nafas lalu duduk bersila di atas lantai yang sejuk, berhadapan dengan almari tua yang menyimpan rahsia sebuah kehidupan yang sederhana.
Dengan hati-hati, dia membuka penutup tabung. Bunyi gesekan kecil bergema seketika mengisi keheningan bilik. Perlahan-lahan, isi tabung dituang ke lantai— syiling berdenting di atas lantai, bercampur beberapa keping wang kertas yang lusuh. Setiap sen adalah hasil titik peluh berkerja di kedai makan kecil milik Uncle Jose, tempat dia menghabiskan petang-petang panjang membantu di dapur.
Hans mula mengira. Jari-jemarinya menyusun syiling dengan cermat. Mata memerhatikan setiap nilai dengan penuh perhatian. Harapan tergambar di wajah, tapi jauh di dalam hati, ada keresahan yang tak mampu disembunyikan. Tangannya tekun mengira setiap sen yang disimpan sebagai sebuah janji untuk sesuatu yang lebih baik.
“Cukup tak ni…?” bisik Hans kepada diri sendiri, sambil mengatur duit itu dalam barisan kecil. Jumlah terkumpul tidak begitu banyak, tetapi cukup untuk membeli hadiah yang dapat menggembirakan hati seorang sahabat. Hari jadi Sophia yang ke-16 semakin dekat dan Hans mahu memberi bukan sekadar hadiah, tetapi sesuatu yang menunjukkan betapa dia menghargai persahabatan mereka.
Bersama beberapa helai wang kertas yang dilipat elok-elok dan di simpan dengan cermat ke dalam sebuah dompet kulit pemberian bapanya, Hans mengayuh basikal ke pekan. Dia tersenyum, membayangkan hadiah yang bakal menghiasi leher Sophia. Hadiah yang dapat membuat dia selalu berada dekat di hati gadis itu.
𝄞
Kediaman rasmi Pegawai Daerah itu dihiasi dengan lampu kelip-kelip, membingkai perkarangan rumah. Taman yang luas dipenuhi meja-meja yang dihias cantik, dipenuhi hidangan istimewa dan kek hari jadi besar di tengah-tengah. Majlis hari jadi ke-16 Sophia berlangsung meriah, dengan muzik berkumandang dan gelak tawa para tetamu— rakan-rakan sekolah juga kenalan Encik Suffiyan dan Puan Kamalia yang datang berpakaian elegan.
Sophia tampil dalam balutan gaun yang ditempah khas, menggambarkan keanggunan dan kematangan seorang gadis yang sedang beranjak dewasa. Gaun itu diperbuat daripada satin berwarna biru laut— warna kegemarannya sama seperti langit dan laut yang selalu menjadi tempat di mana dia mencari ketenangan. Potongan gaun itu cukup sempurna, tidak terlalu berlebihan, tetapi cukup untuk memancarkan aura kemewahan yang sepadan dengan majlis.
Bahagian atas gaun berpotongan off-shoulder, memperlihatkan leher jenjang si gadis harijadi, dihiasi dengan renda halus berwarna perak yang bersulam motif bunga kecil. Renda itu menjalar di bahu dan dada, memberikan sentuhan feminin— sederhana tapi mempesona. Di bahagian pinggang, ia diperketat dengan lilitan satin yang diikat rapi di belakang, menyerlahkan pinggang ramping seorang gadis. Setiap langkah yang diambil membuatkan kain satin itu berkilauan di bawah cahaya lampu kristal yang tergantung di siling, seolah-olah dia berjalan di atas air yang memantulkan sinar bulan.
Wajahnya disapu dengan solekan tipis— hanya bedak nipis, pemerah pipi dan lip gloss berwarna merah jambu pucat yang memberikan kilauan segar pada bibir. Rambut yang panjang disisir rapi dan digulung ringkas di bahagian bawah, dibiarkan terurai di bahu, dihiasi dengan sepit rambut kecil berbentuk bintang perak, serasi dengan seutas perhiasan yang menghiasi pergelangan tangan. Gelang itu dihadiahkan oleh Hans untuk harijadinya yang ke 15 — sebuah gelang dengan tali biru laut dan loket berbentuk bintang— hasil rekaan Hans sendiri. Walaupun sederhana dan tidak sepadan dengan perhiasan lain yang menghiasi tubuhnya, bagi Sophia gelang buatan tangan Hans itulah yang paling istimewa. Ia adalah satu perlambangan kepada sebuah persahabatan yang tulus dan kasih sayang yang halus.
Saat berdiri di hadapan cermin besar di sudut bilik sebelum turun menyertai tetamu, Sophia memandang diri sendiri. Dia kelihatan sempurna dan dia bangga dengan apa yang dipinjamkan Tuhan dan keluarganya kepada dia. Semua mata akan tertumpu kepadanya di majlis yang indah itu dan dia ingin mereka melihat dirinya— bukan apa yang dia pakai, bukan kecantikannya, tetapi hati yang tinggal di dalam jiwa.
Ketika melangkah turun ke ruang tamu, Sophia menarik nafas panjang. Di wajah terukir senyuman yang dilatih untuk majlis seperti ini, tetapi di dalam hati, dia menunggu sesuatu yang lebih berharga daripada sekadar pujian dan hadiah. Dia menunggu kehadiran sejalur cahaya dalam dunia yang digelapkan kemewahan.
Di sebalik semua keindahan luaran, perasaan Sophia bercampur-baur. Majlis seumpama itu biasanya akan membuat sesiapa saja merasa teruja dan gembira— dikelilingi rakan-rakan, menerima ucapan dan hadiah, serta menjadi tumpuan di majlis yang dirancang dengan sempurna. Namun bagi Sophia, kekosongan akan menghantui hati tanpa kehadiran Hans.
Dia berdiri di pintu utama, tak menghiraukan kesibukan majlis. Matanya melirik ke jalan kecil yang menghubungkan tebing dengan rumah. Walaupun ramai rakan-rakan sudah hadir, tapi bayang-bayang Hans masih belum kelihatan. Sophia bimbang.
“Semua orang dah sampai. Jom potong kek,” ajak Puan Kamalia. Encik Suffiyan, yang berdiri di sisi isterinya hanya tersenyum kecil. Persahabatan Sophia dan Hans tidak lagi menjadi isu bagi kedua mereka. Sophia sudah cukup matang untuk memilih sahabat dan Hans, meskipun datang dari latar belakang yang berbeza, tidak pernah menunjukkan sikap yang buruk.
“I know.” jawab Sophia, tersenyum penuh harapan walau pun hati terasa bimbang.
Puan Kamalia terdiam sejenak, memandang wajah anaknya yang cantik. “OK, then let’s wait for your best friend.”
Namun tidak semua ahli keluarga berkongsi pandangan yang sama. Di sudut lain, Kamal yang mendengar berbualan itu memandang dengan raut wajah yang memberontak. Dia menghampiri Sophia. “Melambatkan majlis je. Orang macam tu, mana tau hargai masa.” Kata Kamal sinis. “Anak nelayan macam dia? Memang tak sesuai dengan majlis macam ni. Dia kena sedar, kena tau mana tempat dia.”
Sophia memandang Kamal dengan mata geram. “Hey Kamal, Hans bukan macam yang abang fikir. Sekurang-kurangnya dia ada pendirian, tak macam abang.”
Kamal mendengus dengan mata penuh dengan rasa tidak puas hati. “Dunia ni tak semudah yang kau fikir. Orang macam dia tak akan pernah faham cara hidup kita. Dan keluarga kita tak patut bercampur dengan orang macam dia.”
“Phia tak peduli dengan semua itu,” balas Sophia tegas. “Suka hati abanglah apa abang nak cakap!”
Sebelum Kamal sempat membalas, deringan loceng pintu kedengaran. Sophia tersenyum lebar dan segera melangkah ke pintu. Berdiri di sana, Hans dengan pakaian yang ringkas —kemeja putih yang dilipat ke siku dengan waist coat berwarna kelabu pekat, dikenakan dengan jeans biru. Dia kelihatan begitu rapi dan segak di mata Sophia, tersenyum sambil mengucapkan selamat harijadi.
“Maaf, aku lambat,” kata Hans perlahan, yang datang bersama Marsha. Matanya melirik ke arah tetamu-tetamu yang sudah tentu berpakaian jauh lebih mewah.
Sophia menggeleng, bahagia di hatimenaikkan seri wajah. “You made it just in time! Come on in; the party wouldn’t be the same without you. Come, Marsha.” Dengan mesra Sophia memaut tangan kedua mereka. Mengawal debaran di hati, Hans melangkah masuk. Marsha yang kelihatan begitu ceria dan gembira terus menghampiri kawan-kawan yang dia kenali dan menyertai mereka, membiarkan Hans dengan Sophia sendiran sementara Kamal memandang mereka dengan pandangan dingin.
Lagu selamat hari jadi dinyanyikan, kek dipotong. Majlis berlangsung meriah. Cahaya lampu-lampu gantung menghiasi halaman belakang banglo dengan gemilang, memantulkan di atas permukaan meja-meja yang dipenuhi makanan dan hadiah mewah. Suasana penuh keceriaan, tawa dan muzik intrumental melatari malam yang sempurna— sekurang-kurangnya di mata kebanyakan tetamu.
Di tengah-tengah kesibukan itu, Kamal berdiri di sudut halaman, jauh dari tumpuan utama. Tangan diseluk dalam poket. Dia memakai wajah tenang dan matanya tak lepas memandang satu sosok indah— Marsha. Gadis itu begitu sederhana dalam gaun berwarna ungu cair, tidak serba mewah seperti gadis-gadis lain, tapi bagi Kamal Marsha adalah gadis yang telah berjaya menghuni fikirannya, walaupun dia tahu gadis berkulit kuning langsat itu adalah sepupu Hans.
Sudah lama dia memerhatikan Marsha. Sejak pertemuan pertama mereka di perpustakaan sekolah, Kamal tahu ada yang indah pada Marsha— sesuatu yang lembut dan kuat, ibarat ombak yang tidak pernah berhenti menghentam pantai. Waktu itu, dia belum lagi mengetahui siapa Marsha dan latar belakang gadis itu. Bahkan, tidak terlintas di fikiran Kamal bahawa Marsha dan Hans ada pertalian darah. Namun, setelah diberitahu rakan-rakan rapat, dia memutuskan untuk menyimpan saja perasaannya. Egonya terlalu besar untuk mengakui bahawa dia tertarik pada seorang gadis yang datang dari latar belakang yang sama dengan Hans, orang yang paling dia ingin jauhkan dari Sophia.
Dan malam ini, melihat Marsha, Kamal sekali lagi merasakan debaran yang sudah lama dia cuba padamkan. Wajah gadis tinggi lampai itu bersih berseri-seri, sering bersikap tenang dan tidak berlebihan macam gadis-gadis lain. Marsha tak memerlukan perhiasan mahal untuk mencuri perhatian Kamal. Semua itu terjadi secara semulajadi.
Kamal, apa kau buat? Bisik hatinya. Kenapa kau masih fikirkan dia?
Kamal mengetap bibir, cuba menahan keinginan untuk mendekati. Desakan itu membuat dia benci kepasa diri sendiri. Pergilah tegur. Jangan biar dia blah camtu je. Namun, ego… ego itulah yang selalu membisikkan bahawa apa yang dirasai tak masuk akal. Dunia mereka tak wajar dicantumkan tapi hati tak pandai menipu.
Kamal terasa kakinya terpaku. Dia berdiri tegak, berlagak seolah tak peduli. Namun matanya tak dapat lari daripada menjejak langkah Marsha. Dia ingin sekali mendekati, tetapi sekuat itu jugalah tembok yang menghalang teguh berdiri— tembok yang dia sendiri bina.
Macam mana kalau dia tau aku suka dia? Macam mana kalau dia menolak?
Malam semakin larut dan Kamal tahu dia tidak boleh terus berdiri di situ, membiarkan peluang berlalu begitu saja. Marsha ketawa kecil di sisi Hans, suaranya perlahan tapi cukup menusuk ke telinga Kamal, membuatkan hatinya bertambah kacau.
Kamal menggenggam tangan dalam poket, berperang dengan perasaan sendiri. Dia ingin memulakan perbualan tapi bimbang jika itu membuatkan dia nampak lemah. Dia, Kamal— seorang yang tak pernah perlu mengejar sesiapa. Nafas ditarik dalam-dalam. Kepala ditoleh ke arah lain. Ttapi belum sempat dia melangkah, matanya kembali terpaut pada Marsha. Bodoh kalau aku biarkan malam ni habis camtu saja. Kamal sedar, jika dia tidak bertindak sekarang, dia pasti akan menyesal. Dengan hati berdebar dan ego yang memberatkan kaki, Kamal akhirnya melangkah ke arah mereka.
“Marsha,” suara Kamal menghentikan perbualan Marsha dan kawan-kawannya. Bila mata bertemu mata, masing-masing agak terkejut. Hati Kamal lebih-lebih lagi— ia bergoncang dengan perasaan ingin memiliki. “Boleh kita bercakap sekejap?” Kamal bertanya sopan. Matanya menyiratkan permintaan yang lebih dalam. Dan pada saat itu, Kamal akur— dia telah memecahkan tembok keangkuhannya— membiarkan hati mendahului ego.
Berdiri muka ke muka dengan seorang gadis yang dipuja dalam diam, suara-suara bising dari majlis hari jadi Sophia terasa semakin jauh. Kamal membawa Marsha di sudut halaman, di bawah cahaya lampu-lampu kecil yang bergantungan. Hanya mereka berdua di situ. Marsha, yang tidak pernah menyangka Kamal akan mendekatinya, memandang dengan penuh kemusykilan. Wajah gadis itu tenang, tetapi sorotan matanya jelas ingin tahu apa yang sedang bermain di fikiran pemuda yang terkenal dengan sikap sombong dan suka mengawal itu.
“Kau nak cakap apa?” Tanya Marsha kehairanan, namun tetap menjaga nada.
Kamal terdiam sejenak. Hati makin berdebar, bukan kerana takut, tetapi kerana perang yang sedang berlaku dalam diri sendiri. Apa yang aku buat ni? Dia tahu dia telah melangkah masuk ke dalam wilayah yang penuh kontradiksi— perasaan cinta yang dia rasakan terhadap Marsha, berhadapan dengan kebencian yang mendalam terhadap Hans. Marsha… gadis yang aku suka. Tapi Hans… dia sepupu yang aku tak pernah mahu dekat dengan adik aku. Dunia mereka… dunia aku… tak sepatutnya bercampur.
“Aku cuma…,” Kamal menghela nafas, cuba mencari kata yang tepat. “Aku cuma nak tahu, apa yang buat kau datang malam ni?” Soalan itu terdengar aneh, tetapi ada maksud yang lebih dalam.
Marsha mengangkat kening sedikit, ketawa kecil kerana tak mengerti apa yang cuba disampaikan Kamal. “It’s Sophia’s birthday. Isn't it obvious? Macam Hans, macam orang lain, aku pun dijemput, kenapa?” Jawapan itu ringkas, tetapi cukup untuk menusuk ego Kamal. Setiap kali nama Hans disebut, hatinya bergolak.
Kamal menggigit bibir. Dia tak tahu bagaimana untuk memisahkan dua perkara yang semakin bercampur dalam fikiran. Dia benci Hans tapi Marsha… Marsha lain. Bagaimana perasaan itu boleh berakar— itu bukan tajuk cerita. Hati dah membentuk sebuah tempat begitu dalam terhadap Marsha— itu yang pasti. Perasaan yang dipendam sejak 2 tahun lalu, terhadap seorang gadis yang berasal dari dunia yang sama dengan Hans. Marsha dan Hans— sepupu, malah, adik-beradik. Kamal celaru.
“Kenapa kau selalu dengan dia? Hans.” Suara Kamal tiba-tiba menjadi tegas, bola matanya memandang tepat ke wajah Marsha. “Aku tak suka Sophia rapat sangat dengan Hans. Orang bercerita macam-macam. Benda yang aku tak suka dengar, kau sendiri tau, kan?”
Marsha tersentak sedikit. “Hans sepupu aku.” Dia membalas tegas, tapi memandang Kamal dengan tenang. “Sepupu aku tu tak pernah buat apa-apa yang menyakiti Sophia. Apa dia dah buat dekat kau? Hans tak pernah cari masalah dengan orang. Kenapa kau benci dia sangat? ”
Kamal mengalihkan pandangan. “Dia perempuan, bukan lelaki. Dunia tu lain.”
Marsha menggeleng perlahan, wajahnya jelas memprotes. “Dunia? Apa maksud kau, Kamal?” Dia memeluk tubuh, tak senang dengan kedangkalan fikiran Kamal. “Kami mungkin anak nelayan, ye, dan memang, sepupu aku tak macam gadis lain, sebab dia lagi jujur dan tulus daripada ramai orang yang aku kenal. Dia tak pernah berpura-pura, tak pernah rasa dirinya lebih baik daripada sesiapa. Kau yang patut keluar dari kotak.”
Kamal terdiam, kata-kata Marsha menusuk jauh ke dalam hatinya. Dia tahu, apa yang dikatakan Marsha itu betul, tetapi egonya masih kuat berusaha mempertahankan pendirian. Tak mungkin ‘lelaki macam dia’ akan mengakui bahawa kebenciannya terhadap Hans bukanlah kerana Hans melakukan kesalahan. Tak akan sesekali, dirinya, sebagai seorang abang dan anak kepada seorang yang berpengaruh dan yang paling penting sebagai seorang Muslim akan mengizinkan sebuah hubungan terlarang.
“Aku ada mata. Aku nampak cara mereka berpandangan, bertukar senyum. Semua tu tak normal.” Kamal meluahkan apa di fikiran. Kata-kata itu disambut dengan tawa sinis Marsha. “I was surprised to see how superficial you are, Kamal. You seem so cultured on the outside.”
“Tu bukan masalahnya. Sepupu kau dengan adik aku tu nampaknya dah lain sangat, kau faham tak?” Sekali lagi Marsha mentertawakan pendapat Kamal yang begitu cetek.
“Agama kami melarang hubungan sonsang. Dan Sophia adik aku!” Kamal meninggikan suara, benci dan rasa terhina bila Marsha mentertawakan pendiriannya. Namun dengan tenang, Marsha mendekati Kamal, berdiri hanya beberapa sentimeter jaraknya dari wajah tegang itu. Paras ketinggian tubuh mereka hampir sama, memudahkan mata menyelam mata. “Kamal,” ujar Marsha, melembutkan nada. “Tuhan kami adalah kasih sayang. Jika ada kasih sayang dalam jiwa, maka Tuhan dah pun berada dalam hati kita. Dan bila Tuhan dah bertempat di situ, tak ada apa yang dapat memisahkan lagi.”
Ungkapan dari mulut Marsha sangat menyengat, membisukan mulut Kamal buat seketika. Namun, perasaan terhadap Marsha semakin kuat. Semakin lama dia memerhati gadis itu, semakin jelas perasaan yang cuba dia nafikan. Dia mahu dekat dengan Marsha, mahu berada di sisinya, mahu memilik cinta dan kebijaksanaannya, tapi kewujudan Hans telah membataskan perasaan suci itu. Kamal akhirnya menyuarakan soalan yang tidak pernah dia bayangkan. “Kalau aku… kalau aku tak suka Hans, kau masih mahu bercakap dengan aku?”
Marsha memandang Kamal dengan teliti. Dia menggeleng, tak percaya betapa dangkalnya fikiran seseorang yang selalu menganggap dirinya terlalu tinggi. “I don't pick friends based on their likes or dislikes. But I can't be around those who don't respect others.” Tegas dia memberi jawapan. “To earn respect, we need to show respect. If you want to change how people see you, begin by changing your perspective first.”
Kamal menunduk, dadanya terasa sesak. Dia tahu bahawa jika dia terus membenci Hans tanpa alasan yang kukuh, dia mungkin akan kehilangan Marsha— gadis yang diam-diam telah mengisi ruang kosong dalam hatinya.
Sepanjang malam Kamal resah. Majlis yang biasanya membuat dia gembira melayan tetamu, seta merta jadi suram. Dia menyesali diri sendiri kerana telah mengorbankan ego untuk perkara yang sia-sia. Kini dia bukan saja mencipta musuh dengan Hans, bahkan mungkin juga dengan Masha, tapi yang pasti, dengan diri sendiri. Adakah aku sanggup lepaskan ego aku demi dia? Soalan itu terus menghantui. Di satu sudut hati, dia tahu… jika dia mahukan Marsha, dia perlu belajar untuk melepaskan kebencian yang tidak berasas terhadap Hans. Tapi… mampukah dia?
Selesai majlis yang meriah, Sophia dengan penuh semangat mengajak Hans, Marsha, Lynn, dan Dahlia naik ke biliknya di tingkat atas untuk membuka hadiah. Hans mengekori mereka perlahan-lahan, perasaan bercampur baur antara segan dan teruja. Dia belum pernah menjejakkan kaki ke dalam rumah sebesar ini, apatah lagi ke dalam bilik tidur milik seorang teman yang hidup disaluti kemewahan.
Apabila pintu bilik itu dibuka, Hans terhenti sejenak di ambangnya. Dia terpaku kagum melihat ruang kamar yang luas, dihiasi dengan perabot putih dan hiasan dinding berwarna pastel. Di tengah-tengah bilik, katil berkanopi dengan langsir sutera halus tergantung, kelihatan seperti gambar yang hanya dapat dilihat dalam majalah.
“Masuklah, Hans,” ajak Sophia dengan senyuman manis, menariknya ke dalam.
Hans melangkah masuk perlahan-lahan. Ada bimbang di hati— takut akan mengotorkan lantai yang bersih berkilat di bawah kaki. Langkahnya berhenti lagi apabila mata tertangkap pada balkoni yang terbuka luas di hujung bilik, menghadap pemandangan laut yang terbentang sejauh mata memandang.
Hans berjalan mendekati balkoni itu, berdiri di tepi dinding kaca, sambil memandang ke luar. Perlahan-lahan kakinya melewati pintu sliding yang terbuka. Angin sepoi-sepoi menerpa wajah, membawa bersama bau garam yang segar. Bulan sabit cantik menerangi langit malam ditemani bintang-bintang berkelipan, mencipta warna perak, memantulkan sinarnya ke atas permukaan air laut. Di kejauhan, lampu-lampu daripada kapal-kapal kecil yang berlayar, kelihatan seperti titik-titik bintang di tengah lautan yang luas.
“Cantiknya…” Bisik Hans perlahan, hampir tidak percaya bahawa pemandangan ini benar-benar wujud di depan mata.
Sophia tersenyum, berdiri di sisi. “Aku suka duduk kat sini, terutama waktu sunset dan malam. Tengok laut… tenang rasanya. Macam semua masalah hilang.”
Hans hanya mampu mengangguk, namun di dalam hati, rasa kagum bercampur dengan rasa rendah diri. Pemandangan dari balkoni ini begitu indah, begitu jauh dari apa yang dia biasa lihat dari jendela kecil bilik sendiri— jendela yang menghadap lorong sempit dengan bumbung rumah-rumah usang di kampung nelayan. Di sana, angin yang bertiup membawa bau asin bercampur dengan bau ikan yang dikeringkan. Sedangkan di sini, segalanya terasa mewah, bersih dan sempurna.
“Mesti seronok dapat bilik macam ni,” kata Hans perlahan, melantunkan irama sebuah kejujuran.
Sophia melempar pandangan ke dada langit kemudian dia memaling muka, memandang wajah Hans “Mungkin nampak seronok. Tapi apa guna semua ni kalau tak ada orang yang betul-betul faham? Aku selalu rasa sunyi kat sini...”
Hans terdiam, merenung kata-kata Sophia. Dia tidak pernah menyangka bahawa seseorang yang memiliki apa saja boleh merasa sunyi. Dia mula sedar bahawa kekayaan bukanlah penentu kebahagiaan.
Lynn, Marsha dan Dahlia yang sedang memilih hadiah di sudut bilik menoleh ke arah mereka. “Y’all, jomla buka hadiah. Mesti seronok tengok apa yang Sophia dapat.” Terdengar suara Dahlia memanggil.
Hans tersenyum, bersama hati yang masih berdebar. Dalam bilik yang indah dan mewah ini, dia merasa dirinya kecil. Namun, dalam rasa kecil itu, dia juga merasa dihargai. Sophia tidak melihat dia dengan mata materialistik yang selalu dipakai manusia. Itu sudah cukup memberi keselesaan dan keyakinan kepada Hans untuk singgah ke dalam dunia ini, walaupun hanya untuk seketika.
Suasana ceria memenuhi bilik tidur Sophia yang wangi ketika mereka berempat berkumpul membuka hadiah hari jadi. Kotak-kotak hadiah berwarna-warni dengan reben yang cantik dibuka satu persatu, tetapi meskipun banyak hadiah mahal dan berjenama, Sophia tidak kelihatan begitu teruja.
Hanya apabila tiba giliran membuka hadiah dari Lynn dan Dahlia, wajah Sophia berubah menjadi lebih ceria. Hadiah mereka adalah antara yang paling istimewa— sebuah buku diari kulit yang cantik, dihiasi nama Sophia di bahagian depannya— hadiah dari Lynn dan sebuah Walkman jenama Sony dari Dahlia. Sophia memeluk kedua-dua sahabatnya dengan penuh kegembiraan.
Dia membuka pula sebuah kotak berwarna merah jambu, hadiah daripada Marsha. “Thanks, Marsha. This is so sweet.” Tubuh Marsha dipeluk mesra, sebagai tanda terima kasih. Sophia meletakkan kotak muzik itu di atas meja sisi. Kotak itu dia mainkan. “Aku suka lagu, ni. Pandai kau pilih.” Kata Sophia sambil mendendangkan irama Right Here Waiting dari kotak suaranya sambil mencapai hadiah dari Hans— saat yang paling dinantikan.
Kotak kecil berbalut kertas biru laut itu kini berada di atas tapak tangan Sophia. Hans kelihatan gelisah, jari-jarinya saling menggosok kerana bimbang jika hadiahnya tidak sepadan dengan yang lain.
Sophia membuka kotak itu perlahan-lahan. Kebahagiaan terpantul di bibir bila melihat apa yang terkandung di dalam kotak baldu itu— seutas rantai perak dengan loket berbentuk bintang kecil tergantung di tengah. Di atas bintang itu terpahat nama Sophia manakala di belakangnya, terpahat kata-kata, With Love, Hans 1993. Wajah Sophia bersinar gembira. Ingin rasanya dia memeluk tubuh Hans tapi perasaan malu menghalang.
“This is beautiful…” kata Sophia penuh ceria namun matanya berkaca dengan perasaan terharu.
Hans tersenyum malu, wajahnya mulai merah. “Aku tak mampu beli yang mahal… harap kau suka.”
“Suka? Lebih daripada suka. I love it… Ini hadiah paling bermakna,” jawab Sophia sambil segera memakainya di leher.
“Biar aku pakaikan.” Kata Hans sambil mengesot rapat ke sisi Sophia. Rakan-rakan yang lain hanya tersenyum memerhati. Mereka tahu, antara Sophia dan Hans terjalin satu ikatan yang begitu tulus.
Bila rantai telah melingkari leher, Sophia memandang Hans dengan senyuman yang berbeza— sebuah senyuman penuh erti, seolah-olah dia sedang merancang sesuatu yang istimewa. Dia mencapai sebuah kotak kecil di meja sisi katil, kotak yang selama ini tidak disentuh oleh sesiapa.
Lynn, Marsha dan Dahlia memerhati. Mereka tersenyum sesama sendiri sedangkan Hans pula kelihatan bingung.
“Sophia… itu dari siapa?” tanya Hans, matanya teruja dengan rasa ingin tahu.
Sophia tak menjawab, sebaliknya dia merapatkan badannya ke sisi Hans. Kotak dibuka perlahan-lahan. Hans teruja bila melihat di dalamnya terletak sebentuk cincin perak dengan ukiran halus di permukaan. Sophia mengeluarkan cincin itu dan kemudian duduk menghadap Hans.
“Boleh kau sarungkan cincin ini ke jari aku?” Pinta Sophia dengan manja. Di matanya terpancar keinginan yang tulus. Sudah tentu itu memberi kejutan kepada Hans. Jantungnya berdegup kencang, memandang cincin itu, kemudian memandang wajah Sophia yang tersenyum cantik. “Sarungkan…? Kenapa… aku?”
Sophia tersenyum, menghulurkan tangannya. “Just because...”
Hans terdiam. Di sebalik gugup dan debar, ada kehangatan yang menyelinap masuk ke dalam hati. “Cantik cincin ni.” Katanya dengan ikhlas lalu dengan hati-hati menyarungkannya ke jari manis Sophia.
Lynn, Marsha dan Dahlia menjadi saksi detik penuh erti itu. Senyuman mereka lebar, berkongsi kegembiraan. Hans memandang cincin yang kini tersemat di jari Sophia. kemudian mengangkat muka, menyatukan mata mereka.
“Sometimes, certain things are better left unspoken.” Ucapan itu Sophia sertakan dengan satu sentuhan lembut di lengan Hans yang duduk bersila di sisinya. Di situ, disaat itu, tiada lagi rasa rendah diri atau perbezaan darjat memisahkan mereka. Yang bersemi hanyalah ikatan persahabatan sejati— satu janji yang disaksikan laut terbentang luas di luar sana.
Dalam perjalanan pulang, Marsha tersenyum memerhatikan sepupunya yang kelihatan sedikit bingung. “Kau faham apa yang Sophia buat tadi?” Dia bertanya, seakan dapat membaca apa di fikiran Hans.
Mengerut dahi, Hans menoleh ke arah Marsha. “Buat apa?”
“Sometimes, certain things are better left unspoken,” Marsha mengulang kata-kata Sophia, mengajak Hans menghayati ucapan itu. Dia menoleh ke hadapan, menikmati hembusan angin malam yang menyapa wajah. “Cincin tu…”
Hans menggeleng. “Aku tak faham… apa maksudnya?”
Marsha ketawa kecil. “Are you confused or just unwilling to understand? Is it denial?” Senyuman sinis disertakan provokasi, sekadar mahu mengusik. “Aku ingat kau dah faham,” katanya sambil menggeleng-geleng kepala. “Cincin tu Sophia beli khas untuk kau sarungkan ke jari dia. Dalam cincin tu, ada nama kau.”
Langkah Hans terhenti serta-merta. Matanya sedikit terbeliak, tak percaya dengan apa yang disampaikan. “Nama aku?” Dia memandang Marsha, cuba mencari kepastian. “Kau nak kenakan aku ke apa ni?”
Marsha menggeleng. “Aku tak main-main lah. Aku sendiri tengok. Waktu dia pilih kat kedai tu, aku ada sama. Dia yang ajak sebab nak pastikan mana satu kau suka. Takkanlah dia nak cakap kat kau, kan? Tak surprise lah…”
Hans menelan air liur, hatinya berdegup lebih kencang. “Tapi… kenapa dia tak cakap apa-apa?”
“Malulah kot, perempuan kan. Mungkin dia belum bersedia. Mungkin dia sendiri takut.” Marsha membuat andaian. “Tapi aku percaya, satu hari nanti, kau akan dengar semuanya dari mulut dia sendiri.” Pandangan dihala ke hadapan, ke arah jalan sunyi yang mereka susuri. “Aku rasa Sophia tu syok kat kau lebih daripada kawan.”
Hati Hans bergolak antara rasa terkejut, gembira, dan satu perasaan yang dia sendiri belum mampu namakan. Namun, satu hal kini jelas dalam fikirannya — cincin itu bukan sekadar cincin. Ia adalah janji yang belum terungkap, sebuah kisah yang menunggu waktu untuk ditulis.
𝄞
Batu besar di tepi laut itu telah menjadi saksi pertemuan dan cerita mereka disetiap pertemuan selama dua tahun. Kini, seperti hari-hari sebelumnya, mereka duduk lagi di atas batu itu, memandang ombak yang bergulung-gulung, menunggu langit bertukar jingga. Sambil memegang sebutir batu kecil di tangan, Hans merenung jauh ke arah laut. Sophia memerhati raut wajah Hans yang tenang tapi seperti tenggelam ke dasar laut.
“There’s something greater than what we have seen or learnt so far.” Hans berbisik. Antara deru ombak dan desir angin, suaranya menembus terus ke hati Sophia yang hanya mengangguk, walau sebenarnya dia masih kabur dengan apa yang Hans maksudkan. “Something that lives up there, in the sky or beyond, you mean?” Dia bertanya, sedikit ragu, ingin memahami apa yang sedang bermain di fikiran Hans.
“Bukan tak percaya pada Tuhan, tapi aku yakin ada yang lebih... benda yang tak terjangkau akal kita. Alam ini penuh dengan tenaga dan keajaiban. Setiap kali aku pandang laut, ada satu ketenangan yang membebaskan. It's like Nature is having a conversation with me, giving off signals that people often overlook.”
Pandangan Hans terhadap dunia, terhadap alam, ternyata berbeza dan itu membuatkan Sophia semakin tertarik. “Jadi kau rasa, Tuhan itu ada di mana-mana?” Tanya Sophia, menunjukkan kesungguhan dalam membicarakan perkara tersebut.
“Camtulah… God may be inside us, in each breath we take, in every leaf, and throughout this vast ocean... in all things. I believe that's how God talks to us and that gives me peace— knowing we’re all part of something bigger than the universe.”
Sophia termenung, merenung maksud di sebalik kata-kata yang menyentuh kesedarannya. Cara Hans melihat dunia adalah satu keindahan— sesuatu yang jelas menunjukkan betapa setiap hal kecil mempunyai makna yang besar dan setiap detik adalah harta.
“Sophia,” sambung Hans, memandang terus ke dalam mata Sophia, “I believe everyone has a purpose beyond themselves. We might be here to connect with others, love freely, and learn valuable lessons through our own experiences.” While we are small pieces of a bigger puzzle, every interaction and relationship helps us discover the true meaning of our lives.”
Seperti ombak laut menghempas pantai, Sophia sedar perasaan terhadap Hans bukan lagi sekadar persahabatan biasa. Mereka sering berkongsi hal-hal yang jarang dibincangkan oleh rakan sebaya lain— topik yang dianggap berat atau jauh dari pemikiran anak remaja.
Setiap kali bersama, perbualan mereka menjadi semakin intense, semakin mendalam. Bukan sekadar berbincang soal sekolah atau hobi, tetapi tentang perkara yang jarang disentuh— tentang jiwa, tentang tujuan hidup, tentang kasih sayang dan erti persahabatan. Tentang kewujudan.
“While we are small pieces of a bigger puzzle, every interaction and relationship helps us discover the true meaning of our lives.” Antara deru ombak dan degup jantung, Sophia berbisik. Tanpa sedar tangan mereka saling bertaut. “Aku nampak Tuhan dalam engkau, Hans.” Ungkapan itu mengakhiri pertemuan mereka pada petang tersebut.
Sewaktu Hans menemaninya pulang ke rumah, mereka hanya diam sambil tangan saling berpimpin. Fikiran dibiarkan menerawang ke setiap sudut perbualan.
Bermandikan sinar rembulan, Sophia duduk di balkoni, tersenyum sendirian, menikmati satu perasaan. Kata-kata Hans membelai jiwanya seperti lautan yang beralun disapa bayu. Entah kenapa, pandangan Hans terhadap dunia membuatkan dia rasa semakin dekat— semakin hampir dengan sesuatu yang hilang dalam diri sendiri.
𝄞
Di bawah langit biru yang cerah, Hans dan Sophia bersama beberapa pelajar lain berkumpul di perkarangan sekolah, bersiap sedia untuk mengikuti perkhemahan yang dianjurkan oleh Kelab Pencinta Alam. Pada mulanya Hans hampir menolak peluang ini. Hatinya berat, memikirkan tanggungjawab di kedai. Dia bimbang jika ketiadaanya akan mengganggu perniagaan. Namun, Uncle Jose tersenyum memberi keizinan. “Pergilah. It's important to carve out some time for fun too. After all, you can't always head to the woods with your friends, can you?” Sokongan Uncle Jose melegakan kebimbangan Hans. Dia sangat bersyukur dan bersetuju untuk turut menyertai perkhemahan tersebut.
Dikelilingi kehijauan yang begitu segar tak tercela, Hans merasa cukup selesa. Sophia yang baru pertama kali menyertai kembara seperti ini, walaupun agak kekok, turut terpesona pada keindahan alam semulajadi. Pokok-pokok tinggi menjadi payung besar yang melindungi mereka dari terik matahari. Suara burung berkicau dari atas pohon dan desiran sungai kecil di kejauhan menjadi lagu latar. Sophia tidak dapat menahan rasa kagum. Dia menghembuskan nafas panjang sambil berkata, “I've often heard about the wonders of nature, but I never expected it to be this breathtaking.”
“There is so much more to explore.” Balas Hans, tersenyum. Dalam hati, dia tak sabar untuk memperkenalkan Sophia lebih dekat dengan alam, sebagaimana yang pernah Uncle Jose dan bapanya sendiri ajarkan.
Malam pertama di tapak perkhemahan, mereka semua duduk di sekitar unggun api, berbual mesra dan menyanyikan lagu-lagu rakyat. Hans, yang biasanya pendiam dan cenderung untuk menyendiri, merasakan dirinya lebih bebas dan selesa dalam persekitaran seperti itu. Di sini, semua orang sama, tanpa perlu memikirkan latar belakang atau status sosial. Persamaan ini membuat dia rasa diterima.
Sophia memandang Hans yang kelihatan begitu bahagia dan bebas. “Aku tak pernah nampak kau seceria ini, Hans,” dia berbisik sambil tersenyum. Hans membalas dengan senyum malu-malu, “mungkin sebab kat sini tak ada apa-apa yang mengikat. Tak ada kerja, tak ada tanggungjawab besar. Cuma kita dan alam.”
Mereka tidur dalam khemah yang sama bersama Lynn dan Dahlia. Sementara melayan mata, mereka bercerita tentang itu dan ini, sesekali mereka tertawa dengan kisah-kisah lucu yang dikongsi.
Bangun keesokan hari, Hans mendapati hanya dia seorang yang masih di dalam khemah. Dia menggosok mata, melihat jam di tangan. Masih awal tapi dari kejauhan terdengar suara-suara di luar. Hans memandang bumbung khemah. Ada sesuatu tergantung di situ— lipatan kertas berwarna hijau, berbentuk burung. Dia mengambil dan membukanya. Ada sebuah puisi dalam origami tersebut— sebuah puisi yang membuat dia tersenyum mencapai tuala dan keluar dari khemah, mencari sesuatu yang indah— senyuman Sophia.
Buat Hans, selamat pagi! Ini untuk kau sebagai tanda terima kasih.
Menghijaulah pohon-pohon, bunga-bunga, mewarna bumi.
Menyanyilah burung-burung, unggas-unggas,
bercerita dalam bahasa alam, ungkapkan kehidupan ini
berikan ia satu erti.
Bila bersatu, meresap jiwa—
tanda-tanda cinta takkan hilang selamanya.
With love,
Sophia
Hari berikutnya, Kelab Pencinta Alam telah mengatur beberapa aktiviti untuk mereka. Salah satu aktiviti yang paling menarik adalah merentas hutan, di mana mereka perlu mencari jalan mengikut peta dan kompas yang diberikan. Hans yang sudah biasa dengan suasana kampung dan hutan sedikit sebanyak menjadi pemimpin dalam kumpulan mereka. Dia membantu Sophia dan rakan-rakan lain memahami cara membaca arah menggunakan kompas dan mengenali tanda-tanda alam seperti lumut yang tumbuh di sebelah utara batang pokok.
Melihat Hans yang mahir dan tenang dalam persekitaran itu, Sophia merasa kagum. Dia sedar bahawa Hans bukan sekadar seorang anak nelayan yang berdikari, tetapi juga memiliki kecekapan dan keyakinan dalam menghadapi cabaran di alam semula jadi. Rasa hormat dan kasih sayangnya semakin mendalam. Dia melihat sisi Hans yang jarang muncul di sekolah— sisi seorang pemimpin yang berdedikasi.
Ketika mereka berhenti untuk berehat di sebuah kawasan berumput yang luas, Sophia duduk di sebelah Hans sambil menyeka peluh. “You’re great, you know? Aku rasa kau lebih sesuai jadi ketua daripada aku,” katanya sambil tersenyum. Hans menggeleng dan berkata, “aku tak pernah jadi ketua dalam hidup aku. Cuma, dalam hutan, aku rasa lebih selesa. Alam ni dah jadi kawan rapat aku sejak kecil.”
Setelah penat merentas hutan, mereka semua duduk di tepi sungai yang jernih, mencelupkan kaki ke dalam air yang sejuk dan segar. Sophia, dengan sikapnya yang selalu ingin tahu, mula bertanya, “kau pernah fikir apa yang kau nak buat nanti? Lepas habis sekolah?”
Hans terdiam seketika, memandang jauh ke arah aliran sungai yang berliku. “Aku nak jadi arkitek. Mungkin nampak mustahil bagi orang macam aku, tapi aku teringin sangat nak reka satu benda yang kekal, sesuatu yang boleh dinikmati orang ramai.” Sambil memegang sebuah sketsa bangunan yang dilakar dalam buku kecil tersebut, Hans merenung jauh ke depan, membayangkan impian yang semakin jelas di hatinya. Sophia kagum dengan cita-cita besar yang disimpan Hans. “Why not? Kau banyak potensi, kau rajin. Ada bakat. Dengan usaha dan percaya, tak ada yang mustahil, kan?”
“Aku nak bina sesuatu yang boleh bertahan lama, sesuatu yang boleh bagi kegembiraan dan keselesaan kepada orang lain.”
Sophia memandang Hans dengan kagum. “Look, this is so great.” Buku lakaran di tangan Hans dia ambil, meneliti setiap garis dan sudut yang dilakarkan menggunakan pensil. “Aku tak heran kalau kau akan berjaya capai impian kau.”
Hans tersenyum kecil, agak malu. “I love architecture. It's incredible to see the tall, stunning buildings and how each stone and piece of wood come together to form something beautiful. Every line and angle I sketch makes me hope they will come to life someday.”
Sophia mengangguk sambil tersenyum. Dia dapat merasakan semangat yang Hans miliki untuk mengejar cita-cita. Namun, jauh di dalam hati, dia masih keliru. Dia belum pasti tentang cita-cita.
“Kau pulak?” tanya Hans, matanya penuh rasa ingin tahu. “Apa impian kau?”
Sophia terdiam seketika. “Entahlah…” dia mengaku jujur. “Yang aku tau, I want to help people. I want to support those who need it. Maybe I could become a teacher or a doctor. I think life is better when we can help others.”
Hans memahami dilema yang dirasai Sophia. “Becoming a teacher is great. Being a doctor is amazing too. No matter what you decide, Sophia, I know you will make a difference. You have a big heart. I believe you will do your best for others.” Dia memberi sokongan.
Malam itu, mereka kembali ke khemah masing-masing setelah seharian diisi dengan pelbagai aktiviti. Sewaktu Hans sedang enak dibuai mimpi, Sophia berbaring di sisinya— termenung, teringatkan perbualan mereka. Betapa dalamnya impian dan semangat Hans, meskipun hidupnya penuh dengan cabaran. Dia merenung wajah yang penuh dengan kisah itu dalam samar cahaya lampu yang dipasang di luar khemah. Wajah indah Hans kelihatan begitu aman dan di dalam dadanya bergelombang tenang sekeping hati yang tulus. Sophia mula sedar, persahabatan dengan Hans bukan sekadar persahabatan biasa. Ada jalinan istimewa di antara mereka yang dia belum sepenuhnya fahami atau belum sedia untuk diakui. Tanpa dia sedari, bibirnya menyentuh pipi Hans.
Aktiviti hari berikutnya semakin menarik. Mereka mengadakan pertandingan memasak di alam terbuka. Setiap kumpulan diminta menyediakan hidangan menggunakan bahan-bahan yang dibekalkan. Hans dengan cepat mengambil peranan sebagai ‘chef’ dalam kumpulan mereka, menunjukkan cara memasak menggunakan kayu api dan mengajar Sophia serta rakan sekumpulan teknik-teknik asas yang dia pelajari ketika membantu di kedai makan. “Pandai betul kau buat semua ni.” Puji Dahlia, kagum. Hans hanya ketawa kecil, “Kat kedai Uncle Jose, kita masak guna arang. Aku dah biasa.”
Sambil memotong sayur, mereka bergurau senda, bertukar cerita sambil mengejar masa menyiapkan hidangan sebelum waktu yang ditetapkan berakhir. Hans sempat berkongsi pengalaman dan menceritakan bagaimana kehidupannya di kampung nelayan telah mengajar dia menghargai setiap perkara kecil dalam hidup.
Ketika hari terakhir perkhemahan tiba, mereka semua bersiap sedia untuk pulang. Hans dan Sophia duduk di tepi bukit, melihat keindahan hutan yang akan mereka tinggalkan di belakang. Masing-masing membawa pulang kenangan yang tidak akan dilupakan. Sophia menoleh kepada Hans dan berkata, “mesti aku rindu semua ni. Terutamanya saat-saat kita bersama.” Hans tersenyum, matanya bercahaya. “Aku pun. Tapi jangan risau, kalau kau suka, kita boleh camping lagi.”
Perjalanan pulang mereka diisi dengan perbualan, nyanyian dan gurau senda. Perkhemahan itu ternyata telah mengubah perspektif mereka tentang banyak perkara, termasuk impian, harapan dan masa depan. Hans merasakan keyakinannya untuk mengejar cita-cita sebagai arkitek semakin kuat dan Sophia pula semakin yakin untuk berbakti kepada masyarakat.
Di bawah langit dan iringan nyanyian alam, mereka berkongsi cerita, tawa, dan mengeratkan sebuah pengertian. Setiap detik yang dilalui bersama tidak sekadar mengisi masa, tetapi mengisi kekosongan jiwa yang mungkin tidak pernah mereka sedari sebenarnya wujud.
Persahabatan yang terjalin semakin hari semakin berakar dalam hati seperti pohon yang tumbuh di tanah subur— kukuh menghadapi angin, bertahan dalam hujan dan terus berkembang meskipun dunia di sekeliling sentiasa berubah.
Post a Comment