Join The Journey
𝄞
Kehidupan Hans berdegup dengan irama yang jauh lebih tua daripada empat belas tahunnya. Di sebuah perkampungan yang dikelilingi oleh perahu dan air, hari-harinya boleh diramalkan seperti ombak yang menghempas pantai. Dia tidak mempunyai kebebasan remaja yang mewah atau waktu petang yang dihabiskan dengan rakan-rakan. Semasa rakan-rakannya berkeliaran di pantai dan bermain di bawah matahari, Hans memikul beban yang tidak dapat difahami oleh remaja seusia.

Pagi bermula awal, aroma garam dan ikan pekat di udara ketika dia bersiap untuk ke sekolah. Pakaiannya bersih tetapi usang. Setiap benang adalah bukti penjagaan yang teliti dan kehidupan yang berjimat cermat. Selepas sekolah, apabila kebanyakan rakan sekelas menuju ke rumah masing-masing untuk makan dan berehat, Hans berjalan pulang ke rumah kecilnya di tepi pantai untuk menyediakan makan tengah hari— selalunya hidangan ringkas. Dia memasak apa yang ada, apa yang tersedia, apa yang mampu— ikan percuma. Udang segar, kepah, ketam, apa saja yang dibawa bapanya juga hasil tanaman kebun kecil mereka di belakang rumah. Kewangan yang terbatas mengajar dia untuk menjadi lebih kreatif, memanfaatkan bahan asas sepenuhnya. Walaupun hanya hidangan biasa dan sederhana, tapi yang penting, berkhasiat.

Selepas berehat sebentar dan menyiapkan kerja sekolah, dia menuju ke kedai makan Uncle Jose. Kedai itu sering dikunjungi penduduk tempatan dan rakan nelayan yang mengenalinya dengan baik dan sering menyambutnya dengan tepukan di belakang dan beberapa syiling sebagai hadiah.

Sejak usia sepuluh tahun, Hans telah membantu. Mulanya dia diberi tugas-tugas kecil— membersihkan meja, membasuh pinggan, menerima pesanan ketika sibuk— dan dia bekerja tanpa mengeluh. Apabila Uncle Jose menggaji seorang pekerja untuk membantu isterinya, Maria, di bahagian depan, Hans diberi peluang untuk bekerja di bahagian belakang— di dapur— membantu menyediakan bahan-bahan masakan— memotong sayur dan daging, menyiang ayam dan ikan, mengupas udang dan kerang, hinggalah dia diajar memasak dan kini diusia 14 tahun, dia sudah cekap untuk menyediakan pesanan. Walaupun tangannya penuh dengan calar-calar bekas hirisan pisau dan percikan minyak panas, namun bagi Hans, parut-parut itu adalah kenangan setiap saat yang didedikasikan demi wang yang sangat dia perlukan— untuk dia dan bapanya.

𝄞

Hari sudah lewat. Perkampungan sunyi sepi. Bau garam dan ikan tergantung di udara. Hans sedang tidur di rumah dan dua beradik itu duduk berhadapan antara satu sama lain di meja kayu kedai makan Jose. Jose memandang penuh pengertian dan rasa simpati ke wajah abangnya yang duduk membongkokkan bahu, tangan melilit cawan kopi sumbing. Renungannya menerawang entah ke mana, hanya dia yang tahu. Jose menyedut rokok tembakau kemudian dia menghirup kopi. Gabungan tembakau dan kopi mencetus keingingan untuk memecahkan kesunyian. “Hidup ni tak ubah macam laut, kau tau tu.”

Juan mengelakkan pandangan mata, memandang ke bawah pada cawannya. “Laut dunia aku. Tapi sekarang dah jadi penjara.”

“Empat belas tahun dah berlalu sejak Emelda... sejak dia meninggalkan kita. Kau masih tenggelam dalam kehilangan. Kau biarkan Hans membayar harganya.”

Terkesima, Juan menggenggam cawan kopi dengan lebih erat. “Kau ingat semua ni senang? Emelda syurga aku, Jose. Dia… segala-galanya.”

“Aku tau, dia dah macam kakak aku sendiri. Aku dan Maria pun rasa kehilangan tapi kita kena teruskan hidup. Kau kena move on untuk Hans, untuk kau sendiri. Kau sepatutnya ada untuk dia. Dia keseorangan, tak ke kau nampak?”

Juan bergelut untuk bercakap, suaranya rendah menadakan keputusasaan. “Aku tau aku kecewakan kau orang semua. Tapi benda ni… susah nak aku berhenti cam tu je. Ini… botol ini, satu-satunya yang paham aku, yang meneman sunyi, ubat kesakitan.”

What about, Hans? Where’s her escape? Kau tau ke apa dibuatnya tiap hari? Sekolah, kerja kat sini, balik rumah, masak, mengemas, uruskan rumah, belajar, tidur— dia tak merasa hidup macam remaja lain.” Jose bersandar ke hadapan, merendahkan suara. “Dia tak merungut, tak minta apa pun. Dia teruskan apa yang patut dia buat, kau tau kenapa, Juan?” Jose memandang tepat muka abangnya yang memandang laut. “sebab dia sayangkan kau. Sebab dia tau makna tanggungjawab. She’s holding on to whatever pieces of you she can find.”

Kedua belah tapak tangan kini menggosok muka, cuba menahan rasa malu. Kalau dia di bawah pengaruh alkohol, dah tentu perasaan itu tak akan timbul. “Kau ingat aku tak tau, dia berhak dapat yang terbaik? I want to be there, to be better. But I don’t know how to stop. Benda ni dah jadi sebahagian daripada aku.”

“Aku tak cakap berhenti tu senang. But this isn’t about strength or pride; it’s about love. Kau sangat menyayangi Emelda, kan? Buatlah untuk dia. Let her memory push you to be the father that Hans needs.

Juan menarik nafas, memandang abangnya dengan mata yang berkelip antara harapan dan putus asa. “Aku pernah cuba, tapi gagal... ”
“Cuba lagi. Jangan mengalah. Emelda tak suka tengok semua ni. Tak pernah terlambat untuk berubah walaupun sikit demi sikit.”
“Aku takut… Takut kalau aku tak cukup untuk dia.” Perlahan suara Juan, hampir berbisik.
“Kau tau kau tak sendirian. Aku dengan Maria, sentiasa ada. Kita keluarga, kami akan tolong. Untuk kau, demi Hans. Tapi kau kena cuba, kalau kau tak bergerak, kami tak boleh buat apa.” Jose meletakkan tangan di bahu Juan. “Untuk masa depan. Demi cinta yang Emelda tinggalkan dalam diri Hans.”

𝄞

Cahaya matahari keemasan tersebar melalui celahan pokok-pokok, menimbulkan bayang-bayang panjang dan jalur-jalur di laluan kecil. Hans selalu mengambil laluan itu, pulang dan balik sekolah— sebuah jalan pintas yang jarang dilalui orang. Dia keletihan. Langkah sengaja diperlahankan. Fikirannya melayang ketika mata melewati landskap indah di kampungnya.

Melintasi sebuah titi, telinganya menangkap suara anak kucing. Dia berhenti, melihat sekeliling— mencari-cari dari mana suara itu datang. Setelah memastikan, cepat-cepat dia berjalan ke arah sebatang pokok dan mendapati seekor ibu kucing sedang berbaring dikelilingi tiga ekor anaknya yang masih kecil— semuanya laparkan susu.

Mata sang ibu bersinar, ingin memberi secebis kepercayaan. Dia memerhatikan Hans dengan pandangan yang berhati-hati tetapi tidak bergerak. Bulunya kasar, jelas dari hari-hari yang dihabiskan hidup di jalanan. Hans berfikir, tentu ia telah melalui pelbagai peristiwa dalam mempertahankan diri dan anak-anaknya— hidup mereka. Anak-anak kucing itu, ketiga-tiganya tidak lebih besar daripada tangan Hans, meringkuk rapat ke sisi sang ibu, mencakar-cakar kecil, menguli perut ibunya, memerah susu sambil mencari kehangatan.

Hans berdiri di sana, takjub menyaksikan sebuah ikatan semulajadi dan harmoni di antara mereka. Dia tersentuh melihat bagaimana ibu kucing itu melindungi anak-anaknya dengan seluruh tubuh— kaki dan ekor yang melingkari mereka, cara dia membongkok, menjilat kepala mereka yang kecil— garang tapi penuh kasih sayang. Dunia di sekeliling, walaupun penuh ancaman, tapi semuanya lengkap, hanya dengan kehadiran masing- masing.

Menyaksikan kasih sayang yang ditunjukkan Tuhan depan mata, Hans terpalu. Sesuatu memukul dadanya— satu sensasi yang tak dapat dia namakan. Sensasi itu pernah dia rasai dalam pandangan samar dan mimpi yang jauh. Hans telah menghabiskan hidup mengisi ruang di mana kemesraan dan penjagaan seorang ibu sepatutnya dirasai, tetapi sekarang, melihat hubungan antara ibu dan anak-anak kucing itu di depan mata, dia menyedari betapa dia telah kehilangan.

Naluri seorang ibu, satu perasaan yang murni, sama seperti si ibu kucing. Menjaga anak-anaknya dengan sedaya apa yang terdaya, itulah bahasa perlindungan dan kasih sayang yang tidak terucap, yang dia ingin fahami. Dia tertanya-tanya bagaimana rasanya disentuh oleh tangan seorang ibu? Bagaimana rasanya bila ibu memeluk dia, menyatakan bahawa semuanya selamat, terjamin dan tidak kira apa pun, seseorang akan berada di sana untuknya dengan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.

Hans terlepas semua itu. Dia merindukannya.

Perlahan-lahan dia membongkok, melutut dan merapatkan diri dengan keluarga kecil yang mencari ketenangan di bawah pokok. Dia tak mahu menakut-nakutkan mereka. Senyuman terukir di bibir bila memerhati anak-anak kucing itu meregang dan menjangkau, memukul-mukul muka ibunya, sekadar bermain-main. Si ibu yang berbelang-belang itu memanjakan mereka, mengundur perlahan ke belakang, berlakon seolah-olah marah namun matanya jernih dengan kasih sayang.

Hati Hans membengkak dan tenggelam dalam pahit dan manis bercampur-campur dengan kerinduan, cinta, dan kesunyian yang mengisi relung hati. Dia merasa terhubung dengan sesuatu yang tidak pernah dia miliki, namun sangat mudah difahami. Ibu kucing dan anak-anaknya telah membenarkan dia melihat sekilas cinta yang indah— sebuah cinta yang dia harap dapat dimiliki daripada ibunya sendiri, Emelda.

Hans membawa keluar sebungkus kibble yang selalu dia simpan di dalam beg. Sehelai kertas dari bukunya dikoyakkan, menjadi alas kepada dua tiga genggam kibble buat santapan si ibu dan anak-anak.

“Aku selalu jalan kat sini. Nanti kita jumpa lagi. Jaga anak kau baik-baik.” Kata Hans sambil mengusap kepala ibu kucing yang memandang sambil mengecilkan sedikit mata beberapa kali, seolah-olah mahu mengucapkan terima kasih.

Hans bangkit berdiri dan berjalan pulang, membawa bersama imej ibu kucing dan anak-anaknya. Ikatan mereka terukir dalam ingatan sebagai satu rahsia hati dan dia memegangnya rapat-rapat, membayangkan kasih sayang ibunya pasti seperti itu— lembut, garang, telus dan tulus, berlarutan dan berterusan di sekeliling hidupnya seperti bulan yang memantulkan kehangatan cahaya matahari, walaupun tak dapat menyentuh tapi dapat dilihat dan dirasakan.

Pemergian ibu yang tak pernah sempat dia kenali membawa kesakitan yang tak tergantikan. Tapi bila melihat keluarga comel itu Hans merasa tenang, mengetahui bahawa cinta sejati benar-benar wujud— cinta yang masih dapat dia temui dalam kehidupan, dalam alam, di mana saja.

Join The Journey
Comments

Comments [0]